{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Campak sampah dari tingkat atas

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kotagroup@utusan.com.my

Zainal Kadir
Mohammad Ali
Bathmanathan
SEORANG pekerja memungut sampah yang bertaburan di tempat pembuangan sampah di Flat Desa Mentari, Petaling Jaya semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

PETALING JAYA 12 Jan. - Penduduk di Flat Desa Mentari di sini terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa ekoran sikap segelintir penghuni yang membuang sampah merata-rata.

Walaupun tong sampah disediakan di tingkat bawah setiap blok di kawasan itu, beberapa penduduk mengambil jalan mudah dengan membiarkan sampah di atas tangga flat sehingga berminggu-minggu lamanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di flat berkenaan hari ini mendapati, ada penghuni flat berkenaan yang sewenang-wenangnya mencampakkan sampah dari kediaman mereka di tingkat atas.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengotorkan kawasan perumahan berkenaan tetapi turut membahayakan penghuni lain yang berada di tingkat bawah.

Terdapat lapan buah blok perumahan di kawasan itu yang mengandungi antara 11 hingga 13 tingkat.

Seorang penduduk, Zainal Kadir, 56, berkata, keadaan flat yang kotor dan berbau busuk menyebabkan dia dan keluarga tidak selesa tinggal di kawasan itu.

"Kalau kami sahaja yang menjaga kebersihan tapi penghuni lain tidak berbuat demikian, sampai bila-bila pun flat ini akan kotor.

"Saya minta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) datang membuat pemantauan di sini dan mengambil tindakan terhadap mereka yang suka membuang sampah merata-rata," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk, Mohammad Ali, 57, berkata, masalah sampah semakin menjadi-jadi sejak ramai pemilik menyewakan rumah mereka kepada warga asing.

"Flat ini semakin kotor dan tidak terurus sejak ramai warga asing mendiami kawasan ini," dakwanya.

Seorang pekerja swasta, N. Bathmanathan, 36, berkata, sebuah rumah di kawasan itu juga dijadikan tempat mengumpul barangan terpakai dan sampah oleh seorang lelaki yang didakwanya tidak siuman.

"Biarpun kontraktor pembersihan membersihkan flat ini setiap hari namun keadaannya tetap kotor dan menjijikkan.

"Saya merayu MBPJ supaya mengatasi masalah sampah dan beberapa masalah lain seperti lif rosak dan dinding yang diconteng agar kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna," katanya.

Rumah teres terbakar, bomba dikejutkan dengan penemuan mayat dikelar

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Anggota bomba dan penyelamat mengangkat mayat Ng Chee Wai (gambar kecil) yang ditemui mati terbakar di rumahnya dalam satu kebakaran di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Sepasukan anggota bomba yang memadamkan kebakaran sebuah rumah teres di Pandan Perdana di sini petang ini terkejut apabila menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan hampir terbakar dengan tangan yang dikelar.

Turut ditemukan dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu ialah anak perempuan mangsa berusia 17 tahun yang tidak berpakaian dan terbakar 70 peratus bahagian badannya.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Hulu Langat, Hamdan Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.46 petang dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian sebelum mendapati sofa dan siling di bahagian ruang tamu tingkat bawah dijilat api.

Katanya, mangsa, Ng Chee Wai, 52, ditemukan sudah tidak bernyawa di tingkat atas rumah itu bersama anaknya yang cedera parah, Ng Qi Jang.

Dua jentera bomba dari Pandan Indah dan Ampang dengan kekuatan 15 anggota telah dikerah untuk memadam kebakaran.

Ketika pihak kami tiba, pintu tidak berkunci dan dua mangsa ditemui terbaring di tingkat atas. Kami percaya hanya dua penghuni berada di dalam rumah itu ketika kejadian," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau berkata, pihak forensik bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kebakaran dan penemuan kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk pihak polis mengaitkan unsur jenayah dalam kejadian itu.

Biarlah forensik bomba dan polis menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang pengesahan mengenai punca kebakaran dan kematian didedahkan.

Kami juga masih menunggu laporan laporan bedah siasat ke atas mayat lelaki itu," katanya ketika dihubungi.

Menurut Khairuldin, mayat Chee Wai dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat manakala anaknya turut diberi rawatan di hospital yang sama.

Peniaga makanan mengeluh atap kedai bocor

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

SABAK BERNAM 12 Jan. - Para peniaga makanan di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar di sini meminta Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) membaiki atap premis tersebut yang bocor kerana ia menjejaskan kedatangan pelanggan sejak dua tahun lalu.

Seorang peniaga, Komari Sharip, 68, yang mengusahakan kedai makan bersama isterinya, Siti Jamaiah Sarkawi, 64, berkata, ramai pelanggan mengadu tidak selesa untuk menikmati makanan di tempat itu terutama semasa musim hujan.

Ada pelanggan yang merungut kerana terkena tempias dan lantai premis pula licin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Komari berkata, dia pernah melakukan kerja baik pulih sebanyak dua kali membabitkan kos kira-kira RM21,000 semata-mata mahu mengatasi masalah di premis yang disewa daripada MDSB itu.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Amiruddin Supar, 45, berkata, atap di kedainya antara yang paling teruk terjejas sehingga dia terpaksa menggunakan tikar getah bagi menutup kebocoran.

Menurutnya, dia yang membayar sewa kedai itu sebanyak RM390 setiap bulan terpaksa mengelap lantai apabila hujan bagi memastikannya kering.

Untuk memastikan pelanggan datang, saya terpaksa mengelap air yang bertakung setiap kali hujan bagi mengelak kedai ini kotor," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi berkata, pihaknya akan memaklumkan masalah berkenaan kepada MDSB.

Saya berharap pihak MDSB akan melakukan kerja baik pulih secepat mungkin kerana peniaga bergantung kepada kehadiran pelanggan untuk meraih pendapatan setiap hari," katanya ketika melawat premis tersebut.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat