Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
YPEBM beramal di kampung Orang Asli Posted: 11 Jan 2014 04:38 AM PST Aktiviti selama tiga hari dua malam di Cameron Highlands dan Gua Musang meninggalkan 1,001 kenangan buat para peserta ini. SEBUT sahaja Cameron Highlands, dua jalan utama pastinya terlintas di fikiran iaitu melalui Tapah mahupun Simpang Pulai, Perak. Baru-baru ini, penulis berpeluang berkunjung ke sana bersama 60 peserta Kursus Asas Latihan Ikhtiar Hidup dari Yayasan Penyelamat Elite Bencana Malaysia (YPEBM). Dari Kuala Lumpur, kami bertolak ke Cameron Highlands menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan seawal pukul 8 pagi. Kami berhenti di Bidor sementara menantikan kesemua peserta berkumpul memandangkan ada yang datang dari negeri berlainan. Setelah semua peserta hadir, penerangan ringkas diberikan oleh wakil YPEBM dan perjalanan diteruskan semula. Setibanya di Tanah Rata, kami makan tengah hari dan selepas itu, perjalanan diteruskan ke Perkampungan Orang Asli Kuala Betik. Kami meletakkan kereta di situ dan bersedia untuk memulakan perjalanan meredah khazanah alam semula jadi dengan jentera pacuan empat roda (4x4). Dari Kuala Betik, kami menyusuri Kampung Tersoh, Pos Ber, Kampung Terbuk, Kampung Hani dan Kampung Tuey. Kesemua perkampungan yang kami lalui itu terletak di sempadan Cameron Highlands dan Gua Musang. Sekitar pukul 4 petang, sebahagian daripada kami turun dari kenderaan dan berjalan untuk menikmati keindahan belantara yang menghijau. Setelah hampir sejam berjalan, kami terserempak dengan sekumpulan anak-anak Orang Asli berusia antara lima hingga 12 tahun memanjat pokok yang tinggi. Kami berasa agak terkejut melihat aksi mereka yang menggelongsor turun dari pokok tanpa menggunakan tali. Bagi orang bandar seperti kami, aksi itu diperhatikan dengan perasaan mendebarkan dan tak kurang juga ada yang merakamkan aksi tersebut untuk kenang-kenangan. Terleka dengan aksi itu, masa bagaikan mencemburui kami sehingga dua jam berlalu. Setibanya di tapak perkhemahan di Kampung Pluk, Gua Musang, setiap peserta dibahagikan tugas masing-masing seperti mendirikan khemah, memasak dan membuat tandas mudah alih untuk kegunaan wanita. Selepas khemah didirikan, kami menjamu selera dengan hidangan yang dimasak oleh peserta yang merupakan seorang mekanik. Biarpun kerja utamanya membaiki kenderaan namun tak disangka, dia turut mempunyai bakat memasak. Selepas menjamu selera, aktiviti bebas pun bermula. Ada peserta mengambil peluang untuk berehat, tidur dan tak kurang juga yang berborak hingga lewat malam sambil dihiburkan dengan bunyi-bunyian semula jadi yang cukup mempesonakan. Seawal pukul 6 pagi hari kedua, kami bangun dan sarapan. Pagi ini, aktiviti kawad kaki dan asas latihan ikhtiar hidup dikendalikan oleh jurulatih YPEBM yang profesional. Antara yang menarik, kami diberikan pendedahan mengenai teknik mudah memasang khemah, mencari kayu api, ikatan tali kecemasan dan berkomunikasi menggunakan radio dua hala. Selepas makan tengah hari, kami mengambil peluang untuk berehat dan mandi-manda di jeram berhampiran tapak perkhemahan. Tepat pukul 5 petang, kami berkumpul untuk berkunjung ke Temiar Rafflesia Sanctum yang terletak 10 minit berjalan kaki dari tapak perkhemahan. Dari Sungai Ber, kami menuju ke Perkampungan Orang Asli Sungai Tersoh dan mula memanjat bukit yang lebih dikenali sebagai Bukit Rafflesia. Dengan bayaran sebanyak RM15 seorang, pemandu arah dari suku Temiar bernama Mohd. Suhaimi Rodin, 32, membawa kami menyusuri bukit tersebut. Memandangkan ada yang tidak pernah mendaki bukit maka macam-macam hal terjadi sehingga ada yang tergelincir dan tercabut tapak kasut kerana kasut yang dipakai tidak sesuai untuk aktiviti tersebut. Begitupun penulis tetap memuji peserta yang berjaya mengharungi setiap cabaran itu. Ia tidaklah seteruk mana kerana bukit itu hanya setinggi 365.76 meter. Kesemua kami berjaya menawan puncaknya dan lebih istimewa dapat bergambar bersama bunga gergasi berwarna merah itu. Malam itu kami tidur lebih awal kerana kepenatan dengan suhu yang dingin dan nyaman. Keesokan pagi hari ketiga, kami berkunjung pula ke kawasan penempatan Orang Asli yang terdapat di sekitar tapak perkhemahan. Dalam sesi lawatan itu, rawatan percuma diberikan kepada Orang Asli dan menyampaikan bantuan bahan makanan kepada penduduk Orang Asli yang terdapat di Gua Musang iaitu Temiar, Batek dan Jahai. Selepas bahan bantuan disampaikan, kami menuju pula ke perkampungan Orang Asli Pos Ber. Sebelum pulang, kami sempat bergambar kenangan dan membeli pelbagai produk makanan berasaskan strawberi, sayuran dan buah-buahan segar di Cameron Highlands untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur. - SYAHRIL |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |