{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Cabaran si pencari buah keranji

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

Oleh JAZALY AMRY JAAFAR
utusankelantan@utusan.com.my

SIDIK Ahmad menunjukkan hasil yang diperoleh selepas siap proses memotong dahan di atas pokok keranji di hutan di Kampung Meranto, Gua Musang, baru-baru ini.

GUA MUSANG 4 Nov. - Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu.

Peribahasa ini pasti sangat dikenali oleh rakyat Malaysia kerana diajar sejak di bangku sekolah tetapi berapa ramaikah yang mengetahui apakah rupa buah keranji serta pernah menikmatinya atau sekadar melihat di dalam gambar.

Peribahasa yang menggunakan nama buah keranji lebih popular daripada buah itu sendiri menyebabkan tiada sesiapa pun yang ambil kisah tentang buah itu kecuali beberapa penduduk di Kampung Meranto, Gua Musang yang meraih pendapatan harian dengan mencari dan menjual buah tersebut.

Dalam istilah botaninya, buah keranji dikenali sebagai dialium indium.

Ini adalah buah hutan yang banyak ditemui di daerah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia serta di negara ini terutama di hutan Sabah dan Sarawak.

Buah keranji mempunyai ukuran diameter kira-kira 2 sentimeter (cm), dibaluti kulit hitam yang rapuh, manakala isinya berwarna oren yang mengeluarkan kombinasi rasa masam manis dan jika diawet boleh bertahan sehingga dua tahun.

Di Indonesia, buah keranji cukup popular sebagai rempah bertujuan untuk menimbulkan rasa masam setiap hidangan manakala di negara-negara Arab pula, mereka percaya buah keranji mampu menurunkan kolesterol dengan mengamalkan memakan tiga biji sehari.

Di pasaran tempatan, buah keranji yang popular dijadikan jeruk dijual dalam pelbagai sukatan, antaranya dalam paket ataupun mengikut sistem metrik tradisional iaitu gantang dan secara umumnya nilainya amat tinggi berbanding buah-buahan lain kerana mampu mencecah harga sehingga RM10 bagi setiap 100 gram atau RM7 sepaket.

Meskipun ciri-ciri buah tersebut dan kegunaannya mudah dijelaskan melalui ayat, namun disebabkan banyak tumbuh secara liar di dalam hutan, untuk mencari dan mengambil buah keranji tidaklah semudah mengungkapkan peribahasa itu.

Pengalaman dan keperitan mencari buah tersebut dialami sendiri penulis baru-baru ini ketika menyertai beberapa penduduk Kampung Meranto memetik buah tersebut untuk dijual di pasaran tempatan.

Pencarian itu bermula dengan perjalanan seawal pukul 6 pagi yang mengambil masa tiga jam meredah hutan tebal dan berpenat mendaki bukit serta terpaksa melintasi sebatang anak sungai di Bukit Buluh Betong yang kedalaman dan arus derasnya cukup mencabar.

Ketika sampai di lokasi, perasaan gembira yang timbul selepas berasa kepenatan nampaknya tidak lama kerana untuk memetik buah keranji tidak semudah disangkakan ekoran kebanyakan pokok keranji yang mengeluarkan buah itu berada pada ketinggian antara 30 hingga 50 meter!

Abdullah Pak Adik, 47, yang telah memetik buah tersebut sejak 20 tahun lalu berkata, persiapan pertama yang harus dibuat bersama tujuh rakannya sebaik menemui pokok keranji adalah menyediakan anak tangga untuk membolehkan mereka memanjat pokok sehingga ke dahannya.

Kerja memetik buah keranji ternyata memerlukan kesabaran, kecekalan dan kemahiran yang amat tinggi kerana kelalaian yang sedikit terutama ketika memanjat pokok menyebabkan nyawa sendiri menjadi taruhan.

Lebih menarik apabila anak tangga yang dibuat itu keseluruhannya menggunakan sumber hutan terutama dahan-dahan keras dan rotan yang digunakan untuk mengikat anak tangga di sepanjang batang pokok.

"Pertama sekali untuk memanjat pokok setinggi 50 meter ini kita akan membina anak tangga dengan menggunakan buluh dan diikat dengan rotan ataupun akar kayu yang keras untuk memastikan ia selamat digunakan.

"Kami tidak membawa peralatan moden kerana boleh membebankan terutama kerana terpaksa berjalan kaki untuk masuk ke dalam hutan ini. Hanya sebilah parang sahaja yang dibawa untuk mencari bahan yang diperlukan," katanya.

Abdullah berkata, selepas membuat persediaan membina anak tangga tanpa menggunakan paku untuk mengelakkan daripada mencederakan pokok tersebut, cabaran yang harus dihadapi ialah menahan kesakitan akibat diserang serangga terutama kerengga yang hidup di dahan pokok setinggi 40 meter.

"Saya terpaksa berhadapan dengan kesakitan. Tak boleh gunakan racun serangga kerana boleh merosakkan pokok dan boleh menjejaskan kualiti buah serta keracunan pada buah untuk dijual," katanya yang sentiasa melakukan kerja memanjat setiap mereka mencari buah itu.

Rakannya, Wan Zahari Wan Harun, 45, berkata, tugasnya dan rakan yang lain adalah menunggu dahan yang dipotong gugur untuk dikumpulkan dan mengasingkan buah tersebut sebelum dimasukkan ke dalam guni.

"Proses ini juga mengambil masa yang lama kerana dahan yang gugur tadi kemungkinan akan jatuh di celah-celah semak ataupun jatuh di atas dahan pokok yang lain, maka kami perlu mencarinya untuk menambah hasil.

"Dahan yang di potong itu akan dilonggokkan. Saya dan rakan-rakan yang lain akan memproses buah tersebut dengan melerai sebiji demi sebiji dan dimasukkan ke dalam karung guni yang dibawa bersama," katanya.

Meskipun cabaran memetik buah keranji amat sukar namun ia menjadi pilihan kepada Abdullah dan rakan-rakannya kerana buah tersebut boleh dijual pada harga mencecah RM10 bagi setiap 100 gram.

Sementara itu, menurut Sidik Ahmad, 56, jumlah buah keranji yang dapat dibawa balik untuk dijual bergantung sepenuhnya kepada pokok yang dipilih kerana hanya pokok yang subur akan menghasilkan buah berkualiti dalam kuantiti banyak.

"Bagi pokok yang betul-betul subur, kami boleh memperoleh sehingga kira-kira 200 kilogram tetapi ia jarang sekali berlaku malah selalunya jumlah yang diperoleh lebih rendah daripada itu manakala selalunya dalam sehari kami akan memproses dua pokok.

"Selepas mengumpulkan buah, cabaran seterusnya adalah untuk mengangkat buah ini balik ke kampung dan selalunya kami akan sampai rumah masing-masing pada waktu malam," katanya.

Seorang penggemar buah keranji yang berasal dari Sarawak, Mohd. Armizan Abdullah berkata, harga pasaran bagi buah itu tidak salah jika dinaikkan lagi memandangkan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh pencari buah terbabit.

"Ini adalah pengalaman kali pertama saya untuk melihat sendiri bagaimana proses mengambil buah ini dilakukan, tidak hairanlah kalau harga pasaran di luar sana tinggi, kerana kesukaran yang terpaksa dilalui oleh pencari buah tersebut amat susah dan berisiko tinggi," katanya.

Seharian bersama kumpulan pencari buah keranji itu membuatkan penulis akhirnya faham kenapa peribahasa memetik sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu. Selain maksud metaforanya, ia menggambarkan kepuasan yang dikecapi seorang pencari buah keranji selepas berpenat lelah mendapatkannya kerana nilai tambah yang dihasilkan daripada sebiji buah keranji.

Justeru jika anda mahu membeli buah keranji, janganlah berkira sangat dengan harganya yang mahal kerana selain keenakan buahnya, tersembunyi kudrat dan kesukaran yang ditempuhi pencari buah keranji demi menambahkan rempah dalam makanan seharian kita.

Empangan Paya Peda selamat

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 4 Nov. - Penduduk di Kampung Padang Buai dan beberapa kampung sekitarnya di Besut, dekat sini tidak perlu bimbang tentang kemungkinan Empangan Paya Peda pecah atau airnya dilepaskan pada musim tengkujuh ketika ini.

Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (Iada Ketara), Mohamed Kaberi Ghani berkata, beliau memberi jaminan kejadian dua tahun lalu yang menyebabkan banjir mendadak tidak akan berulang.

Katanya, ketika ini empangan utama telah siap dibina 30 meter tinggi berbanding empangan simpanan sedia ada dan pihaknya percaya peningkatan air dapat ditakung dengan baik sekali gus mengelak limpahan di luar kawalan.

"Kita memberi jaminan kejadian banjir seperti tahun lalu tidak berulang memandangkan empangan simpanan tidak lagi digunakan sebagai laluan air utama.

"Jadi, kita berharap penduduk tidak bimbang kejadian yang berlaku di empangan Cameron Highland (Pahang) baru-baru ini akan berlaku di sini kerana kejadian itu berbeza," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian Oktober dua tahun lalu, sebahagian benteng empangan simpanan Paya Peda yang masih dalam pembinaan terpaksa dipecahkan bagi melepaskan takungan air demi keselamatan penduduk kawasan sekitar.

Berikutan itu, lebih 1,000 penduduk di daerah Besut terpaksa dipindahkan dalam keadaan tergesa-gesa.

Difahamkan, projek pembinaan empangan yang melibatkan kos sekitar RM333 juta yang dimulakan pembinaannya pada 2011 dan dijangka siap akhir tahun ini bertujuan membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut.

Empangan itu yang mampu menakung 168 juta meter padu air merupakan takungan air yang terbesar di daerah ini bagi dimanfaatkan bukan sahaja untuk tanaman padi tetapi sebagai sumber bekalan air bersih kepada penduduk, kegiatan industri pelancongan di samping mengatasi masalah banjir.

Dalam pada itu, Mohamed Kaberi memberitahu, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa bagi memantau situasi empangan berkenaan setiap masa sebagai usaha memastikan tahap air yang ditakung berada dalam keadaan ditetapkan.

Selain itu, pihaknya juga telah mengaktifkan penggunaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) tahun ini bagi membolehkan siren dibunyikan melibatkan tiga jenis makluman iaitu tahap berjaga-jaga, bersiap sedia untuk berpindah dan perlu berpindah dengan segera.

"Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pelepasan air dan penduduk tidak perlu bimbang tentang kejadian limpahan air kerana kita akan maklum dengan lebih awal, tidak seperti kejadian lalu.

"Jawatankuasa ini juga melibatkan kerjasama daripada polis, bomba serta pasukan keselamatan lain bagi membantu penduduk kampung sekiranya mereka perlu berpindah dengan lebih awal," jelasnya.

Resort, chalet di pulau peranginan henti operasi

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

KUALA TERENGGANU 4 Nov. - Kebanyakan resort dan calet di pulau-pulau peranginan di negeri ini telah menghentikan operasi masing-masing sejak 30 Oktober lalu ekoran bermulanya monsun Timur Laut.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri, Wan Supian Wan Ishak berkata, namun sebahagian kecil pengusaha di Pulau Redang dan Perhentian telah mengambil langkah itu lebih awal ekoran keadaan cuaca yang mulai tidak menentu.

"Tindakan menghentikan sementara operasi ini dibuat setelah mengambil kira kos operasi yang mungkin tidak dapat ditanggung oleh resort dan calet kerana kekurangan pengunjung.

"Ini kerana keadaan laut yang bergelora menyebabkan perkhidmatan bot terganggu dan berisiko untuk membawa pengunjung ke pulau-pulau peranginan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, jelasnya, pemilik kemudahan penginapan masih boleh meneruskan operasi sekiranya ingin berbuat demikian.

Menurutnya, semua kemudahan penginapan termasuk di tiga lagi pulau iaitu Tenggol, Kapas dan Lang Tengah akan beroperasi semula bermula Februari tahun depan manakala di Redang pula biasanya akan kembali dibuka pada Mac.

Sementara itu, Wan Supian berharap, pihak berwajib akan menggiatkan usaha mempromosikan produk lain yang boleh diberikan tumpuan sempena musim tengkujuh.

"Walaupun resort dan calet di pulau tidak beroperasi, tidak bermakna aktiviti lain pelancongan juga perlu dihentikan sebaliknya usaha harus dilipat ganda untuk memastikan ketibaan pelancong yang berterusan," katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri menjangkakan segala aktiviti pelancongan di pulau peranginan akan dihentikan pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee dilaporkan berkata, walaupun arahan belum dikeluarkan, tetapi mereka telah mula membuat persediaan sebagai rutin setiap tahun.

Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama pengusaha calet, resort dan bot akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat