Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Fahami budaya, agama kaum lain Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan penganut Hindu ketika merasmikan program sambutan perayaan Thaipusam 2014 di Kuil Sri Subramaniar, Johor Bahru, semalam. - BERNAMA JOHOR BAHRU 17 Jan. - Masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu memahami pelbagai budaya dan agama di negara ini bagi mengeratkan hubungan dan sikap toleransi yang sedia terjalin. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia amat memerlukan rakyat yang mempunyai pengetahuan dan kefahaman tentang latar belakang kaum lain. "Sebagai warganegara yang hidup dalam negara majmuk, adalah penting bagi setiap daripada kita untuk belajar dan memahami perbezaan latar belakang, budaya dan amalan agama mereka yang berbeza dengan kita. "Dengan pengetahuan tersebut akan timbul persefahaman dan sikap toleransi dalam memastikan apa yang dilakukan seharian tidak menimbulkan perbalahan sesama kita," katanya semasa mengunjungi Kuil Sri Subramaniar sempena sambutan Thaipusam di sini hari ini. Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada kuil tersebut. Menteri Besar berkata, masyarakat di negara ini bernasib baik kerana mempunyai kerajaan yang membenarkan setiap individu mengekalkan identiti masing-masing selain mengamalkan ajaran agama dan budaya tanpa sebarang halangan. "Menerusi keamanan dan keharmonian yang kita kecapi ini, setiap individu bebas mengamalkan ajaran agama mereka selain turut berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing. "Semua ini mustahil dapat dicapai sekiranya negara berada dalam keadaan kucar-kacir. Jadi, semua pihak perlu memastikan suasana aman ini terus berkekalan," katanya. Dalam pada itu Mohamed Khaled turut melahirkan kekesalannya tentang isu seorang guru Cina mualaf yang diminta dibuka tudungnya oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi yang berlaku baru-baru ini. "Perkara ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak berwajib dalam memastikan perkara serupa tidak berulang pada masa depan," katanya. |
Jumlah PDK di semua DUN akan ditambah Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST LABIS 17 Jan. - Kerajaan akan terus membangunkan keupayaan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan pelbagai pelan jangka panjang dan pendek termasuk menambah bilangan pusat dalam komuniti (PDK) di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Timbalan Pengarah 1 Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Daud Arbah berkata, selain mewujudkan PDK baharu, pihaknya juga akan membaik pulih atau menaik taraf PDK sedia ada mengikut keperluan secara berperingkat-peringkat bagi memberi keselesaan kepada pelatih. "Kini terdapat sebanyak 66 PDK di seluruh negeri masih mampu menampung bilangan pelatih sedia ada dan langkah mewujudkan PDK baharu pada masa depan merupakan pelan jangka panjang bagi memastikan pembangunan serta pendidikan golongan tersebut tidak ketinggalan. "Selari dengan usaha kerajaan membela nasib golongan tersebut, saya turut berbangga dengan komitmen masyarakat yang sentiasa bersedia menyumbang tenaga membantu setiap program yang dianjurkan oleh jabatan serta PDK," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke PDK Seri Impian, di sini semalam. Beliau turut meninjau kemudahan yang terdapat di PDK Teratak Sayangku di Chaah, PDK Sinar Munawwarah, Bukit Siput dan PDK Sayangku Taman Yayasan. Daud berkata, usaha juga sedang dilakukan untuk mendapatkan sebidang tanah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membina sebuah PDK baharu di Chaah bagi menggantikan pusat sedia ada supaya mampu memberi keselesaan kepada pelatih. Dalam pada itu, beliau memberitahu, kes penderaan kanak-kanak di negeri itu pada 2013 menurun berbanding tahun sebelumnya hasil kerjasama semua pihak, terutamanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung menganjurkan pelbagai kempen kesedaran. "Walaupun kita mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan sebarang perlakuan penderaan kanak-kanak, tanpa kesedaran dan kerjasama masyarakat secara langsung, usaha membendung masalah tersebut tidak akan berjaya. "Selain itu, penguatkuasaan undang-undang tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya masyarakat tidak prihatin dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berwajib," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |