Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Penduduk tidak lena tidur
- Kesal jalan baharu diturap rosak semula
- Kerja mengalih kabel bawah tanah punca masalah - DBKL
Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN Kerja-kerja pembersihan tapak projek giat dilakukan pemaju projek walaupun pada cuti hujung minggu. KUALA LUMPUR 20 Jan. - Projek membesarkan padang di Sekolah Kebangsaan Kuala Ampang 2, dekat sini didakwa mengganggu ketenteraman penduduk apabila kerja-kerja pembinaan dilakukan tidak mengikut syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan. Penduduk yang tinggal di sekitar Jalan Enggang Selatan mendakwa, keadaan itu sudah berlarutan sejak enam bulan lalu dan mereka tidak mendapat rehat yang cukup kerana terganggu dengan bunyi bising dari tapak pembinaan. Dakwa penduduk, tidur mereka terganggu setiap hari kerana projek itu tetap dijalankan pada hari cuti hujung minggu atau cuti umun. Lebih memburukkan keadaan apabila kerja-kerja mengorek dan mencuci pasir di kawasan itu turut mencemarkan sungai berhampiran. Tinjauan Utusan Malaysia ke tapak projek berkenaan yang dibuat ekoran aduan seorang pembaca mendapati, dakwaan penduduk di situ berasas apabila bunyi yang dikeluarkan oleh pam pengorek dan pencuci pasir kedengaran sangat kuat. Dakwaan penduduk kerja-kerja itu dilakukan tanpa mengira waktu itu juga ternyata benar kerana tinjauan itu dilakukan pada hari Ahad. Kehadiran Utusan Malaysia bersama beberapa penduduk di situ turut mengejutkan seorang pekerja asing yang bekerja dengan bertindak menghentikan pam air yang berfungsi mencuci pasir. Penduduk turut mendakwa, hasil pemerhatian yang dijalankan sepanjang tempoh projek dijalankan mereka tidak menolak berlakunya kegiatan mencuri pasir di kawasan itu. Seorang penduduk, Dr. Ahmad Fauzi Puasa, 59, berkata, dia dimaklumkan projek berkenaan sepatutnya siap tahun lalu namun sehingga kini kerja-kerja masih dijalankan. Menurutnya, aduan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan berhubung masalah itu namun tiada sebarang tindakan diambil setakat ini. "Sebagai penduduk yang telah lama tinggal di sini saya kesal kerana pihak bertanggungjawab seolah-olah lepas tangan," katanya. Sementara itu, rakannya, Guriman Khan Shazaman, 71, berkata, kerja-kerja mengorek dan mencuci pasir di kawasan itu juga dikhuatiri menyebabkan banjir. Menurutnya, penduduk juga bimbang setiap kali hujan kerana paras air di kawasan itu akan naik. "Kami berharap pihak berkuasa tempatan supaya segera memberi perhatian kepada masalah ini,"katanya. Hashim Ngasimin, 78, pula berkata, bunyi bising dari tapak projek juga mengganggu jemaah di surau berhampiran. Katanya, pemantauan berterusan perlu dilakukan demi memastikan keselamatan dan keselamatan penduduk setempat. |
Kesal jalan baharu diturap rosak semula Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST Kerja-kerja pengorekan dan penurapan jalan yang tidak sempurna oleh beberapa syarikat utiliti di Jalan Genting Klang berhampiran Taman Bunga Raya, Kuala Lumpur menimbulkan kesukaran kepada pengguna. KUALA LUMPUR 20 Jan. - Pengguna jalan raya di Jalan Genting Klang berhampiran Taman Bunga Raya di sini kecewa terhadap mutu penurapan jalan utama di laluan tersebut. Sebahagian jalan yang diturap itu kembali rosak selepas kerja-kerja turapan dilakukan dalam masa kurang seminggu. Pengguna mendakwa, kerosakan jalan itu bukan sahaja menyukarkan pengguna untuk berulang alik dari pusat bandar ke Taman Melati dan Taman Melawati tetapi turut menjadi punca kemalangan kecil. Sambil meminta agar jalan sejauh 10 kilometer itu diperbaiki segera, pengguna turut merayu pihak berkuasa tempatan memantau sepenuhnya kerja itu bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi hari ini mendapati jalan tersebut baharu sahaja diturap, namun tidak sempurna. Selain kesan tampalan masih kelihatan, jalan juga didapati tidak rata dan beralun. Utusan Malaysia difahamkan, jalan tersebut kerap mendatangkan masalah kepada pengguna. Seorang anggota tentera yang enggan dikenali berkata, jalan tersebut baharu sahaja diturap tetapi dia menjangkakan masalah sama akan berulang. "Jalan ini sering menimbulkan masalah lebih-lebih lagi pada waktu hujan lebat. "Kerja-kerja turapan dilaksanakan pihak berkuasa seminggu lalu, tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan jika kerosakan berulang semula. "Saya minta pihak yang bertanggungjawab supaya segera mencari jalan penyelesaian berhubung masalah ini," katanya di sini hari ini. Tambahnya, keadaan menjadi bertambah teruk apabila hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir kilat sekali gus menyebabkan kesesakan jalan raya. Difahamkan, masalah sama turut berlaku di Jalan Tumbuhan menghala ke Taman Melati. Kawasan itu juga baharu sahaja diturap. Perumpamaan yang sesuai bagi pihak bertanggungjawab pula adalah 'alang-alang berminyak biar licin' supaya pengguna jalan raya di situ tidak mengalami masalah sama berulang kali. |
Kerja mengalih kabel bawah tanah punca masalah - DBKL Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST KUALA LUMPUR 20 Jan. - Jalan rosak dan turapan tidak sempurna di Jalan Genting Klang berhampiran Taman Bunga Raya di sini berpunca daripada kerja-kerja pengorekan oleh syarikat utiliti bagi tujuan pengalihan kabel bawah tanah. Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan, kerja-kerja tersebut mengakibatkan jalan menjadi mendap, beralun dan tidak rata. Menurutnya, pengalihan kabel itu merupakan sebahagian daripada kerja-kerja menaik taraf Jalan 1/27A, Jalan Genting Klang hingga ke persimpangan Jalan Lingkaran Tengah (JLT2). "Projek yang dijangka siap sepenuhnya pertengahan November depan melibatkan pelebaran sebahagian Jalan Genting Klang sepanjang 1.5 kilometer (km) daripada empat lorong kepada enam lorong. "Ketika ini kerja-kerja tanah giat jalankan. Selain melibatkan penebangan pokok dan memantapkan lereng, pengalihan kabel oleh syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Telekom serta syarikat telekomunikasi lain turut dilaksanakan,"katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan pengguna berhubung kerja-kerja penurapan jalan yang tidak sempurna dilakukan oleh kontraktor di Jalan Genting Klang di sini. Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, pemantauan tidak dapat dilakukan sepanjang masa kerana kerja-kerja pengalihan oleh syarikat utiliti itu tidak dilakukan serentak. "Selagi projek naik taraf Jalan Genting Klang tidak selesai, masalah jalan di situ dikorek dan diturap beberapa kali dalam tempoh sebulan akan dilakukan. "Kami berharap pengguna supaya bersabar sehingga projek menaik taraf jalan itu selesai keseluruhannya,"katanya. Projek tersebut yang bermula sejak 15 Mei lalu itu bertujuan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang dialami pengguna jalan raya sejak sekian lama. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |