Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Tuah kaligrafi Tahun Baharu Cina Yong Posted: Tuah kaligrafi Tahun Baharu Cina Yong
SETIAP kali menjelang sambutan Tahun Baru Cina, sebuah kios mini di hadapan premis menjual hiasan rumah di Jalan Sultan, Kuala Lumpur pasti dikerumuni ramai peminat seni kaligrafi Cina. Mereka mahukan tulisan unik dan seni hasil tangan Tony Yong, yang berusia 50 tahun itu, menghiasi rumah mereka dengan harapan mendapat ong atau tuah tahun baharu. Kios yang dikendalikan pengusaha dan pengiat seni kaligrafi itu menjadi tumpuan kerana kehalusan karya seninya. Bermula sebagai hobi sejak 13 tahun lalu, Yong mengakui pada peringkat awal beliau agak sukar untuk menghasilkan karya yang memuaskan memandangkan beliau tidak mempunyai asas dalam seni kaligrafi. Malah, menurut pesara swasta itu, beliau hanya bergantung kepada kesabaran yang tinggi di samping berusaha membaiki kemahiran dari semasa ke semasa. "Teknik menulis kaligrafi memerlukan kesabaran dan ketekunan dengan membuat latihan berulang kali sehingga mencapai penghayatan estetik yang maksimum. "Setiap pagi, saya meluangkan masa selama tiga jam untuk membuat latihan menulis bagi menghasilkan karya yang diingini," katanya. Menurut Yong, menghayati hasil karyanya yang digantung di dinding rumah dapat menenangkan jiwanya. "Setiap kali melihat karya-karya yang digantung di rumah, saya akan rasa tenang dan gembira. Segala kepenatan dan kesedihan akan hilang jika saya menatapnya," kata beliau. Kepuasan dan keyakinannya untuk menulis kaligrafi semakin membara apabila ada pelanggan yang mengumpul koleksi hasil karya kaligrafi beliau. Lebih manis, ada juga yang menunjukkan kembali kepadanya karya yang telah lama dihasilkan yang sesetengahnya tiada lagi dalam koleksi Yong. Menurut Yong, setiap perkataan, ungkapan ataupun peribahasa yang ditulis mempunyai makna tersendiri dan bukan semua ungkapan sesuai untuk ditulis dalam bentuk kaligrafi. "Masyarakat Cina biasanya sangat mempercayai tuah lebih-lebih lagi mereka begitu menekankan konsep hiasan rumah untuk membawa tuah malah selalu menggunakan khidmat pakar feng shui untuk mengkajinya. "Ada juga pelanggan yang meminta saya menulis perkataan tertentu serta nama premis perniagaan mereka dalam bentuk kaligrafi kerana disyorkan oleh pakar feng shui mereka," katanya. YONG mahu seni kaligrafi Cina diajar dan diwarisi oleh generasi muda. Tuah Menurut Yong, seni kaligrafi semakin kurang mendapat sambutan terutama dalam kalangan generasi muda kerana mereka menganggapnya sebagai kemahiran yang sukar dipelajari. "Generasi muda lebih tertarik kepada lukisan moden yang tidak mempunyai banyak prinsip dan peraturan seperti kaligrafi Cina. "Mereka juga kurang sabar. Apabila gagal menghasilkan karya yang baik, mereka berputus asa dan tidak mahu belajar lagi," katanya. Yong berkata, seni kaligrafi Cina yang diwarisi sejak zaman pemerintahan Dinasti Song di China lebih 1,000 tahun lepas perlu terus dipraktik dan diajar kepada generasi muda hari ini. "Selain mengekalkan seni budaya bangsa, langkah berkenaan penting supaya kemahiran kaligrafi dapat diwarisi dan kekal menjadi identiti sesuatu bangsa," katanya. Yong berkata, seni kaligrafi Cina begitu sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina kerana biasanya perkataan-perkataan ong yang berkait rapat dengan sambutan terbesar masyarakat Cina akan ditulis di atas kertas merah menggunakan berus khas dan dakwat hitam. "Contohnya, kami bakal menyambut Tahun Kuda pada 31 Januari ini, oleh sebab itu ramai pelanggan meminta saya menulis perkataan ma (kuda) di atas kertas merah. "Kami menggunakan kertas merah sebagai latar belakang setiap perkataan kaligrafi kerana warna merah melambangkan tuah kepada masyarakat Cina," katanya. Setiap karya kaligrafi Yong dijual pada harga serendah RM3 dan boleh mencecah hingga ribuan ringgit bergantung kepada saiz dan bilangan perkataan. Yong berkata, ada pihak yang menjemputnya membuat persembahan menulis kaligrafi secara langsung pada majlis-majlis tertentu dan bayarannya juga bergantung kepada bilangan perkataan dan saiz huruf yang akan ditulis. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |