Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 23 Jan 2014 10:52 PM PST Ainil Hawa Razali di butik terbarunya di Bandar Baru Bangi, Selangor. Qaira Hijab bermula sejak tahun 2009. Awalnya, perniagaan ini dilakukan secara kecil-kecilan untuk rakan-rakan di pejabat. Selepas itu, dia melangkah setapak lagi dengan membuka perniagaan dalam talian melalui facebook sehingga berjaya mengumpul lebih 400,000 like tidak termasuk pengikutnya di instagram dan blog. "Sambutan luar biasa itu mendorong saya membuka butik yang pertama di Teluk Intan, Perak pada Disember 2012 dengan berpegang kepada prinsip mengutamakan kualiti. Permintaan yang semakin tinggi menyebabkan kami memutuskan untuk membuka cawangan kedua di Shah Alam, Selangor pada Jun tahun lalu dan terbaru di pusat beli-belah Bangi Gateway, Seksyen 15, Bangi," ujar Ainil ditemui di butik terbarunya, baru-baru ini. Bagi Ainil, jenama produknya dapat bertahan sehingga kini disebabkan sokongan padu dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan setia. Keyakinan yang diberikan oleh para pelanggan cukup dihargai dengan menghadiahkan mereka rekaan-rekaan terbaru pada setiap minggu yang membuatkan para pelanggan sentiasa ternanti-nanti tudung terkini. Selain itu, mutu kualiti jahitan dan kain yang digunakan amat dititik-beratkan yang menurut Ainil, membuatkan para pelanggan sentiasa berpuas hati dan tersenyum bangga. "Jika para pelanggan tersebut mengikuti kami melalui laman sesawang atau facebook, kami akan pastikan mereka mendapat layanan yang terbaik dengan menjawab segala kemusykilan menerusi email atau whatsapp. Ini membuatkan pelanggan akan sentiasa rasa dihargai dan percaya. "Khidmat penghantaran yang pantas juga menjadi perkara penting dalam perniagaan secara dalam talian. Pelanggan tidak harus dibiarkan menunggu terlalu lama untuk mendapat produk yang ditempah. "Lazimnya, selepas pembayaran dibuat, pihak kami akan terus membungkus dan pengeposan dibuat dengan menggunakan perkhidmatan Pos Laju. Hanya dengan satu hingga dua hari para pelanggan akan mendapat tudung yang ditempah," katanya. Pelanggan setia Menurut Ainil, dengan perubahan teknologi, strategi pemasaran amat penting agar sejajar dengan arus pemodenan. Peningkatan yang mendadak dari segi penggunaan laman media sosial seperti facebook dan instagram oleh penduduk Malaysia secara tidak langsung telah membantu mempercepatkan lagi pengiklanan. "Selain itu, kami juga meningkatkan mutu kualiti tudung selari dengan kehendak terkini para pelanggan dan sentiasa mengambilkira pendapat mereka. "Pelanggan yang setia juga merupakan medium pengiklanan apabila mereka akan menghebahkan kepada rakan mengenai tudung yang mereka gemari," ujar Ainil yang menyifatkan pembukaan butik Bangi satu bukti pencapaian kerana terletak di kawasan pusat pasaran pakaian Muslimah, Beliau juga percaya persaingan yang sihat ini akan membuatkan para peniaga akan sentiasa menghasilkan produk yang berkualiti tinggi untuk menarik minat pelanggan masing-masing. Para pelanggan juga semestinya mempunyai hak untuk membuat pilihan yang terbaik. "Kepercayaan pelanggan merupakan asas kekuatan sesuatu perniagaan. Tambahan pula, perniagaan tudung dan pakaian muslimah yang diperkenalkan hanya mengutamakan pelanggan wanita. Maka, sikap jujur dan tidak berkira amat penting dalam perniagaan terutamanya perniagaan di atas talian. "Hubungan baik antara pelanggan bukan setakat peniaga dan pelanggan sahaja, kami mengamalkan konsep kawan, di mana para pelanggan boleh bertanya pendapat mengenai produk yang ingin dibeli," katanya. Selain daripada meningkatkan mutu servis, Ainil mengakui, Qaira hijab juga sangat mementingkan rekaan tudung yang terkini. Tambahnya, lambakan peniaga tudung tidak menjejaskan semangat untuk terus maju, malah Ainil mengambil inisiatif berusaha untuk menghasilkan yang terbaik. Cabaran dan persaingan Ainil menganggap cabaran dan persaingan sebagai lumrah perniagaan kerana yang paling penting perlu sentiasa beringat dan berhati-hati dalam setiap yang dilakukan. "Kesilapan yang berlaku perlulah dijadikan pengajaran agar kita lebih bijak dalam mengusahakan sesuatu. "Seperti yang telah dikatakan persaingan dalam bidang perniagaan yang sama merupakan persaingan yang sihat di mana kita harus sentiasa berfikir agar menjadi lebih eksklusif dan diingati oleh pelanggan. "Jadual kehidupan saya sangat padat buat masa kini kerana sedang giat menyambung pelajaran ke peringkat ijazah kedoktoran. "Bagaimanapun ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus maju dalam bidang perniagaan kerana ini merupakan minat saya sejak dahulu lagi. "Peluang yang diberikan ini saya akan gunakan sebaiknya. Pembahagian masa perlulah bijak agar kedua-dua tanggungjawab ini tidak tercicir. Syukur dengan sokongan keluarga, rakan dan pensyarah yang banyak memberi semangat menyebabkan saya masih boleh terus berdiri dan meneruskan minat yang ada. "Kesibukan jadual saya menyebabkan saya lebih ligat berfikir untuk menghasilkan koleksi atau rekaan tudung tebaru. "Saya berasa sangat gembira apabila pelanggan sentiasa berpuas hati dengan koleksi Qaira Hijab dan sanggup menunggu setiap minggu hanya untuk mendapatkan koleksi terkini," katanya. Pesanan Bagi Ainil, untuk menjadi usahawan wanita, setiap dari mereka perlu ada sikap berani mencuba sesuatu yang baru serta tidak mudah patah semangat. Tidak kira dalam apa jua jenis perniagaan yang kita usahakan, usahawan wanita seharusnya perlu lebih berfikiran kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang baru tetapi sedikit kajian perlulah dilakukan mengenai produk yang ingin dihasilkan agar tidak terlalu mengikut nafsu. Selain itu, usahawan wanita perlu sentiasa peka dengan perkara baru atau persekitaran agar tidak terlalu ketinggalan. "Sebagai contoh, zaman teknologi kini kebanyakan para peniaga mula memasarkan produk melalui internet seperti laman sesawang dan facebook. "Mungkin kita juga harus mengambil pendekatan yang sama dalam strategi pemasaran produk. "Jauhkan sifat irihati atau tamak kerana sikap ini adalah sangat tidak sihat didalam menjalankan sesuatu perniagaan. Sebaliknya kita perlu lebih terbuka dan sentiasa mengambil peluang untuk menambahkan kenalan tidak kira dalam bidang yang sama atau yang berlainan kerana kita tidak tahu peluang yang ada di masa hadapan." katanya. - NOOR FAZRINA KAMAL |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |