Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Berdakwah cara modenMENURUT definisi Kamus Dewan tentang perkataan berdakwah, ia bermaksud menjalankan kegiatan menyebarkan sesuatu kepercayaan atau menyebarkan ajaran sesuatu agama. Seperti yang diketahui umum, aktiviti pendakwahan dalam Islam, telah dilakukan sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi. Kesinambungan aktiviti tersebut, dilakukan sehingga zaman moden ini. Matlamat utama mubaligh berdakwah adalah untuk menyebarkan ajaran Islam dengan cara memberi tazkirah terhadap masyarakat. Di zaman serba canggih ini, penggunaan media massa merupakan antara medium yang paling penting dalam kehidupan seharian. Tidak kiralah sama ada televisyen, radio, media cetak mahupun media yang lain merupakan antara pendekatan yang mudah untuk mendekati masyarakat melalui berdakwah. Justeru, sejak berabad yang lalu, stesen televisyen khususnya, menggunakan medium tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mewujudkan beberapa program dakwah seperti pembelajaran, tazkirah, soal jawab serta kini pencarian pendakwah di zaman serba moden ini. Sisi berbeza Mimbar Pencetus Ummah Sejajar dengan tagline, Macam-macam Ada, saluran Astro Oasis telah mengambil inisiatif bagi mewujudkan beberapa program dakwah di bawah saluran mereka. Antara program yang diwujudkan mereka termasuklah Imam Muda, Ustazah Pilihan dan yang terbaharu, Mimbar Pencetus Ummah. Apa yang menariknya tentang program berdakwah ini, selain para peserta yang terdiri dalam kalangan penceramah atau pendakwah Islam, pengisian program juga berjaya menarik golongan belia khususnya untuk menonton program tersebut. Tidak dapat dinafikan, pertumbuhan program berunsurkan pendakwahan pada masa kini, semakin bertambah bilangannya.
Namun, menurut pengurus saluran Astro Oasis, Namanzee Harris berkata, Mimbar Pencetus Ummah merupakan sebuah program yang memberi ruang kepada pencetus ummah untuk menyampaikan dakwah secara kreatif. Katanya, antara keunikan Mimbar Pencetus Ummah adalah dari segi pengisian program ini sendiri. "Kami memang ingin tampilkan sesuatu yang berbeza kerana kami cuba menarik golongan muda yang mana kami menekankan aspek penataan cahaya, audio, visual dan juga mewujudkan persembahan dengan memanggil artis-artis bagi memeriahkan program. "Antara perbezaan lain yang dibuat ialah kami menggunakan pendekatan laman sosial seperti Facebook untuk masyarakat memberikan idea serta pendapat mereka. "Jadi, rasanya ini dapat menarik minat golongan belia iaitu remaja khusunya untuk terus menyokong program ini," jelas Namanzee tentang sisi lain program tersebut berbanding program sedia ada. Pengisian serta konsep MPU Tema merupakan antara elemen yang dimasukkan dalam program ini. Setiap minggu pihak produksi akan menyediakan tema untuk para pencetus ummah. Bagaimanapun, sejurus mendapat tema, pengisian harus difikirkan oleh peserta untuk disampaikan secara kreatif. "Mereka akan berbincang dengan ketiga-tiga tenaga pengajar untuk mencari pendekatan yang sesuai. Seperti hadis dan ayat suci al-Quran yang ingin diselitkan, pihak produksi juga telah menyediakan tenaga pengajar yang bertauliah. "Mimbar Pencetus Ummah merupakan program berunsur pendakwah bebas. Jika saya mampu simpulkan, ia memang berbeza dengan program yang juga kami hasilkan iaitu Imam Muda," ungkap Namanzee tentang perjalanan program tersebut. Ujarnya lagi, Mimbar Pencetus Ummah merupakan pencarian pendakwah bebas. Justeru, apa yang dicari ialah pelapis pendakwah bebas. Apa yang paling utama, sudah tentu persembahan para peserta untuk menarik minat penonton terhadap tazkirah yang disampaikan. ANTARA kelainan yang diterapkan menerusi Mimbar Pencetus Ummah melibatkan peserta perlu menunjukkan bakat dalam sketsa. Oleh kerana itu, Mimbar Pencetus Ummah diwujudkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama, kreativiti dalam penyampaian tazkirah manakala peringkat kedua pula ialah tentang kepakaran dan kecekapan dalam sesi soal jawab. "Sesi soal jawab ini boleh datang sama ada dalam kalangan penonton mahupun daripada juri dan tenaga pengajar. Penglibatan artis pula kita kategorikan mereka dalam kalangan penonton. "Cuma kami ingin jadikan program ini sedikit menarik dengan memanggil para artis untuk bertanyakan soalan. Ini kerana kami juga lihat artis memainkan peranan yang penting untuk kami menjadikan program ini lebih menarik dan diterima oleh golongan muda khususnya," jelasnya. Kejutan minggu keenam Jika pemarkahan para peserta sebelum ini diberikan oleh juri tetap profesional, namun, Mimbar Pencetus Ummah telah membuat kejutan kepada peserta dan penonton program itu. Walaupun kebiasaannya peserta tiga undian terendah dipilih oleh juri profesional, namun kali ini, undian telah dibuka kepada penonton untuk memilih siapakan antara enam peserta itu yang layak ke peringkat seterusnya. "Kami ingin mencari empat orang peserta bagi ke peringkat akhir. Jika sebelum ini kami beri hak kepada orang ramai untuk mengundi hanya untuk tiga peserta undian terendah sahaja, namun kali ini, kami buka undi kepada kesemua peserta. "Merujuk kepada sokongan yang diberikan oleh orang ramai yang begitu memberangsangkan, kami rasa, amat sesuai jika diberikan kuasa undi sebanyak 30 peratus yang membolehkan keputusan juga datang dari pihak orang ramai," ujarnya. Ini kerana secara kesimpulannya, tazkirah yang disampaikan adalah untuk penghayatan orang ramai. Justeru, pihak Astro Oasis merasakan, penonton perlu diberi hak sedemikian. Sediakan platform berdakwah Kebiasaannya pemenang sesebuah program realiti TV bakal membawa pulang sama ada hadiah berupa wang tunai, barangan, trofi mahupun sijil penyertaan atau penghargaan. Mimbar Pencetus Ummah pula menawarkan hadiah wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM100,000. Bagi juara, selain hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM50,000, turut disediakan sebuah kereta sebagai hadiah tambahan. Namun, kebiasaannya apa yang dilihat, walaupun menjadi juara sesebuah program realiti TV, juara masih terkontang-kanting mencari platform untuk mempersembahkan bakat. BARISAN peserta Mimbar Pencetus Ummah merupakan sebuah program yang memberi ruang kepada pencetus ummah untuk menyampaikan dakwah secara kreatif. Justeru, setelah keluar dari program tersebut, maka terkuburlah nama atau bakat kerana ketiadaan platform yang akan mengekalkan nama. Ketika ditebak persoalan seumpama itu, jelas Namanzee, pihak Astro Oasis memang telah sedia maklum tentang permasalahan tersebut. Oleh itu, pihak produksi telah membuat perancangan terhadap perkara ini. "Sememangnya ketika mula-mula pihak produksi mencetuskan program ini, memang kami inginkan ia berpanjangan jika mampu. Peserta yang dipilih ini merupakan orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. "Oleh itu, bagi juara sudah semestinya kami akan wujudkan sebuah program untuk mereka, manakala yang selebihnya, mungkin kami akan selitkan mereka dalam program-program yang ada dalam saluran kami," ungkap Namanzee yang akan serapkan peserta lain dalam program seperti soal jawab, tazkirah serta indahnya Iman. Impak Apa yang mampu disimpulkan, ternyata Mimbar Pencetus Ummah bakal meledakkan fenomena tersendiri dalam penghasilan program realiti TV Islamik. Konsepnya yang berbeza serta pengisian kreatif yang disampaikan oleh para pencetus ummah, ternyata berjaya menarik minat golongan belia khususnya. Penyampaian dakwah yang bersahaja, tema yang menarik, artis jemputan yang terlibat dalam sesi soal jawab serta persembahan dari kumpulan artis membuatkan episod seterusnya sentiasa dinantikan oleh penonton. Apa yang menjadi harapan, semoga program dakwah alaf baharu begini diteruskan bagi menarik minat masyarakat kini yang inginkan kepelbagaian terhadap apa jua perkara. Mimbar Pencetus Ummah disiarkan pada setiap hari Khamis pukul 9 malam di saluran Astro Oasis (Saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (Saluran 135). | |
Monumen Stonehenge dinaik taraf Posted: Monumen Stonehenge dinaik tarafSEHINGGA kini pakar arkeologi masih mengkaji tujuan monumen Stonehenge dibina kira-kira 5,000 tahun lalu. SELEPAS beribu tahun kewujudan artifak bersejarah Stonehenge di Wiltshire, England akhirnya, ia mengalami pengubahsuaian. Saat kali pertama menjejakkan kaki, pengunjung pasti merasakan 'sesuatu perkara yang hilang' mengenai monumen prasejarah itu. Kini, para pengunjung tiba di sebuah pusat yang dibina menggunakan kayu dan kaca. Ia kelihatan bercahaya terletak kira-kira 2.4 kilometer (km) dari Stonehenge. Batu yang disusun secara bulatan di kawasan landskap hijau itu, kini tidak lagi dapat dilihat dari mana-mana lokasi. Ia adalah pengenalan kepada sebuah tapak dengan kemudahan dan landskap terkini bagi mengembalikan semula 'maruah' Stonehenge. Ia juga membolehkan lebih sejuta pengunjung menyaksikan perubahan monumen itu. Simon Thurley, juga ketua jabatan kerajaan, English Heritage berkata, pengunjung kini boleh menyaksikan sendiri monumen tersebut bebas daripada semak dan sampah. Pada Selasa lalu, pengamal media dan ahli English Heritage dibawa melawat sendiri pusat itu yang menempatkan 360 darjah gaya sinerama 'lawatan maya' monumen Stonehenge bersama pameran mengenai masyarakat Neolitik Briton yang membina Stonehenge kira-kira 5,000 tahun lalu. Apabila bangunan berkenaan dibuka kepada orang awam keesokan harinya, para pekerja akan melupuskan pejabat tiket lama dan struktur bangunan berkelompok yang tidak menarik berdekatan monumen. Kegemilangan Jalan raya yang sibuk dengan ribuan kenderaan setiap hari berhampiran monumen itu juga ditutup dan dilitupi rumput. Idea berkenaan bertujuan mengembalikan semula kegemilangan Stonehenge, terletak di 130km barat daya London sebagai sebuah landskap kawasan pedalaman. PUSAT Stonehenge ini dibina membabitkan kos sebanyak RM144 juta. Pelawat akan dibawa mengembara menggunakan sebuah kenderaan khas atau berjalan kaki untuk menjelajah setiap laluan dan laluan perarakan purba yang telah beberapa tahun dipisahkan oleh asfal. Malah, bangunan dua blok satu tingkat baharu iaitu satu blok kaca dan satu blok kayu di bawah bumbung beralun itu dibina sesuai dengan landskap kawasan berkenaan. "Jika pengunjung tidak mengingati bangunan ini setelah pulang ke rumah tetapi masih ingat kepada monumen, ia sudah cukup baik," kata arkitek, Stephen Quinlan. Dalam pameran itu, turut dipaparkan pencipta monumen prasejarah tersebut sebagai seorang yang sofistikated. Dia mengembala babi, memburu, mengadakan keramaian dan membina monumen yang penuh misteri itu. Seorang pengukir forensik, Oscar Nilsson, membentuk semula tengkorak dan wajah seorang rakyat tempatan berusia 5,000 tahun. Wajah berkenaan mempunyai struktur wajah kacak iaitu lelaki zaman prasejarah. Nilsson berkata, kebanyakan wanita English Heritage jatuh cinta dengan wajah manusia prasejarah itu. Dana Dana pengubahsuaian pusat itu dikumpulkan melalui derma selain keuntungan loteri negara Britain melibatkan jumlah sebanyak £27 juta (RM144 juta). Caj kemasukan meningkat hampir dua kali ganda daripada harga asal iaitu RM42 ke RM78 untuk dewasa. Terdapat kafeteria moden dan kedai menjual barangan cenderahati yang menjual barangan seperti jem Stonehenge, coklat, topi besbol, pad tetikus, magnet peti sejuk dan baju-T tertera Stonehenge Rocks. Kawasan komersial itu diasingkan daripada monumen asal untuk mengekalkan nilai misteri Stonehenge. Stonehenge dibina melibatkan tiga fasa iaitu antara 3,000 SM sehingga 1,600 SM. Pakar arkeologi percaya, ia merupakan pusat rumah ibadat, bagaimanapun fungsinya masih samar. PUSAT khas mengenai Stonehenge menyediakan maklumat lengkap mengenai monumen prasejarah itu. Kajian terkini menunjukkan kawasan itu merupakan tanah perkuburan untuk keluarga elit. Pakar arkeologi sudah menemui beberapa baki badan yang dibakar di kawasan itu dan ditanda dengan batu biru. Batu bagi Stonehenge yang kedua masih berdiri kukuh dipercayai dibawa dari kawasan sejauh 280km dari lokasi terkini. Pembinaan berlangsung untuk beberapa abad dan ia mungkin menjadi lokasi menyembah Druid, pengiraan kalendar dan astronomi atau lokasi penyembuhan. Kajian membuktikan, terdapat sekumpulan besar individu yang berkumpul di Stonehenge pada musim panas dan sejuk sehingga tradisi itu diamalkan sehingga kini. Kurator, Sara Lunt berkata, masih terdapat pelbagai rahsia yang boleh dibongkar. "Tujuan asal pembinaan Stonehenge masih bersifat misteri. Kita sedar terdapat alasan kukuh di sebalik pembinaan monumen itu dan batu yang disusun dalam bulatan merentasi British Isles pada zaman Neolitik," katanya. - AP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |