Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Perhimpunan UMNO: Perwakilan lebih bebas bahas usul Posted: 18 Nov 2013 09:37 PM PST KUALA LUMPUR 19 Nov. - Anggota perwakilan Umno diberi lebih kebebasan untuk membahas pelbagai usul termasuk ekonomi, pendidikan dan agama pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 2 hingga 7 Disemberr ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, ini bagi memastikan perwakilan dapat mengupas isu berkaitan usul dengan lebih meluas dan mendalam. Katanya, ia juga membuktikan Umno parti yang terbuka dan sering mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam usaha seriusnya untuk memperkasa parti dan negara. "Pada kebiasaannya, kita memberikan mereka panduan untuk menentukan perbahasan tidak lari daripada landasan biasa, tapi kali ini kita nak bagi mereka lebih kebebasan untuk mengemukakan idea sama ada berkenaan dengan dasar parti atau pun dasar kerajaan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Kelapa Sawit Antarabangsa 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kebebasan berbahas juga boleh memberi gambaran kepada kepimpinan parti mengenai perasaan anggota berkaitan parti. Namun, katanya, apa yang lebih penting ialah usul yang dibahaskan adalah untuk kepentingan parti dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara. "Mereka boleh menilai sejauh mana transformasi politik yang kita (UMNO) sebutkan, sudah dapat kita laksanakan dan apakah hala tuju parti dan kerajaan kita untuk tempoh tahun mendatang," katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, usul yang bakal dibahaskan pada perhimpunan agung parti disediakan oleh Naib Presiden UMNO selaku Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Menurutnya, setakat ini usul yang sudah dimaklumkan ialah ucapan dasar, ekonomi, agama serta pendidikan. Ditanya apakah yang akan dibangkitkan perwakilan pada perhimpunan lima hari itu, Muhyiddin berkata, cadangan penambahbaikan sistem pemilihan baharu yang dilaksanakan UMNO baru-baru ini mungkin antara perkara yang bakal dibangkitkan. "Ini adalah perhimpunan pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13, sudah tentu akan ada penilaian, maklum balas dan post mortem mengenai apa yang mereka rasa tentang pilihan raya itu," katanya. - BERNAMA |
Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN Mohd. Amar Nik Abdullah TANAH MERAH 18 Nov. - Pas Kelantan menuntut permohonan maaf daripada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang didakwa berbohong apabila menafikan kenyataan beliau meminta pendaftaran Pas dibatalkan. Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, permohonan maaf itu perlu sekiranya Karpal telah mengeluarkan kenyataan itu kerana beliau sudah banyak kali menyentuh sensitiviti Pas. Menurutnya, permohonan maaf juga perlu dibuat atas dasar Pas adalah ahli pakatan pembangkang iaitu rakan sekutu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). "Kalau dia buat-betul buat kenyataan seperti dilaporkan, memang patut minta maaf kerana yang pertama Pas dalam pakatan rakyat dan kedua, dia selalu menyentuh sensitiviti jadi memang patutlah (minta maaf)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Mohd. Amar mengulas desakan Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) yang memberi tempoh kepada Karpal untuk memohon maaf berikutan pembohongannya yang menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan meminta Pas dibubarkan. Naib Ketua DPPP, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob seperti dilaporkan berkata, permohonan itu perlu dibuat dalam tempoh diberi jika tidak DPPP akan membuat tindakan susulan termasuk memanjangkan perkara itu kepada Majlis Syura Ulama untuk tindakan selanjutnya. Sabtu lalu, Raja Ahmad Iskandar mendakwa beliau mempunyai cakera padat (CD) yang mengandungi rakaman penuh sidang akhbar selama 25 minit 47 saat yang dibuat Karpal di Pulau Pinang, 5 November lalu bagi membuktikan Ahli Parlimen Gelugor itu berbohong. Mengulas mengenai sikap Karpal, Mohd. Amar berkata, pemimpin itu kini sedang keseorangan dalam pakatan pembangkang sehingga banyak mengeluarkan kenyataan. "Karpal ini biarkanlah dia. Sekarang dia sendiri sahaja macam ni dalam pakatan semua yang dia cakap tidak mewakili pakatan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |