Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Sedia pekerjaan sampingan di Johor
- Pegawai PPDNKK diarah pantau harga barang
- Kesusahan hidup Haniza dapat perhatian BAIKT
Sedia pekerjaan sampingan di Johor Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST Oleh AZIZI MAJID Hahasrin Hashim JOHOR BAHRU 18 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO negeri akan bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) dan pihak swasta dalam menyediakan pekerjaan sampingan khususnya bagi penduduk di negeri ini. Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, usaha itu dilakukan bertujuan untuk membantu kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup di kalangan rakyat selain menambahkan pendapatan kepada mereka yang terlibat. "Seseorang kakitangan awam itu mungkin mempunyai sesuatu kemahiran seperti dalam bidang grafik atau berniaga dalam talian. Justeru mereka boleh menggunakan kemahiran yang ada untuk membuat kerja separuh masa pada waktu malam atau cuti hujung minggu. "Dengan adanya kerjasama dengan syarikat GLC dan swasta ini, mudah untuk kita membantu mereka untuk mencari pekerjaan sampingan yang sesuai dengan kemahiran yang mereka ada," katanya selepas mengadakan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO negeri di Hotel Puteri Pacific di sini semalam. Hahasrin berkata, usaha tersebut bukan sahaja dapat menambah pendapatan sedia ada penduduk malah pada masa sama diharap dapat menangani isu kos sara hidup rakyat. Pada majlis itu beliau turut memperkenalkan barisan kepimpinan pergerakan itu bagi penggal ini dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Datuk Khairul Anuar Rahmat memegang jawatan sebaik Naib Ketua. Katanya, barisan kepimpinan baharu itu berjanji akan terus menjadi 'kumpulan pendesak' termasuk memperjuangkan isu-isu berkaitan kos sara hidup, keselamatan dan rumah mampu milik. |
Pegawai PPDNKK diarah pantau harga barang Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST PONTIAN 18 Jan. - Sebanyak 105 pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor diarah turun padang bagi memantau harga barangan keperluan harian di negeri ini dengan dibantu oleh pegawai pemantau harga di setiap daerah. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pemantauan harga akan melibatkan premis yang menjual barangan basah, barangan kering dan barangan keperluan harian supaya mereka tidak menaikkan harga sesuka hati. "Selain pemantauan, pegawai PPDNKK juga diarah bertindak ke atas mana-mana peniaga yang menjual barangan yang melebihi harga yang sepatutnya. Menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina ini, pemantauan akan digiatkan supaya peniaga sentiasa mematuhi skim harga kawalan yang diumumkan kerajaan. "Pembekal dan pemborong diminta tidak mengenakan harga yang terlalu tinggi yang boleh menyebabkan peniaga terpaksa mengambil tindakan serupa ke atas pengguna," katanya kepada Mingguan Malaysia selepas majlis penyampaian pertandingan bola keranjang bawah 19 tahun di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tah Tong di sini semalam. Beliau mengulas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang bertindak menaikan harga secara melampau. Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang meminta pengguna berbelanja dengan bijak dan tidak membeli barangan di premis yang menjual dengan harga yang tinggi kerana pilihan adalah di tangan mereka dan aduan perlu dibuat jika harga barangan melonjak tinggi. "Semua pihak perlu memainkan peranan membantu PPDNKK menangani isu kenaikan harga termasuk pemimpin setempat. Saya juga sarankan supaya orang ramai menggunakan sepenuhnya kawasan tanah lapang yang ada di sekeliling rumah dengan dengan tanaman sayur-sayuran secara kecil-kecilan. |
Kesusahan hidup Haniza dapat perhatian BAIKT Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST Mohd. Zain Arif (dua diri kiri) menyampaikan sumbangan barangan makanan asas semasa membuat lawatan ke rumah Haniza Hassan di Kampung Baru Sungai Seluyut, Kota Tinggi, Johor, kelmarin. KOTA TINGGI 18 Jan. - Seorang ibu, Haniza Hassan, 40, di Kampung Baru Sungai Seluyut dekat sini bersyukur kerana kepayahan membesarkan seorang anaknya yang berusia tiga tahun mendapat perhatian Pengerusi Badan Amal Al-Insan Kota Tinggi (BAIKT). Dua beranak itu selama ini juga menetap di rumah yang hanya beratapkan langit dan berlantaikan bumi ekoran pembinaan rumah mereka yang terbengkalai sejak hampir dua tahun lalu, namun nasib mereka bakal berubah apabila BAIKT menyumbangkan sebanyak RM5,000 bagi membina kerangka dan dinding kediaman itu. Walaupun jumlah sumbangan tersebut tidak mencukupi bagi membina bumbung dan lantai, BAIKT berjanji akan berusaha mendapatkan bantuan melalui agensi mahupun jabatan kerajaan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Pengerusi BAIKT, Mohd. Zain Arif yang melawat dua beranak itu bersama Ketua Kampung Baru Sungai Seluyut, Abd. Razak Ibrahim semalam turut menyampaikan sumbangan barangan dapur bagi meringankan beban mereka. Sementara itu, Haniza terharu dan gembira kerana kesempitan hidup yang dialaminya mendapat perhatian pemimpin masyarakat setempat. "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mereka sudi membantu menyelesaikan masalah saya dan berharap dengan kunjungan ini dapat mengubah kehidupan kami dua beranak," katanya sambil memberitahu, hidupnya mula dihimpit kesusahan setelah suaminya mula terlibat dengan najis dadah. Lebih menyedihkan, anak sulungnya, Mohammad Haikal Izuan, 8, mengalami penyakit buah pinggang kronik dan paru-paru berair sehingga meninggal dunia pada April tahun lalu. "Saya kini terpaksa bergantung harap kepada kakak ipar dan ibu mentua selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Masalah ini bertambah berat apabila kami terpaksa hidup di rumah yang terbengkalai tanpa bumbung dan lantai kerana tidak mampu membeli bahan binaan," katanya. Sementara itu, Abd. Razak juga akan memikirkan bantuan lain yang bersesuaian bagi membolehkan mereka dapat menjana pendapatan keluarga. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |