Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Banjir kilat terus berulang
- Peruntukan selenggara sistem saliran dan perparitan ditingkatkan - Datuk Bandar
- Minta pihak bertanggungjawab segera atasi masalah
Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Johari Ghani (depan) menunjukkan keadaan Rumah Pam Kampung Baru yang didakwa tidak mampu menampung kapasiti air sehingga menyebabkan banjir kilat berulang di Kampung Baru dan Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kegagalan Rumah Pam Kampung Baru yang berusia hampir 15 tahun berfungsi dengan sempurna didakwa menjadi punca banjir kilat di beberapa kawasan di Kampung Baru di sini berulang. Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, keadaan tersebut boleh dielakkan jika kerja-kerja penyelenggaraan rumah pam tersebut dilaksanakan dengan lebih berkesan. Menurutnya, permohonan kepada Jabatan Pengurusan Banjir, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) agar kerja-kerja menggantikan pam tersebut telah ditolak melalui surat pada 19 Jun lalu atas alasan tiada peruntukan. "Alasan tersebut tidak boleh diterima. Ini kerana pam sedia ada sudah tidak lagi mampu menampung jumlah kapasiti air dan jika tidak diganti masalah banjir kilat di sini terus berulang," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat rumah pam tersebut hari ini. Lawatan tersebut susulan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Kampung Baru ekoran hujan lebat pada pukul 7 malam semalam. Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Periuk, Kampung Ujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Sungai Baru termasuk Kampung Datuk Keramat dan beberapa jalan utama di ibu negara. Tambah Johari, sehubungan itu pihak JPS diminta meneliti isu tersebut bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjamin. "Saya minta pihak JPS melihat dan mempertimbangkan semula permohonan sebanyak RM3.5 juta bagi kerja-kerja penggantian pam tersebut. "Kita memerlukan pam yang baharu dengan kapasiti lebih besar untuk menangani masalah limpahan air di sini. Dalam masa sama , beliau turut meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius isu ini walaupun rumah pam tersebut di bawah penyelenggaraan JPS. "Kita tahu ini diluar bidang kuasa kita, tapi kita perlu menyiasat dan menyelesaikannya untuk jangka masa panjang. Sudah sampai masa kerajaan melihat perkara ini untuk menaik taraf rumah pam tersebut selain pemeriksaan berkala dan saya tidak faham kenapa ia tidak diluluskan," jelasnya. Terdahulu beliau turut melawat mangsa-mangsa banjir termasuk sebuah tadika yang dimasuki air di sekitar Kampung Baru dan Kampung Datuk Keramat. Di Kampung Baru, lebih daripada 65 keluarga terlibat, manakala di Kampung Datuk Keramat pula, sebanyak 123 keluarga. |
Peruntukan selenggara sistem saliran dan perparitan ditingkatkan - Datuk Bandar Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST KUALA LUMPUR 4 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meningkatkan jumlah peruntukan untuk kerja-kerja menaik taraf penyelenggaraan sistem saliran, perparitan dan jalan bagi pembentangan bajet tahun depan. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, langkah itu bertujuan memastikan masalah banjir kilat di ibu negara dapat diatasi. Menurutnya, setiap tahun peruntukan tersebut dimasukkan dalam bajet DBKL dan ia meliputi kerja-kerja penyelenggaraan sistem peparitan dan sungai. "Kita juga akan melihat semula jalan-jalan utama ibu kota yang sering dinaiki air untuk kerja-kerja pembaikan sistem perparitan dan pembersihan dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan dan Saliran DBKL bersama-sama Alam Flora Sdn. Bhd (Alam Flora)," katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu kota semalam. Antaranya, di Kampung Baru, Keramat dan Taman Melati. Ahmad Phesal berkata, banjir yang melanda sekitar kawasan Dataran Merdeka telah disenaraikan dalam pelan pembaikan semula oleh pihak DBKL bermula Januari tahun hadapan. Tambahnya, pihaknya telah melantik kontraktor namun ia kerja-kerja tersebut terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada beberapa program yang dijalankan di situ. Mengulas mengenai banjir kilat di Kampung Baru, Ahmad Phesal berkata, DBKL dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan bekerjasama bagi projek lencongan di Kampung Pindah untuk membaiki aliran Sungai Bonus ke Sungai Klang berikutan isu tanah mendap yang mengakibatkan banjir di situ. "Berdasarkan keputusan lalu, pihak JPS difahamkan telah mengambil tindakan atas masalah tersebut. Pagi tadi, saya juga telah melawat mangsa-mangsa banjir Kampung Sungai Pindah," ujarnya. Dalam pada itu katanya, skuad banjir DBKL sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi segala kemungkinan termasuk banjir kilat ekoran keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. |
Minta pihak bertanggungjawab segera atasi masalah Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST Ahmad Sakri Jaafar (kanan), dan Mohd. Azalan Yusoh (kiri) menunjukkan longkang sempit berhampiran Jalan Madrasah didakwa menjadi punca banjir kilat di Taman Melati, Gombak Setia, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 4 Nov. - Penduduk di Jalan Madrasah, Taman Melati, Gombak Setia di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan segera kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan itu. Ia berikutan kawasan tersebut sering dinaiki air selepas berlakunya hujan lebat sekali gus menyebabkan beberapa buah kereta di situ ditenggelami air lewat petang semalam. Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit yang terletak berhadapan Dewan Serbaguna Taman Melati dan sebuah surau hari ini mendapati, beberapa tanaman pokok di situ rosak akibat kejadian tersebut. Penduduk turut mendakwa saiz longkang yang terdapat di situ agak kecil dan tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang banyak selain tersumbat. Seorang penduduk, Ahmad Sakri Jaafar, 57, berkata, mujur kawasan perumahan di situ tidak dimasuki air cuma jalan raya sahaja dinaiki air hingga paras lutut. "Semalam hanya dua hingga empat buah kereta yang saya nampak ditenggelami air. Difahamkan, ia milik pengguna yang menaiki aliran transit ringan (LRT) di sini. "Telah beberapa kali aduan dikemukakan namun tiada tindakan yang diambil oleh pihak DBKL," katanya ketika ditemui. Jirannya, Mohd. Azalan Yusoh, 38, pula berharap pihak DBKL dapat bertindak pantas bagi memastikan perkara sama tidak berulang. "Bulan lalu sahaja sebanyak tiga kali kejadian sama berlaku manakala, bulan ini sekali. Saya berharap pihak berkenaan dapat turun padang dan membaik pulih sistem perparitan di sini," katanya. Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, beliau akan mengarahkan pihak jabatan berkaitan menjalankan siasatan lanjut di kawasan tersebut. "Pihak kami akan menjalankan siasatan punca berla kunya banjir di kawasan itu dalam masa terdekat dan juga kawasan-kawasan lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |