Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- 7 terima pampasan Perkeso
- Pastikan kiub ais bersih - Exco
- JPAM lancar Ops Bantu VIII sempena Tahun Baharu Cina
Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST Oleh Zulhisham Isahak Nur Muhammad Bakhtir Mohd. Akhir (empat dari kiri) beramah mesra dengan penerima pampasan Perkeso di Muar, Johor, semalam. MUAR 27 Jan. - Tujuh penerima dan waris daripada ahli keluarga mereka yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seakan mendapat durian runtuh apabila menerima pampasan RM57,511 sempena Tahun Baharu Cina. Tiga daripada tujuh penerima adalah berketurunan Cina dan penyerahan bayaran itu disempurnakan oleh Pengurus Perkeso Muar, Nur Muhammad Bakhtir Mohd. Akhir dalam satu majlis ringkas di Pejabat Perkeso, di sini hari ini. Nur Muhammad Bakhtir memberitahu, bayaran berkenaan melibatkan faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) dan Hilang Upaya Kekal (HUK) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM). "Hampir semua pampasan dibayar kepada penerima hari ini kecuali Lem Lee Yuen yang dibayar FPM sebanyak RM1,500 terlebih dahulu sebelum menerima pencen penakat kerana kematian suaminya baru berlaku pada 12 Januari lalu. Bayaran Pencen Penakat akan bermula 1 Februari ini," katanya. Sementara itu, So Chern Chiang, 36, yang menerima pampasan tertinggi sebanyak RM14,135 berkata, wang tersebut tidak dapat menggantikan kecacatan kekal yang dialaminya selepas terlibat kemalangan 24 September lalu akibat melanggar seekor anjing semasa dalam perjalanan pulang makan tengah hari ke rumah. Bapa kepada tiga anak berasal dari Bukit Bakri itu berkata, akibat daripada kemalangan itu tangannya cedera dan tidak lagi boleh melakukan kerja berat. "Wang ini seperti mendapat ang pau untuk Tahun Baharu Cina dan saya akan gunakannya membeli kelengkapan hari raya selain menyimpannya untuk keperluan masa hadapan," ujarnya. J. Ramesh, 44, dari Umbai, Jasin, Melaka, yang dibayar RM1,469 untuk HUS setelah lengan kirinya kudung berkata, dia masih dalam proses untuk memohon pampasan untuk HUK dan kini tidak bekerja kerana masih dalam cuti sakit. Dia yang mempunyai lima anak berumur antara lima hingga 17 tahun tidak mempunyai rancangan selepas ini namun berhasrat kembali ke tempat kerja lamanya kerana selepas putus lengan majikannya ada menawarkannya untuk kerja semula. "Selepas berlaku kejadian lengan saya tersepit dalam mesin yang berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi 24 Julai lalu, majikan kata mahu saya supaya bekerja tetapi tidak tahulah sekarang ini majikan akan menerima atau tidak. "Kecederaan ini dialami semasa bekerja di kilang konkrit Bukit Pasir, di mana tangan saya termasuk ke dalam mesin sehingga kulit koyak manakala tangan, tulang lengan dan anggotanya hancur serta retak," katanya. Kecederaan yang dialami dari bahu hingga tangan amat serius dan selepas pembedahan dilakukan, pihak hospital mengesahkan lengannya tidak boleh disambung semula dan risikonya amat tinggi kerana boleh dijangkiti kuman atau bakteria. Mohd. Johan Salim, 40, yang menerima pampasan HUK akibat kemalangan jalan raya pada 25 Februari lalu, bersyukur menerima bayaran sebanyak RM16,547 dan akan menyimpan untuk kegunaan anak-anaknya yang berusia antara enam hingga 13 tahun. Dia yang merupakan kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Cawangan Muar masih lagi bekerja kerana isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa dan pampasan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya. |
Pastikan kiub ais bersih - Exco Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST SEGAMAT 27 Jan. - Syarikat pengeluar kiub ais di negeri ini dinasihatkan supaya menitikberatkan aspek kebersihan dan tidak hanya mengutamakan keuntungan semata-mata. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pada musim perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi, terdapat permintaan tinggi terhadap kiub ais terutama peniaga kedai makan, restoran dan medan selera. "Pengeluar ais ini perlulah peka dan mematuhi peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan kerana kita tidak mahu air digunakan untuk dijadikan kiub ais itu dicemari oleh bakteria dan penyakit. "Paling membimbangkan jika sumber air dan kawasan membuat kiub ais tersebut terdedah dengan penyakit leptospirosis atau kencing tikus dan ini seterusnya akan membahayakan pengguna, tambahan pula jika air itu tidak dimasak terlebih dahulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin. Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah ditemui selepas melakukan tinjauan dan pemantauan Ops Harga 2.0 bersama pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Segamat di sekitar Segamat Baru yang turut disertai Ketua Cawangan PPDNKK Segamat, Abdul Aziz Siamin dan Ketua Kampung Jawa, Hassan Sitam. Menurutnya, jika air yang digunakan membuat kiub ais tanpa dimasak, risiko untuk mendapat penyakit berjangkit seperti taun adalah tinggi. Dalam perkembangan lain, Ayub memberitahu, rakyat negeri ini masih lagi terdedah dengan peningkatan demam denggi dan sehingga kelmarin, sebanyak 417 kes dicatatkan. Beliau turut menasihatkan peniaga supaya tidak menjual barangan yang tamat tempoh terutama makanan dalam tin. "Kebanyakan kes seperti ini melibatkan barangan dalam tin, bukannya barangan basah," katanya. |
JPAM lancar Ops Bantu VIII sempena Tahun Baharu Cina Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST JOHOR BAHRU 27 Jan. - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Johor melancarkan Ops Bantu VIII yang bertujuan untuk memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang menghadapi kesulitan semasa dalam perjalanan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini. Pengarah JPAM negeri, Kolonel (PA) Ghazali Abdul Rahman berkata, seramai 384 pegawai dan anggota JPAM akan bertugas bagi melancarkan operasi berkenaan yang diadakan dalam dua fasa. Beliau berkata, operasi kali ini akan berlangsung pada 27 hingga 30 Januari bagi fasa pertama dan disambung semula pada 2 hingga 3 Februari bagi fasa kedua. "Kesemua anggota yang terdiri daripada pegawai tetap jabatan dan anggota sukarela JPAM negeri adalah dari daerah Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Segamat dan Mersing. "Bantuan secara percuma itu tertumpu kepada jalan persekutuan dan jalan negeri yang mempunyai statistik jumlah kemalangan yang tinggi selain kerap digunakan," katanya selepas majlis pelancaran Ops Bantu VIII, di sini hari ini. Kata Ghazali, operasi tersebut melibatkan tujuh laluan iaitu bermula di Bandar Baru UDA, Pontian, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Segamat dan Muar. Tambah beliau, sebanyak 11 kenderaan terdiri daripada empat motosikal dan tujuh kenderaan pacuan empat roda akan digunakan sepanjang operasi berkenaan. Menurut Ghazali, sejak dilancarkan pada September 2010, JPAM berjaya menangani sebanyak 481 kes antaranya membantu kenderaan rosak, kemalangan ringan, masalah tayar, lalu lintas dan kemalangan maut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |