Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST Oleh ZULKIFLI SAINUDDIN NOH Omar (tengah) bersama sebahagian warga Kemas Selangor bergambar selepas majlis Perjumpaan Pemaju Masyarakat Tabika dan Taska Permata Kemas, di Shah Alam, semalam. - MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI SHAH ALAM 11 Jan. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan supaya berpegang kepada aku janjinya untuk memelihara dan melindungi kesucian Islam ketika mengangkat sumpah di hadapan sultan sebelum ini. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan Abdul Khalid yang mengeluarkan dua arahan baharu kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIS) jelas bertentangan dengan aku janji beliau iaitu mahu memelihara kesucian dan keagungan Islam sebagai agama rasmi negeri dan kepercayaan umatnya daripada diganggu gugat mana-mana pihak. Dalam hubungan ini katanya, Menteri Besar sepatutnya membela JAIS yang merupakan sebuah agensi menjaga kesucian agama Islam di negeri ini dan bukannya melakukan sebaliknya. "Serbuan itu dibuat untuk melindungi kesucian kalimah Allah yang mahu digunakan oleh agama lain di negeri ini dan dibuat berlandaskan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988. "Sebaliknya, Abdul Khalid mengeluarkan arahan terbaharu kepada JAIS mengarahkan pemulangan Bible yang dirampas dalam serbuan di Petaling Jaya pada Khamis lalu dan mewajibkan agensi itu memaklumkan kepada mereka sebelum membuat apa-apa serbuan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Pemaju Masyarakat Tabika dan Taska Permata Kemas di Politeknik Shah Alam di sini hari ini. Noh turut menyifatkan pengeluaran arahan tersebut sebagai satu tindakan yang tidak menghormati undang-undang. "Arahan itu menunjukkan bahawa kerajaan negeri pakatan pembangkang cuba masuk campur urusan penguatkuasaan undang-undang negeri. "Sebagai Menteri Besar, beliau tidak boleh mengarah sesuatu tindakan penguatkuasaan yang akan dibuat oleh JAIS untuk dirujuk kepadanya terlebih dahulu," jelasnya. Sementara itu dalam satu kenyataan, Noh melahirkan rasa kesal dengan sikap Abdul Khalid yang seolah-olah tidak memahami Penyelesaian 10 Perkara diluluskan Kabinet bahawa peraturan itu tidak boleh mengatasi undang-undang diwartakan oleh kerajaan negeri. Menurutnya, Penyelesaian 10 Perkara itu hanya satu polisi dan bukannya undang-undang yang boleh dikuatkuasakan, selain hanya berkaitan dengan soal kemasukan dan pengimportan Bible bahasa Melayu ke negara ini yang langsung tidak ada kena mengena dengan isu kalimah Allah. "UMNO Selangor juga melihat kerajaan negeri tidak memahami konteks kebebasan beragama yang disebut di dalam Perlembagaan di dalam Artikel 11 dan tertakluk kepada Artikel 11 (4) dan kenyataan beliau untuk mengheret Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam isu ini adalah satu usaha untuk menyalahkan kerajaan Persekutuan. "Cap KDN hanya terpakai di negeri-negeri yang tidak mempunyai Enakmen 1988 seperti di negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan tersebut. |
Pusat, Pas Kelantan perlu berganding bantu rakyat Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST RANTAU PANJANG 11 Jan. - Kerajaan Pas Kelantan digesa mengenepikan perbezaan fahaman politik dan berganding bahu dengan Kerajaan Pusat bagi membantu mana-mana rakyat di negeri ini yang ditimpa musibah. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, insiden 60 buah kedai di Pekan Rantau Panjang, di sini yang terbakar Selasa lalu merupakan contoh terbaik bagaimana kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu mangsa. "Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, perlu ada perbincangan melibatkan Pusat dan negeri untuk meneliti dan mencari jalan bagaimana hendak membantu mereka. "Politik penting tapi pilihan raya dah habis, mungkin kita boleh ketepikan perbezaan fahaman politik demi kebaikan dan masa depan rakyat, khususnya para peniaga kecil ini," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa melawat para peniaga terbabit di lokasi kejadian itu di sini hari ini. Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam pada itu memberitahu, berdasarkan pertemuan beliau dengan pihak berkuasa serta wakil peniaga, terdapat tiga isu utama yang perlu diberi perhatian untuk membantu mangsa. Isu pertama kata beliau, perkara berkaitan aspek keselamatan serta infrastruktur seperti pili bomba dan bagaimana pihak berkuasa dapat menghalang insiden sama berulang pada masa depan. "Isu kedua melibatkan pelbagai bentuk sokongan iaitu bagaimana kita dapat bantu para peniaga memulakan semula perniagaan dan setakat ini, ada dua cadangan dikemukakan iaitu meminta mana-mana bank memberi pinjaman segera tanpa faedah dan membuka tapak perniagaan sementara untuk mereka. "Isu ketiga pula mengenai masa depan pekan Rantau Panjang. Kita ada bangunan baharu Pasar Rantau Panjang bernilai RM13 yang telah siap dibina dan sekarang, kita perlu cari jalan bagaimana hendak mengisi ruang kosong. Perkara ini perlu dibincang kerana bangunan itu milik kerajaan negeri walaupun peruntukan datang dari Pusat," katanya. Menurut Mustapa, pihaknya akan mengadakan bancian secepat mungkin bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai bilangan peniaga warga tempatan yang terjejas serta jumlah kerugian sebelum menentukan bentuk bantuan yang bakal disalur kepada mangsa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |