Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Pandu karavan 25,500 kilometer Posted: Pandu karavan 25,500 kilometerCUACA panas pada pagi Sabtu itu tidak sedikit pun mematahkan semangat keluarga Jamalulail Ismail untuk meneruskan perjalanan pulang ke tanah air. Pemanduan dari Songkhla, Thailand ke Bukit Kayu Hitam, Kedah bersama isteri, Sofinee Harun, 38, serta empat orang anak mereka, Puteri Sabeera, 17, Muhammad Syameem, 16, Sumrah, 13, dan Ahmad Seif, 10, seolah-olah tidak terasa. Menelusuri Phetkasem Road, perjalanan sejauh kira-kira 87 kilometer itu lebih lancar sementelah karavan jenis Mercedes Sprinter yang dipandu Jamalulail turut diiringi polis trafik dari negara Gajah Putih tersebut. Kurang dari satu jam setengah lagi, enam sekeluarga itu akan tiba di Malaysia selepas mengharungi perjalanan darat selama 155 hari dari bandar raya Sunderland, England. Pengembaraan bersejarah sejauh kira-kira 25,500 kilometer yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana keluarga itu akhirnya tiba di sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 12.30 tengah hari, 14 Disember lalu. Ketika dihubungi kru Jurnal baru-baru ini, Jamalulail memberitahu, siri jelajah yang bermula pada 13 Julai lepas itu merentasi 26 buah negara termasuk Perancis, Belanda, Jerman, Switzerland, Itali, Turki, Bulgaria, Slovenia, Laos dan China. Mengimbas kembali memori ekspedisi tersebut, lelaki yang berasal dari Hutan Melintang, Perak itu mengakui mengembara ke seluruh dunia memang menjadi impiannya sejak kecil lagi. Menurutnya, dia berhijrah ke England bersama isteri dan dua orang anaknya pada tahun 1999 selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam jurusan Reka Bentuk Kejuruteraan Automatif di Universiti Coventry, England. "Ketika itu isteri sedang sarat mengandung anak ketiga. Hanya Sumrah dan Ahmad Seif sahaja yang lahir di sana. "Kami menetap di negara itu hampir 15 tahun dan dalam tempoh itu anak-anak hanya belajar di rumah dengan tunjuk ajar daripada isteri yang juga pernah berkhidmat sebagai guru sementara di Jitra, Kedah," jelasnya. EKSPEDISI keluarga Jamalulail tiba di sempadan Wilayah Naryn, Kyrgyzstan dan Xinjiang, China. Jurutera berusia 44 tahun itu berkata, kerinduan terhadap kampung halaman mula menebal dan bertitik tolak daripada situ, dia dan isteri mula merangka pelan untuk pulang ke tanah air menerusi projek pengembaraan jalan darat. Jadi, bagi merealisasikan impiannya, beliau sanggup berhenti kerja sebagai jurutera di syarikat perusahaan multinasional, Caterpillar pada tahun 2007. "Idea untuk melakukan ekspedisi itu tercetus sekitar tahun 2002 namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana keadaan anak-anak yang masih kecil. "Sehinggalah pada tahun 2010, kami mula serius memikirkan mengenai trip ini," jelasnya . Tambah Jamalulail, mereka sekeluarga terpaksa membelanjakan £60,000 (RM320,000) untuk membiayai kos perjalanan itu termasuk membeli sebuah karavan. "Karavan terpakai dengan nombor plat R984 HNS itu dibeli pada harga £15,000 iaitu lebih kurang RM75,000," ujarnya. Jamalulail berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan ketika memilih kenderaan yang sesuai lebih-lebih lagi untuk perjalanan darat yang memakan masa panjang. Paling jauh "Selepas mencari beberapa kenderaan yang bersesuaian dengan bajet, kami sepakat untuk membeli karavan ini," ujarnya. Bertutur lanjut, Jamalulail berkata, beliau dan isterinya turut merangka enam pelan secara keseluruhan bagi mengenal pasti jalan darat yang sesuai, selamat serta boleh dimasuki tanpa sebarang kerenah birokrasi. "Persiapan lain dari aspek teknikal, laluan perjalanan, sistem navigasi, tukaran mata wang asing dan visa juga perlu dibuat lebih awal bagi memastikan kelancaran perjalanan," jelasnya. Cerita Jamalulail, laluan perjalanan yang paling panjang dalam ekspedisi itu ialah negara China dengan jarak sejauh 8,000 kilometer (km). RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengucapkan tahniah kepada keluarga Jamalulail di atas kejayaan menaiki karavan untuk pulang ke tanah air dari England. Menariknya, beliau perlu mengambil lesen memandu dan menukar nombor plat kenderaan mengikut undang-undang negara tersebut. Namun, katanya, mereka menghadapi kekangan kewangan kerana terpaksa membayar kos perkhidmatan pemandu pelancong sebanyak £10,000 iaitu kira-kira RM50,000. "Kerajaan China mewajibkan pembayaran caj perkhidmatan ke atas pemandu pelancong yang dilantik khas. "Jadi, kami terpaksa mengeluarkan sejumlah wang bagi membayar servisnya selama 24 jam sehari untuk tempoh 24 hari. "Visa juga diperlukan bagi membolehkan kami masuk ke negara berkenaan," jelasnya. Minyak gel Tambah Jamalulail, pelbagai peristiwa menarik serta memori indah mewarnai pengembaraan karavan yang digelar 'By Road to Malaysia' itu. Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menempuh detik-detik sukar ekoran masalah perubahan cuaca yang ekstrem. "Semasa di Krygyzstan, minyak diesel yang digunakan bertukar menjadi gel akibat suhu yang terlalu sejuk. "Minyak tidak dapat dicairkan secara terus menggunakan api kerana kenderaan yang kami naiki menggunakan tangki polimer. "Jadi, saya terpaksa mencairkan minyak itu menggunakan alat pemanas elektrik," jelasnya sambil memberitahu, mereka bertuah kerana karavan seberat 3,600 kilogram itu tidak pernah meragam. Bagi Sofinee, pengalaman menjalani ibadah puasa dalam musim panas yang mencecah suhu 50 darjah Celsius mengajar sifat lebih sabar dalam menghadapi ujian hidup. "Kami berpuasa sehingga 19 jam sehari dalam keadaan cuaca yang begitu panas. "Lebih malang, karavan kami tidak mempunyai alat pendingin hawa kerana direka khusus untuk negara beriklim sejuk," ujarnya. ENAM sekeluarga ini tiba di Malaysia pada 14 Disember lalu. Dari kiri, Sumrah, Puteri Sabeera, Jamalulail, Ahmad Seif, Sofinee dan Muhammad Syameem. Tambah wanita kelahiran negeri Sarawak itu, cabaran lain yang dialami sepanjang perjalanan tersebut termasuklah dari segi pemanduan kerana stereng kenderaan di hampir semua negara adalah di sebelah kiri. "Di England, stereng kereta terletak di sebelah kanan begitu juga di Thailand dan Malaysia. "Namun, kami perlu membiasakan diri untuk menggunakan stereng di sebelah kiri ketika memandu dari Perancis hingga Laos. "Untuk itu, sekiranya saya tidak memandu, saya perlu menolong suami untuk lihat keadaan jalan dulu sebelum memotong," katanya. Sofinee berkata, pengalaman ketika dirompak di Teheran, Iran juga sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna agar lebih berhati-hati pada masa hadapan. Katanya, karavan mereka dimasuki pencuri sehingga menyebabkan kehilangan sebuah generator yang amat penting untuk mendapatkan tenaga elektrik ketika kecemasan. "Kemudian kami dirompak pula seorang lelaki Iran yang menyamar sebagai anggota polis dan melarikan dua telefon pintar iPhone. "Walaupun begitu, kami bersyukur kerana Allah sentiasa memelihara keselamatan serta kesihatan kami anak-beranak," jelasnya sambil memberitahu mereka sekeluarga kini tinggal buat sementara di rumah ibunya di Perlis. Tambahnya, buat masa ini mereka masih belum pasti sama ada mahu menetap di Malaysia atau pulang ke England. "Kami masih belum mempunyai apa-apa perancangan kerana masing-masing mahu berehat daripada pengembaraan yang panjang itu. "Namun, saya perlu segera memikirkan mengenai hal persekolahan anak-anak yang masih belajar," katanya yang bercadang untuk memberi pendidikan di sekolah secara formal jika mereka menetap di Malaysia. | ||
Posted: Kosmetik halal Ili ZawaniOleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
MELIHAT pencapaian wanita yang bergelar ahli perniagaan pada usia 20 tahun, kru Jurnal merasakan yang dia sebenarnya sudah berjaya dalam perniagaan yang diceburi. Tetapi berbeza pula bagi Ili Zawani Ismail, 27, apabila memberitahu, dia masih jauh daripada mencapai impiannya. "Secara peribadi, saya masih belum layak untuk mengatakan yang saya sudah berjaya kerana banyak lagi perkara yang belum dicapai mengikut definisi kejayaan dalam kamus saya sendiri. "Malah, saya juga bercita-cita untuk mempunyai program bual bicara sendiri yang berunsurkan inspirasi dan ilmiah bagi melahirkan generasi yang lebih berkualiti, berdaya saing dan bekerja keras. "Selain itu, saya juga mahu menjadi tokoh korporat wanita berpengaruh yang mampu membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan agama," ujarnya. Tampil ayu dan feminin dalam persalinan jubah berwarna hitam, wanita ini berkata, dia sebenarnya tidaklah terlalu feminin seperti sekarang. "Jika dahulu, saya bergaya ringkas sahaja dan mengenakan lipstik dan bedak untuk keluar tetapi apabila memasuki bidang kecantikan, saya menjadi lebih feminin dengan menitikberatkan segala aspek kecantikan yang sememangnya sinonim dengan wanita. "Malah, saya juga mengamalkan petua seperti menggunakan madu sebagai masker dan memperbanyakkan minum air masak bagi menjaga kecantikan," jelasnya yang mempunyai 21 orang kakitangan. Ujar Ili Zawani, dia merupakan seorang yang ringkas dan elegan selain agak perahsia. Malah, dia lebih gemar melancong atau berehat di suatu tempat yang sunyi bagi membolehkan dia melepaskan tekanan akibat kerja. Bersolat "Selalunya saya akan berehat di rumah atau mencari lokasi percutian yang tidak serabut untuk menenangkan fikiran. "Jika stres, saya akan menulis apa yang menyebabkan saya stres di atas sekeping kertas dan kemudian membuangnya. Ini kerana kita perlu menyingkirkan stres tersebut daripada fikiran sebagai salah satu cara melepaskan tekanan selain mengunjungi spa," katanya yang masih solo. Mengulas lanjut bidang perniagaan yang diceburi, Ili Zawani memberitahu, kosmetik halal bukanlah sesuatu yang menjadi kepentingan umum pada mulanya. "Kesedaran umum mengenai kepentingan produk halal semakin meluas, bukan setakat minuman dan makanan, tetapi mereka kini turut mementingkan penggunaan kosmetik yang halal. "Kosmetik ini diiktiraf sebagai halal kerana kandungan bahan yang digunakan seperti ekstrak tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan minyak sayuran adalah yang dibenarkan di dalam Islam malah ia juga dimiliki dan diproses oleh orang Islam sendiri di Turki. "Selain itu, ia juga memudahkan wanita untuk melakukan solat tanpa was-was sekiranya menggunakan produk ini," beritahu anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini. UJAR Ili Zawani, jenama FCC menepati tiga elemen yang dicari wanita iaitu memenuhi keperluan, berkualiti dan harga berpatutan. Kata wanita yang berasal dari Selangor ini, dia tidak pernah terlintas akan menglibatkan diri di dalam dunia perniagaan memandangkan dia merupakan lulusan perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Kolej Universiti Sunway. "Saya sangat meminati mata pelajaran Matematik dan untuk itu, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya melanjutkan pelajaran untuk bergelar akauntan. "Tetapi sayang, saya tidak dapat meneruskan cita-cita itu kerana keluarga memerlukan seseorang untuk mengusahakan perniagaan. "Tanpa latar belakang dalam bidang perniagaan, saya memikul tanggungjawab itu pada usia yang begitu muda," ujarnya. Bagi memastikan potensi komestik halal berkembang di Malaysia, Ili Zawani terlebih dulu melakukan kajian pasaran dan ternyata industri kosmetik tetap berkembang tidak kira bagaimana keadaan ekonomi sekali pun. "Walaupun ekonomi merudum, wanita masih memerlukan barangan kosmetik bagi penjagaan diri sepanjang masa tetapi mereka kini lebih gemar memilih kosmetik yang dijual pada harga berpatutan. "Untuk itu, saya memperkenalkan kosmetik halal, Farmasi Colour Cosmetics (FCC) dari Istanbul, Turki pada harga yang berpatutan dan alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. "Produk ini memenuhi tiga elemen yang wanita secara amnya cari dalam sesuatu produk iaitu memenuhi keperluan, berkualiti dan harga yang berpatutan. "Teksturnya yang ringan pula membolehkan pengguna berasa selesa dan yakin," jelas pemenang Anugerah Gadis Ikon 2011/2012 ini. Timba pengalaman Sebanyak 185 jenis produk FCC boleh didapati di 17 kaunter pasar raya seperti Parkson dan Aeon Big selain di enam cawangan online utama seperti Zalora dan FashionValet. Menurut Ili Zawani, peluang menyertai Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) membolehkannya menimba pengalaman dan bertukar-tukar idea berkaitan perniagaan selain mewujudkan jaringan antara usahawan wanita. "Sebagai perancangan, saya berhasrat menjadikan FCC sebagai satu produk halal yang sudah tidak asing lagi di Malaysia dari segi kualiti, harga dan imej. "Selain itu, saya juga ingin membawa produk ini ke Indonesia, Brunei dan Singapura secara lebih meluas," jelasnya mengakhiri bicara. | ||
Posted: Kembar beza tahunANAK sulung kepada pasangan Begazo ini dilahirkan secara normal. SAAT jarum jam berdetik tepat pukul 12 tengah malam, Lindsay Salgueiro selamat melahirkan bayi kembar perempuan di Hospital Trillium Health Partners-Credit Valley, Mississauga, Kanada. Uniknya, kelahiran saudara kembar itu bukan sahaja disambut pada masa berlainan malah mereka tidak akan berkongsi tahun dan tarikh lahir yang sama. Manakan tidak, Gabriella Salgueiro sebagai kakak lahir pada 31 Disember 2013 manakala adiknya, Sophia Salgueiro dilahirkan pukul 12 tengah malam 1 Januari 2014. Gabriella yang lahir lapan minit lebih awal iaitu pada pukul 11.52 malam memiliki berat 2.7 kilogram (kg) manakala Sophia 2.4kg. Pasangan kembar unik itu mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai antara bayi terakhir yang dilahirkan pada tahun lepas dan paling awal lahir tahun ini. Lindsay menerusi portal berita ABCNews.com dipetik berkata, pada peringkat awal, doktor menjangkakan kandungannya itu bakal dilahirkan pada 19 Januari depan. Namun, dia terpaksa dimasukkan ke wad bersalin lebih cepat iaitu pada malam tahun baharu selepas mengalami rasa sakit di bahagian pelvik. "Sebagai ibu, saya bersyukur kerana kedua-dua bayi perempuan ini dilahirkan dalam keadaan normal serta sihat. "Saya percaya kehadiran mereka pasti menambah seri kepada keluarga kami," katanya yang turut mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Christian Rodriguez. Sementara itu, suasana tenang di Hospital MedStar Washington, Washington D.C., Amerika Syarikat (AS) turut dikejutkan dengan berita gembira mengenai kelahiran bayi kembar berlainan tahun. Ibu kepada bayi tersebut, Yaleni Santos Tohalina memberitahu, anak yang dilahirkannya pada malam tahun baharu lalu itu merupakan pasangan kembar lelaki dan perempuan. GABRIELLA lahir pada 31 Disember 2013 manakala adiknya, Sophia pada 1 Januari 2014. Anak sulung Menurut wanita berumur 39 tahun itu, bayi perempuan yang dinamakan Lorraine Yaleni Begazo dilahirkan pada pukul 11.58 malam manakala saudara kembarnya, Brandon Ferdinando Begazo disambut pada pukul 12.01 tengah malam. Lorraine yang lahir tiga minit lebih awal memiliki berat badan 2.8kg manakala Brandon lebih ringan iaitu sekitar 2.5kg. Menurut portal The Washington Post, anak sulung kepada pasangan Begazo ini pada awalnya dijangka lahir pada 21 Januari depan. "Meskipun demikian, proses bersalin berjalan lancar dan keadaan kesihatan isteri serta anak saya berada pada tahap baik. "Saya berasa sangat bahagia. Kembar ini anak pertama kami dan mereka benar-benar sempurna," jelas suami Yaleni, Warren Begazo. Pasangan yang berasal dari Arequipa, Peru itu merasakan kedatangan tahun baru kali ini lebih bermakna dengan kehadiran dua cahaya mata itu. "Pada mulanya kami berasa agak sedih kerana tidak dapat meraikan malam tahun baharu bersama keluarga dan kawan-kawan. "Namun, kelahiran bayi ini memberikan kami kegembiraan yang tidak boleh ditandingi sesiapa pun," katanya. Warren yang turut memiliki seorang anak lelaki berusia 18 tahun menerusi perkahwinan terdahulu memberitahu, pasangan kembar itu pasti melengkapi antara satu sama lain. "Buat masa ini, Lorraine kelihatan lebih aktif manakala adiknya lebih banyak diam. "Saya yakin, anak lelaki saya juga pasti gembira dan tidak lagi berasa sunyi di rumah dengan kehadiran saudara baharu dalam keluarga kami," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |