Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 21 Jan 2014 06:06 AM PST TRAGEDI pembunuhan yang dilakukan dalam kalangan ahli keluarga sendiri biasanya membabitkan individu yang mengalamai psikosis - Gambar Hiasan Kes 1: 5 Januari 2010 seorang pemuda, Rasidi Ismail dituduh membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuk, Atan Daud, 87; dan nenek, Sufiah Katas, 80, dan adiknya, Siti Khadijah Kampung Batang Rokan, Gemencheh. Begitupun pada September tahun yang sama mahkamah dibebaskan daripada pertuduhan membunuh setelah didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan tersebut. Hasil pemeriksaan hospital selama dua bulan mendapati tertuduh disahkan menghidap penyakit jiwa akibat mengalami delusi dan halusinasi sejak beberapa tahun sebelum itu. KES 2: 15 September 2013, Lans Koperal Fadzly Omar, 29, dipercayai menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri dalam satu kejadian tragis, menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver .38 untuk menembak mangsa, di Felda Chempelak, Johor. Suspek merupakan seorang anggota polis yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya dan tidak pernah mempunyai rekod disiplin sepanjang tujuh tahun berkhidmat dalam pasukan itu. KES 3: 6 Januari, Hasrat sepasang suami isteri untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka di sebuah hotel di sini bertukar tragedi apabila kedua-duanya menemui ajal dalam keadaan mengerikan di Klang, Selangor. Norazlina Mohamed Saaid, 49, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di kepala dan kelaran di leher dipercayai dilakukan oleh suaminya, Ghazalee Ahmad, 58. Ghazalee yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dipercayai mengelar lehernya sendiri. Menjadi persoalan Ketiga-tiga contoh kes tersebut merupakan antara kejadian yang sesungguhnya tidak diingini berlaku membabitkan ahli keluarga yang sudah tentu pernah hidup bersama dan saling menyayangi. Malah dalam dalam kes pensyarah tersebut contohnya, ahli keluarga dan rakan terdekat mengakui suspek seorang yang baik hati, lemah lembut dan pandai menghormati orang tua. Persoalannya, bagaimana individu yang dilihat normal, menjalani kehidupan seperti biasa boleh bertindak di luar kawalan dan batasan kewarasan seorang manusia? MEGA cuba mendapatkan penjelasan daripada pakar perunding psikiatri dari Pusat Perubatan Sunway, Dr. Khoo Yee Laim tentang gangguan mental yang dikategorikan di bawah psikosis (psychosis). Menurut Dr. Yee Laim, psikosis adalah istilah perubatan yang digunakan untuk menggambarkan tanda-tanda masalah kesihatan mental tertentu. Individu yang mengalami psikosis sukar untuk membezakan kepercayaan antara benar dan tidak benar. Sistem pemikiran mereka terjejas dan lebih membahayakan ia membawa kepada satu penghakiman atau pertimbangan yang salah. "Psikosis terbahagi kepada dua iaitu delusi atau khayalan dan halusinasi. Delusi ialah apabila pesakit percaya sesuatu yang tidak benar. Sebagai contoh, dalam kes cemburu dalam kalangan suami isteri, si suami percaya bahawa isteri mempunyai hubungan dengan lelaki lain. "Kerana kepercayaan yang salah itu juga, suami berubah tingkah laku dengan kerap memeriksa telefon tangan isteri dan yakin isteri mempunyai skandal walau telah dibuktikan isteri tidak melakukan segala perkara yang suami fikirkan tersebut. "Kebanyakan orang dengan psikosis mempunyai gabungan halusinasi dan delusi. Ini boleh menyebabkan perubahan dan perubahan dalam tingkah laku, emosi, pemikiran dan kepercayaan. "Manakala halusinasi pula, apabila individu itu mula mendengar bisikan suara, melihat atau terbau perkara-perkara yang sebenarnya tidak wujud di alam realiti. Mendengar suara dalam kepala sendiri adalah satu ciri yang sering dialami individu berhalusinasi," katanya yang ditemui di kliniknya baru-baru ini. Tambah Dr. Yee Laim, individu yang mengalami delusi juga percaya bahawa seseorang itu merancang untuk mencederakan atau membunuh mereka. Pernah dalam satu kes yang dihadapi Dr. Yee Laim, ada suami yang tidak mahu memakan masakan isterinya kerana yakin isteri meracuni dirinya menerusi masakan tersebut. "Individu yang mempunyai penyakit mental ini kalau dilakukan pemeriksaan imbasan pada bahagian otaknya memang tidak akan menemui apa-apa kelainan. Keadaan fizikal otak mereka memang sama dengan individu normal lain. "Apa yang berubah ialah kandungan kimia yang dinamakan dopamin yang menjadi terlalu tinggi. Itu yang menyebabkan mereka mengalami delusi serta halusinasi. "Halusinasi dalam kes suami cemburu kepada isteri akan sering terdengar bisikan suara memberitahu bahawa isteri curang terhadap diri mereka," jelasnya. Diagnosis Dr. Yee Laimberkata, jika ahli keluarga mula perasan perubahan pada cara pemikiran dan tingkah laku ahli keluarga mereka segeralah bawa mereka berjumpa dengan doktor pakar. Melalui diagnosis, pakar boleh diketahui masalah yang dialami individu terbabit. "Pesakit akan diperhatikan menerusi tingkah laku dan tutur kata serta pergerakan tubuh mereka. Kalau serius, daripada perbualan sahaja kita sudah boleh tentukan apa yang mereka alami. "Contohnya, kepercayaan mereka yang tidak logik dan mulut mereka terkumat-kamit mengatakan sesuatu yang tidak jelas pada pendengaran kita. Memang ada juga yang tidak mahu bercerita, jadi kerjasama daripada ahli keluarga memang amat diperlukan. "Diagnosis memang akan dilakukan secara terperinci untuk memastikan rawatan yang tepat. Kalau dibiarkan memang boleh membahayakan dan perlu diingatkan jika pesakit dapat rawatan awal dia boleh menjalani kehidupan seperti individu normal lain," ujarnya. Menurut Dr. Yee Laim, antara sebab lain yang membolehkan individu menjadi psikosis ialah apabila mereka menyalahguna dadah, mengambil ganja dan alkohol yang berlebihan. "Rawatan memang berbeza mengikut penyakit. Selepas diagnosis barulah pakar akan mengenalpasti jenis penyakit psikosis seperti bipolar disorder, kemurungan atau skizofrenia. "Ubat-ubatan anti psikotik akan diberikan untuk menurunkan dopamin secepat mungkin. "Ubat-ubatan yang ada kini memang dicipta tanpa kesan sampingan dan ia juga cepat bertindak seawal satu minggu. Selepas mengambil ubat, halusinasi akan beransur hilang dan kemudian delusi dan individu boleh bekerja dan menjalani kehidupan seperti orang lain. "Masyarakat sering menyalah anggap bahawa ubat perlu dimakan untuk tempoh yang lama namun sebenarnya tidak. Ada yang hanya mengambil ubat selama enam bulan sahaja. "Apa yang saya harapkan ialah masyarakat mengubah stigma pada pesakit mental kerana apabila mereka mendapatkan rawatan mereka boleh hidup dan bekerja seperti biasa. "Memang kebanyakan orang yang bermasalah tidak mahu mendapatkan pertolongan sebab malu. Majikan juga sepatutnya beri sokongan dan memastikan kesihatan mental para pekerja berada di tahap optimum," ujarnya. - NOOR FAZRINA KAMAL |
Posted: 21 Jan 2014 06:06 AM PST Oleh ROSMAH DAIN Rashid Said menyayangi setiap kucing peliharaannya. KEBAJIKAN bukan terhad kepada manusia sahaja, sebaliknya memastikan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini mendapat kebajikan juga merupakan satu usaha yang sangat murni. Rashid Said, 43, tidak pernah menyesal meninggalkan pekerjaan tetapnya sebagai seorang ahli perbankan di ibu kota sejak 20 tahun lalu, semata-mata untuk menubuhkan sebuah penginapan bagi kucing-kucing yang ditinggalkan tuannya ketika bekerja ke luar daerah atau melancong. Arriz Cats Inn yang diwujudkan sejak empat bulan lalu dan terletak di Taman Dagang, Ampang, Selangor, menurut Rashid bukanlah satu perniagaan yang mementingkan keuntungan semata-mata. Tujuan asal yang lebih penting adalah untuk menyediakan ruang istirehat yang sempurna bagi kucing-kucing sementara ketiadaan tuannya. Berpandukan bayaran hanya sekitar RM20 hingga RM30 sehari, Rashid akan memastikan kucing-kucing berkenaan dijaga dengan sempurna mengikut keperluan haiwan berkenaan dan juga permintaan daripada tuan-tuan kucing. Begitupun, dia mengingatkan hotel penginapan kucing itu bukanlah satu tempat untuk orang ramai bakal 'membuang' atau meninggalkan kucing-kucing yang mereka tidak mahu membelanya lagi. Suasana bahagian dalam Arriz Cats Inn yang bersih dan teratur. Menurut Rashid, kebanyakan rumah penginapan bagi kucing menyediakan sangkar yang rendah, kecil dan bertingkat yang memberikan rasa kurang selesa kepada kucing yang lama terkurung. Berbeza di Arriz Cats Inn, dia memastikan sangkar yang diperbuat mengikut klasifikasi rekaannya iaitu 3 kaki tinggi, 3 kaki lebar dan 3 kaki panjang dengan setiap satunya dipisahkan oleh dinding-dinding kaca bagi mengelakkan jangkitan kutu dan hama antara haiwan-haiwan berkenaan. Bukan itu sahaja, kucing-kucing berkenaan turut dibekalkan bersama barang-barang yang diperlukan termasuk tempat makan dan tempat bermain, di dalam sistem pengudaraan yang terbaik. Apabila ditanya sejarah bilakah dia benar-benar teruja menubuhkan sebuah rumah bertaraf hotel untuk kucing itu, dia menjelaskan semua itu bermula apabila dia terjumpa seekor kucing yang kebasahan di tepi rumahnya. Atas dasar belas kasihan dia menjaga kucing itu dengan penuh kasih sayang sehinggalah pada satu masa dia mempunyai sembilan ekor kucing. "Apabila Boboi (nama bagi kucing yang dijumpainya itu) mati, saya cuba mencari keselesaan bagi kucing-kucing peliharaan saya yang lain ketika mereka perlu ditinggalkan apabila saya bekerja ke luar daerah. "Malangnya kebanyakan kedai atau tempat penginapan kucing yang saya pergi tidak menyediakan ruang yang selesa. "Justeru saya nekad untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan penginapan kucing ini demi menjaga kebajikan kucing-kucing yang bakal ditinggalkan oleh tuannya. Saya juga berasa puas dapat menjaga sendiri kucing-kucing ini. "Arriz Cats Inn juga bukan tempat untuk menjual kucing tetapi sekiranya ada yang mahu menjadi 'keluarga angkat' pada haiwan berkenaan mereka amat dialu-alukan," kata Rashid yang sanggup berhabis mengeluarkan modal sendiri bagi membina Arriz Cats Inn. Jelas Rashid, selain daripada itu tujuannya membuka rumah penginapan itu juga adalah untuk mengubah persepsi orang ramai agar menjaga kucing mereka dengan baik terutama apabila ketiadaan mereka. Biarpun tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang penjagaan kucing, Rashid sentiasa berusaha mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada doktor-doktor veterinar dan Jabatan Vaterinar Wilayah Persekutuan dan Selangor berkenaan penjagaan haiwan yang menjadi kesayangannya. Setiap hari, Rashid akan ke Arriz Cats Inn bagi kerja-kerja pembersihan, memandikan kucing, makan dan sebagainya dan kerja-kerja itu dilakukan sehingga ke malam. Sebanyak 80 ekor kucing boleh ditempatkan di Arriz Cats Inn pada satu-satu masa. Sekiranya kucing di bawah penjagaannya sakit dia akan membawanya ke klinik haiwan. Dalam pada itu Rashid turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuang kucing-kucing mereka sewenang-wenangnya. "Anda kata anda suka dengan kucing itu, tetapi sampai satu masa anda membuangnya di kawasan tertentu. Jangan anda harap bahawa kucing-kucing itu tahu mencari makan sendiri apabila diletakkan di kawasan pasar atau sebagainya, kerana kebanyakan kucing yang telah dipelihara tidak boleh berdikari sendiri atau memakan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. "Sekiranya anda tidak mahu kucing itu terlalu membiak dan anda tidak mampu menjaganya, haiwan itu boleh dikasi agar tidak terlalu berkembang. "Kita juga sepatutnya tidak membeza-bezakan antara semua jenis kucing sama ada baka kucing tempatan atau kucing Parsi atau sebagainya," jelas anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu. Apa yang menariknya, dalam ketujuh-tujuh adik-beradiknya, hanya dia seorang sahaja yang suka dengan kucing. Malah sejak membuka rumah penginapan berkenaan, dia akan memastikan tidak akan berada lama di mana-mana tempat kerana khuatir dengan keadaan kucing-kucing yang dijaganya. Rashid yang membahasakan dirinya daddy atau papa terhadap kucing-kucing yang dijaganya juga memberi tip kepada orang ramai sekiranya mereka didatangi kucing jalanan ketika berada di luar sedang makan atau di mana-mana sahaja. "Itu menandakan individu berkenaan mempunyai bau yang tajam bagi deria kucing yang mengenal pasti anda merupakan seorang pecinta haiwan itu. "Ini kerana sekiranya anda mengusap bulu-bulu kucing terdahulu, baunya akan berada bersama anda dan bau ini yang akan dihidu oleh kucing-kucing lain dan datang ke arah anda," katanya. Bagi yang mahu bertanya lebih lanjut mengenai Arriz Cats Inn, boleh lawati facebook Arriz Cats Inn. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |