Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Kolej KDU hasil kolam terbesar
- 150 mahasiswa UiTM sertai latihan Kesastria
- 400 anggota Palapes UniMAP sertai derma darah
Kolej KDU hasil kolam terbesar Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST Oleh ZABRY MOHAMAD PARA pelajar dan kakitangan Kolej KDU Pulau Pinang bangga bersama kolam logo 1Malaysia terbesar yang mereka hasilkan di Kolej KDU Pulau Pinang, baru-baru ini. PULAU PINANG 5 Nov. - Sambutan Deepavali tahun ini ternyata amat bermakna buat para penuntut Kolej KDU apabila berjaya menghasilkan hiasan tradisional masyarakat India iaitu kolam logo 1Malaysia terbesar di negara ini. Program anjuran Persatuan Kebudayaan India itu berlangsung di D'Piazza Mall di sini, baru-baru ini dengan penyertaan seramai 200 penuntut. Kolam bersaiz 55 meter panjang dan 25 meter lebar itu yang menggunakan 2,000 kilogram beras berjaya dicatat sebagai rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records. Pengurus Jabatan Khidmat Pelajar Kolej KDU Pulau Pinang, Joey Phuah berkata, pihaknya amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan para penuntut terbabit. "Kami amat gembira dengan inisiatif para penuntut ini mengatur program sehingga mampu mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records," katanya di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej KDU Pulau Pinang, Dr. Chong Beng Keok dan Pegawai The Malaysia Book of Records, Huda Zakaria. Sementara itu, Pengarah Projek berkenaan, J. Thurairaju memberitahu, kolam merupakan seni hiasan dalam bentuk lukisan menggunakan beras asli atau beras sintetik berwarna-warni, kapur dan tepung. Menurutnya, hiasan tersebut dipraktikkan masyarakat beragama Hindu semasa musim perayaan yang diletakkan di pintu masuk rumah bagi mengalu-alukan Dewi Kemakmuran dan menghindari kejahatan. "Walaupun budaya ini amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi tidak semua orang berpeluang membuatnya. "Sehubungan itu, program sebegini memberi peluang kepada semua kaum untuk turut serta bagi menimba pengalaman baharu," ujarnya. |
150 mahasiswa UiTM sertai latihan Kesastria Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST ZAINAB Mohamed (depan, tengah) bersama peserta yang menamatkan Latihan Intensif Bakal Komander Kesastria Zon Utara Siri 21/2013 di Kampus Seri Iskandar, Perak, baru-baru ini. SERI ISKANDAR 5 Nov. - Seramai 150 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dari Perak, Pulau Pinang dan Kedah menamatkan Latihan Intensif Bakal Komander Kesastria (LIBK) Zon Utara siri 21/2013 di kampus Seri Iskandar, Perak di sini baru-baru ini. Latihan selama 12 hari itu berakhir semalam dan dirasmikan oleh Rektor UiTM Perak, Brigediar Jen. (K) Prof. Ir. Dr. Zainab Mohamed. Ketika berucap dalam majlis itu, beliau berkata, usaha tersebut berjaya memberi kefahaman dan pengetahuan kepada para pelajar tentang perkara-perkara asas untuk menjadi seorang anggota Komander Kesatria yang berwibawa. "Walaupun UiTM Perak menjadi tuan rumah tetapi berjaya mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peserta," katanya. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana Latihan Intensif Bakal Komender Kesastria Zon Utara Siri21/2013 kerana berjaya menguruskan program kali ini dengan lancar. Sementara it, urus setia program itu, Mejar (K) Hadijah Salleh berkata, pelajar yang aktif dan selalu melibatkan diri dalam aktiviti begini akan mempunyai semangat jati diri. Katanya, gerak kerja mereka akan lebih berketerampilan dalam kegiatan berpasukan. "Saya harap ilmu yang mereka perolehi selepas menamatkan latihan di sini digunakan sepenuhnya, buatlah kerja-kerja sukarela dengan lebih bertanggungjawab di samping membaiki diri sendiri," katanya. Sementara itu, Muhammad Fathul Radhi Mohd. Sapoan, 18, dari Klang, Selangor berkata, dia sendiri tidak sangka dipilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan di majlis itu. Katanya, bukan mudah bagi mana-mana pelajar dari 150 orang dipilih sebagai terbaik. "Kejayaan begini dapat menggembirakan keluarga sendiri dan rakan-rakan dan kejayaan itu memberi satu kenangan manis yang sukar untuk dilupakan," katanya. |
400 anggota Palapes UniMAP sertai derma darah Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST KAMARUDIN Hussin (dua dari kanan) memerhatikan anggota Palapes UniMAP menderma darah di Dewan Serbaguna Kampus UniMAP Kubang Gajah, Arau, Perlis, baru-baru ini. ARAU 5 Nov. - Seramai 400 anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai kempen derma darah di Dewan Serbaguna Kampus UniMAP, Kubang Gajah dekat sini baru-baru ini. Kempen itu dianjurkan Palapes dengan kerjasama Bahagian Tabung Darah, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar. Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin yang juga Komandan Palapes UniMAP dalam ucapan perasmian berkata, beliau menyokong penuh program tersebut yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dalam usaha membantu mereka yang memerlukan ''Kempen itu bukan sahaja dapat membantu memberikan stok darah kepada pihak hospital malah turut memupuk semangat dan nilai insan yang tinggi,'' katanya pada majlis berkenaan. Yang turut Timbalan Komandan Palapes UniMAP, Prof. Madya Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Jurulatih Palapes UniMAP, Leftenan Kolonel Azhar Omar. Salah seorang anggota Palapes, Nur Syuhada Abdullah, 21, dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar berkata, kempen derma darah juga sebenarnya dapat menyihatkan tubuh badan. ''Saya sudah empat kali menderma darah sejak berusia 18 tahun lagi dan percaya nyawa seseorang itu dapat diselamatkan walaupun dengan hanya setitik darah," katanya. Rakannya, S. Subash, 20, dari PPK Mekatronik berkata, walaupun baru pertama kali menderma darah, dia berpuas hati kerana dapat membuat kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan. "Saya sudah lama menyimpan hasrat menderma darah, cuma masa belum mengizinkan seperti hari ini," katanya. Leftenan Muda Mohammad Aizzat Mohd. Salleh, 26, pula berkata, dengan menderma darah, badan akan lebih segar dan ringan. "Kesedaran untuk menderma darah itu datang sendiri bagi membantu keperluan tabung darah negara," katanya yang telah lima kali menderma darah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |