Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Pusat komuniti warga Petaling Jaya Posted: Pusat komuniti warga Petaling JayaSEBELUM adanya Jaya Supermarket, terhampar tanah lapang yang menjadi taman permainan mega kepada kanak-kanak sekitar kejiranan Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor. Budak lelaki berkejaran menggelecek bola, sebahagian yang lain pula keriangan bermain rounders. Tanpa rela, kawasan pencetus kegembiraan anak-anak di situ dipagar kepingan zink, menghalang rekreasi petang berjalan secara rutin. Papan tanda pembangunan dinaikkan, meranapkan harapan kanak-kanak untuk sekali lagi berlari bebas di kawasan tersebut. Juita Abdul Jalil, antara susuk genit dalam kumpulan pelajar sekolah rendah yang hampir setiap hari membaling batu ke arah pekerja pembinaan di kawasan lapang tersebut. Marah, kecewa dan benci menjalar dalam diri mereka. Kehilangan padang tempat bermain adalah isu besar dalam hidup kanak-kanak dan individu yang meniti remaja. Begitupun, takungan emosi negatif Juita, 49, surut jua akhirnya. Perlahan-lahan, rasa marah berubah menjadi teruja. Pembinaan di kawasan lapang itu secara berperingkat menangkap minat penduduk sekitar. Makin lama, bangunan itu kian tinggi. "Jaya Supermarket ialah bangunan tinggi pertama di Seksyen 14 pada era 1970-an, jadi semua orang kagum. Ketika ia dibangunkan, kami kurang jelas tentang kegunaannya, namun selepas ia siap sepenuhnya dan dibuka pada tahun 1974, siapa sangka ia bakal mengubah persepsi masyarakat setempat," imbas Juita yang berpindah dari Pulau Pinang ke Petaling Jaya ketika berumur empat tahun. Rasa kehilangan terhadap taman permainan yang kini menjadi tapak berdiri Jaya Supermarket lenyap begitu sahaja. Juita dan teman seusianya menemui 'taman' baharu yang memberikan pengalaman berbeza. Pusat beli-belah Jaya Supermarket menjadi rumah kedua Juita. Selepas waktu sekolah, lokasi itulah yang ditujui Juita setiap hari tanpa gagal. Hampir semua pekedai di Jaya Supermarket mengenali Juita. Pemilik kedai perkakas yang dipanggil Kak Normah antara individu terakrab dengan Juita, malah dia sering makan tengah hari bersama wanita tersebut. KIOS pertama Nelson's Corn di Jaya Supermarket dibuka pada tahun 1985. Kedai alat menjahit dan gedung buku juga sering dikunjungi Juita. Tidak ketinggalan, pasar raya Cold Storage di tingkat bawah bangunan itu, pernah menyaksikan nilai ringan tulang pengarah urusan syarikat pengurusan acara itu membantu seorang jurujual menggantungkan tanda harga barangan. Kunjungan Juita ke Jaya Supermarket tidak mengundang kemarahan ibu bapanya. Malah, ibunya sendiri pergi ke pusat beli-belah itu setiap harian. Cerita Juita: "Orang di situ pun kenal ibu saya, sebab dia sering beli roti untuk diberi kepada kawanan burung merpati di depan Jaya Supermarket dan kucing jalanan di lorong belakang." Ubah suai Kegembiraan Juita dan remaja lain tidak berpanjangan. Jaya Supermarket ditutup buat kali pertama bagi memberi laluan kepada proses menaik taraf. Darah muda mereka memberontak, menolak pembaharuan dan kemungkinan kehilangan pekedai-pekedai kegemaran masing-masing. Ketakutan itu nyata terjadi. Apabila ia dibuka semula, ruangan air pancut mini di tengah pusat beli-belah itu digantikan dengan perkhidmatan tukang kasut. Sejak di bangku sekolah rendah menginjak ke peringkat menengah, rutin Juita di Jaya Supermarket sebelum naik ke tingkat atas adalah duduk di air pancut yang diletak bersebelahan tangga berpusing itu bagi melihat titisan air menghempas batu-batu kecil. "Bayangkan daripada sempurna bentuk batu tersebut sampai ia melekuk. Betapa kuatnya memori saya terhadap Jaya Supermarket. Bila air pancut itu dialihkan saya amat kecewa dan kemarahan itu dilampiaskan kepada tukang-tukang kasut di situ. "Tetapi siapa sangka, tidak lama kemudian, saya mengangkat mereka sebagai tukang kasut terbaik di Petaling Jaya," lancar Juita menyusun bicara tanpa lekang menguntum senyum. Melalui fasa pembaharuan besar-besaran sebanyak dua kali, Jaya Supermarket kekal memenangi hati penduduk Petaling Jaya sebagai pusat beli-belah bersifat komuniti. Peralihan masa daripada 1970-an, 80-an dan 90-an memaksa Jaya Supermarket tampil relevan ekoran kewujudan pusat beli-belah lebih moden dalam radius berhampiran. Vera Soo, 31, penduduk tetap Seksyen 14 menyifatkan Petaling Jaya sebagai penempatan bervariasi kaum yang unik. Latar belakang bandar raya tersebut yang pernah menjadi estet mempelbagaikan penduduknya. Melayu, Cina dan India hidup dalam kerukunan. KELUASAN Jaya Shopping Centre yang lebih kecil berbanding pusat beli-belah utama lain secara tidak langsung menjadikan ia gedung bersifat komuniti yang urban. "Tidak keterlaluan jika Jaya Supermarket dijadikan perlambangan penyatuan warga Petaling Jaya," tulus kenyataan Vera yang bekerja sebagai seorang perunding laman web. Tatkala orang sibuk mengagungkan pusat beli-belah moden yang lain, penduduk Seksyen 14 setia memilih Jaya Supermarket. Bak kata Vera: "Di mana anda boleh melihat orang pergi ke pusat beli-belah memakai pakaian santai di rumah? Pemandangan ini hanya ada di Jaya Supermarket." Agak lucu apabila Vera memberitahu, troli-troli Jaya Supermarket dijadikan troli persendirian segelintir penduduk yang berjalan kaki ke pusat beli-belah itu menggunakan jalan pintas. Belum lagi membayangkan ketika bekalan elektrik terputus di kawasan sekitar, berduyun-duyun orang datang ke Jaya Supermarket yang ketika itu satu-satunya bangunan yang memiliki generator sendiri. Malapetaka Tanggal 7 Februari 2008 menjadi hari terakhir operasi Jaya Supermarket sebelum ditutup bagi membolehkan pusat beli-belah itu menjalani transformasi mega seiring peredaran zaman dan cita rasa penduduk setempat. Reputasi unggul ikon komuniti itu bagaimanapun tercalar apabila ia meragut tujuh nyawa pekerja binaan selepas runtuh pada 28 Mei 2009. Bangunan dengan empat tingkat kedai dan lima tingkat pejabat itu ranap tanpa memberi amaran. Warga Seksyen 14 gempar dan hal itu disampaikan kepada Juita menerusi ibunya. "Selepas berkahwin, saya pindah ke Kota Damansara, Selangor. Bila mendengar perkhabaran itu saya terus ke tempat kejadian. Saya menangis melihat keadaan Jaya Supermarket ketika itu. Segala memori bagaikan tenggelam dalam runtuhan bangunan tersebut," berkaca mata Juita mengimbau detik itu. Pemergian ibunya ke rahmatullah pada tahun lalu mendorong Juita kembali ke Seksyen 14. Dia berpindah semula ke kejiranan penuh nostalgia itu dan mahu anak-anaknya melalui kitaran yang sama bersama pusat beli-belah komuniti baharu, Jaya Shopping Centre (JSC). JSC mungkin baharu pada struktur dan ambiennya. Bagaimanapun, semangat lamanya itu masih wujud dalam diri setiap warga Petaling Jaya. Seperti Juita, Vera juga meyakini kemampuan JSC dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat. "Kami (penduduk Petaling Jaya) sudah melupakan peristiwa hitam membabitkan Jaya Supermarket. Dengan adanya JSC, ia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dan menambah pilihan restoran kepada kakitangan pejabat berhampiran," ujar Vera. Peruncit asal Bakal membuka pintu kepada umum menjelang Mac tahun ini, JSC menyaksikan kepulangan 30 peratus penyewa lama, ketika era kemasyhuran Jaya Supermarket sekitar tahun 1980-an. Perniagaan francais tempatan dengan produk berasaskan jagung, Nelson's Corn antara peruncit asal yang bakal mewarnai atmosfera baharu Seksyen 14 menerusi JSC. Pengasas jenama itu, Datuk Nelson Kwok Teng Toong menyenangi hasrat tersebut, tambahan pula Jaya Supermarket ialah lokasi pertama yang menerima Nelson's Corn ketika dibuka secara rasmi pada tahun 1985. Menyifatkan Jaya Supermarket sebagai mercu tanda Petaling Jaya, Nelson melihat JSC sebagai tempat permulaan penuh bersejarah dalam kariernya. Pelanggan lamanya juga berpeluang merasai semula keenakan jagung dalam cawan milik perusahaannya. "Dulu kedai jagung saya terletak di bawah tangga, berhampiran pintu utama Jaya Supermarket. Bila orang masuk, bau harum jagung yang dimasak terus memanggil-manggil pelanggan. "Kini menerusi JSC, saya tawarkan konsep kedai baharu. Nelson's Corn akan dilengkapi kerusi bagi memberi keselesaan kepada pengunjung," kongsi Nelson ketika ditemui Kosmo!. |
Terminal ikonik kebanggaan India Posted: Terminal ikonik kebanggaan IndiaINDIA diramal menjadi pasaran penerbangan ketiga terbesar dunia selepas Amerika Syarikat dan China. MUMBAI akhirnya memperkenalkan terminal lapangan terbang baharunya, lengkap dengan reka bentuk berasaskan burung merak dan hiasan penuh berseni baru-baru ini. Pengubahsuaian bernilai 2 bilion rupee (RM147 juta) bertujuan untuk memulihkan reputasi India yang sebelum ini terkenal dengan rekaan kurang bermutu. Perdana Menteri, Manmohan Singh yang telah merasmikan pintu masuk ke ibu kota kewangan itu yang digambarkan oleh ketua projek tersebut sebagai 'ibu kepada segala cabaran' kerana kekangan tanah di kawasan tersebut yang didiami oleh penduduk miskin. Bersedia mengendalikan penerbangan antarabangsa dan domestik, terminal dilengkapi 140 kaunter imigresen, 94 balai pemeriksaan keselamatan, tempat letak kereta terbesar di India dan jalan bertingkat dengan enam lorong. Terminal itu juga merupakan program seni awam terbesar di India dan bakal menjadi muzium paling dilawati di dunia dengan pameran sepanjang tiga kilometer merangkumi 7,000 kerja seni, mural Bollywood dan plaster dinding daripada tahi lembu. Manmohan berkata, terminal tersebut dijangka menjadi penanda aras baharu global untuk lapangan terbang. "Ia menunjukkan keupayaan kita sebagai sebuah negara dalam membina infrastruktur bertaraf dunia," kata Perdana Menteri yang juga Ketua Parti Kongres dalam usaha menyerlahkan kejayaannya menjelang pilihan raya pada Mei nanti. TERMINAL ini dijangka menjadi penanda aras baharu global untuk lapangan terbang. Penduduk miskin Satu perubahan besar ialah dari segi kesesakan terminal dan keadaan terminal yang teruk. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan dan projek mega itu turut berdepan beberapa masalah. Ia sepatutnya siap pada tahun 2012, namun kos baik pulih lapangan terbang yang meningkat dari RM5.28 bilion kepada RM6.74 bilion menjadi halangan. Selain itu, pemaju berdepan kesukaran memindahkan puluhan ribu penduduk miskin yang tinggal di kawasan lapangan terbang itu. Pemaju hanya mempunyai tanah seluas 570 hektar untuk digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf terminal. Ekoran itu, pemaju terpaksa membina terminal tersebut dalam bentuk X yang merentangi empat bangunan. Kebanyakan penduduk di kawasan lapangan terbang itu tinggal di rumah beratapkan zink, keadaanya sangat berbeza dengan terminal serba baharu itu. Mereka enggan berpindah kerana syarat-syarat penempatan semula yang tidak jelas, kata Jockin Arputham, Presiden Persekutuan Penduduk Setinggan Kebangsaan. Pertikaian penempatan semula patung politik pahlawan raja pada abad ke-17 juga mengundang kelewatan selama 17 bulan. Malah, cabaran paling besar ialah pembinaan terminal tersebut terpaksa dilakukan di atas tapak lapangan terbang sedia ada ketika operasi penerbangan berjalan seperti biasa. HIASAN lampu candelier ini diilhamkan daripada bunga teratai. Identiti India "Apabila kami mendapat projek ini, ia seperti mustahil untuk dilakukan," kata G.V. Sanjay Reddy, Pengarah Urusan Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai Pvt. Ltd yang juga Naib Pengerusi Tenaga dan Infrastruktur GVK, syarikat India yang mengetuai operasi dan pengubahsuaian lapangan terbang itu. "Projek infrastruktur di India adalah rumit," katanya. Reka bentuk terminal itu memberi tumpuan kepada identiti India daripada hiasan beratus-ratus lampu candelier berbentuk bunga teratai hingga siling yang mempunyai 272 lubang yang membolehkan cahaya matahari masuk di bahagian pendaftaran masuk. Ia turut dilengkapi kanta istimewa yang bergerak mengikut cahaya matahari bagi menghasilkan pantulan di atas lantai seperti bulu burung merak iaitu burung kebangsaan India. "Lapangan terbang ini tidak menjadikan pelancong asing sebagai golongan sasaran, sebaliknya disasarkan kepada rakyat India. Rakyat India telah melupai asal usul mereka," kata Reddy. Walaupun terminal itu berkapasiti 40 juta penumpang setahun, namun terdapat kebimbangan mengenai masa depan industri penerbangan Mumbai ekoran kekurangan ruang di bandar yang padat dengan penduduk miskin itu. Ketua Perunding penerbangan Asia Selatan firma CAPA, Kapil Kaul menyifatkan terminal itu sebagai terminal ikonik kepada landskap penerbangan, namun pertumbuhan lapangan terbang itu akan terbantut apabila mencapai maksimum jumlah penerbangan dalam beberapa tahun akan datang. India diramal menjadi pasaran penerbangan ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China pada tahun 2020 dengan pengendalian 337 juta penumpang domestik dan 84 juta antarabangsa, menurut kerajaan. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |