Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Kumpul minyak masak terpakai
- Abdul Ghafaar janji tunai tanggungjawab mantapkan UMNO
- Ubat-ubatan, kosmetik tiruan berleluasa di internet
Posted: 22 Nov 2013 11:25 AM PST Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM ABU Bakar Abdul menuang minyak masak terpakai sebagai simbolik pelancaran Program Biodiesel Melaka peringkat daerah dan perasmian logo Teknologi Hijau MPAG di Alor Gajah, Melaka, semalam. - utusan/ Mohammad Dzulhisham Che Hassim ALOR GAJAH 22 Nov. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan mewujudkan pusat pengumpulan minyak terpakai di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah kawasan tanggungjawab MPAG sebagai usaha menyokong Program Biodiesel Melaka. Yang Dipertuanya, Datuk Abu Bakar Abdul berkata, pusat pengumpulan itu dijangka beroperasi tahun hadapan dan dicadangkan lokasinya di setiap pusat Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dalam daerah ini dan Masjid Tanah. Menurutnya, penyediaan pusat pengumpulan itu bertujuan memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menghantar minyak masak terpakai selain menjimatkan masa dan kos perjalanan. "Matlamat kita adalah untuk memudahkan orang ramai, jimat masa dan kos kerana mereka tidak perlu untuk pergi ke bandar atau Perbadanan Teknologi Hijau untuk menghantar minyak masak terpakai. "Penyediaan pusat ini juga akan memberikan galakan kepada orang ramai untuk bersama-sama melibatkan diri dalam Program Biodiesel Melaka selain dapat menjaga alam sekitar dan kesihatan selain menguntungkan kerana setiap kilogram minyak masak terpakai boleh ditebus dengan RM1," katanya selepas melancarkan Program Biodiesel Melaka peringkat daerah dan perasmian Logo Teknologi Hijau MPAG di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Zainuddin Abdul Samad. Abu Bakar berkata, MPAG kini mula menggerakkan kempen kesedaran kepada orang ramai untuk tidak menggunakan minyak masak berulang kali kerana akan memudaratkan kesihatan selain menyeru masyarakat untuk melupuskan minyak berkenaan dengan cara yang betul. "Kempen yang kita jalankan adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak gunakan minyak masak berulang kali terutama yang menjalankan perniagaan dan pada masa sama kita tidak mahu mereka membuang minyak ini sewenang-wenangnya kerana akan menjejaskan alam sekitar," katanya. Beliau berkata, melalui kempen yang giat dijalankan itu, MPAG menyasarkan dapat mengumpul satu tan minyak masak terpakai setiap bulan dan akan bertambah selepas pusat pengumpulan minyak terpakai di daerah ini beroperasi kelak. |
Abdul Ghafaar janji tunai tanggungjawab mantapkan UMNO Posted: 22 Nov 2013 11:25 AM PST MELAKA 22 Nov. - Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Abdul Ghafaar Atan yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu menggantikan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah, berikrar menunaikan tanggungjawab untuk memantapkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Beliau yang masih terkejut dengan pelantikan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam itu, bersedia membantu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron. ''Saya ucap terima kasih kepada Presiden UMNO atas kepercayaan yang diberikan kepada saya apabila dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu. ''Saya akan memberikan kerjasama untuk membantu Idris dalam usaha kita ke arah memantapkan lagi UMNO dan BN terutamanya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Abdul Ghafaar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri berkata, beliau pada mulanya tidak percaya dilantik ke jawatan tersebut selepas dihubungi ramai pihak mengucapkan tahniah. Bagaimanapun katanya, setelah membaca akhbar dan siaran berita serta melalui laman web UMNO, barulah beliau percaya dengan pelantikan tersebut. Katanya, pelantikan tersebut merupakan tanggungjawab besar yang dipikulnya kerana bukan sahaja untuk memantapkan UMNO dan BN tetapi lebih penting membuat persiapan rapi menghadapi PRU-14 nanti. |
Ubat-ubatan, kosmetik tiruan berleluasa di internet Posted: 22 Nov 2013 11:25 AM PST SEREMBAN 22 Nov. - Kementerian Kesihatan memandang serius lambakan ubat-ubatan dan produk kosmetik dijual menerusi web dan laman sosial Facebook yang tanpa disedari pembeli bahawa barangan itu adalah tiruan. Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Farmasi), Abdul Halim Abdul Haziz memberitahu, setakat Jun lalu, sebanyak 9,610 daripada 17,028 laman web disiasat pihak kementerian telah disekat kerana kesalahan tersebut. "Pengguna kini berminat untuk mencuba atau membeli sesuatu produk itu tanpa perlu ke farmasi malah dengan teknologi internet, hanya klik produk yang dijual tersebut, keesokan harinya barang tersebut akan sampai di depan rumah," katanya. Beliau berkata demikian dalam dialog bersama media anjuran oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi di Bangunan Permai Puri, Jabatan Kesihatan Negeri, di sini semalam. Abdul Halim seterusnya memberitahu, sehingga kini, 58,481 daripada 522,000 kiriman bungkusan yang diperiksa Jabatan Kesihatan negeri telah dirampas atas pelbagai kesalahan dan melanggar syarat-syarat ditetapkan. "Ubat-ubatan yang telah dirampas ini termasuk tradisional dan moden sama ada dari dalam atau luar negara. Kebanyakannya berkaitan kosmetik seperti ubat-ubatan untuk memutihkan kulit, kurus dan sebagainya," katanya. Tegas beliau, pengguna tidak mengetahui ada sesetengah ubatan adalah tiruan kerana menyerupai dengan ubat asli sama ada nama, rupa bentuk atau pembungkusannya. "Adalah lebih baik, orang ramai berhati-hati dalam pengambilan ubatan dan pastikan setiap ubatan yang dibeli mempunyai nombor pendaftaran dan pelekat keselamatan hologram Kementerian Kesihatan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |