Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Membisu apabila dicabar kemukakan surat guaman Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST KUALA LUMPUR 19 Jan. - Tindakan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo secara tiba-tiba membisu apabila dicabar mempamerkan surat guaman DAP yang didakwa dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 23 Disember tahun lalu, menimbulkan persoalan apakah beliau berbohong dalam isu itu. Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Kedah, Khairul Anwar Ramli berkata, sikap membisu itu nyata berbeza sama sekali dengan perwatakan Gobind sebelum ini yang cukup lantang menyerang kerajaan, tetapi menikus apabila diminta mendedahkan surat itu. Sehubungan itu, beliau meminta Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng supaya menjelaskan kepada orang ramai mengapa Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong secara tiba-tiba berubah watak menjadi seorang lelaki penakut. Kita hanya minta Gobind dedahkan surat guaman yang didakwanya dihantar kepada ROS, mengapa susah sangat dan begitu takut untuk dedahkan? Melainkan surat guaman itu hanyalah rekaan bagi membohongi rakyat. Jika suka berbohong, beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen. Guan Eng kena ambil tanggungjawab jelaskan sebab rakyat mahu lihat bukti surat tersebut. Rakyat kini sedang menilai sikap dan moral sebenar pemimpin pembangkang terutama daripada DAP," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Sebelum ini, Gobind mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya telah menghantar sepucuk surat bagi menyaman ROS berhubung kesahihan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP. Bagaimanapun, ROS menjelaskan, badan itu tidak menerima sebarang surat guaman seperti didakwa Gobind, sebaliknya hanya surat memohon penjelasan kesahihan pemilihan CEC yang ditandatangani Guan Eng. Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, kegagalan Gobind dan DAP mengemukakan surat guaman tersebut meskipun telah dicabar, membuktikan mereka bukan sahaja sanggup membohongi rakyat Malaysia, malah ahli parti itu sendiri demi kepentingan politik peribadi. Sebab itu ahli DAP mula mempersoal antaranya mengapa 851 perwakilan tidak hadir semasa pemilihan CEC dan bagaimana boleh wujud ahli 450 perwakilan haram semasa pemilihan tersebut sehingga ramai yang yakin bahawa wujud penipuan dalam pemilihan CEC DAP," katanya. |
Lelaki dipukul selepas maki hamun peserta demonstrasi Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST SEBAHAGIAN daripada orang ramai yang menyertai himpunan aman mengecam tindakan Lee Khai Loon yang menyumbat sayur kangkung ke dalam patung Datuk Seri Najib Tun Razak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. BUKIT MERTAJAM 19 Jan. - Seorang penyokong pakatan pembangkang dipukul selepas memaki hamun lebih 300 peserta demonstrasi membantah penghinaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pasar Alma, dekat sini hari ini. Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an itu bernasib baik selepas diselamatkan sepasukan anggota polis walaupun tindakannya mencetuskan provokasi ketika perhimpunan hampir tamat menyebabkan berlaku kekecohan. Terdahulu, perhimpunan hari kedua anjuran UMNO negeri itu berterusan menyuarakan bantahan keras terhadap Khai Loon atas kenyataan biadab beliau menghina Najib. Diketuai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abd. Rahim serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan berkenaan berarak sejauh satu kilometer dari pasar berkenaan ke pusat khidmat ADUN PKR itu. Mereka turut melaungkan slogan anti-Khai Loon dan bertindak membakar gambarnya. Semalam, hampir 3,000 orang terdiri daripada ahli UMNO, NGO dan penduduk tempatan turut berarak di sekitar Seberang Jaya di sini, bagi membantah Khai Loon yang sebelum ini bertindak menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Najib dan mempersenda kenyataan beliau berhubung penurunan harga sayur berkenaan. Namun, hasrat kumpulan berkenaan untuk bertentang mata dengan Khai Loon tidak kesampaian kerana pusat khidmatnya tidak dibuka selain kehadiran lebih 30 orang anggota polis yang berkawal. Sementara itu, Musa berkata, beliau kesal dengan tindakan provokasi lelaki berkenaan yang memaki hamun kumpulannya bagi menimbulkan suasana tegang. "Kenapa dia perlu memaki hamun kami sedangkan orang Melayu yang berasa terguris dengan tindakan wakil rakyat pembangkang masih bersabar ketika berhimpun pada hari ini," katanya. Sementara itu, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak yang turut hadir menasihatkan Khai Loon membantu peniaga kecil di tepi jalan di kawasannya terlebih dahulu berbanding memilih bersikap kurang ajar dan menimbulkan isu yang tidak sepatutnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |