Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Selangor arah tutup akhir tahun ini Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST Oleh ABDUL YAZID ALIAS Penutupan GiatMara Taman Selayang Baru oleh kerajaan negeri Selangor merupakan penindasan terhadap orang Melayu dan menutup peluang rakyat untuk mendapatkan hak pendidikan. SHAH ALAM 14 Jan. - Usaha Kerajaan Pusat membangunkan modal insan negara melalui latihan kemahiran kepada bumiputera dijangka terbantut pada masa depan apabila kerajaan negeri didakwa bertindak mengarahkan pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup akhir tahun ini. Utusan Malaysia difahamkan arahan itu dibuat menerusi satu surat yang dikemukakan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak kepada pengurus pusat latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkenaan yang bertarikh 2 Disember tahun lalu. Dalam surat tersebut, kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus pusat latihan itu untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 kaki persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri. Malah, kerajaan negeri turut memberikan amaran akan mengambil tindakan terhadap pengurusan pusat latihan terbabit tanpa sebarang notis atau ganti rugi di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Abdul Shukor Idrus menyelar tindakan kerajaan negeri itu yang disifatkannya seolah-olah mahu menutup peluang kepada rakyat negeri ini, khususnya bumiputera untuk mendapatkan hak pendidikan dari segi latihan kemahiran. Tegasnya, walaupun dari segi perundangan kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian, namun penutupan pusat GiatMara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan negeri tidak mengalami apa-apa kerugian. Bahkan, katanya, pusat latihan itu sendiri selama ini sebenarnya banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan di Selangor. Beliau turut dimaklumkan Exco kerajaan negeri, Ean Yong Hian Wah telah membawa rombongan daripada wakil perniagaan Cina melawat pusat tersebut sebelum ini. "Saya difahamkan lokasi pusat GiatMara itu mungkin diambil untuk tujuan pembangunan komersial. Jika perkara itu benar, malanglah kepada nasib anak-anak Selangor, khususnya dalam kalangan bumiputera untuk mendapatkan pendidikan latihan kemahiran. "Soalnya mengapa kerajaan negeri menyasarkan pusat GiatMara, sedangkan di Selangor ini masih banyak kilang-kilang, pusat judi serta urut dibina dan beroperasi secara haram yang boleh diambil tindakan termasuk merampas tanah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang turut menjelaskan bahawa pusat GiatMara di Taman Selayang Baru itu dibina serta beroperasi sejak 1994 yang pada mulanya merupakan sebuah dewan serbaguna atas dasar kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat ketika itu. Ini kerana, katanya, pusat tersebut adalah untuk melatih anak-anak Selangor dalam bidang kemahiran dan sepatutnya kerajaan negeri ketika ini bersama-sama membantu dalam usaha murni itu, bukan sebaliknya. Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zein Isma Ismail mengutuk tindakan kerajaan negeri itu sekiranya benar, selain meminta pentadbiran Selangor ketika ini mencari alternatif sesuai bagi membolehkan pusat GiatMara berkenaan terus beroperasi dalam membangunkan modal insan negeri ini. Menurutnya, kerajaan negeri perlu sedar bahawa dalam membangunkan Selangor ini, kerajaan Pusat telah menyalurkan kerjasama serta bantuan sejak sekian lama. "Kerajaan negeri sepatutnya melakukan perkara yang sama untuk kepentingan rakyat meskipun berlainan ideologi politik," katanya. |
UMNO Selangor akan pertahankan meskipun diarah tutup - Noh Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST TANJUNG KARANG 14 Jan. - UMNO Selangor akan mempertahankan kewujudan GiatMara Taman Selayang Baru meskipun telah diarah tutup oleh kerajaan pakatan pembangkang pada hujung tahun lalu. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, kewujudan pusat latihan kemahiran itu adalah penting untuk anak bangsa Melayu yang tercicir untuk mendapat pendidikan dan kemahiran. Katanya, ini adalah kali kedua kerajaan Selangor menutup pusat GiatMara di Selangor, sebelum ini pusat GiatMara di Merbau Berdarah, Sabak Bernam turut diarahkan tutup pada pertengahan tahun 2012. Inilah bezanya antara kerajaan Barisan Nasinal (BN) dengan pakatan rakyat, BN boleh bertolak ansur untuk membantu anak-anak bangsa yang tercicir untuk memberi mereka kemahiran. Malangnya, pakatan pembangkang pula menggunakan undang-undang untuk kepentingan mereka sendiri," katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat Tanjung Karang, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pembangkang negeri, Datuk Mohd. Samsudin Lias dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak. Noh berkata, dalam usaha untuk mempertahankan pusat latihan itu, UMNO Selangor akan membantu GiatMara memohon tapak yang diduduki itu untuk menjadi milik pusat berkenaan. Saya tahu tapak itu adalah milik kerajaan negeri dan bukan milik GiatMara, tetapi sebagai sebauh kerajaan prihatin dan mahu membangunkan modal insan, mereka sepatutnya boleh bertolak ansur seperti yang diamalkan oleh kerajaan BN sebelum ini," katanya. Menurut sumber, satu surat daripada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak telah dihantar kepada pengurus pusat latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkenaan pada 2 Disember lalu yang menyatakan kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus pusat latihan itu untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 kaki persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri. Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim kerana akhirnya bertindak cerdik dan membuka mata selepas bersetuju membenarkan Kerajaan Pusat membina Loji Rawatan Air Langat 2. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |