Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Pahang tingkatkan jumlah ikan
- Persediaan alam persaraan penjawat awam perlu dilakukan - Muhammad Safian
- Awal Muharam bawa makna besar kepada Orang Asli
Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST Oleh SALEHUDIN MAT RASAD TEMERLOH 8 Nov. - Sebanyak 376,600 benih ikan pelbagai spesies dilepaskan di dua sungai di daerah ini iaitu Sungai Pahang dan Sungai Semantan bermula Januari sehingga September lalu. Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Adnan Hussain berkata, usaha ini selari dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan populasi spesies ikan bernilai tinggi terutama patin yang menjadi ikon kepada bandar Temerloh. Menurut beliau, pada tahun 2008, hanya 59,950 benih ikan pelbagai jenis dilepaskan dan jumlah yang dilepaskan tahun ini merupakan peningkatan ketara dalam usaha untuk membiakkan ikan tersebut di sungai di daerah Temerloh. Tambah beliau, selain patin, antara spesies benih ikan yang dilepaskan ialah baung, kerai, lampam dan lain-lain yang mendapat permintaan tinggi daripada penggemar ikan air tawar. ''Usaha tersebut juga antara lain bertujuan untuk mengelakkan spesies bernilai tinggi pupus ataupun berkurangan akibat keghairahan individu menangkap ikan dengan pelbagai cara. ''Pada masa sama dapat meningkatkan pendapatan nelayan sungai yang bergantung hasil tangkapan ikan air tawar yang mendapat banyak permintaan," katanya kepada pemberita di sini semalam. Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak lima kes menangkap ikan secara haram iaitu menuba dan menggunakan racun dikesan pihaknya. Katanya, sepanjang tahun lalu pula, enam kes serupa direkodkan manakala jumlah kesalahan tertinggi adalah pada tahun 2010 dengan 18 kes. ''Pada tahun 2011, jumlah kes yang dikesan hanya tiga iaitu yang terendah dalam tempoh antara 2008 hingga tahun ini. Pada tahun 2008 kita buat enam tangkapan disusuli tiga kes tahun 2009. ''Tindakan membuat rondaan tanpa mengira waktu termasuk malam akan terus dipertingkatkan supaya dapat menahan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab," katanya. |
Persediaan alam persaraan penjawat awam perlu dilakukan - Muhammad Safian Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST MOHAMAD Ridzwan Mohd. Tahar (dua dari kanan) melawat pameran selepas merasmikan Seminar Pra-Persaraan dan Hari Bertemu Pelanggan Penjawat Awam Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, semalam. KUANTAN 8 Nov. - Persedian untuk menghadapi alam persaraan adalah mustahak bagi penjawat awam kerana jika tidak dirancang dengan baik boleh menyebabkan berlaku kesukaran untuk kehidupan yang selesa selepas tamat perkhidmatan. Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, penjawat awam perlu merancang dengan baik persaraan semasa dalam perkhidmatan kerana akan memudahkan mereka pada masa akan datang. "Ini kerana kebanyakan penjawat awam menghadapi kesukaran untuk kehidupan yang selesa selepas persaraan kerana gagal merancang pendapatan mereka sewaktu berkhidmat. "Apa tidaknya, salah satu faktor adalah apabila pencen bulanan yang akan diterima pesara nanti adalah 50 peratus daripada gaji bulanan yang ada sekarang ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Mohamad Ridzwan Mohd. Tahar sempena Seminar Pra-Persaraan dan Hari Bertemu Pelanggan Penjawat Awam Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini. Seramai 1,500 penjawat awam dari agensi Persekutuan dan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan bersara hadir dalam seminar tersebut. Menurut beliau, jika perancangan dibuat dengan baik, mungkin pesara tidak perlu bekerja semula di sektor swasta selepas persaraan mereka. "Sepatutnya selepas bersara merupakan masa kita bersenang-lenang atau membina perniagaan sendiri. Justeru, fikirlah untuk masa depan yang baik bagi kita dan keluarga," katanya. Muhammad Safian berkata, masih ramai penjawat awam yang belum bersedia untuk menghadapi persaraan kerana mempunyai pelbagai masalah. "Terdapat beberapa kes yang berlaku sebelum ini, didapati ada pesara yang menghadapi masalah mengharungi dunia persaraan akibat perancangan yang tidak mencukupi. "Mereka terlalu leka dan mengamalkan cara hidup yang mewah. Ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung beban hutang, tidak mempunyai tempat tinggal dan ada yang menghabiskan sisa hidup di rumah orang tua," katanya. |
Awal Muharam bawa makna besar kepada Orang Asli Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST KUALA LIPIS 8 Nov. - Kedatangan awal Muharam menandakan satu penghijrahan yang menuntut kekuatan iman dan takwa bagi 10 keluarga Orang Asli yang baharu memeluk agama Islam di Kampung Simoi Baru dan Kampung Nyentil, Pos Betau dekat sini, baru-baru ini. Mereka adalah antara yang baru mengucap dua kalimah syahadah menerusi pengislaman beramai-ramai oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), di Kampung Pantos tahun lalu. Sambil memanjat syukur terhadap segala nikmat yang diperoleh, mereka turut berterima kasih kepada kerajaan negeri, JAIP dan badan dakwah lain yang banyak memberi didikan berhubung cara hidup Islam. Penduduk Orang Asli Islam Kampung Simoi Baru, Sam Bah Kap, 40, berkata, sambutan Maal Hijrah 1435 yang dirasai buat pertama kali menandakan penghijrahan yang total ke arah mengenali kebesaran Islam berasaskan ajaran al-Quran dan sunnah. "Walaupun pada awalnya menghadapi sedikit kesulitan untuk membiasakan dengan amalan Islam, tetapi berkat ajaran pendakwah, kini saya dapat menjalani kehidupan seperti umat Islam di tempat lain. "Kesulitan menempuh amalan puasa dua bulan lepas dapat diatasi dengan berkat kekuatan iman dan inilah dikatakan penghijrahan dalam kehidupan saya," katanya di Pos Betau dekat sini hari ini. Isteri Sam, Norizan Bah Lipat, 37, berkata, sambutan awal Muharam merupakan detik perjalanan hidup yang menginsafkan diri dan keluarganya terhadap kebesaran Islam, khususnya mendidik diri sebagai Muslim sejati. "Meskipun hidup susah, semangat hijrah itu kami ambil untuk mendidik anak-anak supaya lebih dekat dengan amalan Islam serta memohon keberkatan kehidupan pada masa akan datang," katanya. Rakannya, Norhayati Tom, 24, berkata, sambutan Maal Hijrah 1435 merupakan detik penuh bermakna untuk meneruskan kehidupan yang dibelenggu kepercayaan 'animisme' kepada agama Islam yang membawa kepada kesejahteraan hidup. "Saya tergerak hati untuk menerima hidayah Islam apabila melihat wanita Islam mendapat perlindungan, selain membentuk perwatakan diri menutup aurat termasuk dalam pengurusan keluarga," kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Pos Pantos, Jelai, Ahmad Zubair, 45, berkata, kedatangan Maal Hijrah memberi kesempatan untuk dia dan keluarga bersyukur kerana mendapat nikmat Islam. "Dulu, ketika tanpa pegangan agama, semuanya mengikut hawa nafsu tanpa mengenal halal dan haram. Setelah memeluk Islam segalanya cepat berubah dan memohon kepada Allah agar Orang Asli di tempat lain juga menerima ajaran Islam," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |