{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Anak Melayu terus diperalat!

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

SEKUMPULAN anak Melayu yang menyertai Himpunan Guling Kerajaan berarak dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka pada Malam Sambutan Tahun Baharu 2014. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ

"Ini bukan soal kaum. Tapi hakikat majoriti demo adalah anak-anak Melayu. Yang lain semua bukan tak berjuang untuk negara…tapi tak rela diperalat. Kalau tak percaya, lihat saja berapa ramai adik-adik kaum Cina/India yang datang malam ini untuk demo? Mereka semua kat cinema, supermarket, dan lain-lain. Cerdiklah.

"Saya bukan rasis. Saya sedih lihat anak- anak Melayu diperalat untuk buat demo jalan pembangkang. Pernah nampak kaum lain? Fikirkanlah masa depan anda. Selalu dalam demo jalan, yang kena tangkap majoriti kaum Melayu. Kenapa adik-adik perlu diperguna? Pernah nampak adik-adik kaum Cina?"'

Itulah yang dicoretkan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang dalam Twitter pada malam sambutan tahun baharu bagi mengulas Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka.

Mungkin ada orang Melayu yang akan terasa dengan kenyataan ini tetapi apa yang beliau katakan adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja.

Renung, lihat dan kajilah siapakah yang paling ramai turun ke jalanan pada malam tersebut kononnya atas alasan bagi membantah kenaikan kos sara hidup. Sudah pasti jawapan yang kita dapati ialah anak Melayu.

Apa yang mengecewakan sebahagian besar mereka dikenal pasti sebagai penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Ada yang berjubah, bertudung labuh dan berpurdah tetapi sanggup berembun pukul 1-2 pagi bersama-sama kaum lelaki kononnya atas nama perjuangan.

Kehadiran ribuan anak Melayu pada malam tersebut yang turut dihadiri oleh beberapa pemimpin pembangkang sudah membuktikan kata-kata Keng Liang bahawa anak Melayu sememangnya mudah diperalatkan atau dalam bahasa kasar diperbodohkan.

Salah satu kumpulan yang menganjurkan perhimpunan dengan bangga menulis dalam Facebook mereka bahawa perhimpunan haram itu mencapai kejayaan. Ya, betul memang ia mencapai kejayaan, tetapi bagaimanakah kejayaan tersebut diukur?

Apakah ia dianggap satu kejayaan apabila mereka yang berarak menyusahkan pengguna jalan raya lain? Apakah ia diiktiraf satu kejayaan apabila penunjuk perasaan merempuh hadangan polis? Apakah ia satu kejayaan apabila peserta demonstrasi bertindak biadab mengganggu konsert tahun baharu yang dihadiri oleh ribuan orang awam yang tidak mahu terlibat dalam demonstrasi tersebut?

Apakah ia satu kejayaan apabila anak- anak Melayu diperbodohkan untuk berkumpul beramai-ramai terpekik terlolong memaki kerajaan di jalanan serta menunjukkan isyarat lucah?

Kalau tindakan-tindakan itulah dianggap satu kejayaan, ternyatalah puak-puak tersebut sememangnya satu kelompok yang tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun, berfikiran jumud dan bangga tidak kena tempat.

Sejak awal lagi, sudah banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa perhimpunan haram itu tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat sebaliknya hanya akan membawa kemudaratan, apatah lagi ia dilakukan ketika ambang tahun baharu 2014.

Kebimbangan itu menjadi kenyataan berikutan apa yang berlaku. Oleh itu, pihak yang menganjurkan perhimpunan haram tersebut harus bertanggungjawab dan bersedia menghadapi tindakan tegas hasil siasatan yang akan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Ia memandangkan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat sudah cukup bertolak ansur apabila membenarkan peserta demonstrasi memasuki kawasan Dataran Merdeka, tetapi ternyata kebaikan itu dibalas dengan kebiadaban. Justeru sekarang bukanlah lagi masa untuk berkompromi.

Mereka yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan pada malam tersebut sehingga memungkinkan konsert di Dataran Merdeka dibatalkan harus dibawa ke muka pengadilan. Pedulikan apa juga yang hendak dikatakan oleh puak pembangkang dan sekutunya termasuklah Majlis Peguam.

Kalau mahu bercakap soal hak asasi, penganjur dan peserta demonstrasi pada malam itu sudah pun melakukan pencabulan terhadap hak tersebut apabila mengganggu ketenteraman orang lain.

Dalam soal penyertaan anak-anak Melayu ini, ia hakikatnya bukanlah satu yang luar biasa atau menghairankan sememangnya pakatan pembangkang amat memahami kumpulan itu paling mudah dipengaruhi untuk turun ke jalanan.

Bantahan terhadap kos sara hidup melalui fakta yang diputar belitkan adalah helah pembangkang untuk memastikan budaya demonstrasi yang dipelopori oleh mereka berterusan.

Pembangkang memahami jika bantahan itu mahu dilakukan melalui pentas-pentas ceramah ia tidak akan berjaya kerana jumlah hadirin ke ceramah mereka sudah tidak sehebat dulu lagi.

Justeru demonstrasi jalanan adalah cara terbaik kerana mengetahui sebahagian anak Melayu memang suka seumpama itu untuk berseronok.

Sudah pastilah dalam memperkatakan hal ini, 'sekalung tahniah untuk Pas' kerana sekali lagi menjadi parti yang paling setia mengerahkan ahli dan penyokongnya untuk turun ke jalanan.

Begitu mudah sekali ahli dan penyokong Pas diperbodohkan untuk menyertai perhimpunan haram itu dengan diiringi oleh pula oleh beberapa pemimpin parti tersebut.

Kita tidak menafikan ada juga ahli PKR yang menyertainya tetapi berapa ramai? Bagaimana dengan DAP, apakah mereka juga begitu gigih membuat seruan supaya ahli dan berapa ramai penyokong mereka menghadiri perhimpunan itu? Sudah pasti tidak!.

Ini kerana mereka tahu Pas akan mampu mengerahkan ahli dan penyokong parti itu memandangkan mereka adalah kelompok yang kononnya setia kepada arahan parti.

Sekali lagi, Pas diperalatkan untuk memuaskan nafsu politik PKR dan DAP. Di negeri-negeri yang diperintah oleh PKR dan DAP, tiada demonstrasi sebaliknya ia diserikan dengan konsert dan pertunjukan bunga api, tetapi di Kuala Lumpur, ahli dan penyokong 'diperkudakan' untuk menyertai perhimpunan haram. Demikianlah 'kejahilan' Pas dalam berpolitik dan setia membuta tuli dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun sama ada teguran mengenai penglibatan anak Melayu ini dibuat oleh Keng Liang atau sesiapa sahaja, ia sudah pasti tidak akan diterima oleh puak-puak yang turun ke jalanan pada malam tersebut.

Sebaliknya, mereka berbangga kerana dapat memaki hamun kerajaan, dapat merempuh hadangan polis dan mengganggu konsert tahun baharu. Malah mereka juga ketawa riang apabila melihat kebiadaban seorang lelaki India memukul poster wajah Perdana Menteri.

'Tahniahlah' kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang berjaya memiliki penyokong-penyokong taksub seumpama itu yang sudah tidak mampu lagi menilai kesan sesuatu perbuatan akibat dipengaruhi oleh politik kebencian yang dicetuskan oleh pembangkang.

Namun dalam masa sama, kita yakin majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian mengutuk perbuatan penunjuk perasaan pada malam tersebut manakala majoriti orang Melayu berasa kecewa kerana sekali lagi melihat anak-anak Melayu begitu mudah diperalatkan untuk melakukan kerja bodoh, diperbodohkan dan memperbodohkan diri.

Golongan muda jangan jadi ejen perpecahan ummah!

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KADANG kala perkara yang nampak sempurna sebenarnya memudaratkan dan ada kala juga perkara yang nampak tidak sempurna sebenarnya mengandungi hikmah yang tersendiri. Contoh mudah diberi oleh seorang pakar dalam bidang permotoran jika anda ingin kereta anda selamat dari dicuri. Terutama kenderaan pacuan empat roda, caranya adalah dengan meletakkan kedudukan tayar hadapan dalam keadaan membelok.

Sekali pandang orang akan mengatakan pemandu kenderaan tersebut sebagai pemandu lesen kedai kopi atau lesen terbang sedangkan apa yang dilakukan untuk menyelamatkan harta yang dibeli dengan susah payah dicuri penyangak tidak berperikemanusiaan. Jika tayar dalam keadaan sedemikian sukarlah ia ditunda atau dibuka kunci sterengnya.

Begitu juga dengan masalah yang dicetuskan oleh segerombolan manusia yang berniat menggulingkan kerajaan atas sebab permasalahan ekonomi pada majlis yang harmoni di dataran yang menjadi lambang kemerdekaan negara. Kekecohan semasa sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka pada malam Rabu lalu sudah diduga akan berlaku.

Bak kata pujangga jika tiada angin masakan pokok bergoyang dan jika tiada mesej di laman sosial tidak akan anak-anak muda sanggup beramai-ramai menyerbu majlis yang penuh tatatertib selaras semangat negara bangsa.

Sedarkah anak-anak muda kita dengan menghancurkan sistem bernegara yang harmoni ini kita akan merosakkan ekonomi sebagaimana yang berlaku di beberapa negara di dunia ini. Apa sudah jadi kepada Iraq, Mesir, Syria dan lain-lain negara yang terlibat dengan perang saudara di negara-negara Afrika.

Kelemahan ekonomi menyebabkan kemiskinan dalam kalangan rakyat. Maka jangan berani bermimpi hendak bermain X-Box mahupun mengumpat majikan dalam kumpulan WhatApps dengan telefon pintar jika negara harmoni bertukar anarki akibat termakan dakyah menentang kenaikan kos hidup dengan cara yang tidak demokratik.

Jika anak muda benar-benar mahu mengubah kerajaan pergilah ke Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk mendaftar sebagai pemilih bukannya sibuk membuat kritikan dan aduan di laman sosial seolah-olah mereka lebih arif mentadbir ekonomi negara seperti beberapa kerajaan pembangkang di tiga negeri. Setakat menyambung legasi dan mengubah sistem yang ada ramai yang mampu maka jadilah ibarat ayam berkokok ekor dipenuhi najis.

Ada duit boleh naik gaji dan beli kereta mewah baru dengan duit yang patut diguna untuk membantu rakyat. Apabila rezab habis, naikkan cukai pintu dan tanah. Ia bukan sesuatu yang salah dalam sistem ekonomi dan pentadbiran maka mengapa anak-anak muda yang reformis ini ada sikap double standard antara Kerajaan Pembangkang dan Kerajaan Barisan Nasional (BN). Cubalah berfikirlah seratus kali sebelum membuat satu tindakan merosakkan negara.

Kepada pemimpin di negara ini, anak muda perlu ditunjukkan contoh yang baik dalam membuat bantahan dalam sesuatu perkara. Kaedah memaki-hamun yang didominasi oleh sebuah parti yang sudah berubah matlamat dari akhirat ke dunia perlu diubah secara total.

Anak muda perlu diberi jalan untuk menjadi pelapis kepimpinan negara sebagaimana sebuah rancangan terbitan tv swasta Pencetus Ummah yang mahu mendidik pendakwah atau daie yang kreatif dan mampu menarik orang ramai untuk menghayati Islam sebagai agama keamanan.

Jika pemimpin sanggup mengajak orang muda membuat bantahan kepada sistem ekonomi dan politik negara maka apa lagi kita boleh harapkan daripada pemimpin parti yang menaunginya.

Justeru kepada anak-anak muda di luar sana pelajarilah sejarah dan jangan mendengar versi tawarikh pemimpin-pemimpin yang telah ditolak oleh pengundi-pengundi dan ahli partinya sendiri. Jangan juga termakan hasutan pemimpin-pemimpin muda yang tidak memanfaatkan peluang belajar dengan hanya pandai berkempen mengatakan kerajaan yang ada sebagai korup dan mementingkan kroni.

Usia muda ini gunakanlah untuk menuntut ilmu dunia dan akhirat kerana jika ingin berjaya kita memerlukan tiga perkara iaitu 1. Ilmu 2. Ilmu 3. IImu. Sudah pasti tiada ruang untuk berjaya dengan cara demonstrasi, demonstrasi dan demonstrasi.

Berfikirlah di luar kotak bukannya terus diperangkap di bawah ketayap semata-mata. Tidak semua kerajaan sempurna begitu juga manusia. Jika dengan berdemonstrasi boleh mengurangkan harga barang dan cukai pintu maka negara boleh berjimat-cermat untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14. Itu pun kalau pemimpin pembangkang tak mahu lagi mencalit dakwat hitam di jari.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat