{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Hiburan


Jodoh romantis Azura, Christiano

Posted: 03 Jan 2014 06:09 AM PST

Oleh MOHD. ARIFF YUSOFF
Gambar WAHIDIN SALIM

GERBANG perkahwinan boleh disifatkan sebagai satu penanda aras dalam kehidupan seseorang bahawa tiba masa untuk meneruskan kehidupan bersama pasangan tercinta. Perjalanan cerita cinta tidak dapat ditafsirkan, ada pasangan yang terus berkahwin walaupun baharu berkenalan dalam jangka masa yang singkat, malah ada yang mengambil masa yang lama untuk bergelar pasangan suami dan isteri.

Bagi penyampai radio Red FM, Azura Zainal sudah tiba masanya untuk dia melangkah ke alam rumah tangga setelah menemui putera idaman. Bekas pengacara program Disney Channel Asia itu memilih Cristiano Genuino Da Silva sebagai pasangan hidup dan pada 28 Disember lalu, mereka disatukan sebagai suami isteri.

Perkenalan Azura dengan suami yang berasal dari Brazil itu mula berputik sejak lima tahun lalu dan seperti pasangan kekasih lain, mereka juga berharap hubungan tersebut berakhir dengan pernikahan.

"Saya mula mengenali dia (Chris) semasa program kesihatan sebanyak 13 episod yang disiarkan di RTM. Selesai sesi penggambaran episod kedua program tersebut, dia memulakan langkah pertama dengan mengajak saya untuk temu janji makan malam.

"Tanpa rasa gusar, saya terus menerima pelawaan tersebut. Bermula dari situ, hubungan antara kami semakin rapat. Malah, kami juga berkongsi minat yang sama dalam bidang senaman. Hobi saya adalah bersenam, dan kebetulan pula Chris adalah seorang guru seni mempertahankan diri, capoeira," katanya memulakan bicara.

Azura yang disatukan dengan Chris dalam satu majlis pernikahan yang sederhana di Restoran Subak, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur berkata, dia terpikat pada Chris kerana lelaki itu tampak serius dalam menjalin hubungan.

"Sepanjang berkenalan dengan Chris, semuanya berjalan lancar. Cuma kadang kala bahasa menjadi halangan buat kami berdua kerana dia tidak fasih berbahasa Melayu. Apapun saya berbangga dengan sifat dia yang sentiasa cuba memperbaiki kelemahan dari segi berbahasa. Malah, dia sudah terdedah dengan cara hidup budaya Melayu pada hari pertama sampai di Malaysia," cerita Azura.

Tambahnya lagi, Chris menunjukkan kesungguhan dalam memikat hatinya ketika dia membuat keputusan untuk memeluk agama Islam pada bulan September lalu.

"Ketika dia buat keputusan tersebut, saya sudah nampak bahawa dia serius dalam perhubungan kami. Walaupun baharu memeluk Islam, Chris sentiasa memperbaiki diri dan belajar bersungguh-sungguh menjadi seorang muslim yang lebih baik," jelas Azura yang pernah menjadi pengacara untuk program Studio Disney.

Pada hari Azura bergelar isteri kepada Chris, antara rakan selebriti yang hadir memberi ucapan tahniah adalah Dina Nadzir dan Baki Zainal selain kaum keluarga terdekat.

Terpikat sifat romantis Chris

Bagi Azura, sukar untuk mencari kualiti seorang lelaki yang boleh dikategorikan mempunyai sifat 'lelaki Melayu terakhir' dan itu menjadi kenyataan apabila sifat-sifat tersebut terdapat pada jejaka Brazil tersebut.

"Chris seorang yang lembut, walaupun dia nampak kasar dengan kerjayanya sebagai seorang jurulatih capoeira, namun dari sudut lain, dia seorang yang sangat berbudi bahasa, romantik, jujur dalam setiap pertuturan kata, dan paling penting mengutamakan kesihatan fizikal.

"Sukar untuk jumpa lelaki sebaik itu, dia selalu ingin bersama saya. Dia begitu mengambil berat terhadap kesihatan saya. Sehinggakan perkara sekecil mengangkat beg berat juga dia tidak benarkan. Dengan sifat-sifat tersebut yang kita selalu terlepas pandang membuatkan saya yakin dan tertarik terhadap Chris," katanya.

Selepas bergelar suami isteri, pasti bakal ditanya berapa orang cahaya mata yang ingin dimiliki. Bagi Azura, dia lebih senang menyerahkan soal itu kepada takdir.

"Untuk masa akan datang, saya tidak menetapkan sebarang angka untuk zuriat. Jika ada rezeki, insya-Allah akan ada suatu hari nanti. Dalam masa terdekat, saya akan ke Brazil untuk berjumpa dengan keluarga Chris dan saya anggap itu sebagai pra-bulan madu. Buat masa sekarang, saya lebih menumpukan perhatian kepada studio senaman yang baharu dibuka bersama Chris," katanya.

Tambah Azura, Chris banyak menyokong perjalanan kariernya sebagai seorang yang berkecimpung di dalam industri hiburan.

" Sebelum berkahwin lagi, dia memang memahami dan akur dengan tugas saya. Malah, jika boleh dia ingin ikut ke mana sahaja saya pergi," ujarnya.

Era bertukar peminat

Posted: 03 Jan 2014 06:09 AM PST

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

BERSAMA isteri dan anak-anaknya yang diambil ketika tahun 1990-an.

APABILA zaman berubah maka berlaku jugalah perubahan pada kebanyakan orang. Golongan artis seperti pelakon Shaharuddin Thamby juga tidak terkecuali melalui perubahan kerjayanya dalam bidang lakonan.

Perubahan itu antara lain membabitkan watak-watak yang diterimanya sama ada dalam lakonan teater, drama mahupun filem. Ia sesuai dengan peningkatan usianya dalam menghayati sesuatu watak yang diberikan kepadanya.

Menurut Shaharuddin, jika pada peringkat awal kemunculannya sebagai pelakon pada tahun 1980-an, dia banyak melakonkan watak remaja. Namun, pada usianya kini yang mencecah 56 tahun, watak-watak lelaki berusia dilihat lebih sesuai buatnya.

Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, secara tidak langsung para peminatnya juga silih berganti membabitkan lapisan usia yang berbeza-beza. Semua itu jelasnya beredar mengikut peredaran masa dalam kerjayanya pada hari ini.

Katanya lagi, kalau dulu para peminatnya terdiri daripada golongan remaja, wanita dan orang dewasa tetapi kini dia lebih menjadi tumpuan kanak-kanak yang ramai menonton lakonannya dalam drama-drama televisyen (TV) akhir-akhir ini.

"Sekarang ini ramai peminat saya adalah kanak-kanak. Mereka mengenali dan meminati lakonan saya di TV sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kebanyakan watak yang saya lakonkan adalah sebagai bapa.

"Contohnya dalam drama bersiri Cinta Jannah yang disiarkan di TV3 baru-baru ini. Dalam drama itu saya melakonkan watak bapa Jannah. Watak itu garang sampaikan ada penonton kanak-kanak yang mengenali saya di luar kaca TV.

"Pernah ada kanak-kanak yang menegur saya sewaktu saya membeli barang di Pasaraya Giant, Taman Permata, Kuala Lumpur baru-baru ini. Walaupun watak saya dalam Cinta Jannah garang tetapi ia memberi kesan kepada golongan ini.

"Golongan penonton kanak-kanak seperti ini tidak takut dengan watak lakonan saya tetapi pada masa sama menjadi peminat saya pula. Tidak kiralah walaupun kanak-kanak tetapi mereka juga adalah peminat saya," katanya kepada Hits.

Jelas Shaharuddin dia terharu apabila semakin ramai penonton kanak-kanak yang meminati gaya lakonannya. Ia secara tidak langsung memberi gambaran watak lakonannya berjaya memberi impak kepada golongan tersebut.

Tambahnya, tindak balas daripada para penonton itu turut memberi kelegaan kepadanya. Ia membuktikan usia dan jenis watak tidak berapa penting, sebaliknya penghayatan lakonan itu yang utama dalam menarik perhatian para peminat.

"Biasalah arah aliran bidang lakonan di Malaysia ini, apabila seseorang pelakon itu sudah berumur watak yang biasa diberikan adalah bapa, datuk atau nenek. Tetapi bagi saya semua itu bukan alasan untuk pelakon seperti saya berkecil hati.

"Sebaliknya, saya tetap bersyukur kerana masih mendapat tawaran berlakon drama dan filem sampai sekarang. Inilah punca pendapatan saya sejak dari dulu sampai ke hari ini," ujar datuk kepada lima orang cucu ini dalam nada puas.

Rahsia awet muda

Biarpun tidak lagi menjadi perhatian golongan muda dan penonton wanita tetapi itu bukan bermakna Shaharuddin sudah tidak lagi kelihatan kacak seperti di awal pembabitannya sebagai pelakon pada tahun 1985.

Bagi pelakon bermisai lebat seperti aktor Hollywood, Tom Selleck ini, dia sedikit pun tidak gusar melalui perubahan fizikal mahupun dimamah usia. Baginya, usia 56 tahun, cuma sekadar nombor yang perlu dilalui dan bukannya ditakuti.

Ini kerana, dia tidak kelihatan pun seperti seorang lelaki yang baharu sahaja pencen selepas menamatkan perkhidmatan di jabatan kerajaan. Apatah lagi, dengan prinsip dan rahsianya yang tersendiri dia kekal berada di tahap hari ini.

"Saya tidak ada amalkan apa-apa petua untuk awet muda. Saya cuma selalu cuba mengelakkan diri daripada berhutang. Bagi saya, kalau tidak ada banyak hutang kepala pun tidak pening dan hati pun selalu rasa tenang.

"Memang susah untuk tidak berhutang pada zaman sekarang tetapi bukannya hutang yang tidak perlu macam terpaksa membayar ansuran kad kredit pada setiap bulan. Kalau boleh bayar tunai saya akan bayar tunai.

"Tetapi kalau untuk perkara yang perlu, macam beli rumah atau kereta mana mampu bayar tunai, jadi kenalah berhutang, itu pun ikut kemampuan. Saya rasa itu yang saya amalkan dari dulu yang mana hutang tidak kacau hidup saya," jelasnya.

Katanya selain tidak mahu dibebankan dengan hutang yang banyak dan bakal mengganggu kehidupannya, katanya ketenangan jiwa perlu kerana ia berkaitan dengan penghayatan dalam bidang lakonan yang diceburinya sehingga kini.

Beban hutang yang banyak sedikit sebanyak boleh menjejaskan tumpuannya dalam menghayati sesuatu watak lakonannya sama ada dalam teater, drama TV dan filem. Justeru, dia boleh berbangga dengan pencapaiannya itu.

"Kalau fikiran kacau macam mana saya hendak berlakon terutama dalam pementasan teater yang dilakonkan secara langsung di hadapan para penonton. Saya misalnya pernah berlakon dalam teater bertajuk Tun Perak pada 2000.

"Semasa berlakon dalam teater arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan itu semua penonton bangun memberi standing ovation selepas habis pementasan itu. Kalau tidak kerana penghayatan dan pementasan yang baik ia tidak jadi begitu.

"Saya melakonkan watak Tun Perak. Teater itu dipentaskan selama 21 hari. Semasa hari ke-15 pementasan kaki saya berasa lemah semasa terbabit dalam satu adegan bersilat kerana terharu dengan sambutan itu," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat