Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Belajar al-Quran kaedah Al-Jabari Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST Oleh NIZAM YATIM Sebahagian orang orang ramai yang hadir pada Seminar Memperkasakan Pengajian Ilmu Al-Quran di Dewan Kuliah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/Hafiz Johari JIKA seseorang itu telah menjadi usahawan berjaya, beliau selalunya akan berpuas hati dan menikmati sepenuhnya kekayaan yang telah dimilikinya. Tetapi keadaan sebaliknya yang berlaku terhadap Pengarah Urusan Minyak Mestika Marketing Sdn. Bhd., Jaafar Haron. Beliau memiliki syarikat pengeluar ubat tradisional dengan jenama 'Mestika' yang telah diasaskan oleh ibunya, Che Mah Che Ali pada 1967. Che Mah adalah isteri kepada Almarhum Tengku Muhammad Tengku Chik yang lebih dikenali dengan nama Ku Mat Gagah yang merupakan pengamal perubatan tradisional yang disegani di Kelantan satu ketika dahulu. Jaafar yang berusia dalam lingkungan 70-an sering meluangkan masa untuk mengembara di dalam dan luar negara bagi mengkaji trend pembacaan al-Quran di kalangan umat Islam. "Saya telah melawat dan bersembahyang di berpuluh-puluh masjid seluruh Malaysia dan saya telah mengadakan temu ramah dengan imam, bilal dan orang tua selepas sembahyang berkaitan dengan pembacaan al-Quran dan penghayatannya. "Saya melihat al-Quran yang ada di masjid hanya menjadi perhiasan sahaja kerana tiada orang yang membacanya. Kalau ada pun tidak lebih daripada empat hingga lima orang sahaja. "Keadaan sebaliknya pula yang saya lihat apabila melawat 14 negara untuk membuat kajian ini. Hanya di negara-negara Arab sahaja didapati ramai yang membaca al-Quran sebelum dan selepas sembahyang lima waktu," katanya. Beliau membuat pendedahan berkenaan ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Memperkasakan Pengajian Ilmu al-Quran di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) pada Ahad lalu. Seminar yang dianjurkan secara bersama oleh Institut Pengajian al-Quran (IPaQ) dan Yayasan Semesta Berdaftar (YSB) ditaja oleh Minyak Mestika Marketing. Menurut Jaafar, daripada kajian itu, beliau mendapati punca utama umat Islam di negara ini tidak membaca al-Quran selepas sembahyang lima waktu kerana ramai tidak pandai membaca kitab suci itu dengan tartil (bertajwid). "Hendaklah 1,001 jalan dicari supaya umat Islam mempelajari dan membaca al-Quran setiap hari. "Para ulama perlu berperanan untuk memberi penerangan, tunjuk ajar dan bimbingan yang secukupnya kepada masyarakat mengenai pentingnya mempelajari dan membaca al-Quran setiap hari. "Contohnya, guru-guru agama di penjara dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) hendaklah mencari jalan supaya penjenayah dan pelatih di situ pandai membaca al-Quran dan menghafal sekurang-kurangnya surah lazim," ujarnya. Dalam pada itu, Pengarah Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR) UM, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff turut sependapat dengan Jaafar dan menyifatkan masalah buta huruf al-Quran di negara ini agak membimbangkan. Beliau berkata, kajian untuk tesis sarjana yang dijalankan Saidi Mohd. di Terengganu pada 2006 merumuskan sebanyak 38.1 peratus pelajar tingkatan empat di salah sebuah sekolah menengah di negeri tersebut mempunyai gred sangat lemah dalam tahap bacaan al-Quran. "Selanjutnya satu lagi kajian bagi tesis sarjana oleh Imran Kamal Basah pada 2010 pula mendapati sebanyak 31.3 peratus jemaah sebuah masjid di Hulu Langat, Selangor lemah dalam bacaan surah al-Fatihah. "Penemuan ini amat menggusarkan kita lebih-lebih lagi dalam senario ramai remaja kita ketagih menggunakan media sosial seperti FB (Facebook) sedangkan kita sepatutnya fokus kepada FT (firman Tuhan)," katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Senario Semasa dan Strategi Pengembangan Pengajian Ilmu al-Quran'. Menurut Zulkifli, pihaknya telah membuat kajian bagi mencari kaedah baharu pengajaran al-Quran berikutan kaedah sedia ada seperti Baghdadiyah, Qiraati, Iqra dan Hattawiyah kurang berjaya sepenuhnya. "Akhirnya kita telah menemui kaedah Al-Jabari iaitu berlandaskan kepada irama lagu dengan melakukan sedikit perubahan kepada susunan huruf-huruf hijaiyah (huruf alif, ba, ta dan seterusnya). "Teknik ini membolehkan pelajar menguasai kemahiran membaca dan menulis al-Quran dalam tempoh 30 jam sahaja," katanya. Tambah beliau, kaedah yang diasaskan oleh Drs. H. Yusuf Sodik dari Bandung, Indonesia pada 1991 itu diajar dalam kelas al-Quran di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya sejak 2011 dan terbukti berkesan. "Pihak kami bercadang untuk membuat pembentangan mengenai kaedah terbaharu ini kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). "Kita berharap kaedah ini boleh diperluaskan ke tempat-tempat lain pada masa depan dan dimasukkan dalam kurikulum pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di sekolah dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)," ujarnya. Mengulas isu sama, Ketua Guru Kaedah Al-Jabari Malaysia, Sharifah Mohd. Nor berkata, kaedah itu merupakan penyelesaian yang boleh menangani masalah buta huruf al-Quran dalam kalangan pelbagai kumpulan sasaran. "Mereka termasuk mualaf, Orang Asli yang baru memeluk Islam dan belia serta orang dewasa yang belum menguasai pembacaan al-Quran. "Turut mendapat manfaat daripada kaedah ini adalah mereka yang tidak pernah dititik berat sebelum ini seperti golongan autistik, pekak dan menghidap Sindrom Down," ujarnya. Beliau berkata, kaedah itu adalah lebih komprehensif kerana ia bukan sahaja mengajar membaca al-Quran secara bertajwid, malah turut melatih kaedah penulisan gaya khat (kaligrafi). "Ia juga mudah dan menarik kerana pelajar belajar menggunakan irama lagu dan gerakan anggota badan serta mereka tidak terbeban dengan proses pembelajaran yang panjang," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Program Kaedah Al-Jabari: Sebagai Satu Solusi Kepada Masalah Buta Huruf al-Quran' pada seminar tersebut. |
Wasatiyyah dan semangat hijrah Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST Oleh Sidek Baba Kira-kira 3,000 orang yang hadir pada Sambutan Maal Hijrah 1433 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya pada tahun 2011. Peristiwa hijrah al-Rasul suatu titik-tolak yang penting dalam sejarah Islam. Ia adalah perintah Allah dan pertimbangan Rasulullah SAW mengatur strategi bijaksana supaya akhirnya Islam diterima di jazirah Arabia. Peristiwa Rasulullah SAW dicederakan di Taif tidak membawa sikap putus asas Nabi dan tidak pula mendoakan kebinasaan kepada kaum Jahiliyah. Rasulullah SAW seorang pesuruh yang berjiwa besar kerana peribadinya adalah siddiq, amanah, tabligh, fatanah. Siddiq bermakna baginda membawa risalah kebenaran mengenai akidah tauhid. Kaum Jahiliyyah adalah kaum yang syirik dan mengembalikan mereka kepada Tuhan Yang Esa adalah suatu amanah. Amanah itu disempurnakan dengan tabligh atau dakwah yang bijaksana. Fatanah atau bijaksana merupakan jalur wasatiyyah yang dimiliki baginda. Jiwa kehambaan yang tinggi dimiliki Rasulullah SAW menyebabkan baginda akur dengan perintah Allah untuk melakukan hijrah. Hijrah adalah suatu pendekatan strategik mengambil pertimbangan Allah (hablum minallah) dan manfaat manusia (hablum minannas) sebagai jalan perjuangan. Strategi manusiawi adalah mengaturkan tempat tidur Rasullullah SAW digantikan dengan Saidina Ali, seorang pemuda Islam yang tangkas dan berani dan teman ke Gua Thur diiringi oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq seorang yang cintakan kebenaran. Pemilihan dua sahabat nabi ini amat strategik kerana melakukan hijrah adalah suatu kerja besar dan memerlukan pengorbanan bersama orang yang dipercayai. Mengapa persembunyian awal di Gua Thur Selatan Mekah tidak dilokasi utara mengarah ke Madinah adalah suatu pertimbangan strategik. Penglibatan Abdallah dan Asma anak Saidina Abu Bakar pembekal makanan dan rahsia musuh amat membantu. Tindakan labah-labah membuat sarang di permukaan gua adalah suatu ketentuan dari Allah dan menyebabkan musuh yang memburunya terkeliru. Ia adalah campur tangan dan pertolongan Allah. Hijrah yang mengambil pertimbangan Allah (ihsan) dan mengambil pertimbangan manusia (insan) adalah asas yang sangat penting dijadikan landasan berfikir strategik. Jaminan Allah ini jelas terungkap dalam al-Quran, Pihak kafir terus melakukan tipu daya dan Allah akan mengatasi tipu daya mereka". Rasulullah SAW sewaktu bergerak ke Madinah menggunakan jurupandu seorang yang bukan Islam. Apabila dikejar oleh Surakah bin Malek, kuda Surakah terbenam di pasir dan menyebabkan Rasulullah SAW terlepas daripada ancaman musuh. Sekali lagi ketentuan Allah membantu Hijrah al Rasul yang amat bermakna itu. Setibanya di Madinah Rasulullah SAW membina masjid. Ia amat penting tidak saja sebagai pusat ibadah tetapi mempertautkan hati-hati Muhajirin dan Ansar akhirnya. Ini adalah strategi wasatiyyah yang amat cemerlang kerana penerimaan golongan Ansar terhadap Rasulullah SAW adalah petanda baik bagi perjuangan Islam itu sendiri. Di Madinah, Rasulullah SAW membuat perjanjian dengan kelompok Yahudi dan Nasrani. Sahifah Madinah yang dimeterai adalah suatu tahalluf (kerjasama) penting di mana orang Islam menjadi dominan. Apabila kaum Yahudi ingkar Rasulullah SAW mengusir mereka. Mematuhi muafakat adalah prinsip, melakukan khianat dihadapi dengan ketegasan. Itulah sebenarnya prinsip perjuangan Islam. Apabila Rasulullah SAW sudah cukup bersedia untuk melakukan Futhul Makkah (kembali semula ke Mekah) rombongannya terhenti di Hudaibiyyah. Di Hudaibiyah baginda didatangi oleh kelompok Jahiliyah supaya menangguhkan pemergian baginda pada tahun depan. Rasulullah SAW seorang yang bijaksana bersetuju dengan permintaan itu walaupun dibantah oleh Saidina Omar. Pertama, kaum jahiliyyah sudah mengiktiraf akan Rasulullah SAW. Melakukan Futhul Makkah tahun berikutnya membolehkan Rasulullah dan rombongannya menjejaki bumi Mekah yang amat bermakna bagi perjuangannya. Dan ternyata strategi Rasulullah SAW berhasil. Inilah pendekatan wasatiyyah iaitu pendekatan yang berhemah dan berimbang, melakukan pendekatan undur setapak untuk meraih pendekatan maju ke hadapan lima tapak lagi. Peristiwa Futhul Makkah itu adalah suatu lembaran penting kerana penerimaan masyarakat Mekah terhadap kedatangan Rasulullah SAW memberi kesan positif terhadap perkembangan Islam di Jazirah Arabia. Banyak yang boleh dipelajari daripada peristiwa Hijrah al-Rasul ini. Pertama, hijrah kerana Allah akan sentiasa melindungi dan memberi pertolongan. Kedua, strategi manusiawi yang titik-tolaknya kerana Allah (ikhlas) akan membawa barakah yang tinggi. Ketiga memperjuangkan yang haq atau benar menuntut kesabaran yang tinggi ( watawa saubil haq, watawa saubissabr). Inilah jalan wasatiyyah yang akhirnya membawa kepada kemenangan. Al-Wasatiyyah seperti yang terungkap dalam Surah al Baqarah (143) adalah suatu pendekatan berimbang dengan mengatur strategi bijaksana melalui proses dakwah dan tarbiyyah bagi menyemarakkan ukhuwah atau persaudaraan dan kasih kasih sayang untuk mengatasi penyakit kebencian dan dendam kesumat yang tinggi. Sifat dendam kesumat dan kebencian adalah penyakit hati. Harus berlaku tazqiah An Nafs supaya diri manusia sentiasa menginsafi bahawa tugas dakwah adalah suatu amanah, pemberi hidayah dan petunjuk adalah milik Allah. Sikap gopoh (istijal) atau melampau bukan pekerti Rasulullah SAW. Rasulullah SAW seorang yang tenang, cekal dan berani dalam mengatur strategi dakwah. Baginda tidak memiliki sikap suuzzan (buruk sangka) kepada orang lain. Keikhlasan melakukan dakwah, dan bijaksana mendekati madu atau sasaran sentiasa menjadi pedomannya yang menyebabkan asbab itu membolehkan ramai manusia berhijrah menganut akidah tauhid. Ian sesuai dengan dustur dakwah dalam Surah An Nahli:125, Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana, pekerti teladan yang baik, dan apabila berhujjah gunakan hujjah yang terbaik". Inilah jalur wasatiyyah dalam mengajak manusia berhijrah. Jalur ini melihat manusia sebagai positif berubah, mendekatinya dengan bijaksana adalah jalan terbaik kerana pada asasnya manusia itu dalam pencarian dan dalam keadaan tidak tahu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |