Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM Rakaman CCTV menunjukkan dua remaja bertindak samseng memecah cermin premis perniagaan menggunakan senapang angin di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, malam kelmarin. KOTA KINABALU 11 Jan. - Sebanyak 31 premis perniagaan termasuk lima buah hotel dan tiga bank di beberapa kawasan di sini dan Penampang dekat sini, rosak selepas pintu dan dinding cerminnya pecah dipercayai ditembak oleh sekumpulan remaja nakal lewat malam tadi. Kumpulan remaja itu yang menaiki tiga buah kenderaan dipercayai melepaskan tembakan tersebut menggunakan senapang angin. Kejadian selama sejam bermula pukul 11.45 malam itu turut menjadikan pusat kecantikan, pusat hiburan dan restoran makanan segera sebagai sasaran. Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu yang membabitkan 13 premis perniagaan di Karamunsing, Luyang (9), Inanam (3) dan Penampang (6). Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati perbuatan itu didalangi oleh sekumpulan remaja yang dianggarkan melebihi enam orang dan dilakukan serentak di tiga lokasi terbabit dalam tempoh satu jam. "Kesemua premis berkenaan mengalami kerosakan seperti cerminnya pecah dan kesan lubang pada bahagian pintu dan dinding kaca. Pemeriksaan awal menemukan tiga butir guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang angin itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurut Jauteh, pihak polis masih mengesan identiti kesemua suspek dan hasil maklumat awal daripada beberapa kamera litar tertutup mendapati, mereka menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta. Kata beliau, sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat. Ditanya adakah insiden itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas memandangkan pada masa ini perbicaraan 30 individu dipercayai pengganas sedang berjalan di Penjara Kepayan, di sini, Jauteh menegaskan, kejadian itu tiada kaitan langsung dengan kumpulan pengganas. "Perbuatan ini dilakukan oleh sekumpulan remaja nakal yang tidak bertanggungjawab semata-mata bertujuan untuk menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang awam. "Saya minta orang awam terutamanya yang berada di sekitar bandar raya ini agar tidak panik," katanya. |
Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST Oleh NURUL HUDA HASSAN JOHOR BAHRU 11 Jan. - Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing yang disifatkan sebagai ganas dalam Op Cantas Khas yang dijalankan di kawasan Ulu Tiram di sini, awal pagi ini. Siasatan awal polis mendapati, ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu disyaki baru sahaja menyamun rumah kongsi di kawasan berdekatan sebelum ditahan pihak polis. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kumpulan penjenayah itu ditahan selepas pasukan peronda terlihat kelibat mereka dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira pukul 4.45 pagi. Menurutnya, polis kemudian menghampiri mereka bagi tujuan pemeriksaan, namun salah seorang suspek bertindak mengeluarkan sepucuk Revolver dan melepaskan dua das tembakan ke arah polis. "Pada masa sama, dua suspek pula telah bertindak mengeluarkan parang dan menyerang anggota kami," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini. Ekoran tindakan ganas itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri dan menyebabkan ketiga-tiga penjenayah mati di tempat kejadian. Mohd. Mokhtar memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas mereka, polis menemui sepucuk Revolver bersama tiga butir peluru hidup, sepucuk pistol dipercayai tiruan dan dua bilah parang. Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan berkenaan dipercayai terlibat melakukan 25 kes samun di negeri ini dan Perak selain turut bertindak mencederakan mangsa ketika melakukan samun. "Kita percaya terdapat saki-baki ahli kumpulan ini yang disyaki sudah aktif selama setahun," katanya sambil menegaskan polis akan meneruskan usaha membanteras kegiatan jenayah di negeri ini. Mengenai pencapaian dan kejayaan polis negeri ini sepanjang tahun lalu, beliau memberitahu, pihaknya berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan. Menurutnya, kejayaan menurunkan indeks jenayah di negeri ini membolehkan KPI pengawalan peningkatan kadar jenayah tidak melebihi lima peratus dicapai serta melepasi KPI kadar penyelesaian kes melebihi 40 peratus. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |