{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Jangan turun ke laut - LKIM

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

PASIR PUTEH 10 Nov. - Lebih 3,000 nelayan tradisional dan laut dalam di negeri ini dinasihatkan tidak turun ke laut berikutan keadaan laut bergelora dan berbahaya kepada sebarang aktiviti menangkap ikan mulai sekarang.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim berkata, nelayan mesti akur terhadap nasihat pihak berkuasa terutama amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi yang lebih arif tentang keadaan semasa cuaca.

"Kita tidak mahu nelayan dari empat jajahan iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Tumpat mengambil tindakan sendiri untuk mencari rezeki di laut. Sebarang tindakan keluar masuk ke laut perlu dilaporkan atau dilakukan secara berkumpulan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Laporan itu antara lain menyebut angin kencang mencapai kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam manakala ombak dengan ketinggian 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Jabatan berkenaan turut menyatakan fenomena itu dijangka berlaku sehingga Selasa ini dan berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Adnan percaya sebahagian besar nelayan terutama 3,000 nelayan tradisional yang menggunakan sampan dan bot kecil, sudah tidak turun ke laut berasaskan pada keadaan laut yang masih tidak menentu.

"Bagaimanapun saya tidak menolak sebilangan kecil terutama nelayan bot laut dalam masih turun ke laut hari ini dan berharap mereka segera menghubungi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jika berlaku kecemasan di samping sentiasa memakai jaket keselamatan," nasihat beliau.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd. Adnan berkata, bagi meringankan beban 2,000 nelayan pantai yang tidak dapat ke laut sepanjang musim tengkujuh ini, pihaknya akan meneruskan bayaran elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada mereka selepas 15 November ini.

Beliau berkata, elaun itu akan dimasukkan terus ke akaun bank penerima yang membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM400,000.

Kelab Doktor Muda SK Padang Pak Amat cemerlang

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

Ismail Ghazali (tiga dari kiri) bersama guru dan murid cemerlang Kelab Doktor Muda Sekolah dalam majlis Penganugerahan Kecemerlangan Kokurikulum di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

PASIR PUTEH 10 Nov. - Kelab Doktor Muda Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pak Amat dekat sini, mahu mengembangkan kegiatan mereka ke peringkat lebih tinggi pada tahun hadapan.

Guru Penasihat kelab berkenaan, Zuraida Md. Yassin berkata, Kelab Doktor Muda yang merupakan sebahagian program promosi kesihatan di sekolah di bawah kelolaan bersama Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, aktiviti itu mampu memperkasa penglibatan guru serta warga sekolah lain dalam usaha meningkatkan kesihatan pelajar selain mewujudkan jalinan erat dan perkongsian pintar antara dua kementerian.

"Di SK Padang Pak Amat aktiviti bersama Kementerian Kesihatan sentiasa dilaksanakan dengan pelbagai penyertaan pertandingan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penganugerahan Kelab Doktor Muda Terbaik peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di sini semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Ismail Ghazali.

Zuraida berkata, Kelab Doktor Muda sekolah itu sentiasa menerima jemputan Jabatan Kesihatan negeri bagi menyertai pelbagai kegiatan termasuk kempen bebas denggi, diabetes, senamrobik dan program berjalan kaki.

Sehingga kini, katanya, seramai 34 ahli kelab lulus dengan cemerlang dan berjaya mendapat Sijil Pengiktirafan Doktor Muda Cemerlang manakala 17 ahli diberi pengiktirafan Doktor Muda Harapan dalam Penilaian Tahap Kompetensi (PTK) Program Doktor Muda oleh Kementerian Kesihatan sepanjang tahun ini.

"Kelab kami juga muncul johan dalam beberapa pertandingan termasuk bercerita Bahasa Melayu pada Konvensyen Doktor Muda Peringkat Daerah. Selain itu, kelab ini turut menjadi naib johan melukis poster dan tempat ketiga bercerita Bahasa Inggeris dalam majlis sama.

"Seorang ahli kelab, Putera Syuib Mohd. Nasir, 12, muncul juara Doktor Muda di konvensyen Kelab Doktor Muda peringkat Kelantan dan Naib Johan bercerita di peringkat kebangsaan yang diadakan di Nilai, Negeri Sembilan pertengahan tahun ini," katanya.

Zuraida menambah, penglibatan aktif dalam Kelab Doktor Muda membawa Putera Syuib sebagai Murid Cemerlang Kokurikulum manakala beliau sendiri dinobatkan sebagai Guru Cemerlang Kokurikulum peringkat daerah.

"Saya bangga menerajui kelab ini apabila Kelab Doktor Muda sekolah ini turut dinobat sebagai Kelab Terbaik Negeri Kelantan dalam majlis anugerah kokurikulum Jabatan Pendidikan Kelantan yang diadakan pada 28 Oktober lalu," katanya.

PPNT anjur Persidangan Pengendalian Ekopelancongan

Posted: 10 Nov 2013 10:27 AM PST

KUALA TERENGGANU 10 Nov. - Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan menganjurkan Persidangan Pengendalian Eko Pelancongan dan Marin Pelancongan Antarabangsa keempat (TEMCO ke-4) selama dua hari di Hotel Primula, di sini bermula 18 November ini.

PPNT dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, acara itu bertujuan memberi ruang kepada peserta berkongsi idea yang praktikal dan penyelesaian yang boleh memberi perubahan positif kepada sektor terbabit.

"Selain memperkasakan sektor pelancongan, program ini juga memberi peluang kepada komuniti mengenal pasti ruang bagi membolehkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan.

"Persidangan ini akan disertai penggiat industri pelancongan, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, pemandu pelancong, pelajar dan tenaga pengajar institusi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang terlibat dalam industri ini," demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, acara tersebut akan diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia manakala majlis perasmian dijangka disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat