Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Norlizana perkenal CheekyLizzy Posted: 22 Jan 2014 09:50 PM PST Oleh mariatul qatiah zakaria Norlizana Fazlia Zulkafli menunjukkan sebahagian daripada produk kraf jahitan yang dihasilkan. TIDAK memiliki kemahiran bukanlah penamat kepada apa juga yang ingin dilakukan kerana tiada yang mustahil di dunia ini janji ia disusuli dengan semangat serta keyakinan diri. Istilah di mana ada kemahuan di situ ada jalan juga sedikit sebanyak mampu membuatkan seseorang itu berfikir, kejayaan pasti diperoleh sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Menjadikan kesemua itu sebagai kata-kata semangat untuk memajukan diri, Norlizana Fazlia Zulkafli, 30, berusaha mendalami bidang jahitan walaupun sebelum ini memegang jarum dan benang pun tidak pernah. Ditambah lagi dengan alasan bosan dan sunyi tinggal di rumah tanpa berbuat apa-apa, menjadikan Norlizana atau lebih mesra disapa Liz lebih tekad untuk mempelajari bidang jahitan. Berkat usaha yang bersungguh-sungguh serta semangat yang tinggi, siapa sangka daripada tidak tahu menjahit apatah lagi bermain dengan benang dan jarum, akhirnya Liz mampu membuktikan kejayaan menerusi penghasilan kraf tangan yang menjadi mata pencarian sampingannya. Diletakkan di bawah jenama CheekyLizzy, kesemua kraf tangan yang dihasilkan adalah tulen daripada jahitan Liz sendiri. Berbicara lanjut mengenai pembabitannya dalam bidang kraf tersebut, ulas anak kelahiran Ipoh, Perak ini, segala-galanya berlaku apabila dia mendirikan rumah tangga dan mengikut suaminya pulang ke negara kelahirannya di Melbourne, Australia. Pada awal penghijrahannya, Liz tidak mempunyai pekerjaan dan masa seharian di rumah hanya dihabiskan untuk mengemas serta melakukan kerja-kerja rumah. Dalam tempoh tersebut, Liz yang biasa bekerja di tanah air terasa kekok dan masa yang terluang banyak dihabiskan dengan melayari internet. Akhirnya dengan tidak sengaja Liz telah melayari beberapa blog yang memaparkan mengenai keindahan kraf tangan yang dihasilkan sendiri melalui jahitan. Pada masa yang sama, Liz turut mendapati di Melbourne, banyak kraf tangan yang dihasilkan sendiri dijual melalui internet dan tanpa berfikir panjang dia terus menanam minat untuk belajar menjahit. "Terus terang saya nyatakan bahawa saya tidak tahu menjahit dan seumur hidup tidak pernah memegang jarum dan benang, tetapi sejak berkahwin dan mengikut suami berhijrah, saya jadi bosan tinggal di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan. "Akhirnya sementara menanti jawapan untuk dipanggil temuduga, internet merupakan peneman setia hinggalah satu hari saya melihat banyak kraf tangan yang menarik dihasilkan oleh orang-orang di sini (Melbourne) dan ia dijual secara dalam talian melalui internet. "Dari situlah saya mula terfikir untuk belajar menjahit sekaligus menghasilkan kraf tangan sendiri dan akhirnya inilah hasilnya, CheekyLizzy," ujarnya yang ditemui sewaktu pulang ke tanah air untuk melawat ayahnya yang menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kini bukan sahaja mahir bermain dengan benang dan jarum, malah Liz juga mahir menggunakan mesin jahit dan pelbagai kraf tangan telah dihasilkan. Antaranya, bekas pensel, beg susu bayi, beg sandang belakang, dompet, beg tote, tilam bayi, bantal, dan pembalut pasport. Apa yang membanggakan sejak pertengahan tahun 2012, kraf tangan yang dihasilkan Liz telah pun dipasarkan di pasar di Melbourne. Selain itu, jenama CheekyLizzy juga boleh didapati melalui laman sosial facebook, laman sesawang www.cheekylizzy.com serta madeit.com.au. Menggunakan fabrik serta aksesori seperti zip serta butang yang berkualiti, Liz memberitahu kini pelanggannya terdiri daripada pelbagai golongan. Sememangnya turut membuka tempahan daripada pelanggannya, Liz juga menerima tempahan mengikut cita rasa para pelanggannya. Tidak hanya menghasilkan pelbagai kraf mengikut tempahan, Liz juga menghasilkan barangan yang siap untuk kemudahan pembeli membeli secara terus tanpa perlu menunggu lama. Boleh didapati pada harga serendah RM12, barangan kraf yang dihasilkan Liz sememangnya cukup berkualiti di samping kraf yang begitu menarik dengan pelbagai warna dan pilihan. "Kesemua barangan CheekyLizzy dijual dalam mata wang dollar Australia tetapi ia berbaloi kerana bahan-bahan yang digunakan baik daripada fabrik serta aksesori adalah yang berkualiti. "CheekyLizzy sememangnya merupakan barangan kraf yang dihasilkan sepenuhnya oleh saya dan Insya-Allah apa jua barangan yang dikehendaki ada dijual ataupun anda boleh menempahnya. "Sudah pasti penghantarannya akan sampai terus di hadapan pintu rumah pelanggan," katanya menutup bicara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |