Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Peniaga tempatan takut berniaga
- DBKL jumpa Ahli Parlimen
- Kenaikan kadar cukai DBKL untuk kebaikan rakyat
Peniaga tempatan takut berniaga Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD DUA pekerja warga asing menjalankan urus niaga di Pasar Borong Selangor. SERI KEMBANGAN 20 Nov. - Kewujudan Pasar Borong Selangor, dekat sini yang mula dibuka kira-kira 12 tahun lalu ternyata memudahkan orang ramai sekitar kawasan itu untuk membeli bahan mentah. Selain menyenangkan orang ramai untuk berbelanja, kepelbagaian barangan di situ terutamanya ikan, ayam, sayur dan daging yang segar turut membolehkan peniaga tempatan memasarkan hasil pertanian masing-masing. Bagaimanapun, situasi yang berlaku hari ini jelas berbeza dengan matlamat asal penubuhan pasar borong berkenaan. Kebanjiran warga asing sejak beberapa tahun lalu di pasar borong berkenaan menyebabkan pasar tersebut seolah-olah terletak di sebuah negara lain. Tinjauan Utusan Malaysia ke pasar borong berkenaan baru-baru ini mendapati, sebahagian besar daripada kira-kira 300 lot perniagaan yang terdapat di situ dikuasai warga asing. Difahamkan, mereka bukan sahaja menjadi pembantu gerai tetapi turut menjadi pengurus lot niaga yang disewa daripada pemilik sebenar. SEORANG pekerja warga asing mengambil peluang untuk tidur ketika gerainya tidak mempunyai pelanggan. Malah, kewujudan peniaga tempatan sama ada Melayu, Cina atau India boleh dibilang dengan jari di pasar itu sehinggakan mereka sendiri bimbang untuk berniaga kerana dikelilingi pesaing antarabangsa itu. Kebimbangan peniaga tempatan bukan sekadar faktor itu, tetapi yang lebih merisaukan mereka adalah tahap keselamatan berikutan peniaga asing di situ disifatkan terlalu berani dan berlagak seperti samseng. Dakwa peniaga tempatan, pergaduhan antara sekumpulan peniaga warga asing dengan kumpulan warga asing lain juga pernah berlaku di situ yang dikatakan berpunca daripada berebut pelanggan. Berdasarkan pemerhatian, wajah-wajah peniaga asing yang menjalankan perniagaan di pasar itu didapati berasal dari Myanmar, Vietnam dan Bangladesh. Difahamkan, pembantu gerai warga asing di situ sudah diajar untuk menjawab sebarang pertanyaan mengenai majikan mereka. Seorang pekerja asing dari Myanmar yang ditemui menafikan majikannya adalah rakan senegaranya dan mendakwa dia bekerja dengan peniaga tempatan. Bagaimanapun apabila ditanya lebih lanjut dia memberikan jawapan yang tidak masuk akal. Gerai ini milik orang Melayu tetapi disewakan kepada boss saya peniaga Cina," katanya yang mengakui tidak pernah berjumpa dengan majikannya sejak bekerja di situ kira-kira tiga bulan lalu. Sementara itu, tinjauan juga mendapati bukan sahaja lot dalam pasar berkenaan dimonopoli warga asing, tetapi kewujudan gerai-gerai makanan di sebelah pasar berkenaan turut menimbulkan tanda tanya. Sebuah kedai misalnya, tertera kain pemidang yang menamakan premisnya sebagai Kedai Makanan Anh Tik yang bunyinya seperti nama orang Vietnam. |
Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST Oleh Muhamad Aimy Ahmad Ahmad Phesal Talib (dua dari kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof dalam majlis menandatangani MoA di antara DBKL dengan Sirim Qas International sambil disaksikan oleh Salleh Yusup di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Wahidin Salim KUALA LUMPUR 20 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meminta 11 Ahli Parlimen di ibu negara menjelaskan kepada penduduk di kawasan masing-masing mengenai pelarasan cukai taksiran yang dijangka bermula 1 Januari depan. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, usaha itu bagi membolehkan orang ramai memahami faktor kenaikan yang tidak dapat dielak oleh DBKL. "DBKL akan bertemu dengan kesemua Ahli Parlimen tersebut esok dan berharap mereka dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai mengapa kadar baharu perlu dikenakan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Sirim QAS International Sdn. Bhd. di sini hari ini. Difahamkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga akan menyertai perjumpaan tersebut yang akan bermula pukul 12.30 tengah hari. Mengulas lanjut, kata Ahmad Phesal, pelarasan cukai tersebut tidak dapat dielakkan memandangkan DBKL tidak lagi mampu menyerap kos penyenggaraan dan pengurusan yang bertambah setiap tahun. "DBKL juga tidak perlu terlalu bergantung kepada peruntukan yang diberi oleh Kerajaan Pusat dan kadar baharu yang akan ditentukan kelak akan mengambil kira kepentingan penduduk dan keadaan ekonomi semasa," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, 16 saluran talian khusus telah disediakan untuk memudahkan pemilik membuat semakan nilai hartanah dan sistem itu berjalan lancar. "Talian tersebut beroperasi dengan sempurna dan kami menerima pelbagai pertanyaan mengenai perkara tersebut daripada pemilik hartanah di ibu negara," katanya. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai semakan nilai hartanah di kawasan masing-masing boleh menghubungi talian 1-800-220-833 pada waktu pejabat. |
Kenaikan kadar cukai DBKL untuk kebaikan rakyat Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST PUTRAJAYA 20 Nov. - Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar cukai taksiran pintu mulai tahun depan bertujuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat perlu melihat dari aspek yang positif iaitu kenaikan cukai tersebut akan dilaburkan semula kepada mereka. Katanya lagi, rakyat perlu faham tugas untuk menguruskan bandar-bandar besar bukanlah suatu perkara mudah kerana memerlukan peruntukan kewangan yang besar. "Penglibatan dan komitmen daripada rakyat turut diperlukan untuk bersama-sama dengan kerajaan merealisasikan impian dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya mapan. "Oleh itu, kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan 100 peratus dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Cabaran Memperluas Kawasan Bandar Mega di sini hari ini. Beliau mengulas mengenai rungutan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati mengenai cadangan kadar taksiran baharu DBKL yang didakwa bakal membebankan warga kota, terutama pemilik hartanah dan para penyewa. Yang hadir sama dalam persidangan itu ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, kerajaan dilihat begitu prihatin mengenai nasib rakyat biarpun terpaksa bertahan selama 21 tahun dengan harga hartanah semasa yang tidak selaras dengan taksiran cukai selama ini. "Rakyat mesti faham kerajaan tidak mampu untuk memberikan semua perkhidmatan dalam bentuk subsidi atau percuma, kos telah meningkat berkali ganda. "Ini merupakan tindakan mampan sebenarnya kerana tiada kerajaan yang mahu menaikkan cukai hanya untuk menyakitkan hati rakyat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |