Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST Oleh Zulkiflee Bakar "KITA telah berlembut dan berdiplomasi terlalu lama terhadap mereka, kita tidak boleh begitu kerana perkara tersebut melibatkan kesucian umat Islam, kesucian Allah dan melibatkan Perlembagaan." Itulah peringatan yang diberikan oleh penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias ketika menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam yang begitu hangat diperkatakan di Selangor. Sememangnya bukan sahaja dalam isu kalimah Allah bahkan dalam banyak isu sebelum ini, orang Melayu dan umat Islam dilihat terlalu berlembut dengan pihak-pihak tertentu yang semakin 'naik tocang' dalam mengetengahkan atau memperjuangkan agenda mereka. Ingatlah kembali, satu ketika dahulu tiada siapa yang berani mengganggu hal-hal berkaitan orang Melayu dan melakukan tindakan yang boleh menyinggung umat Islam. Mereka memahami jika dua perkara ini disentuh, orang Melayu dan umat Islam akan bersatu bangkit menentang mereka. Tetapi sekarang situasinya sudah berbeza. Toleransi berlebihan dan pendekatan untuk menjaga hati kelompok tertentu telah memungkinkan orang Melayu dilihat semakin lemah. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila orang Melayu terus berpecah belah biarpun mereka mengadap kiblat yang sama dan Allah yang satu. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 bermaksud: ''Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah kamu akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya, kamu menjadi bersaudara. Nikmat Allah SWT yang besar adalah persaudaraan setelah diliputi permusuhan. Tetapi kajilah apa yang berlaku sekarang, umat Islam tidak bersatu hati, kita berpecah belah dan tidak tegas dalam berhadapan dengan isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama. Dalam isu mempertahankan kalimah Allah contohnya, tiada kesepakatan yang dicapai, ada umat Islam yang tegas menentang penggunaan kalimah suci itu oleh bukan Islam dan ada pula yang menganggap apa salahnya bukan Islam menggunakan kalimah tersebut. Lebih mendukacitakan apabila ketegasan pihak jabatan agama Islam demi mempertahankan kesucian Islam diperlekehkan sehingga ia mewujudkan keberanian daripada kalangan bukan Islam untuk turut sama mengecam institusi tersebut yang dalam apa keadaan sekali pun harus dipertahankan oleh umat Islam. Kenapa ini terjadi? Segalanya kerana kita sudah terlalu banyak berlembut, bertolak ansur dan ada antara kita lebih meletakkan kepentingan duniawi iaitu merebut politik kekuasaan mengatasi segala-galanya. Bayangkanlah, tidak pernah berlaku sebelum ini mana-mana pihak memperlekehkan enakmen agama Islam, tidak pernah terjadi titah Sultan berkaitan Islam dipinggirkan tetapi sekarang situasi itu sudah berlaku. Walaupun mereka mengetahui perbuatan mereka itu akan membangkitkan perasaan marah umat Islam namun tidak ada perasaan gerun pun pada hati mereka. Oleh itu persoalannya sampai bilakah kita harus berlembut? Kita bukannya mahu tindakan diambil di luar batas-batas undang-undang tetapi berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. Apa istimewanya puak-puak ini sehingga terlalu sukar tindakan diambil ke atas mereka? Dalam masa sama, umat Islam sendiri tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka perlu mengerti apa yang berlaku sekarang adalah agenda tersirat pihak-pihak tertentu bagi melaksanakan agenda mereka yang lebih besar. Kegagalan umat Islam untuk bersatu dan berpegang teguh kepada persaudaraan Islam serta semakin rapuh semangat penyatuan hati bagi mempertahankan kesucian Islam telah memungkinkan pihak-pihak tertentu semakin hilang rasa hormat dan gerun mereka kepada umat Islam di negara ini. Atas sebab itulah, umat Islam perlu kembali bersatu dan jangan membiarkan isu-isu lain khususnya kenaikan kos sara hidup menutupi kebiadaban pihak-pihak tertentu mengganggu dan menggugat Islam. Jangan membuat hujah dangkal dan jahil kononnya isu kalimah Allah adalah usaha kerajaan untuk mengalihkan isu kenaikan harga barang dan sebagainya. Sebaliknya fahamilah kedudukan umat Islam dan agama Islam kini semakin tergugat, digugat dan ada pihak yang mahu menggugat. Jika umat Islam terus tidak memahami bahaya ini, ia sudah pasti akan mengundang mala petaka kepada mereka sekali gus bakal menyaksikan orang Melayu dan umat Islam tidak lagi dihormati. Apa yang diperkatakan di sini, bukanlah bertujuan mewujudkan permusuhan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini, tetapi sekadar ingin mengingatkan bahawa sudah sampainya sikap berlembut yang selama ini ditunjukkan perlu ditamatkan disusuli dengan tindakan tegas. Langkah itu penting bagi memastikan kedudukan orang Melayu dan kesucian Islam terpelihara. Kita tidak boleh membiarkan dari semasa ke semasa ada sahaja isu yang dibangkitkan bagi memancing kemarahan dan mencabar kesabaran umat Islam. Semua rakyat Malaysia ingin hidup bersatu padu dan sentiasa mengamalkan sikap toleransi dalam beragama. Tetapi malangnya, ada pihak yang cuba menunjukkan sikap keras kepala mereka, sengaja menyentuh perkara tidak sepatutnya dan melakukan tindakan yang menyinggung perasaan umat Islam. Dalam keadaan apa sekali pun, umat Islam tidak harus berpecah belah kerana ia akan melemahkan mereka. Rasulullah SAW memberikan peringatan melalui sabda baginda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah reda atas kamu kerana tiga perkara dan benci atas kamu juga kerana tiga perkara; pertama, Allah reda atas kamu jika kamu menyembah-Nya dan tidak menyekutukan Allah dengan sesiapapun. Kedua, berpegang teguh pada tali (agama) Allah dan tidak bercerai berai. Ketiga, saling menasihati dan saling memperbaiki atas apa yang diperintahkan Allah SWT. Dan Allah membencimu atas tiga perkara; pertama, saling berbalah. Kedua, banyak bertanya dan ketiga, mengia-iakan harta. Saidina Ali pernah berkata bahawa: "Sesunggguhnya Allah SWT tidak memberi kebaikan sedikit pun kepada seseorang kerana berpecah belah; tidak orang-orang terdahulu, tidak juga nanti." Jika pesanan-pesanan ini mahu dikaji dan diteliti, itulah yang berlaku kepada umat Islam di negara kita sekarang. Perbezaan politik seolah-olah menjadi tembok penghalang yang terlalu kukuh untuk ditembusi. Ada sahaja hujah yang kita zahirkan apabila tercetus sesuatu isu sehingga memungkin umat Islam dilihat tidak bersatu padu. Keadaan inilah yang memungkinkan, puak-puak tertentu tidak mempunyai perasaan bimbang atau takut untuk membangkitkan isu yang memacu kemarahan umat Islam. Mereka tahu apa yang dilakukan akan membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan umat Islam, tetapi apakah peduli? Adakah mereka bimbang? Apakah mereka takut? Sudah pasti tidak, sebaliknya apa yang kita saksikan, mereka bertegas dengan meneruskan agenda agama dan kaum mereka tanpa mempedulikan akibat tindakan itu. Justeru sebelum terlambat, sebelum umat Islam terus diperlekehkan, sebelum orang Melayu merempat di tanah air sendiri dan dilihat bagaikan buih-buih di lautan, banyak tetapi tidak bermanfaat maka bersatulah dalam mempertahankan kepentingan orang Melayu dan kesucian Islam. Ingatlah kalaulah dalam soal kalimah Allah pun kita tidak mampu bersatu untuk mempertahankannya, percayalah banyak lagi perkara yang akan mereka bangkitkan apatah lagi jika kuasa politik sudah berada dalam tangan mereka. |
Perlukah dialog antara Islam-Kristian? Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST Mohd. Shauki Abd. Majid BARU-BARU ini kedengaran beberapa reaksi negatif terhadap Islam ekoran kontroversi larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan kedegilan seorang paderi mematuhinya walaupun ada keputusan mahkamah yang jelas dan titah Sultan Selangor. Sebagai sokongan kepada kedegilan itu, pemimpin beberapa agama lain juga menyatakan istilah Allah turut digunakan oleh agama mereka. Antaranya, agama yang dianuti keturunan Sikh dan Bahai. Justeru, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bercadang untuk melakukan penyelidikan yang mendalam mengenai sejarah penggunaan kalimah itu oleh agama-agama besar dunia dan mengharapkan kajian itu dapat memberikan kewajaran kenapa ia tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang tepat pemakaiannya oleh agama-agama lain selain agama Islam. Berdasarkan fakta sejarah, penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat pra-Islam hanyalah sebagai merujuk kepada tuhan mereka, tetapi penggunaannya tidaklah sekudus ajaran Islam. Ketika Islam buat pertama kalinya muncul dalam kehidupan manusia, masyarakat pagan Arab sudah biasa menggunakan istilah itu, tetapi ada di antaranya merujuk kepada nama Dewa Bulan. Sebelum Islam muncul, penganut Kristian berhadapan dengan persaingan agama Yahudi. Akibatnya, setiap agama menyatakan hanyalah agama mereka yang membawa kebenaran, manakala agama-agama lain penuh prasangka dan kepalsuan. Atas dakwaan kebenaran itulah menyebabkan berlakunya perang, konflik antara agama dan akhirnya agama menjadi pembakar semangat yang terkuat untuk saling berperang. Selepas berakhirnya Perang Dunia II dan bermulanya Perang Dingin, tumpuan utama masyarakat dunia adalah untuk membangunkan hubungan mesra antara agama menerusi penyemarakan dialog bagi mencari nilai-nilai universal berdasarkan prinsip setiap agama mengajak manusia melakukan kebaikan. Era pertama dialog antara agama lebih bersifat dialog untuk kehidupan, yang memberikan penekanan untuk melihat apakah persamaan antara agama, terutamanya dalam konteks ajaran ataupun falsafah agama. Akhirnya, dialog itu berubah bentuk setelah sikap sesetengah cauvinis agama melahirkan rasa sangsi, ekoran perkembangan yang menyaksikan Islam muncul sebagai kekuatan baru, berdasarkan pertambahan bilangan yang lebih cepat dan pengisiannya ekoran kegagalan peradaban Barat yang hanya memfokuskan faham kebendaan. Selepas Perang Dingin, masyarakat Barat melihat kebangkitan Islam itu sebagai kuasa baharu yang boleh mengancam kapitalisme. Maka, muncul pelbagai pendekatan untuk menghina Islam baik dari segi sistem politik mahupun kehidupan masyarakat dan sistem kekeluargaan. Hari ini muncul pendekatan yang berasaskan kebebasan individu sebagai fahaman terbesar, maka itulah sebabnya setiap percanggahan dengan Islam terus dilihat sebagai fakta betapa tidak bertoleransinya Islam terhadap penganut agama lain. Atas dakwaan itu jugalah menjadikan banyak pihak bukan sahaja curiga dengan Islam bahkan menuduh Islam sebagai agama yang menganjurkan diskriminasi dan ekstremisme. Gema kebencian terhadap Islam kembali menjadi agenda permusuhan apabila seorang ilmuan keturunan Yahudi mengemukakan sebuah teori, di mana persoalan sebenar yang dihadapi oleh masyarakat Barat adalah pertembungan peradaban dengan peradaban yang muncul dari timur. Tentunya, pertembungan akan menjadi sesuatu yang lebih besar adalah antara Barat dan Islam, ini disebabkan setelah pengaruh komunisme berantakan, Islam dilihat sebagai kuasa yang bakal menyaingi peradaban barat. Mulai 1995 sekumpulan strategik memulakan kempen dengan meletakkan Islam sebagai menyuburkan keganasan dengan mentafsirkan makna perkataan jihad sebagai "keinginan berperang". Mulai saat itulah setiap perlakuan melampau ditujukan kepada Islam dan setiap apa sahaja ikon yang ada kaitan dengan Islam akan dijadikan alasan membentuk suatu referendum. Tujuan utama serangan budaya dan nilai terhadap Islam itu adalah dengan hasrat untuk menghancurkan pegangan agama penganutnya. Kini jumlah penganut Kristian dianggarkan 2.2 bilion manakala jumlah penganut Islam ialah 1.8 bilion. Dianggarkan 4 daripada setiap 10 orang penduduk dunia adalah beragama Islam manakala kadar pertambahan semula jadi masyarakat bukan Islam semakin menurun akibat sikap mereka terhadap kehidupan berkeluarga dan sikap individualistik berbanding umat Islam yang masih teguh dengan tradisi kekeluargaan. Ancaman inilah sebenarnya menakutkan penganut agama lain sehingga mereka sanggup mengubah, meminda dan memprovokasi beberapa perkara bagi mencabar umat Islam. Mereka sedar, menerusi provokasi inilah akhirnya umat Islam akan berperang sesama sendiri. Rentetan daripada larangan penggunaan kalimah Allah misalnya, sudah ada anjakan yang jelas untuk mempertaruhkan kedudukan dan penguatkuasaan pihak berkuasa agama Islam sebagai suatu tindakan yang bertentangan dengan kebebasan asasi dan beragama. Bahkan, mereka mendakwa, apabila istilah Allah dilarang ke atas masyarakat bukan Islam, maka ia tidak menghormati prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan dan menyebabkan penganut agama lain mangsa diskriminasi, sedangkan Islam memberikan mereka jaminan "tiada paksaan dalam beragama." Konteks itulah yang dicanangkan oleh banyak pihak, termasuk segelintir orang Islam sendiri. Islam dianggap sebagai ancaman, dan kerana itulah akhir-akhir ini kembali kedengaran betapa perlunya lebih banyak dialog antara agama bagi mencari titik persefahaman, yakni makna kehidupan beragama bukan dari asas akidah. Islam melihat dialog antara agama sangat penting, berdasarkan adanya keyakinan atau iman kepada semua Nabi dan Rasul. Allah telah mengutus para Rasul-Nya untuk semua manusia, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): ''Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Thaghut." (Surah al-Nahl ayat 36) Pemahaman ini tidak boleh disamakan dengan konsep dialog yang difahami oleh sesetengah pihak sebagai kaedah menentukan agama mana yang paling baik dan benar. Kalau agama difahami secara konkrit, bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama, yang berperanan mencari titik persefahaman kerana hakikatnya setiap agama itu mengajar manusia untuk melakukan kebaikan. Islam-Kristian harus hidup sebagai satu masyarakat dan masing-masing berhak mengamalkan kebebasan sosial dan agama mereka sendiri. Al-Quran mengajarkan bahawa umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci (ahli kitab). Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri di antara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus (benar) dan ada yang tidak. Daripada mereka ada memusuhi kaum beriman, tetapi ada juga yang menunjukkan sikap persahabatan yang tulus. Kepelbagaian merupakan sesuatu yang benar, kerana Allah mencipta manusia berlainan keturunan, kaum, sifat fizikal dan psikologi. Allah sebenarnya mengharapkan manusia saling berkenalan, bekerjasama dan saling memahami dalam urusan kemasyarakatan dan bernegara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |