Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Posted: 16 Nov 2013 04:21 AM PST JIKA dahulu basikal lebih dikenali sebagai permainan seharian budak-budak, hari ini selain kekal medium pengangkutan, ia juga trend hidup yang semakin popular dalam kalangan orang dewasa. Sejak kebelakangan ini, komuniti berbasikal meningkat secara mendadak tidak kira daripada kategori basikal gear tetap, bukit, jalan dan BMX. Kumpulan itu bukan sahaja akan mengadakan jelajah hujung minggu, namun jika ada kelapangan malam pun menjadi medan beriadah. Peningkatan minat dalam aktiviti berbasikal menyaksikan pertambahan bilangan kedai dan peniaga sambilan secara online atau dalam talian. Situasi itu merancakkan lagi aktiviti tersebut apabila basikal atau aksesori tambahan boleh didapati dengan mudah pada harga berpatutan. Penganjuran pertandingan atau jambori berbasikal bukan sahaja menambah kepelbagaian aktiviti kepada peminat sukan ini tetapi, ia turut menjadi medan kelab basikal dari seluruh negara berkumpul dan bertukar idea mengenai hobi mereka. Dari sudut pihak berkuasa pula, Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang telah mengiktiraf pengguna basikal apabila menyediakan lorang berbasikal dan tempat menjalankan aktiviti berbasikal kepada peminat sukan itu. Namun, kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya seperti pemandu kereta dan penunggang motosikal masih rendah, jika dibandingkan dengan luar negara. Dengan itu, ruangan Fokus mendekati golongan berbasikal yang kian mewarnai jalan-jalan di seluruh negara dengan gaya hidup sihat, di samping mempromosi amalan yang boleh menyumbang kepada kebersihan alam sekitar. - AMIRUL/SYAHRIL/NAIM/RUSHDI |
Posted: 16 Nov 2013 04:21 AM PST Bunyamin Umar (kanan) dan Afiq Azmi (kiri) memberikan tunjuk ajar kepada peserta untuk menjadi pemain bola sepak profesional. PERSEKITARAN gelanggang bermain futsal yang dilimpahi dengan cahaya lampu neon pasti memberikan keseronokan kepada pemain, apatah lagi ia belum pernah dibuat di negara ini. Ternyata permainan seumpama ini mampu memberikan keseronokan dan kelainan dalam acara sukan popular di negara ini. Baru-baru ini, jenama produk penjagaan dan penampilan diri lelaki, Dashing For Men telah membawakan acara Cabaran Dashing 2 yang merupakan perlawanan futsal neon pertama di Malaysia. Cabaran pada 1 November lalu menampilkan dua bintang bola sepak Selangor, Afiq Azmi dan Bunyamin Umar. Turut menyertai acara tersebut, duta utama jenama terbabit, Remy Ishak dan Henry Golding. Cabaran kali ini memberi peluang kepada peminat sukan mendapatkan pengalaman dan menguasai teknik menjaringkan gol di bawah cahaya neon. Sempena program itu, klinik futsal yang dikendalikan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor, Rusdi Suparman turut diadakan. Pengurus Pemasaran Wipro Unza (M) Sdn. Bhd., Rishi Pahwa berkata, juara Cabaran Dashing 2 membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sejumlah RM10,000 serta berpeluang melawat studio produksi Astro Sport HD. "Kami turut berbangga kerana menjadi pelopor kepada sukan kegilaan ramai dengan memberi cabaran dan kelainan melalui perlawanan ini. "Cabaran ini juga akan mengumpulkan pasukan futsal neon terbaik melalui perlawanan di peringkat wilayah, separuh akhir dan akhir pada 13 Disember nanti," jelasnya. Sementara itu Bunyamin berkata, Cabaran Dashing 2 merupakan platform inovatif dalam melahirkan individu berkeyakinan dan bertenaga. Hal ini kerana perlawanan futsal yang mencabar dan ekstrem mampu menjadikan badan lebih bertenaga dan mengakrabkan persahabatan. "Sebagai pemain bola sepak negeri, beraksi di bawah cahaya neon ini adalah suatu pengalaman unik dan tersendiri," ujarnya. Tambahnya, kelainan acara itu sudah pasti memberikan keseronokan dan mencabar keyakinan serta ketangkasan peserta untuk membolosi pertahanan pihak lawan. Maklumat lanjut mengenai Cabaran Dashing 2 boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.cabarandashing.my - FAUZI |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |