Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Sistem biometrik pulih Januari
- Wanita UMNO Pengkalan Chepa hulur bantuan kepada 50 keluarga miskin
- PPD Pasir Puteh rai 48 murid cemerlang sukan, kokurikulum
Sistem biometrik pulih Januari Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI KOTA BHARU 2 Nov. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan meminta pengguna bersabar sekiranya berhadapan dengan gangguan sistem biometrik untuk urusan tukar milik kenderaan yang baharu dilaksanakan semalam. Pengarahnya, Ab. Ghani Che Kassim berkata, gangguan berkenaan adalah sementara dan dijangka dapat dipulihkan seperti sedia kala selepas dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun hadapan. "Sistem biometrik adalah transaksi baharu yang dilaksanakan oleh JPJ di seluruh negara dengan menukarkan sistem lama (Sikap) kepada yang baharu (MySikap). "Melalui transaksi ini, JPJ akan menggunakan cap jari untuk setiap urusan bagi memastikan segala maklumat serta data dapat dikemaskini mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini semalam. Ab. Ghani berkata, dengan pelaksanaan sistem itu juga, aspek keselamatan dalam urusan tukar milik kenderaan akan lebih terjamin. "Urusan tukar milik kenderaan akan lebih mudah kerana pembeli dan penjual kenderaan perlu datang ke pejabat JPJ untuk membuat cap jari tanpa menggunakan borang. "Walaupun memberi kesukaran pada peringkat awal, dengan pelaksanaan sistem itu, dapat menjaga kepentingan pembeli selain mendidik penjual supaya lebih bertanggungjawab," katanya. Dalam perkembangan yang sama, Ab. Ghani berkata, penggunaan borang TM-AB juga akan dihentikan sehingga 30 November ini bagi memberi laluan kepada sistem baru itu. "Dalam tempoh sebulan ini, pengguna masih boleh menggunakan borang TM-AB iaitu pengesahan salinan kad pengenalan oleh pegawai JPJ dan pesuruhjaya sumpah," katanya. |
Wanita UMNO Pengkalan Chepa hulur bantuan kepada 50 keluarga miskin Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT ZARINA Md. Eusope (tengah) menyampaikan bantuan makanan kepada salah seorang daripada 50 penerima sebagai persiapan menghadapi banjir di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. - MINGGUAN/ROSMIZAN RESDI KOTA BHARU 2 Nov. - Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa memperuntukkan kira-kira RM5,000 bagi memberi sumbangan makanan kepada 50 keluarga miskin di kawasan Parlimen berkenaan. Ketuanya, Zarina Md. Eusope berkata, sumbangan tersebut diagihkan kepada ibu tunggal dan golongan miskin di Pulau Kundur dan Kampung Binjai, Kijang dekat sini. Menurutnya, bantuan berkenaan juga adalah untuk persiapan menjelang musim banjir yang dijangka berlaku dalam bulan ini sehingga Januari nanti. "Bantuan bekalan makanan ini adalah sebagai persediaan untuk musim banjir nanti memandangkan kawasan ini sering ditenggelami air ketika musim tengkujuh. "Dengan bantuan minyak masak serta bekalan makanan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban golongan terbabit di samping dapat menjimatkan belanja dapur," katanya kepada pemberita di sini semalam. Dalam pada itu, Zarina berkata, Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa akan terus memberikan khidmat yang terbaik dalam membantu menangani masalah rakyat. "Fokus kita ialah memperbanyakkan aktiviti serta turun padang bagi meninjau masalah rakyat serta membantu golongan yang memerlukan. "Kita akan terus bergerak mendekati masyarakat bagi meneruskan tugas yang diamanahkan dan diharap serba sedikit dapat memberi kesan kepada masyarakat," katanya. Sementara itu, seorang penerima, Samsiah Mustapa, 51, meluahkan rasa gembira dan berterima kasih dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh UMNO Bahagian Pengkalan Chepa. |
PPD Pasir Puteh rai 48 murid cemerlang sukan, kokurikulum Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT SEBAHAGIAN daripada guru dan pelajar dalam daerah Pasir Puteh menerima hadiah masing-masing dalam Majlis Penganugerahan Kecemerlangan Sukan dan Kokurikulum di PPD Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin. - MINGGUAN/TOREK SULONG PASIR PUTEH 2 Nov. - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh hari ini mengadakan Majlis Penganugerahan Kecemerlangan Sukan dan Kokurikulum bagi menghargai sumbangan pendidik serta pelajar daerah tersebut atas kejayaan mereka di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Seramai 48 pelajar menerima anugerah dalam majlis yang diadakan di PPD Pasir Puteh itu. Turut diraikan, atlet paralimpik dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, Mohd. Naqib Naquiddin Mat Ajimin, 17, yang memperoleh dua pingat emas dalam Kejohanan Paralimpik Remaja Asia 2013 baru-baru ini. Dalam majlis sama, Putera Syuib Mohd. Nasir, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pak Amat dan Nur Arfah Asyiqeen Khasfi, 12, dari SK Kamil 2 menerima anugerah Murid Cemerlang Kokurikulum bagi kategori sekolah rendah. Putera Syuib dipilih kerana kejayaan merangkul naib johan bercerita Kelab Doktor Muda Peringkat Kebangsaan manakala manakala Nur Arfah Asyiqeen berjaya muncul naib johan kejohanan kawad kaki peringkat negeri. Pelajar cemerlang kokurikulum peringkat sekolah menengah pula disandang oleh Riezwan Hisyam Hasmi, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku dan Nur Shafika Nadia Mohd. Hasri, 16, dari SMK Bukit Jawa. Riezwan Hisyam mengetuai pasukan negara ke pertandingan Festival Filem Kanak-Kanak Bangkok dan muncul juara bagi kategori 13-15 tahun manakala Nur Shafika dinobatkan sebagai Platun Sarjan Terbaik Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM-Darat). Selain itu, Ismail Muhamad dari SK Telosan, Zuraida Md. Yasin dari SK Padang Pak Amat, Mohamad Faiz Yaakub dari SMK Cherang Ruku dan Wan Nor Aini Wan Othman dari SMK Kamil dinobatkan sebagai Guru Cemerlang Kokurikulum PPD Pasir Puteh 2013. Kesemua hadiah tersebut disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah, Ismail Ghazali. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |