Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Tiada cacat cela, kenapa perlu pinda? Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST Oleh ABDUL YAZID ALIAS Salehuddin Saidin BARU-BARU ini, tiga wakil rakyat DAP di Selangor dilaporkan mencadangkan supaya Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda atas alasan menjaga hak bukan Islam di negeri ini. Cadangan itu dinyatakan Yeo Bee Yin, Rajiv Rishyakaran dan Lau Weng San yang masing-masing mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama, DUN Bukit Gasing dan DUN Kampung Tunku. Mereka mengusulkan pindaan dibuat terhadap Sub-Seksyen 9 enakmen terbabit susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Khamis lalu. Berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 , ada menyatakan seseorang didapati bersalah jika dia (a) dalam mana-mana penerbitan; atau (b) dalam ucapan awam atau kenyataan; (c) dalam ucapan atau kenyataan dalam mana-mana majlis atau kepada orang ramai; atau (c) dalam ucapan atau kenyataan yang diterbitkan atau disebarkan dan ketika dibuat dia sedar atau tahu akan diterbitkan atau disebarkan, menggunakan perkataan Allah atau 34 perkataan Arab termasuk Hadis, Syariah, Khalifah, Fatwa, Alhamdulillah dan Insya-Allah untuk menyatakan atau menceritakan fakta, kepercayaan, idea, konsep, tindakan, kegiatan, perkara yang berkaitan dengan agama bukan Islam. Selain itu, mereka memberikan hujah kononnya seksyen tersebut bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kebebasan beragama. Sungguhpun begitu, timbul persoalan mengapa ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan beria-ia mencadangkan pindaan dibuat ke atas enakmen tersebut walhal tindakan yang dilakukan JAIS melakukan serbuan dan merampas bible di premis pertubuhan berkenaan adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada. Sehubungan itu, adalah tidak wajar apabila tindakan JAIS tersebut dikaitkan kononnya mahu mencampuri urusan agama lain. Ini kerana di bawah enakmen itu, penggunaan kalimah Allah serta 34 perkataan Arab lain dalam mana-mana penerbitan agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali di negeri ini dan selaku badan yang menguatkuasakan enakmen tersebut, JAIS sememangnya mempunyai hak untuk berbuat demikian. Mengapa pula tiga wakil rakyat terbabit menuding jari kepada JAIS dan mencadangkan pindaan enakmen tersebut dibuat? Sepatutnya mereka perlu bertanyakan kepada Pertubuhan Bible Malaysia mengapa tidak mematuhi enakmen yang jelas melarang penggunaan kalimah Allah dalam apa jua penerbitan di negeri ini termasuklah dalam bible sendiri? Bagi pakar undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin, alasan wakil-wakil rakyat berkenaan kononnya Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 itu adalah bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat sama sekali. Sebaliknya menurut beliau, enakmen tersebut sebenarnya diwujudkan berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. "Maka perlu difahami bahawa Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 itu dibuat berasaskan lunas undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan. Asasnya dibuat undang-undang (enakmen) ini adalah untuk mengawal perkembangan agama bukan Islam ke atas orang Islam di Selangor. "Sehubungan itu, undang-undang (enakmen) ini adalah dibentuk berlandaskan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dengan prosedur operasi standard (SOP) JAIS dalam tindakannya tidak perlu dipersoalkan kerana badan itu menguatkuasakan enakmen yang telah sedia ada," jelas beliau. Malah, Sallehuddin turut menyatakan tidak ada cacat-celanya enakmen tersebut termasuklah tindakan JAIS menyerbu dan merampas naskah bible di premis persatuan berkenaan sehingga memerlukan pindaan dibuat. Walau bagaimanapun, beliau memberikan pandangan bahawa sekiranya enakmen itu memerlukan pindaan, boleh dilakukan hanya dengan matlamat untuk memantapkan lagi kawalan pengembangan agama bukan Islam ke atas orang Islam tanpa adanya sebarang pemansuhan mana-mana sub-seksyen di bawah enakmen itu. Berdasarkan pandangan Salehuddin itu, ketiga-tiga wakil rakyat terbabit sepatutnya faham terlebih dahulu peruntukan undang-undang yang sedia ada dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mahu 'mencari undi' di kalangan pengundi bukan Islam. Jika itu yang bermain di fikiran tiga wakil rakyat terbabit, adalah tidak salah rasanya tindakan mereka boleh dianggap sengaja mencetuskan provokasi di antara penganut Kristian dan Islam khususnya di negeri ini. Ini kerana berdasarkan perkembangan ketika ini, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang mewakili umat Islam dilihat secara terbuka melahirkan kemarahan serta rasa tidak puas hati mereka terhadap ketiga-tiga wakil rakyat DAP itu ekoran cadangan tersebut. Bagi NGO-NGO terbabit, cadangan itu merupakan satu penghinaan terhadap Islam selain menyifatkannya sebagai satu usaha untuk memurtadkan penganut agama itu. Sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan memberikan alasan kononnya tidak tahu hukum-hakam Islam, mengapa rakan sekutu beragama Islam daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak 'mentarbiah' mereka sebelum membuat sesuatu kenyataan yang berkaitan dengan agama Islam? Hakikatnya, isu kalimah Allah serta larangan pengunaan kalimah-kalimah Arab lain yang telah termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 tidak sewajarnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak dalam usaha untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang agama khususnya di Selangor. Ini kerana, matlamat enakmen itu sendiri adalah untuk memelihara keharmonian masyarakat dan sepatutnya dihormati semua pihak. Adalah amat tidak bertanggungjawab jika ada pihak cuba menjadi 'jaguh' dengan mempersoalkan enakmen tersebut. |
Keharmonian kaum asas ajaran agama Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST Oleh PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN Orang ramai dan NGO berhimpun di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya sejak awal pagi pada 14 Oktober tahun lalu di mana keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan The Herald. PERSELISIHAN di antara penganut agama Islam dan Kristian dalam negara ini berkaitan dengan kalimah Allah tercatat dalam bible sepatutnya tidak berlanjutan sehingga ke tahap yang boleh mengeruhkan keamanan negara. Perkara berkaitan isu agama sepatutnya dibincang secara berhemah dan hikmah. Dalam menyelesaikan persengketaan berkaitan dengan keagamaan, mutual understanding amat diperlukan. Pengalaman penulis sebagai pelajar teologi di sebuah universiti di England selama enam tahun dan penglibatan dalam kegiatan dialog agama sejak 1989 di negara Barat dan di Vatican (1992, 1997,1999) semasa John Paul II mendapati bahawa hubungan umat Islam dengan Kristian adalah terlalu mesra terutamanya apabila Vatican memperakui agama Islam, Kristian dan Yahudi sebagai Abrahmic Religions dan penganut ketiga-tiga agama ini sebagai Abrahamic Brothers. Agama Islam mengkategorikan agama Kristian dan Yahudi sebagai agama Samawi kerana ketiga-tiga agama tersebut menerima wahyu daripada Ilahi. Islam tidak memperakui agama Kristian dan Yahudi sebagai Islam kerana kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa dan Isa telah dipinda dan diubah keasliannya oleh para ulama agama setelah Nabi Musa dan Nabi Isa meninggal dunia . Selain itu, agama Kristian mengaitkan Isa dengan ketuhanan yang mana kepercayaan ini bertentangan dengan konsep tauhid mutlak (pure monotheism) yang merupakan pengajaran fundamental akidah agama Islam. Agama Yahudi juga tidak diterima oleh Islam kerana mereka tidak mempercayai Nabi Isa dan Nabi Muhammad sebagai Rasul Allah. Sedangkan penganut agama Samawi wajib memperakui kerasulan 25 orang Rasul seperti dinyatakan oleh Allah SWT di dalam kitab Taurat, Injil dan al-Quran. Penafian kenabian ini menyebabkan orang Yahudi terkeluar daripada agama Islam. Berdasarkan penerangan di atas maka penganut ketiga-tiga agama tersebut sepatutnya memahami perbezaan di antara satu sama lain berkaitan kepercayaan. Penafsiran kitab-kitab suci agama sepatutnya bertepatan dengan konteks ajaran agama masing-masing. Penggunaan nama 'Allah' dalam kitab suci agama selain agama Islam hanya diguna pakai oleh penganut agama Kristian di negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan, Syria dan seumpamanya. Pengalaman penulis sebagai pelajar teologi yang sering mengikuti program di gereja di negara England, Jerman, Austria dan Itali serta menghadiri Papal Audience di Vatican jelas menunjukkan bahawa perkataan 'Allah' tidak disebut oleh paderi dan Pope John Paul II ketika bersembahyang dan memberi ucapan. Perkataan 'God', 'Father', 'Son' dan 'Jesus' merupakan perkataan yang sering diungkapkan oleh ketua agama Kristian ketika bersembahyang dan memberi syarahan agama. Dialog agama di antara sarjana Islam dan Kristian merupakan salah satu aktiviti yang aktif di Vatican dan negara-negara Barat. Hasil daripada dialog antara agama dan seminar akademik di antara para ilmuan Kristian dan Islam yang begitu aktif sejak John Paul II sepatutnya boleh mempengaruhi pemikiran sarjana Kristian di Vatican supaya menukar perkataan 'God' dalam bible dengan perkataan 'Allah'. Hakikatnya sehingga kini perkataan 'God' masih digunakan oleh Vatican. Ini menunjukkan bahawa tanpa menggunakan perkataan 'Allah' agama Kristian tidak akan tergugat fundamental akidahnya. Persoalannya, kenapa perkataan 'Allah' masih ingin digunakan dalam penulisan dan penerbitan ajaran bible walaupun ia boleh menggugat keharmonian kaum. Penganut agama Islam dan Kristian diajar oleh agama mereka erti keharmonian, kasih sayang terhadap manusia dan memuliakan jiran. Mereka diajar supaya berkompromi dalam pelbagai kegiatan hidup dengan penganut agama lain selama mana kegiatan itu tidak menggugat fundamental akidah agama mereka. Dilema yang wujud dalam negara ini masa kini adalah jika perkataan 'Allah' digunakan dalam penulisan penerbitan agama Kristian, ia boleh mengelirukan penganut agama Islam yang kurang arif mengenai akidah Islam. Salah faham terhadap konsep tauhid mutlak ini boleh menggugurkan akidah umat Islam. Ini merupakan satu kebimbangan umat Islam dalam negara ini. Penganut agama Kristian pula ingin membuat pembaharuan dalam tafsiran bible mereka mengenai God dengan menterjemahkannya dengan perkataan 'Allah'. Dari aspek kemanusiaan umat Islam tidak berhak mencampuri urusan keagamaan penganut agama Kristian. Tetapi dalam konteks negara yang dihuni oleh pelbagai agama dan kaum maka perasaan curiga dan prasangka terhadap perubahan bible itu boleh menimbulkan perselisihan kaum dan agama. Perkara begini jika tidak dibendung boleh menggugat keharmonian kaum dan prejudis agama yang amat berbahaya kepada negara. Berdasarkan kepada suasana begini maka para sarjana Islam dan Kristian sepatutnya berfikir dan merenung sejauhmanakah mereka mengamalkan konsep kasih sayang dan kecintaan terhadap kedamaian yang menjadi asas ajaran agama Samawi. Al-Quran secara jelas menggalakkan umat Islam supaya bersahabat dengan penganut agama Kristian kerana mereka adalah orang yang merendah diri dan penuh kasih sayang serta bertolak ansur. Ajaran Kristian menggalakkan penganutnya bertolak ansur dan berkorban sehingga ke tahap jika 'pipi kiri ditampar maka beri pula pipi kanan'. Demi keharmonian kaum dan keamanan negara maka sikap bertolak ansur dan berkompromi amat diperlukan. Ahli agama sering dilihat sebagai orang paling bertolak ansur kerana mereka merupakan orang yang paling menghampiri Tuhan. Perselisihan sering membangkitkan emosi yang sukar dikawal dan dibendung. Jika gagal dikawal ia boleh mengundang kepada kemusnahan dan permusuhan. Orang yang patuh kepada agama sering berusaha mengelakkan perpecahan dan perselisihan kerana peranan utama mereka ialah mendidik dan mengasuh penganut agama mereka menyemarakkan kasih sayang dalam bentuk universal. Bertolak ansur dan berkompromi bukan bererti lemah dan kalah tetapi ia merupakan hikmah dalam kehidupan manusia. Apabila kuasa politik digunakan untuk menyelesaikan perselisihan agama maka suasana menjadi semakin kemelut. Sebagai pemimpin dan peneraju negara, keamanan dan keharmonian dalam negara merupakan asas penting dalam sistem pemerintahan negara. Jika perselisihan menjadi semakin membara maka tindakan yang keras menjadi pilihan untuk membendung permasalahan. Oleh itu ahli-ahli agama dalam negara ini sepatutnya menggunakan pendekatan yang berhemah bagi menyelesaikan permasalahan salah faham dan prejudis agama supaya setiap kaum yang berbeza agama dalam negara ini menghormati antara satu sama lain. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |