{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Lee Kwang Soo terharu

Posted:

Lee Kwang Soo terharu

Lee Kwang Soo terharu

BERPELUANG bertemu aktor kacak Korea, Lee Kwang Soo beberapa hari lalu ternyata merupakan satu pengalaman yang menarik.

Sangkaan awal, mungkin ramai yang tidak begitu mengenali jejaka kelahiran Korea Selatan ini.

Namun, teriakan ribuan peminat yang hadir ke acara Fan Meeting Lee Kwang Soo in Malaysia itu membuktikan bahawa dia seorang aktor yang sangat dikenali dalam kalangan peminat Malaysia.

Ternyata kini, Lee Kwang Soo bukanlah satu nama asing dalam dunia hiburan di negara Asia.

Walaupun sebelum ini Kwang Soo telah bergelar seorang pelakon sejak tahun 2008 lagi, namun, program hiburan Running Man yang disertainya telah melonjakkan lagi termometer populariti empunya diri.

Selain mendapat gelaran Prince Of Asia oleh peminatnya di serata dunia, Kwang Soo juga diberi beberapa gelaran seperti zirafah kerana ketinggiannya yang mencecah 190 meter serta si pengkhianat menerusi program Running Man.

Beralih kepada acara sidang peminat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam di Kenanga Wholesale City (KWC), Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, Kwang Soo kelihatan sangat teruja apabila menyaksikan hampir 2,000 peminat hadir pada acara tersebut.

Peminat histeria, Kwang Soo menangis

Apa yang jelas kelihatan, acara tersebut rata-rata dibanjiri oleh golongan remaja khususnya perempuan yang seakan-akan terkena histeria apabila menyaksikan idola mereka berdiri di atas pentas.

Walaupun ia hanya acara bertemu peminat, namun, beberapa aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur pastinya membuatkan peminat merasa berbaloi membeli tiket yang harganya ratusan ringgit.


PEMINAT Kwang Soo ternyata sangat teruja dengan kemunculan Kwan Soo kali ini di Malaysia.


Kwang Soo juga tidak putus-putus memberi tunduk hormat sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa bersorak untuknya sepanjang acara tersebut berlangsung.

"Saya sangat berterima kasih kepada anda semua yang sentiasa menyokong dan sejujurnya sangat menghargai kalian.

"Saya sangat gembira dapat bertemu anda semua dan tidak sabar untuk memberitahu ahli yang lain bahawa anda sangat menakjubkan.

"Kalian semua sungguh bermakna buat diri saya. Saya memang tidak sangka punya ramai peminat di Malaysia Terima kasih," katanya yang ingin sekali lagi datang ke Malaysia pada masa akan datang.

Melihat kepada keterujaan dan sambutan sangat menggalakkan oleh peminat yang hadir, tanpa disedari, air mata Kwang Soo mengalir ketika melihat layar lebar yang menayangkan hasil kreativiti yang dihasilkan oleh peminat Malaysia.

Tambahan, ketika aktiviti sesi soal jawab dijalankan, hampir kesemua soalan yang diberikan berkenaan perihal Kwang Soo dapat dijawab oleh rata-rata peminat yang hadir.

Justeru, terharu dengan pengetahuan peminat mengenai dirinya, Kwang Soo meluahkan rasa terharu sambil dilihat mengesat air mata : "Pengetahuan kalian yang luas mengenai diri saya membuatkan saya terasa sebak dan sedih, walhal sepatutnya ia menjadi aktiviti yang menyeronokkan."

Pelawak tapi pemalu

Peminat program realiti TV, Running Man mungkin melihat Kwang Soo sebagai seorang yang nakal serta dianggap pengkhianat kerana sering mengkhianati ahli kumpulan yang lain, namun, pada hakikatnya, jejaka ini seorang yang pemalu.


ADA sahaja jenaka spontan Kwang Soo apabila bersama peminatnya.


Ini kerana, setiap kali melakukan aktiviti atau berlakon di atas pentas bersama peminat bertuah yang 'berlakon' bersamanya, Kwang Soo pasti menutup muka sambil senyum tersipu-sipu.

Adakalanya, dia memberitahu kepada peminat bahawa dirinya sangat malu namun demi menghiburkan dan tidak ingin menghampakan peminatnya, diteruskan jua aksi spontan yang ternyata membuatkan penonton tidak kering gusi.

Bukan sahaja berhibur bersama peminat, malah, Kwang Soo turut mempersembahkan bakat nyanyiannya dengan menyampaikan sebanyak tiga buah lagu yang berjudul Hug, Because I Love You dan I Believe.

Sebelum mengakhiri acara, pengacara acara tersebut, Baki Zainal sempat mengadakan sesi temuramah bersama jejaka ini di atas pentas.

Ketika ditebak persoalan tentang watak yang ingin dilakonkannya, tanpa bersembunyi Kwang Soo menyatakan keinginannya untuk watak yang belum pernah ditawarkan kepadanya.

"Saya pernah memegang watak sebagai antagonis dan begitu juga watak romantis. Selepas ini mungkin apa yang saya inginkan ialah memegang watak seorang lelaki playboy.

"Apa yang saya boleh katakan, saya sangat sukakan lakonan, jadi, sepanjang bergelar pelakon, tiada apa yang saya tidak suka," jawabnya yang juga ditanya mengenai pengalaman pahit sepanjang penglibatan dalam bidang lakonan.

Tambah jejaka berusia 28 tahun ini mengenai karier lakonannya, dia bakal tampil dalam sebuah drama tempatan kelak. Beritahunya juga, dia seorang yang romantik, dan watak antagonis dirasakan kurang sesuai dengan empunya diri kerana lakonannya sebelum ini memegang watak seumpama itu dilihat kurang mendapat sambutan.

Ditanya juga adakah dia akan kembali ke industri peragaan, jawab Kwang Soo, walaupun dia sangat sukakan bidang tersebut, namun, perancangan untuk kembali tidak pernah terlintas di benak mindanya.


KWANG SOO turut mempersembahkan bakat nyanyiannya dengan menyampaikan sebanyak tiga buah lagu yang berjudul Hug, Because I Love You dan I Believe.


"Bidang peragaan ialah suatu pengalaman yang sangat bermakna buat diri saya. Banyak pengalaman manis yang ditimba sepanjang menjadi peragawan.

"Namun, sejak ke bidang lakonan, saya tidak pernah rindukan bidang tersebut. Malah, saya sangat berpuas hati dengan kehidupan saya kini," beritahunya ketika berjumpa peminat di Singapura.

Jelasnya lagi, dalam karier lakonan, dia ingin menjadi seorang pelakon serba boleh di mana dia berhasrat untuk melakonkan pelbagai watak dan tidak mahu tertumpu terhadap satu watak sahaja.

Antara lebih kurang 10 soalan yang diajukan, soalan ini merupakan antara yang mendapat sorakan paling kuat daripada 2,000 peminat yang memenuhi ruang tingkat 15 pusat perdagangan tersebut.

"Saya suka wanita yang pendek dan mempunyai senyuman yang menawan untuk dijadikan sebagai teman wanita," ungkapnya ketika ditanya kriteria wanita idaman yang diidamkan olehnya.

Nisha bertunang tanpa bapa

Posted:

Nisha bertunang tanpa bapa

Nisha bertunang tanpa bapa

Oleh IZWAN MOHD. ISA

SIKAP Edi yang begitu memahami dirinya, antara faktor yang membuatkan Nisha terpikat kepada pemuda ini.


HATI anak mana yang tidak sayu apabila hari pertunangannya dengan bakal suami diraikan sepi tanpa kehadiran ayah tercinta. Begitulah yang dirasai oleh pelakon Nisha Dirr, 30, ketika melangsungkan majlis pertunangan dengan seorang usahawan, Edi Khusyairi Datuk Ab. Kadir, 34, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur minggu lalu.

Tampak ayu mengenakan busana berona biru firus hasil rekaan Mida'R Boutique & Fashion Couture berkata, suasana meriah pada petang itu terasa sedikit hambar tanpa kehadiran ayah yang tercinta.

"Ayah saya tidak dapat hadir pada hari ini kerana terpaksa menjaga nenek yang sedang terlantar sakit. Dia begitu teringin untuk turut serta tetapi saya memberitahu supaya terus menjaga nenek kerana dia lebih memerlukan perhatian ayah saya.

"Lagipun, ayah telah memberikan restu kepada saya dan Edi untuk meneruskan majlis pertunangan ini. Itu sudah memadai," ujar Nisha yang memilih abang sulung sebelah ibunya, Aziz Atan untuk mewakili ayahnya sepanjang majlis berlangsung.

Petang itu, ibu kepada Edi, Datin Norizan Abdul Manaf menyarung sebentuk cincin emas putih pada jari manis pelakon itu sambil disaksikan oleh ahli keluarga kedua belah pihak.

Nisha atau nama sebenarnya Nik Shahri'ah Nik Dir turut menerima lima dulang hantaran yang dihias indah daripada pihak lelaki termasuklah cincin, kain, telekung dan sejadah, manisan dan kurma serta aneka biskut.

Bertemu di lokasi

Ketika ditanya mengenai saat pertama cinta antara dua hati ini berputik, Edi berkata, dia terpana dengan pesona wajah Nisha sewaktu mula-mula berjumpa dengannya di lokasi penggambaran drama tiga tahun lalu.

"Saya pergi ke Johor Bahru atas sebab kerja. Kebetulan kawan baik saya, Nyon Othman sedang mengarahkan sebuah drama yang dilakonkan oleh Nisha. Pada saat itu, saya telah mula jatuh hati padanya.


IBU Edi menyarungkan cincin pertunangan pada jari Nisha.


"Kemudian, saya beranikan diri untuk mengajaknya keluar makan. Agak sukar pada awalnya kerana dia kerap membawa kawan-kawannya yang lain untuk turut serta. Tapi lama kelamaan, dia mula memberikan respon positif dan kami pun mula menjalinkan hubungan cinta," ujarnya sambil tersenyum.

Lain pula kisahnya dengan Nisha. Dia mula jatuh cinta pada Edi ketika dia bersetuju mengikut tunangnya itu untuk sama-sama bermain permainan paintball.

"Edi sangat aktif dalam permainan paintball dan sering mengikuti pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di peringkat antarabangsa.

"Sejujurnya, saya mula ingin mengenalinya dengan lebih dekat ketika melihat personaliti Edi yang berbeza sewaktu dia beraksi di padang. Dia yang malu-malu dan lemah lembut kelihatan gagah ketika melangkah masuk untuk memulakan permainan. Sebab itu saya tertarik padanya," jelas Nisha yang menyifatkan Edi sebagai seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab.

Tempoh setahun

Dalam pada itu, Nisha memberitahu, tempoh pertunangan yang diikat selama setahun antara dia dan Edi digunakan sebaiknya untuk merancang majlis perkahwinan yang dijangka akan dilangsungkan pada hujung tahun ini.

"Kami mengikat tali pertunangan selama setahun kerana banyak perkara yang harus diselesaikan secara berperingkat.

"Namun Alhamdulillah, sudah ada beberapa individu yang mula menelefon dan menawarkan diri untuk membantu merealisasikan majlis itu nanti. Kami sungguh terharu," ujar Nisha yang hanya membuat perancangan majlis pertunangannya itu dalam tempoh dua minggu.

Masih berlakon

Butir bicara pada petang itu dilanjutkan dengan soalan mengenai karier lakonan pelakon yang pernah popular menerusi drama rantaian kegemaran ramai, Spa Q selepas bergelar tunangan orang.

"Edi merupakan seorang yang memahami dan percaya dengan kerjaya saya. Dia mengenali diri saya juga ketika saya sedang menjalankan tugas sebagai seorang pelakon.

"Justeru, saya anggap ikatan pertunangan ini tidak memberikan apa-apa masalah kepada kerjaya saya mahupun Edi," katanya yang akan menolak jika diminta untuk melakonkan watak-watak yang memerlukannya beraksi terlalu seksi.

Pelakon yang pernah bergelar model itu turut memberitahu, dia masih lagi aktif dan menerima tawaran berlakon daripada beberapa produser tempatan.

"Buat masa ini, drama bersiri Tok Ompek Simpang Ompek sedang ditayangkan di Astro Prima setiap hari Selasa pukul 9.30 malam. Terbaharu, saya akan memulakan penggambaran drama 13 episod untuk siaran RTM," ujarnya lagi.

Privasi bukan sebab Encik Mimpi bertopeng

Posted:

Privasi bukan sebab Encik Mimpi bertopeng

Privasi bukan sebab Encik Mimpi bertopeng

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

HANYA mahu dikenali sebagai Encik Mimpi, pendatang baharu berusia 25 tahun ini merahsiakan identiti dirinya termasuk nama sebenar dirinya.


MENGGUNAKAN nama Encik Mimpi dengan imej bertopeng tanpa mahu mendedahkan nama sebenar itu sesuatu yang baharu cuba ditampilkan oleh penyanyi lagu Rindukanlah yang popular menerusi lagu runut bunyi drama Playboy Itu Suami Aku di slot Akasia, TV3.

Ingin mencari satu kelainan, menurut Encik Mimpi, dia kedekut untuk berkongsi mengenai siapa dirinya sebenar bukan sebab takut privasinya hilang tetapi ingin mengekalkan nama penanya sebagai blogger sebelum ini.

Ia juga merupakan pemintaan pengikut dan peminat blognya yang meminta dia terus menjadi Encik Mimpi tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

Bersedia dengan imej sebegitu, adakah Encik Mimpi juga bersedia untuk menerima cemuhan, kritikan dan kontroversi daripada orang ramai selepas terlibat dalam dunia seni?

Encik Mimpi mengulas mengenai perkara itu kepada Kosmo!.

Dia juga becakap tentang lagu ciptaannya, Rindukanlah yang berjaya mencapai lebih 700,000 tontonan di YouTube selepas dimuat naik empat bulan lalu ketika ditemui pada majlis pelancaran single pertamanya Rindukanlah di Hotel Sani, Kuala Lumpur.

Kosmo!: Boleh cerita lebih lanjut kenapa anda memilih imej bertopeng dan menggunakan nama Encik Mimpi?

ENCIK MIMPI: Encik Mimpi sebenarnya merupakan nama pena saya sebagai blogger bermula tahun 2009. Dalam blog, saya tidak pernah menunjukkan wajah dan mendedahkan nama sebenar saya. Saya cuma kongsikan pengalaman belajar dan bekerja di luar negara.

Jadi, saya cuba kekalkan imej ini selepas mengambil keputusan menceburi bidang nyanyian. Saya juga ada bertanya kepada pengikut-pengikut blog saya dan mereka juga setuju dengan imej seperti ini.

Adakah anda yakin dengan imej seperti ini mampu menarik peminat?

Mungkin peminat akan teragak-agak sebab belum ada lagi penyanyi yang tampil seperti ini. Jika adapun Bandi Amuk. Tetapi dia tidak berahsia dari segi nama dan latar belakang.

SELAIN menyanyi, Encik Mimpi turut terkenal sebagai seorang blogger yang banyak memuat naik lagu hasil ciptaannya buat peminat.


Adakah anda ingin meniru konsep yang sama cuba ditampilkan oleh Bandi Amuk?

Memang ramai yang cakap saya cuba tiru imej Bandi Amuk tetapi sejujurnya saya sendiri yang memikirkan konsep bertopeng putih ini.

Atau anda berselindung dari segi nama dan rupa kerana takut hilang privasi?

Saya tidak kisah hilang privasi atau kehidupan diganggu peminat. Cuma, saya mahu kekalkan konsep perjuangan saya ini sampai bila-bila.

Adakah anda bersedia dikritik dan dicemuh kerana tampil dengan imej seperti ini?

Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat elak daripada komen negatif dan dicemuh tetapi saya ambil itu sebagai kata semangat untuk buktikan yang terbaik.

Mungkin anda boleh kongsikan sedikit siapa sebenarnya anda?

Saya merupakan lulusan kejuruteraan seni bina luar negara berumur 25 tahun. Sekarang, saya bekerja sebagai Pakar Teknologi Maklumat (IT). Sebelum menjadi penyanyi, saya merupakan blogger dan suka mencipta lagu. Disebabkan itu, saya sering muat naik lagu-lagu saya di blog dan juga YouTube. Saya juga suka parodikan lagu.

Boleh cerita lebih lanjut mengenai single pertama Rindukanlah?

Lagu itu berkonsepkan akustik pop. Saya tidak sangka selepas memuatkan lagu itu di YouTube, ramai yang menyukainya dan lagu itu juga terpilih sebagai lagu runut bunyi untuk drama popular Playboy Itu Suami Aku.

Selain Rindukanlah, berapa buah lagu yang anda tulis?

Saya sudah menulis lebih 20 buah lagu.

Mana satukah yang menjadi keutamaan anda sekarang? Menyanyi atau pakar teknologi maklumat?

Buat masa ini, keutamaan saya adalah bekerja di bidang IT. Saya belum merancang untuk fokus sepenuhnya dalam bidang muzik. Saya anggap menyanyi sebagai kerjaya sampingan sahaja.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat