{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Penerusan transformasi negara

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Dr.Rais Yatim

TAHUN 2014 baharu berusia 12 hari. Gema gemilang bunga api di Putrajaya dan Dataran Merdeka berlalu sudah. Berjuta mesej sistem ringkas (SMS) selamat tahun baharu yang berlintasan di telefon bimbit berjuta manusia kini juga sudah reda, seperti mana redanya musim tengkujuh dan bah.

Jeritan sumbang pembangkang di Dataran Merdeka juga sudah terbenam. Kini kumpulan hilang punca itu membuktikan lebih ramai Melayu daripada anggota masyarakat Malaysia yang lain. Seperti mana halnya dengan politik tanah air, Melayu lawan Melayu kini sudah menjadi amalan yang tampaknya sedikit pun tidak dihiraukan oleh Melayu pembangkang.

Dalam persekitaran beginilah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kena bergelut dan berhempas-pulas untuk meneruskan agenda transformasinya. Transformasi dalam kerajaan, transformasi politik, transformasi minda dan transformasi capaian pelbagai sektor.

Transformasi bererti mengubah sifat daripada satu keadaan kepada keadaan baru yang membawa penambahbaikan kehidupan baik dari segi imej mahu pun dari aspek hasil.

Transformasi yang dipimpin Najib semenjak hampir lima tahun lalu boleh dimengertikan sebagai meneruskan perjuangan Wawasan 2020 cetusan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Rakyat masih ingat - Wawasan 2020 disasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun tersebut. Wawasan 2020 menganjurkan 9 matlamatnya yang meliputi, antara lain, negara bersatu teguh, keadilan sosial menyeluruh, capaian ekonomi yang saksama, masyarakat berasaskan budaya penyayang, mewujudkan masyarakat demokratik pelbagai kaum yang liberal dan bertolak ansur, negara yang tersedia dengan kebanggaan dan kedaulatannya sendiri, masyarakat bermoral dan beretika, masyarakat berorientasikan pengetahuan saintifik dan teknologi tinggi serta masyarakat majmuk yang berteraskan falsafah kesejahteraan untuk semua.

Kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui Islam Hadhari juga memperjuangkan hampir kesemua intisari Wawasan 2020 melalui 10 prinsip asasnya walaupun ternyata, tempoh 5 tahun tidak cukup untuk merealisasikan pengisian yang genap.

Najib amat memahami intisari Wawasan 2020 dan kandungan Islam Hadhari. Beliau juga memahami - sesuatu wasasan memerlukan tempoh masa yang cukup, dan terpenting - rakyat mesti memahami dan menerimanya jika di akhir tempoh sesuatu transformasi mahu mencapai kejayaan.

Jika falsafah transformasi pimpinan Najib hendak disimpulkan, rumusan berikut boleh dianggap menepati intisarinya:

mentransformasikan kerajaan bagi mencapai Wawasan 2020, yang menjadi sasaran bagi negara kita. Walaupun Malaysia sudah bergerak maju sampai ke tahap ini, ekonomi kita masih berada dalam risiko kekal sebagai ekonomi pendapatan sederhana. Kerajaan dan rakyat mesti melaksanakan penambahbaikan signifikan bagi mengurangkan kadar jenayah dan rasuah, mempertingkatkan tahap pendidikan, infrastruktur asas luar bandar dan pengangkutan awam di bandar, dan meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah. Semua ini perlu dilaksanakan, sebelum Malaysia dapat menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. Pihak kerajaan, sebagai penggerak utama dalam pembangunan Malaysia, perlu melalui proses transformasi bagi memastikan Malaysia dapat mencapai Wawasan 2020"

Mencapai matlamat

Di bawah gerak kerja Gagasan 1Malaysia kesemua falsafah dan intisari Transformasi Kerajaan pimpinan Najib dialur dan disalurkan. Huruf-huruf potong (akronim) seperti NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara), GTP (Program Transformasi Kerajaan), ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan sedozen yang lain dihuraikan ulang berulang. Para Menteri dan pimpinan perkhidmatan awam diberi markah yang dipanggil KPI (indeks pencapaian utama). Ada yang cemerlang, ada yang tidak begitu cemerlang.

Pekikan 1Malaysia yang saban hari dan malam dikumandangkan RTM dan media elektronik swasta menepati sasarannya. Rakyat faham apa itu 1Malaysia walaupun perkara-perkara berkaitan kos kehidupan dan masalah jenayah muncul sebagai cabaran utama.

Kejayaan Pilihan Raya Umum Ke-13 banyak bergantung kepada 1Malaysia dan program transformasi yang dibawa melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M), Kedai 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Teksi 1Malaysia dan puluhan program pembelaan rakyat yang lain.

Transformasi yang dibawa Najib ternyata diterima baik di Sabah dan Sarawak dalam suasana Melayu berpecah politik tiga segi. Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu terus menjadi simpanan tetap Barisan Nasional (BN). Budi rakyat kedua-dua negeri itu dibalas Najib dengan majoriti jawatan menteri diagihkan ke sana.

1Malaysia dan transformasi mencapai matlamat sekalipun masyarakat Tionghua terpesong dengan dendangan beracun DAP, PKR dan Pas. Walaupun dasar pilih calon boleh menang (winnable candidate) banyak menghilang ditelan hiruk-pikuk retorika kempen calon mutakhir, produk transformasi Najib terbukti diterima. Capaian 88 kerusi Parlimen UMNO, peningkatan kerusi MIC dan komponen BN di Sabah dan Sarawak ialah paparan dalil yang tidak boleh disangkal.

Pada peringkat ini amat perlu bagi wakil rakyat, khasnya daripada UMNO melaksanakan transformasi dalaman: pimpinan membawa teladan yang berdisiplin tinggi, mengawasi dan mematuhi undang-undang penguatkuasaan yang berupaya mewujudkan budaya tinggi.

Dalam menjaga warisan perjuangan yang unggul, UMNO khasnya perlu transformasikan Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang juga mendukung cita-cita bahasa dan budaya Melayu.

Apa pun, keutuhan ekonomi Bumiputera perlukan transformasi segera supaya satu hari nanti dapat kita lihat saudagar terkaya di Malaysia ialah Melayu dan Bumiputera. Transformasikan minda supaya jangan khianat terhadap Melayu yang berjaya.

Dan terpenting, jangan malu mengamalkan budaya Melayu sekalipun Barat sudah semacam mendahului mempengaruhi nilai-nilai kehidupan kita. Hilang budaya hilang bangsa. Merosot ekonomi tergadai maruah.

Kritikan terhadap Najib yang tidak adil dijangka akan berterusan dalam hal-hal tertentu, khasnya melalui dunia siber anjuran pembangkang. Mereka juga tak akan sunyi daripada melemparkan tohmahan dan fitnah. Amalan pepatah berani kerana benar, takut kerana salah akan sentiasa membawa kesejahteraan dan keadilan.

Suara majoriti dijangka akan terus mahukan Najib dan pembaharuan yang dipeloporinya. Air muka serta pimpinannya yang membawa bayangan sayangkan rakyat sudah cukup membawa isyarat dan jaminan bahawa transformasi yang belum selesai harus terus dibantu melalui dokongan dan sokongan rakyat.

Dalam perjuangan berparti dan berkerajaan, keadaan sempurna tidak akan tercapai. Yang tercapai ialah kebaikan dalam kesederhanaan. Ini sudah dicapaikan oleh Najib dan rakan-rakannya.

Selamat Tahun Baharu 2014.

Semarakkan cinta acuan Nabi

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Perarakan sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan di Putrajaya. - Gambar hiasan.

TERLALU banyak isu melibatkan Islam yang begitu menggamit perasaan kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sesetengah isu yang tidak terlintas pun dalam benak kita boleh wujud di bumi bertuah ini, seperti kalimah Allah yang dituntut Gereja Roman Katolik kini timbul bagaikan tiada kesudahan.

Kadang kala pelik dan penuh tanda tanya kenapa baru hari ini pihak gereja bersungguh-sungguh bahkan berani buat tuntutan untuk guna pakai kalimah Allah, sedangkan isu ini tidak pernah timbul sejak mereka bertapak di Tanah Melayu Islam lebih 500 tahun dulu.

Tidak cukup dengan isu ini, kumpulan yang disahkan Kementerian Dalam Negeri sebagai pertubuhan haram COMANGGO pula tergamak mengkhianati negara ke peringkat antarabangsa dengan membuat pelbagai tuntutan dan hujah palsu mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama negara atas nama pencabulan hak asasi manusia.

Bagi penulis, tiada guna selamanya hendak menyalahkan orang lain apabila isu sensitif sebegini ditimbulkan. Sering kali kita lupa hakikatnya apa yang berlaku merupakan musibah Allah ke atas umat Islam di Malaysia lantaran tingkah dan olah (akal) mereka sendiri sebagaimana Surah Ar-Ruum ayat 41:

Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

Tidak sukar mencari punca segala kemelut yang melanda negara ketika ini. Malah tidak susah mengenal pasti sebab keberanian luar biasa puak minoriti kecil berkepentingan sanggup menggadaikan keharmonian yang ada untuk membuat tuntutan sehingga membelakangkan Perlembagaan yang disepakati sejak sekian lama.

Tentu sekali jawapannya amat terkait dengan keadaan umat Islam yang terus-menerus berantakan sesama sendiri daripada sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar isu. Lebih menyedihkan dalam hal yang menyentuh kepentingan bersama khususnya melibatkan agama dan bangsa sekalipun, umat kekal celaru dan tidak bersatu.

Ada manfaatnya jika dalam penulisan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Selasa ini, penulis memfokuskan isu mendasar menyentuh aspek kegersangan nilai yang melanda umat hingga tidak lagi mengikuti ajaran Nabi SAW.

Ramai yang mendakwa pengikut Nabi tapi hakikatnya tidak meneladani dan mengikuti jalan Nabi. Tidak kurang juga berdegar-degar dengan slogan retorik hendak perjuangkan Islam tapi langsung tidak mencerminkan akhlak dan adab Islam anjuran Nabi.

Mereka lupa pesanan Nabi SAW agar teguh berpegang kepada Sunnah atau petunjuk baginda bagi mendepani senario umat akhir zaman yang bakal berantakan dan berselisihan sebagaimana Hadis riwayat Abu Daud: Barang siapa yang berumur panjang, pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu, kamu wajib berpegang dengan sunnahku".

Jika ditelusuri antara sunnah terpenting yang mendasari prinsip akhlak dan menerasi jiwa Nabi SAW yang semakin dikesampingkan kini ialah sifat kasih sayang yang sering diulang-ulang dalam al-Quran. Allah berfirman: Muhammad itu utusan Allah dan orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir (yang bermusuh dengan Islam) tetapi berkasih sayang sesama mereka. (Al-Fath: 29).

Dalam ayat lain, Allah sekali lagi menekankan jiwa kasih-sayang Nabi SAW: Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu, sangat mengambil berat dia terhadap sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada kamu, amat sangat menginginkannya semua perkara yang baik bagi kamu dan kepada orang mukmin amat sayang baginda terhadap mereka. (At-Taubah: 128).

Dalam kedua-dua ayat tersebut, al-Quran menggunakan perkataan Rauf dan Rahim untuk menegaskan maksud kasih sayang yang menjadi teras keperibadian Nabi terutamanya dalam hubungan sesama golongan yang beriman.

Dalam sesetengah tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir, perkataan Rauf ini disebut sebagai Shiddatur Rahmah atau kasih sayang yang mencapai tahap tertinggi berteraskan keimanan seutuhnya kepada Allah.

Elemen terpenting

Ini bermakna kasih sayang dalam pengertian hubungan sesama umat Islam diikat atas asas keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT semata-mata. Malah perkataan Ar-Rauf dan Ar-Rahim sendiri merupakan sebahagian daripada nama-nama Allah yang membawa makna Maha Pengasih dan Penyayang.

Sebab itulah dakwah Nabi SAW sendiri bermula dengan menzahirkan budaya kasih sayang (cinta) sebagai asas terpenting pembentukan umat Islam yang hebat. Malah aspek kasih sayang merupakan elemen terpenting yang memperkuat dan memperteguh umat Islam hingga mampu membina tamadun umat yang hebat pada suatu ketika.

Sebaliknya apabila nilai kasih sayang dipinggirkan sedang sifat benci dan dendam yang lebih membudaya dan mengakar, maka dengan sendirinya kekuatan umat Islam akan melebur. Sejarah jelas membuktikan bagaimana tamadun Islam akhirnya hancur sama sekali lantaran serakah manusiawi yang membelakangi nilai kasih sayang sesama umat.

Persoalannya, apakah budaya kasih sayang masih membudaya dalam diri umat Islam Malaysia ketika ini? Atau apakah dunia politik umat kini sedang mengalami krisis kekeringan makna dan kegersangan nilai kasih sayang hingga menyebabkan gejala budaya dendam dan benci yang membinasakan?

Hakikat yang sukar untuk dinafikan, budaya dendam dan benci masih kekal membarah dalam diri penggiat-penggiat parti politik. Malah kepentingan merebut kuasa seringkali menjadikan penyokong parti hilang pertimbangan rasional. Ramai pemuja dan pendokong politik Islam sendiri ikut hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita.

Perlakuan seumpama ini secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan. Sistem demokrasi umpamanya tidak lagi dijadikan alat, malah dalam banyak keadaan, fahaman liberal demokrasi dipertuhankan dengan harapan kuasa dapat dikecap dengan apa cara sekalipun.

Dengan gejala budaya politik yang mengalami pendangkalan nilai dan etika kini, pastilah ia mudah menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini jugalah yang sering membelakangi prinsip kasih sayang hingga gejala budaya politik berasaskan kebencian pastinya mampu meleburkan perpaduan dan memporak-porandakan negara.

Justeru, kehidupan politik umat harus segera diselamatkan sebelum terlambat. Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan usaha pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua bentuk percaturan.

Pemikiran yang diselaputi sentimen marah dan benci lantaran terlalu taksub berparti harus dijernihkan agar umat mampu kembali membudayakan nilai kasih sayang sesama mereka. Janganlah kerana perbezaan parti kita sanggup meruntuhkan kekuatan ukhuwah yang sedia terjalin.

Sesungguhnya maruah umat Islam hanya mampu ditebus apabila kita bersedia untuk melupakan perselisihan demi agenda bangsa dan agama yang lebih besar. Harga dan nilai bangsa hanya mampu dimartabatkan apabila kita benar-benar menjiwai nilai dan prinsip Islam sekali gus membudayakan kasih sayang sebagaimana keperibadian junjungan Nabi SAW.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat