Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Bimbang banjir lumpur berulang
- Mahu kerja-kerja tanah dihentikan - Penduduk
- Peniaga akur tutup Pasar Raja Bot
Bimbang banjir lumpur berulang Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD Penduduk, Halim Abdul Rahman (kanan) dan Sallehuddin Ahmad menunjukkan longkang yang dipenuhi lumpur sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk berhampiran di Hulu Klang, Selangor, semalam. AMPANG 5 Nov.-Penduduk yang tinggal di beberapa kawasan perumahan berdekatan Kemensah, Hulu Klang di sini hidup dalam kebimbangan selepas dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur minggu lalu. Mereka mendakwa, kejadian itu berpunca daripada kerja-kerja tanah dan pembersihan oleh pemaju projek perumahan berhampiran kediaman mereka. Pemaju projek didakwa gagal menyediakan kolam takungan yang sempurna ketika kerja-kerja itu dilaksanakan. Sambil mempersoalkan bagaimana Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membenarkan projek berkenaan diteruskan, penduduk mendakwa kejadian itu jelas sekali melanggar syarat-syarat pembangunan ditetapkan pihak berkuasa tempatan. Penduduk Taman Tropika Kemensah, Datuk Seri Dr. Sulaiman Abdullah berkata, pelanggaran syarat itu jelas dilihat apabila air yang sepatutnya mengalir ke sungai berhampiran beralih ke longkang tepi rumah penduduk. Menurutnya, kegagalan mematuhi syarat ditetapkan itu telah menyebabkan pada hari kejadian, Jalan 5/ L5 yang merupakan laluan utama ke beberapa kawasan perumahan di situ dipenuhi banjir lumpur. "Selain Tropika Kemensah, jalan tersebut menjadi laluan utama ke Prima Ukay, Prima Villa, Tiara Kemensah , Persona Villa dan Desaku Apartment. "Selepas kejadian minggu lalu penduduk hidup dalam kebimbangan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga takut kejadian sama berulang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini. Beliau berkata, selepas kejadian itu pihaknya ada bertanyakan MPAJ mengenai status keselamatan penduduk di situ. "Kami dimaklumkan kawasan di situ selamat. Namun kami masih ragu-ragu mengenainya," katanya. Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati kesan banjir lumpur di Jalan 5/J5 masih kelihatan, selain longkang tepi rumah penduduk. Difahamkan, kejadian banjir lumpur itu ekoran hujan lebat kira-kira hampir tiga jam sehingga menyebabkan tanah merah di tapak projek dibawa air hujan hingga melimpah ke jalan utama perumahan tersebut. Utusan Malaysia yang turut dibawa meninjau ke kawasan tapak projek mendapati jarak tapak projek berkenaan hanya kira-kira 10 meter dari kediaman penduduk. |
Mahu kerja-kerja tanah dihentikan - Penduduk Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST KUALA LUMPUR 5 Nov. - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diminta segera mengarahkan pemaju projek menghentikan kerja-kerja pembangunan yang menyebabkan banjir lumpur di kawasan perumahan mereka. Ini bagi membolehkan siasatan secara terperinci dan menentukan status keselamatan penduduk di situ dijalankan. Seorang penduduk, Halim Abdul Rahman, 50, berkata, kegagalan pemaju projek menyediakan kolam takungan yang sempurna menyebabkan air terus mengalir ke longkang berhampiran rumah penduduk. "Sebelum kerja-kerja bermula pada Julai lalu, air yang mengalir dalam longkang jernih, hari ini dipenuhi lumpur merah," katanya. Turut meluahkan kebimbangan, Sallehuddin Ahmat, 46,. Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu segera bertindak sebelum kejadian lebih buruk berlaku. "Pihak MPAJ perlu memantau kerja-kerja pembangunan yang dilakukan pemaju projek. ''Kebimbangan kami berasas, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. "Kami tidak berani meninggalkan rumah dalam tempoh panjang, tambahan pula jarak tapak projek dengan rumah kami hanya kira-kira 10 meter sahaja," katanya. Seorang lagi penduduk, Norehsan Mahmud, 54, berkata, ketiadaan zon penampan antara tapak projek dengan kawasan kediaman antara yang turut menimbulkan kebimbangan penduduk. "Saya musykil dengan kelulusan yang diberi MPAJ terhadap projek ini dan berharap pemaju ada usaha untuk mengelakkankejadian lebih buruk berlaku," katanya. |
Peniaga akur tutup Pasar Raja Bot Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD OPERASi Pasar Raja Bot masih berjalan seperti biasa sebelum pasar berkenaan ditutup bagi tujuan pembersihan bermula 11 November ini. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB KUALA LUMPUR 5 Nov. - Rata-rata peniaga Pasar Raja Bot dekat sini akur dengan arahan penutupan sementara pasar tersebut untuk tujuan pembersihan ekoran menjadi lokasi pembiakan tikus tertinggi di ibu negara. Tinjauan Utusan Malaysia di pasar yang lebih sinonim dengan nama Pasar Chow Kit itu mendapati, peniaga- peniaga tersebut bersedia namun meminta pihak berkaitan menimbang semula tempoh penutupan itu. Mereka berpendapat, tempoh tiga hari penutupan sementara itu terlalu lama dan boleh menjejaskan operasi perniagaan. Seorang peniaga daging, Ahmad Saliman, 63, berkata, biarpun belum ada arahan agar mereka menutup sementara gerai masing-masing tetapi persediaan telah dibuat. "Saya sudah mula membersihkan kawasan sendiri secara berperingkat kerana pembiakan tikus di sini tidak dinafikan terutamanya pada waktu malam tikus akan berkeliaran di sekitar gerai. "Sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada membuat program menangkap tikus yang menawarkan RM1 bagi seekor tikus yang ditangkap tetapi saya tidak lagi mendengar mengenai program itu," katanya ketika ditemui hari ini. Khamis lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan DBKL menutup sementara operasi pasar itu berkuat kuasa selepas Deepavali ekoran menjadi tempat pembiakan tikus. Terbaharu, Tengku Adnan memaklumkan notis pembersihan pasar itu akan dikeluarkan kepada peniaga esok sebelum kerja-kerja pembersihan dilaksanakan bermula 11 November ini. Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohamad Main, 48, berpendapat, tempoh penutupan sementara itu terlalu lama dan dikhuatiri akan menjejaskan perniagaan mereka. "Kita memang akan menutup seperti diminta, tetapi kalau boleh kurangkan tempoh itu kerana peniaga akan bermasalah sekiranya tiga hari berturut-turut gerai tidak dibuka. "Malah, peniaga sendiri akan bekerjasama dengan DBKL dan pihak lain untuk mempercepatkan proses pembersihan di kawasan ini," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |