Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Penghidap kanser dan sarung bantal Posted: 03 Jan 2014 03:50 PM PST Sukarelawan jahit cenderamata untuk hadiah kepada kanak-kanak APA ada dengan sehelai sarung bantal? Sekadar cebisan kain bercorak berjahit yang dijadikan pengalas kepala. Jadi, tak hairanlah sesetengah individu hanya memandang sepi fungsi sarung bantal dek baktinya terlampau kecil dan sukar dilihat mata kasar.
Pengubat kesakitan menahan serangan kanser dan azimat penawar merungkai senyuman di bibir pesakit kanser menjadikan sarung bantal, hadiah istimewa buat pesakit kanser kanak-kanak. Geng Mesin Jahit (GMJ), kedengaran asing dalam kalangan masyarakat tempatan adalah kumpulan sukarelawan yang merealisasikan penawar sarung bantal buat golongan kanak-kanak berkenaan. Sejak ditubuhkan secara kebetulan tiga tahun lalu, Geng Mesin Jahit mengumpulkan wanita bekerjaya dan suri rumah sebagai sukarelawan menghasilkan pelbagai jenis sarung bantal bagi diedarkan kepada pesakit kanser kanak-kanak seluruh negara. Pengerusi Penggerak Geng Mesin Jahit merangkap pakar Perubatan Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurul Karmila Abdullah, berkata saban tahun, GMJ tidak pernah ketinggalan mengadakan aktiviti amal menjahit cenderamata seperti sarung bantal, kotak pensil dan chemo-cap bersama sukarelawan.
"Mereka belajar, akhirnya boleh menjahit bukan saja sarung bantal tetapi jahitan sukar seperti kotak pensil dan baju. Malah, ada juga penyumbang antaranya orang awam dan pembekal kain cotton tidak dapat menyertai program namun memberikan bahan mentah seperti kain dan alatan menjahit," katanya menjalankan kerjasama menggunakan studio jahitan Pusat Latihan Smart Skill, Wangsa Maju sebagai lokasi pertemuan GMJ Lembah Klang. 'Ku Sarungkan Kasih', antara aktiviti menarik dianjurkan GMJ Lembah Klang bersama sukarelawan di pusat latihan menjahit berkenaan. Dalam tempoh beberapa jam, sukarelawan berjaya mengumpul dan menyiapkan kira-kira 200 sarung bantal untuk dikumpulkan bersama GMJ seluruh negara. Ia berikutan, ahli GMJ berada di beberapa lokasi seluruh negara dan memiliki keluarga sendiri menyebabkan mereka sukar berkumpul. Namun, demi merealisasikan objektif projek iaitu mengumpulkan 1000 sarung bantal, kebanyakan sukarelawan sanggup bekerja dan menjahit dari rumah dan mengemaskini bilangan sarung bantal berjaya disiapkan, kelak. Kenalan Facebook Cetusan idea menubuhkan GMJ berlaku secara kebetulan apabila kebanyakan ahli mencari portal dan laman berkongsi minat mempelajari ilmu menjahit secara talian. Menurut Naib Presiden GMJ, Rozi Hasnita Abdul Rahman, 40, kelebihan jaringan sosial membuka peluang buat suri rumah mencari idea memenuhi masa lapang dengan idea menjahit menggunakan tutorial secara talian. "Peringkat awal penubuhan persatuan adalah jaringan kenalan media sosial, Facebook. Dari mulut ke mulut, ahli semakin bertambah sehinggalah kami sepakat menganjurkan aktiviti amal. "Projek amal - Ku Sarungkan Kasih, celupan idea sebuah pertubuhan di Amerika Syarikat, Conkerr Cancer mendapat sambutan ramai. Ahli bersetuju menghadiahkan sarung bantal dan chemo-cap berwarna-warni bagi menceriakan pesakit kanak-kanak terutama penghidap kanser," katanya menjelaskan GMJ turut serta menjayakan aktiviti sasaran mengumpulkan 44,000 sarung bantal bersama Conkerr Cancer, baru-baru ini. Conkerr Cancer, ditubuhkan Quilter Cindy Kerr pada 2002 mengumpulkan ribuan sukarelawan tanpa batasan umur untuk menjahit dan menghadiahkan sarung bantal berwarna warni buat pesakit kronik kanak-kanak di Amerika Utara. Sehingga kini, Conkerr Cancer sudah menghadiahkan sekitar 560,000 sarung bantal kepada pesakit kanak-kanak di 125 kawasan membabitkan kira-kira 225 hospital dan institusi pediatrik di Amerika Syarikat, Kanada dan Afrika Selatan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |