Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Hukuman penjara: Ibrahim Ali, Zainuddin akan fail rayuan Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST KUALA LUMPUR 19 Nov. - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali akan mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadapnya kerana menghina mahkamah berhubung penyiaran satu artikel berkaitan seorang hakim dalam laman web Perkasa. Ibrahim memberitahu pemberita selepas dibebaskan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini petang ini, beliau akan mengemukakan rayuan kerana menganggap dirinya tidak bersalah. "Saya menerima keputusan mahkamah dengan hati yang berat. Saya jenis kalau tidak betul, saya mengaku, dalam kes ini, saya tidak buat dan saya yakin tidak bersalah. "Saya sendiri tidak ada kena-mengena. Laman web tersebut juga tidak didaftar atas nama Perkasa," kata bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu. Ibrahim dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Hakim Datuk John Louis O'hara setelah didapati bersalah menghina mahkamah berhubung penyiaran artikel tersebut. Sementara Zainuddin, 45, yang merupakan penulis laman web pula dihukum penjara empat minggu kerana menulis dan menerbitkan artikel serta perkataan-perkataan yang menghina hakim berkenaan. Mahkamah turut menolak permohonan Ibrahim dan Zainuddin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan mengarahkan peguam kedua-dua pihak memfailkan permohonan bertulis. Dalam keputusannya, Hakim O'hara memerintahkan Ibrahim ditahan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini sehingga pukul 5 petang dan sekiranya gagal membayar denda, beliau boleh dipenjara lagi dua bulan. Ibrahim membayar denda tersebut. Hakim tersebut memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan perintah menghina mahkamah ke atas Zainuddin dan Ibrahim ekoran penerbitan satu artikel dalam laman web itu yang kandungannya didakwa menyerang keperibadian Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk V.T. Singham (kini bersara) pada 7 Januari lalu. Singham ketika itu sedang mendengar perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap syarikat akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. Sementara itu, peguam Adnan Seman @ Abdullah yang akan mewakili Ibrahim di peringkat rayuan menggantikan Rajindar Singh yang mengendalikan kes itu di peringkat permohonan memberitahu pemberita, beliau akan memfailkan notis rayuan di sini esok. "Kita terkejut dengan keputusan ini tapi menerimanya dan ingin saya nyatakan dengan jelas bahawa Ibrahim disabitkan kerana beliau sebagai Presiden (Perkasa) dan bukannya individu yang mengeluarkan artikel tersebut," katanya. Sementara peguam Mohamed Harmy Yusoff yang mewakili Zainuddin juga memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut esok. Terdahulu, Hakim O'hara menjatuhkan hukuman tersebut terhadap kedua-duanya setelah mendapati penerbitan artikel berkenaan dalam laman web itu adalah amat menghina mahkamah secara umum dan Singham secara khusus. Beliau menyifatkan penerbitan itu sebagai satu serangan terhadap integriti dan kesaksamaan terhadap Singham selain subjudis (kacau ganggu kes-kes yang belum selesai) kerana kes itu pada waktu tersebut masih belum selesai. "Semua perkara ini adalah amat serius dan untuk menjaga imej mahkamah, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal dengan apa yang kamu lakukan. "Hukuman yang hendak dijatuhkan hendaklah menjadi pengajaran kepada sesiapa yang menghina mahkamah namun saya juga mengambil kira mitigasi (rayuan) peguam masing-masing termasuk peranan yang dimainkan dalam sebaran terbitan (artikel) itu," kata Hakim O'hara. Anwar diwakili peguam R. Sivarasa manakala Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Al-Saifi Hashim hadir bagi pihak Peguam Negara dan Steven Thiru bagi pihak Majlis Peguam, masing-masing atas kapasiti rakan mahkamah (amicus curiae). |
La Ode didakwa bunuh pegawai AmBank Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST Oleh UMAVATHI RAMAYAH LA Ode Ardi Rasila dikawal ketat anggota polis ketika dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh di Petaling Jaya, Selangor, semalam. PETALING JAYA 19 Nov. - Seorang pengawal keselamatan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan melepaskan tembakan terhadap pegawai AmBank di Subang Jaya, Norazita Abu Talib, semasa melakukan rompakan tiga minggu lalu. La Ode Ardi Rasila, 36, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa berusia 37 tahun itu di dalam bangunan AmBank No. 5 dan 7, Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober lalu. Bagi pertuduhan membunuh, lelaki yang bertubuh sederhana itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Sementara bagi pertuduhan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan 'pump gun' dengan niat untuk menyebabkan kematian kepada mangsa, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati walaupun tiada sebarang kecederaan dilakukan. La Ode hanya mengangguk kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan itu. Ketika pertuduhan dibacakan, lelaki yang memakai bahu T berwarna hitam itu dilihat tenang. Majistret K. B. Elena Hong Tze Lan juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan serta-merta kedua-dua pertuduhan terhadap lelaki itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. Tertuduh yang berasal dari Sulawesi, Indonesia itu juga tidak dibenarkan diikat jamin kerana pertuduhan terhadapnya melibatkan hukuman mati. Di mahkamah yang sama, rakan senegaranya Lapolo Lariala, 28, dihukum penjara dua tahun dan sebatan dua kali selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai sesuatu kesalahan bagi mengelakkan La Ode daripada seksaan. Perbuatan itu didakwa dilakukan di pondok pengawal Cosway Malaysia (M) Sdn. Bhd. Wisma Kok, lot 766, Jalan Subang 4, Persiaran Subang, Subang Jaya, kira-kira pukul 4.30 petang, 24 Oktober lalu. Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azari Harun dan Mohd. Asyraf Md. Kamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sementara di Mahkamah Sesyen di sini, Lapolo mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki wang tunai RM21,800 milik AmBank Bhd. iaitu harta hasil rompakan bank tersebut pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda. Hakim Yasmin Abdul Razak tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menetapkan 19 Disember untuk sebutan semula kes. Dalam kejadian pada 23 Oktober lalu, Norazita maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu, sebelum suspek melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000. Pada 10 November lalu, polis dalam satu operasi khas, polis menerusi pasukan Op Cantas Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berjaya memberkas La Ode kira-kira pukul 7 pagi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor. Mengikut laporan akhbar, tertuduh yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah bank berdekatan menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di sebuah syarikat keselamatan itu. Polis turut menemui senjata api jenis 'pump gun' yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu, beberapa hari selepas penangkapan lelaki itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |