{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Bekukan getah, tak cacatkan wajah

Posted:

Bekukan getah, tak cacatkan wajah

Bekukan getah, tak cacatkan wajah

ASID mempunyai sifat masam dan menghakis. Perkataan asid itu sendiri berasal daripada perkataan Latin, Acidus yang bererti masam.

Asid mampu melarutkan banyak benda seperti logam, kapur, besi, magnesium dan zink selain berupaya menukarkan warna sesetengah tumbuhan.

Sifatnya yang menghakis boleh mendatangkan kecederaan seperti melecur dan buta jika terkena pada mata.

Sebatian kimia itu turut digunakan secara meluas oleh penoreh getah yang memerlukan asid formik atau bahasa pasarnya, cuka getah untuk membekukan hasil getah cair yang dikumpul sebelum dihantar ke kilang.

Tetapi, apabila cuka getah disalahgunakan oleh orang tertentu untuk tujuan membalas dendam atau melepaskan rasa marah, maka kesannya amat tragis sehingga menyebabkan kulit melecur, mematikan tisu, kulit tertanggal dan meninggalkan parut yang dahsyat.

Atas sebab itulah, sebuah syarikat Bumiputera, Hiska Sinergi Sdn. Bhd. memperkenalkan cuka getah Hiska bagi menggantikan cuka getah sedia ada yang ternyata berbahaya kepada pengguna apatah lagi kalau disalagunakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hisham Kassim, 43, idea untuk menghasilkan produk berkenaan diperoleh pada tahun 2007 selepas beliau berpendapat inovasi baharu perlu dilakukan bagi menggantikan cuka getah sedia ada.

"Seperti yang diketahui, cuka getah sangat mudah diperoleh dan ia turut menjadi senjata dalam kes-kes simbah asid. Disebabkan itu, kami mencipta produk cuka getah yang tidak berbahaya dan selamat digunakan.

SEORANG pekerja mengisi cuka getah Hiska yang sudah siap diproses ke dalam botol 5 liter dan 20 liter.


"Produk ini adalah hasil garapan idea saya bersama dua pengarah teknikal, Abdullah Ahmad, 60, dan Abd. Rafik Yusof, 56.

"Kami menjalankan penyelidikan menggunakan bahan asid formik sebagai asas penghasilan cuka getah selama lebih dua tahun dan hampir 100 kali percubaan bagi membekukan susu getah dalam masa yang singkat," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Mentakab, Pahang.

Musim tengkujuh

Jelasnya, pada permulaan penyelidikan, tempoh pembekuan susu getah dicatatkan selama setengah jam dan dari situ, proses penambahbaikan dilakukan.

"Setiap sampel penyelidikan dihantar kepada Lembaga Getah Malaysia sehinggalah kami berjaya membekukan susu getah dalam masa tiga minit.

"Proses pembekuan susu getah memakan masa yang lama iaitu antara enam jam hingga sehari sekiranya menggunakan cuka getah sedia ada.

"Tetapi, dengan Hiska ia dapat menjimatkan masa malah membantu pengusaha ladang memperoleh hasil lebih lumayan," tambahnya yang sudah menjalankan perniagaan selama lima tahun.

Beritahu beliau, cuka getah Hiska juga tidak berbau selain tidak merosakkan kulit dan akar pokok getah.

Katanya, produk itu juga membantu menjadikan kandungan getah lebih berat antara 8 hingga 25 peratus sementara penoreh tidak perlu bimbang dengan kedatangan musim tengkujuh.

"Hujan lebat mengakibatkan susu getah melimpah dari bekasnya dan ini amat merugikan kerana susu getah terbuang begitu sahaja, malah kegagalan penoreh memungut hasil mengakibatkan komoditi bernilai itu menjadi mangsa kecurian.


SUSU getah menjadi padat dan kenyal serta tidak berbau busuk.


"Jika tidak hujan sekali pun, susu getah tidak dapat dipungut dalam jangka masa singkat kerana perlu menunggu jumlahnya separuh atau penuh.

"Dalam jumlah itu barulah cuka dapat diletakkan sebelum hasil getah dapat dipungut dalam tempoh 24 jam," katanya sambil memberitahu, produk keluaran syarikatnya itu memenangi tempat kedua Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi pada Ekspo Teknologi Malaysia 2010.

Menurutnya, getah beku yang dihasilkan itu masih tidak padat sepenuhnya selain mengeluarkan air apabila ditekan.

"Cara penggunaannya juga amat mudah, penoreh hanya perlu meletakkan cuka getah Hiska sebanyak kira-kira 25 mililiter ke dalam bekas susu getah bersaiz 1 kilogram sebelum menoreh.

"Penoreh juga boleh menoreh terlebih dulu dan kemudiannya meletakkan cuka getah Hiska tetapi mereka perlu mengacaunya supaya campuran tersebut menjadi sekata.

Padat

"Susu akan membeku sebaik sahaja menitis ke dalam bekas itu dan penoreh dapat memungutnya dengan kadar segera sekali gus mengelakkan risiko getah beku dicuri," jelasnnya.

Tambahnya, terdapat beberapa punca sekiranya susu getah tidak membeku, antaranya disebabkan usia pokok getah tersebut.

"Pokok getah yang berusia 26 tahun ke atas melambatkan proses membeku selain penggunaan penggalak susu," beritahu beliau.

Mohd. Hisham berkata, dengan terhasilnya produk itu, diharapkan tiada lagi berita mengenai mangsa simbahan asid menggunakan cuka getah manakala kerja menoreh dapat dilakukan sepanjang masa walaupun pada musim hujan.

"Cuka getah Hiska didatangkan dalam bentuk 5 dan 20 liter serta masing-masing dijual pada harga RM30 dan RM180.

"Bagi kandungan 5 liter, ia boleh digunakan pada 200 batang pokok getah manakala 1,600 batang pokok bagi kandungan 20 liter.

MENURUT Mohd. Hisham, sebanyak 50,000 botol cuka getah Hiska dihasilkan syarikatnya dalam sebulan.


"Malah, produk ini juga boleh mencapai jangka hayat selama 15 tahun atau lebih.

"Ia turut digunakan di tanah rancangan milik kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra)," ujarnya yang memberitahu, pihaknya menghasilkan 50,000 botol Hiska dalam sebulan.

Katanya, berdasarkan maklum balas, penggunaan cuka getah Hiska turut mengurangkan jumlah populasi nyamuk dan serangga perosak di kawasan ladang.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Felcra Bukit Sireh, Kuala Krai, Kelantan, Rudaini Ramli, 44, berkata, beliau mula menggunakan produk itu hampir dua tahun iaitu semasa bertugas di Felcra Kawasan Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan.

"Sebelum ini, kami menggunakan cuka getah biasa yang memerlukan masa selama dua hingga tiga jam untuk susu getah membeku. Tetapi dengan Hiska, tempoh pembekuannya lebih singkat walaupun pada musim hujan.

"Malah, saya dapati susu getah yang dicampurkan dengan cuka getah Hiska menjadi lebih padat dan tiada rongga-rongga udara kelihatan," katanya.

Jelasnya, hampir 8 peratus pertambahan berat dicatatkan berbanding penggunaan cuka getah biasa.

Si pelakar imej organisasi

Posted:

Si pelakar imej organisasi

Si pelakar imej organisasi

Oleh ZULHILMI JALIL
zulhilmi.jalil@kosmo.com.my


ROSLIZA sudah lali dengan lemparan kata-kata kesat orang ramai yang datang membuat aduan kepadanya.


SEPERTI yang diaturkan, kunjungan kru Jurnal ke pejabat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Selangor baru-baru ini disambut mesra wanita berbaju ungu ini.

Biarpun pada ketika itu beliau sedang ditatarias si jurumekap, sempat juga beliau mempelawa masuk ke dalam ruang bilik pejabatnya.

"Ungu dikatakan warna bagi tahun 2014 sebab itulah saya pakai baju ungu hari ini," seloroh si pemilik nama Rosliza Mohd.

Menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPAJ, ternyata anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini memiliki jadual kerja yang padat.

Sungguhpun begitu, hasrat kru Jurnal untuk betemu beliau pada tengah hari itu tidak dihampakan.

Suka bertanya

Saat menceritakan kisah di sebalik kerjayanya, ada gambaran jelas bahawa wanita ini sememangnya memikul satu amanah yang besar dalam memastikan fungsi jabatan yang diterajuinya itu terlaksana.

Lebih-lebih lagi, jabatan tersebut jugalah yang berperanan menjaga imej pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Namun, melihatkan kepetahan beliau bercakap, tiada siapa menyangka ibu kepada dua anak ini sebenarnya tidak memiliki latar belakang dalam bidang perhubungan awam.

"Saya dulu seorang jurutera perisian. Malah, sewaktu mula-mula bekerja di sini, saya bertugas sebagai pegawai teknologi maklumat," ujar graduan Teknologi Maklumat dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

JADUAL kerja yang padat membuatkan wanita ini perlu bijak membahagikan masa antara pejabat dan keluarga.


Rosliza yang berkhidmat bersama PBT itu sejak tahun 2003 memberitahu, beliau perlu bijak menguruskan Unit Perhubungan Awam, Unit Inovasi dan Unit Teknologi Maklumat yang terletak di bawah jabatannya.

"Saya suka bertanya kepada orang yang lebih mahir jika saya tidak pasti mengenai sesuatu perkara. Daripada situlah saya belajar khususnya semasa mula-mula memegang jawatan ini," ujar bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah di Seremban ini.

Malah, katanya, pengalaman lalu sebagai Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar di UUM juga banyak membantu beliau belajar cara berkomunikasi dengan baik.

"Kerjaya perhubungan awam memerlukan saya berjumpa ramai orang termasuk wartawan.

"Jadi saya kena tahu cara untuk berurusan dengan mereka sebab masing-masing ada ragam tersendiri," katanya.

Ketika ditanya pengalaman pahit beliau bersama PBT itu, Rosliza berkata, bilik pejabatnya pernah diceroboh oleh seorang lelaki yang ingin membuat aduan.

"Dia terus meluru masuk ke dalam bilik saya sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

"Katanya, dia tidak puas hati dengan tahap kebersihan di kawasan rumahnya," ujar Rosliza.

Biarpun PBT selalu menjadi tudingan jari segelintir masyarakat berkaitan isu kebersihan atau penjaja haram, Rosliza ada formula untuk menanganinya.

"Kena maki sama ada secara berdepan mahupun menerusi telefon itu perkara biasa. Tapi kita kena guna cara berhemah apabila berdepan dengan situasi seperti itu," ujarnya.

Keluarga

Cerita Rosliza, dia lebih gemar bersikap tenang walaupun individu terbabit datang dengan penuh kemarahan.

Katanya, rata-rata aduan yang diterima banyak berkaitan dengan perkhidmatan asas seperti penyelenggaraan infrastruktur dan pengurusan sampah.


WANITA ini menggalas tanggungjawab menjaga imej Majlis Perbandaran Ampang Jaya.


Di sebalik pelbagai cabaran, wanita ini tekad mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap PBT.

"Orang selalu salahkan PBT untuk semua masalah di kawasan mereka. Jadi, saya mahu buang segala persepsi buruk itu," katanya.

Rosliza turut mengakui kerjaya itu menuntut beliau sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk di luar waktu pejabat.

Sesibuk mana sekalipun, katanya, keluarga tetap menjadi keutamaannya.

Maka, sebab itulah Rosliza akan memastikan dirinya pulang ke rumah bagi memasak hidangan makan malam untuk keluarganya biarpun beliau ada menggaji pembantu rumah.

"Anak-anak saya pernah kata 'ibu ini asyik bekerja sahaja'. Maklumlah, hujung minggu pun selalu ada program, jadi kena turun padang sekali," ujarnya.

Menurut Rosliza, sepasang anaknya itu turut memiliki jadual harian masing-masing.

"Selain ke sekolah, ada kelas-kelas tambahan di luar yang saya hantar mereka untuk belajar pada hujung minggu," katanya yang mengakui telefon pintar banyak memudahkannya melaksanakan tugas seharian.

Fenomena cuaca sejuk

Posted:

Fenomena cuaca sejuk

Fenomena cuaca sejuk


UNGGUN api digunakan untuk memanaskan badan dalam cuaca dingin.


RUTIN harian Sukhon berubah sejak tiga bulan lalu sementelah lelaki warga Thailand itu terpaksa menjerang seperiuk besar air panas untuk kegunaannya mandi setiap pagi.

Malah, dia terpaksa mengenakan dua hingga tiga lapis pakaian termasuk baju sejuk dan stoking walaupun berada di dalam rumah.

Kesejukan luar biasa itu menyebabkan lelaki berusia lewat 40-an itu mengelak untuk keluar dari rumah terutamanya pada waktu malam dan awal pagi.

Cuaca sejuk dengan suhu minimum 17 darjah Celsius yang melanda Thailand bukan sahaja mengehadkan kegiatan harian penduduk malah turut memberi kesan kepada tanaman padi di negara itu.

"Tuaian baharu padi didapati tidak berkualiti kerana berbunga lebih awal daripada biasa.

"Apabila suhu rendah, pembajaan terjejas dan kami hanya mendapat sekam padi kosong," kata Presiden Kehormat Persatuan Pengeksport Padi Thailand, Vichai Sripraset menerusi portal berita Bangkok Post.

Lebih memburukkan keadaan, musim sejuk yang melanda seluruh wilayah utara, timur laut dan tengah Thailand itu telah meragut 63 nyawa setakat ini.

Turut menjadi mangsa ialah ialah seorang bayi berusia sebulan dan warga emas berumur 81 tahun serta seorang warga Kemboja dan seorang rakyat Britain.

Paling sejuk

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Thailand, Songkram Aksorn memberitahu, wilayah sempadan utara Chiang Rai mencatatkan paling banyak kematian dengan jumlah enam mangsa setakat ini.

Ia diikuti wilayah Sa Kaeo dan Nakhon Ratchasima di timur laut dengan masing-masing mencatat lima kematian.

Katanya, Bangkok turut mengalami waktu malam paling sejuk pernah direkodkan dalam tempoh 30 tahun dengan suhu jatuh sehingga 15.6 darjah Celcius.

"Musim sejuk tahun ini adalah paling panjang dalam dekad ini iaitu berlarutan sehingga tiga bulan," ujarnya.

Kejadian cuaca sejuk yang berlaku di Negara Gajah Putih itu turut melanda Malaysia apabila beberapa buah negeri di laporkan mencatatkan suhu purata serendah 17 darjah Celcius akibat terkena 'tempias' fenomena tersebut.


PENDUDUK Thailand terpaksa mengenakan baju sejuk dan skaf ketika berada di luar rumah.


Perlis yang pernah mencatatkan suhu paling panas iaitu 40.1 darjah Celcius pada tahun 1998 kini mengalami perubahan suhu yang nyaman iaitu sekitar 23.3 darjah Celcius pada waktu siang dan 20 darjah Celcius pada malam hari.

Beberapa buah kawasan di negeri Pantai Timur tidak terkecuali apabila mencatatkan suhu terendah pernah direkodkan dalam sejarah.

Jajahan Kuala Krai, Kelantan mencatatkan bacaan suhu paling rendah iaitu 17 darjah Celcius berbanding sekitar 29 darjah Celcius bagi suhu maksimum.

Kawasan Pasir Putih pula mencatatkan bacaan 19 darjah Celsius selain Kota Bharu dan Gong Kedak dengan purata 20 hingga 25 darjah Celsius.

Angin monsun

Di Terengganu, Besut mencatatkan penurunan sehingga 19 darjah Celsius menjadikan ia rekod suhu terendah yang pernah dicatatkan di daerah itu.

Seorang penduduk di Kerteh, Siti Nuur Ailmi Ahmad, 27, memberitahu, cuaca di daerah itu ternyata lebih dingin daripada biasa dengan suhu sekitar sekitar 21 darjah Celsius berbanding hari biasa.

"Kami sekeluarga sudah dua bulan tidak menggunakan pendingin hawa, kipas pun guna pengaliran udara.

"Kalau mandi pun sekejap sahaja sebab sejuk sampai ke tulang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan itu berlaku ekoran tempias cuaca sejuk melampau dari negara di Hemisfera Utara yang dibawa oleh tiupan angin Monsun Timur Laut.

Angin monsun itu membawa kedinginan dari tanah besar China yang ketika ini sedang mengalami musim sejuk.

"Keadaan litupan awan yang kurang di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi," katanya.

Tambah Helmi, cuaca dingin ini dijangka akan berlarutan sehingga awal minggu hadapan berdasarkan keadaan cuaca dan tiupan angin untuk beberapa hari yang akan datang.

"Fenomena ini akan berakhir apabila tiba musim peralihan dengan angin bertiup dari arah Lautan Pasifik," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat