Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST Oleh TERMIZI CHE ANUAR KUALA LUMPUR 20 Nov. - Penafian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan kerajaan membawa masuk sebanyak 40,000 pengundi warga asing dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dilihat sebagai tindakan pelik dan jelas membohongi rakyat. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pembangkang sejak sebelum pilihan raya umum itu lagi berkali-kali mendakwa kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membawa masuk kira-kira 40,000 pengundi dari luar walaupun perkara tersebut telah dinafikan SPR. Malah, jelasnya, SPR sendiri mempunyai segala rekod termasuk rakaman video tentang kenyataan Anwar berhubung kemasukan pengundi hantu dari luar menggunakan pesawat Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan AirAsia Berhad (Air Asia). "Saya cukup pelik apabila ada orang yang sanggup menafikan perkara yang pernah disebut apatah lagi perkara itu diulang-ulang walaupun telah dinafikan kami dan kerajaan. "Malah, hasil 'bedah siasat' Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dilakukan SPR, tidak ada satu pun aduan yang diterima daripada pengurus negeri mahupun petugas tentang cubaan pengundi hantu mengundi dan ini jelas menunjukkan tuduhan itu adalah fitnah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Anwar di Parlimen hari ini menafikan pembangkang pernah membuat tuduhan kerajaan membawa masuk sebanyak 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi dalam pilihan raya umum lalu. Sebaliknya, Anwar menuding jari kepada penulis pro-UMNO kononnya memanipulasi isu itu. Anwar berkata, pembangkang tidak pernah menuduh kerajaan membawa sebanyak 40,000 warga Bangladesh tersebut sebaliknya hanya menyentuh tentang dakwaan membawa pengundi dari luar pada hari membuang undi awal. Ditanya mengenai tindakan undang-undang berhubung penyebaran fitnah itu, Abdul Aziz memberitahu, perkara tersebut terletak di tangan Peguam Negara memandangkan SPR sudah membuat laporan polis. "Kita sudah membuat laporan polis tentang pelbagai fitnah termasuk isu pengundi hantu dan Black Out dan kini perkara itu bergantung kepada hasil siasatan pihak polis. "Mungkin polis sudah menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara. Apa pun kita di SPR tidak boleh berbuat apa-apa dan kita hanya menunggu," katanya. |
Pengundi Bangladesh: Pembangkang cuba buat pusingan U? Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST ANWAR IBRAHIM KUALA LUMPUR 20 Nov. - Selepas gagal membuktikan dakwaan kerajaan membawa masuk sebanyak 40,000 pengundi luar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, pembangkang dilihat seolah-olah membuat pusingan U apabila cuba menafikan pernah membuat tuduhan itu. Sebaliknya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuding jari kepada penulis pro-UMNO kononnya memanipulasi isu itu. Anwar berkata, pembangkang tidak pernah menuduh kerajaan membawa sebanyak 40,000 warga Bangladesh tersebut sebaliknya hanya menyentuh tentang dakwaan membawa pengundi dari luar pada hari mengundi awal. "Saya hendak jelaskan sedikit bersabit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya mengelirukan Dewan Rakyat dalam ucapan belanjawan, beliau kata pakatan rakyat menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftar 40,000 pengundi Bangladesh. "Kita sudah jelaskan dan kita sudah buat 'pencarian dalam internet' sama ada, ada atau tidak kenyataan sebegini? Dalam penelitian kita, kita tidak ada kenyataan sebegini, yang ada adalah pengundi dibawa dengan pesawat termasuk orang luar dari Sabah dan Sarawak," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. Semalam, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menafikan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan pembangkang kononnya sebanyak 40,000 rakyat negara itu mengundi dalam pilihan raya umum lalu. Najib dalam pertemuannya dengan Sheikh Hasina ketika lawatan rasmi beliau ke negara itu memberitahu, pemimpin Bangladesh berkenaan turut menggeleng kepala tanda tidak percaya dengan dakwaan kononnya rakyatnya terbabit dalam proses pengundian di negara ini. Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, kenyataannya sebelum ini mengenai pengundi luar hanya menyentuh mengenai beberapa pengundi awal yang mempunyai rekod warganegara luar. Sebelum ini, media sosial yang berpihak kepada pembangkang memainkan isu kononnya kerajaan membawa masuk 40,000 warga asing untuk mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu. Malah, Anwar seperti dipetik menerusi portal KeadilanDaily pada 2 Mei lalu pernah mendedahkan penglibatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) membawa masuk 40,000 pengundi ragu dari Sabah dan Sarawak sejak 25 April lalu. Anwar menerusi laporan itu turut mendakwa mendapat maklumat kemasukan secara tiba-tiba warga Thailand, Kemboja, Pakistan dan Myanmar dalam jumlah yang besar di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, manakala kemasukan rakyat asing Indonesia di Pelabuhan Klang. Namun, apa yang menghairankan, laporan bertajuk 'Anwar dedah JPM terlibat seludup 40,000 pengundi hantu' itu turut disertakan gambar hiasan warga Bangladesh yang sedang beratur dipercayai di sebuah lapangan terbang. Ekoran penyiaran artikel dan gambar itu juga, penyokong pembangkang terutama menerusi media sosial menggambarkan seolah-olah kerajaan membawa masuk warga Bangladesh sebagai pengundi. Ketaksuban penyokong pembangkang terhadap tuduhan itu juga menyebabkan berlaku kes rakyat Malaysia dihalang mengundi kerana didakwa bukan warganegara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |