Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Sambutan Maulidur Rasul Pontian meriah
- Segera baiki jalan pintas
- SMA Loghatul Quran ungguli perarakan daerah Ledang
Sambutan Maulidur Rasul Pontian meriah Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST Oleh MUHAMMAD ZIKRI SEBAHAGIAN daripada peserta perarakan dalam sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Pontian bermula dari Pusat Perdagangan Pontian ke Masjid Jamek Bandar Pontian, kelmarin. PONTIAN 15 Jan. - Kira-kira 5,000 umat Islam menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Pontian yang diadakan di Masjid Jamek Bandar Pontian serta dihadiri Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim. Terdahulu, sebanyak 49 kontinjen yang mewakili jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mukim dan sekolah menyertai perarakan sejauh satu kilometer dari Pusat Perdagangan Pontian ke Masjid Jamek Bandar Pontian. Syarahan bertajuk 'Keperibadian Mulia Nabi Muhammad SAW' disampaikan oleh Kadi Daerah Pontian, Mohd. Taufik Shamsuddin, diikuti beberapa pertandingan seperti sepanduk terbaik, kontinjen terbaik bagi sekolah, jabatan kerajaan dan swasta, NGO dan mukim serta kontinjen teramai. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh; Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Syarak merangkap Kadi Besar Johor, Nooh Kadri. Tempat pertama kategori sepanduk terbaik dimenangi Pejabat Pendidikan Agama; kedua, Mukim Rimba Terjun dan ketiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar 1 manakala kategori kontinjen terbaik jabatan kerajaan pula dimenangi Majlis Daerah Pontian, diikuti Jabatan Kerja Raya Pontian dan Jabatan Pengairan dan Saliran Pontian. SMK Dato' Penggawa Barat muncul tempat pertama kategori sekolah manakala tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahaad dan ketiga, SK Tengku Mahmood Iskandar 1. Kategori NGO/Swasta dan Mukim memperlihatkan Mukim Rimba Terjun berada di tempat pertama diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pontian dan ketiga, Akademi Bola Sepak Pontian sementara SMK Dato' Penggawa Barat pula memenangi hadiah bagi kategori teramai iaitu dengan penyertaan 350 orang. Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Tunku Idris Iskandar. |
Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST Oleh ZULHISHAM ISAHAK PERMUKAAN jalan yang berlubang-lubang menyukar dan membahayakan pengguna yang melalui jalan pintas dari Bukit Kepong ke Felda Moakil, Pagoh, Johor. PAGOH 15 Jan. - Kira-kira 2,000 pengguna jalan pintas dari Bukit Kepong ke Felda Moakil, dekat sini merayu pihak bertanggungjawab supaya segera membaiki laluan itu kerana sudah rosak teruk dan juga tidak selamat untuk digunakan. Menurut mereka, jalan itu yang jaraknya 20 kilometer siap dibina pada 2011 dengan kos RM20 juta amat berbahaya kerana terdapat banyak lopak air, lubang, permukaan jalan tidak rata dan terdapat kesan jalan ditampal berlapis-lapis. Tinjauan Utusan Malaysia di jalan itu yang dibina untuk memendekkan tempoh perjalanan dari Bukit Kepong ke Moakil daripada sejam kepada setengah jam sahaja mendapati, laluan tersebut yang dipenuhi belukar di bahagian kiri dan kanannya adalah kawasan risiko terutama pada waktu malam. Seorang pengguna hanya mahu dikenali sebagai Fauzi, 37, berkata, dia sering menggunakan jalan tersebut yang menjadi laluannya setiap hari ke tempat kerja di sebuah ladang di Felda Moakil dari rumahnya di Bukit Kepong. Dia yang menunggang motosikal merasai kesukaran melalui jalan itu apabila berselisih dengan kenderaan lain seperti lori dan kereta yang secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan kerana cuba mengelak lubang. "Kejadian itu menyebabkan saya hampir kemalangan apabila terpaksa melalui jalan berlopak teruk dan kerana mahu elak daripada bergesel dengan kereta terbabit. Ia lebih bahaya pada waktu malam dan hujan lebat dan kerosakan ini adalah disebabkan ia menjadi laluan utama kenderaan berat. "Jalan yang rosak tidak perlu lagi di tampal sebaliknya dibina baharu supaya permukaan menjadi licin untuk keselamatan kepada pengguna. Sebelum ini jumlah lubang yang terdapat di jalan itu adalah kira-kira 100 lubang," katanya ketika ditemui, di sini hari ini. Azrin Wahab, 45, pula berkata, tampalan berlapis-lapis sehingga membuatkan laluan itu berbonggol dan dapat dirasakan motosikal atau kereta yang dipandu melambung- lambung kerana keadaan jalan berombak. Selain sunyi dan tidak mempunyai lampu jalan sehingga menyukarkan pandangan pemandu pada waktu malam, katanya, pihak berkuasa harus bertindak segera kerana rungutan daripada penduduk beranggapan tiada sebarang tindakan diambil langsung. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf jalan tersebut yang diumumkan ketika lawatan kerjanya di Bukit Kepong, tahun lalu. "Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat penilaian untuk kerja-kerja awalan dan saya berharap projek ini dapat dilakukan pada tahun ini. JKR juga turut memberikan peruntukan RM200,000 untuk menampung kerosakan menampal jalan rosak bermula dari Kampung Sawah Laku, Bukit Kepong hingga pertengahan jalan Felda Moakil," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri berkata, peruntukan besar tersebut diperlukan kerana laluan itu perlu dinaik taraf ke Gred A untuk menjadikan jalan yang lebih baik dan berkualiti. |
SMA Loghatul Quran ungguli perarakan daerah Ledang Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST Hamim Samuri (dua dari kanan) bersama Ab. Han Ramin (dua dari kiri) mengetuai perarakan 70 kontinjen dalam sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Ledang di Dataran Ledang, Tangkak, kelmarin. LEDANG 15 Jan. - Sekolah Menengah Agama (SMA) Loghatul Quran, Kesang Tasek, dekat sini menggondol dua hadiah bagi pertandingan kategori sepanduk terbaik dan kontinjen terbaik dalam perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Ledang, hari ini. Sekolah itu mengalahkan 16 pasukan lain dalam kontinjen sekolah dan institusi pendidikan tinggi yang turut disertai 64 kontinjen lain melalui perarakan sejauh dua kilometer dari Perhentian Bas dan Teksi Tangkak ke Dataran Ledang. Sementara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ledang memenangi hadiah sepanduk terbaik kategori jabatan kerajaan manakala Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan pemenang bagi kategori badan berkanun. Dalam pertandingan kontinjen terbaik perarakan, Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang muncul juara kategori jabatan kerajaan manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Serom 1 memenangi kategori badan bukan kerajaan (NGO) dan kampung. Perarakan itu disertai 80 kontinjen dan disertai lebih 4,000 pengunjung manakala perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin dan tazkirah disampaikan Pegawai Undang-Undang Syariah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Mejar Mohd. Nadzri Musman. Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom Abd. Razak Minhat; Pentadbir Tanah Daerah, Shafei Ahamad dan Kadi Ledang, Mohd. Zaini Mohd. Salleh. Ab. Han dalam ucapannya berkata, umat Islam perlu memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan Islam yang sebenar dan betul berasaskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengelakkan mereka terjerumus ke lembah kebinasaan. Katanya, pada hari ini banyak kepincangan akhlak dipaparkan dalam berita semasa menunjukkan seolah-olah keadaan sudah kembali kebelakang sebagaimana zaman jahiliah. "Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, mereka perlu menapis budaya Barat menggunakan piawaian syariah Islam bukan menerima bulat-bulat. Melalui pengetahuan ilmu agama saja kita dapat membendung kepincangan dan kecelaruan serta menimbang sesuatu yang baik atau buruk," katanya. Ab. Han berkata, asas akidah yang kukuh amat penting disokong kefahaman ilmu akhlak dan ibadat yang mantap untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |