{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Gudang simpanan jejas penduduk

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Ishak Ismail menunjukkan gudang simpanan barang-barang pembinaan yang didirikan di hadapan kediaman penduduk di Taman Seri Angsana, Lenggeng ketika beliau melawat kawasan berkenaan, semalam.

SEREMBAN 9 Jan. - Penduduk Taman Seri Angsana, Lenggeng dekat sini mula hilang sabar dengan kewujudan sebuah gudang simpanan barangan pembinaan yang dibina di hadapan perumahan mereka sejak 2010.

Menurut seorang penduduk, Suhaina Abu Asim, 30, yang tinggal di taman itu sejak 2006, gudang berkenaan digunakan sebagai stor untuk menyimpan batu, pasir, simen dan pelbagai alat pembinaan sebuah kedai menjual alat perkakasan.

"Kami sudah tidak tahan dengan gudang di hadapan rumah kami ini kerana premis ini tidak mempunyai dinding menyebabkan pasir dan debu sentiasa ditiup memasuki rumah.

"Bukan sahaja rumah kami sentiasa berdebu dengan kewujudan gudang ini, malah kanak-kanak di kawasan sekitar ini sering menghidap batuk dan selesema akibat persekitaran yang sering berhabuk," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Nur Aimi Rosli, 30, mendakwa, hampir setiap hari dia terpaksa membersihkan bahagian dalam dan luar rumahnya yang berdebu.

"Kalau di luar jangan katalah kotornya, kenderaan kami sentiasa berdebu, tetapi lebih menyedihkan bahagian dalam rumah turut berhabuk, setiap hari saya perlu mengelap perabot dan lantai.

"Pemilik gudang ini turut meletakkan anjing bagi menjaga barangan simpanannya. Ada penduduk pernah dikejar anjing-anjing berkenaan. Saya cukup risau sekiranya anak-anak saya berada di hadapan rumah," katanya.

Menurut Nur Aimi, penduduk sudah tidak boleh menerima lagi apabila ada dimaklumkan bahawa pemilik gudang itu mahu membina pagar khas di hadapan rumah mereka bagi memudahkan lori untuk memunggah barang.

"Ini membuatkan semua penduduk menjadi lebih marah, kami sudah tidak tahan dengan masalah ini dan aduan telah kami berikan kepada pihak berkuasa," katanya.

Sementara it, Penolong Pegawai Seni Bina Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Shaiful Azril Arbain bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail melakukan lawatan bagi melihat dan mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh penduduk terbabit.

Shaiful Azril memberitahu, pihaknya telah menghantar notis kepada pemilik gudang berkenaan supaya dirobohkan kerana tidak mendapat kelulusan pihak MPN.

"Bagaimanapun kita perlu memeriksa sama ada mahkamah telah mengeluarkan perintah supaya tindakan roboh dijalankan.

"Mengikut undang-undang, gudang berkenaan tidak boleh dibina kerana tanah itu berstatus kediaman, namun kita tidak boleh merobohkannya serta-merta kerana premis ini terletak di atas tanah milik persendirian," katanya.

MBMB lanjut tempoh bayaran baharui lesen perniagaan

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

MELAKA 9 Jan. - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) melanjutkan tempoh bayaran pembaharuan bagi lesen-lesen perniagaan 2014 sehingga 15 Januari ini.

Pengarah Perlesenan MBMB, Ab. Aziz Majid berkata, tempoh bayaran pembaharuan lesen perniagaan tersebut yang bermula pada 15 November 2013 sepatutnya berakhir 1 Januari lalu.

Walau bagaimanapun, ujarnya, setelah diadakan perbincangan, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembaharuan lesen ini bagi memberi peluang kepada peniaga menyelesaikan bayaran.

"Jika ada peniaga masih gagal menyelesaikan bayaran pembaharuan lesen selepas tempoh tersebut, denda kelewatan sebanyak 20 peratus akan dikenakan kepada mereka.

"Denda itu akan dinaikkan kepada 40 peratus jika peniaga membuat bayaran selepas Mac, manakala bayaran selepas Jun pula akan didenda 60 peratus," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks MBMB, Ayer Keroh di sini hari ini.

Jelas beliau, bayaran pembaharuan lesen bagi 2014 itu bagaimanapun masih menggunakan kadar lama dan bukannya kadar baharu seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, MBMB sebelum ini telah melaksanakan kadar baharu bagi lesen perniagaan dan lesen penjaja pasar malam manakala kadar bayaran bagi lesen kedai makan tidak berubah.

"Bagaimanapun, pihak MBMB telah bermesyuarat pada 31 Disember lalu dan membuat keputusan untuk terus menggunakan kadar lama bagi kesemua jenis lesen berkenaan.

"Justeru, bagi peniaga yang telah membuat bayaran dengan kadar baharu, lebihan bayaran mereka tidak akan dipulangkan tetapi akan diselaraskan semula bagi pembaharuan lesen 2015," ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, pihak MBMB menggesa para peniaga yang masih belum memperbaharui lesen perniagaan mereka untuk berbuat demikian sebelum 15 Januari ini bagi mengelakkan mereka didenda.

"Tidak ada alasan lagi bagi para peniaga untuk membuat pembayaran lewat kerana bayaran lesen perniagaan juga telah diturunkan semula kepada kadar lama.

"Kadar baharu yang sepatutnya dilaksanakan pada 2011 itu dijangka akan mula dilaksanakan tahun ini setelah MBMB membuat semakan dan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini supaya kenaikan akan datang tidak mendatangkan kejutan kepada para peniaga," jelasnya.

Pengangkutan awam masa hadapan

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

DUA penumpang tidak melepaskan peluang menaiki bas elektrik pertama di Malaysia sambil diperhatikan oleh Lai Jin Yong di Banda Hilir, Melaka, semalam.

MELAKA 9 Jan. - Dalam kesibukan negara untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pelbagai aspek terus diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi menyokong sektor pembangunan agar seimbang dengan keperluan masyarakat setempat dan alam sekitar.

Tidak ketinggalan dalam aspek kemudahan pengangkutan awam, pendekatan penggunaan teknologi hijau yang telah digunakan di kebanyakan negara maju dilihat mampu dijadikan contoh bagi Malaysia untuk menjayakan hasrat tersebut.

Pengangkutan awam seperti bas yang dijanakan sepenuhnya dengan kuasa elektrik antara contoh kemudahan yang berpotensi dilaksanakan di negara ini dalam masa terdekat malah berupaya dijadikan pengangkutan awam masa hadapan.

Penggunaan bas elektrik dalam pengangkutan awam turut dilihat mampu membantu negara mencapai sasaran pengurangan penghasilan karbon dan sekali gus mengurangkan kadar pencemaran udara.

Menyedari kepentingan itu, Panorama Melaka Sdn. Bhd. (Panorama) bersama syarikat AMDAC (M) Sdn. Bhd. membawa masuk teknologi bas elektrik dari China dalam usaha merealisasikan amalan teknologi hijau secara lebih meluas.

Bas elektrik pertama di negara ini dikenali Bas Elektrik Melaka yang dikeluarkan oleh syarikat Automotif BYD Berhad (BYD) dari Shenzhen, China telah mula digunakan di Amerika Syarikat, Belanda, China, Hong Kong dan beberapa negara maju lain sejak 2010.

Malah kebaikan dan kesan positif dihasilkan melalui penggunaannya termasuk tiada pencemaran udara dan membantu mengekalkan keadaan alam sekitar yang bersih menjadikan kenderaan ini sebagai pilihan ideal untuk negara ini.

Dari segi reka bentuknya, bas berukuran 12 meter panjang, 2.5 meter lebar dan 3.5 meter tinggi ini mampu memuatkan sehingga 30 penumpang duduk dan 20 penumpang berdiri pada satu-satu masa.

Menggunakan kuasa bateri jenis Iron-Phosphate (Fe bateri) yang tidak mudah terbakar berkapasiti 324 kilowatt, bas ini mengambil masa selama enam jam untuk dicas penuh dan mampu digunakan bagi jarak sehingga 300 kilometer sekali cas.

Bas ini dilengkapi dengan sistem BMS untuk pemantauan voltan dan suhu setiap bateri bagi tujuan keselamatan dan keseimbangan.

Bagi peringkat percubaan ini, hanya terdapat satu stesen pengecas bas elektrik terdapat di Melaka iaitu di Melaka Sental.

Dari segi keselesaan pula, penggunaan bas ini jauh lebih selesa, bersih serta lebih senyap berbanding bas biasa dengan enjin diesel.

Sistem pendingin hawa dalam bas ini mampu berfungsi dan memberi kuasa sepenuhnya disebabkan kuasa gerakan bas ini hanya menggunakan sistem putaran motor (rottary motor) dan tidak menggunakan piston.

Sistem ini akan mengekalkan keadaan sejuk dalam bas terutamanya pada waktu tengah hari yang seterusnya menambah lagi keselesaan.

Selain itu, bas elektrik ini turut mampu memberi keselesaan dan mesra orang kurang upaya (OKU) dengan tersedianya satu ruang khas bagi pengguna berkerusi roda.

Lebih menarik, sistem suspensi hidraulik pada bas ini membolehkan kenderaan ini disengetkan serta laluan tambahan bagi memudahkan penumpang OKU membawa naik kerusi roda mereka dengan lebih mudah.

Dari aspek keselamatan pula, bas yang mampu mencapai had kelajuan sehingga 250 kilometer sejam (km/j) ini telah dihadkan kelajuannya kepada 70 km/j bagi menjamin keselamatan dan disesuaikan dengan penggunaan di dalam bandar.

Malah kesemua cermin sisi bas ini boleh dijadikan pintu kecemasan dengan keseluruhannya terdapat 11 laluan bagi memudahkan penumpang keluar jika berlaku nahas berbanding hanya satu atau pintu kecemasan pada bas biasa.

Ia turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) di pintu dan tempat duduk belakangnya bagi memudahkan pemandu melihat keadaan di bahagian belakang selain dapat sentiasa memantau pergerakan turun naik penumpang.

Pengarah AMDAC (M) Sdn. Bhd, Lai Jin Yong berkata, kos pengoperasian bas ini adalah lebih rendah berbanding bas biasa malah tidak memerlukan penyelenggaraan berkala yang menelan kos tinggi.

Walau pun harganya tinggi iaitu mencecah RM1.35 juta sebuah, kita yakin penggunaan bas ini mampu memberi penjimatan jangka panjang ditambah potensinya dalam mengurangkan pencemaran.

Perkhidmatan bas ini juga dijangka lebih meluas dalam masa lima hingga 10 tahun memandangkan kesan positif seperti yang dilihat di negara yang telah lama menggunakannya," katanya ketika ditemui di Melaka Sentral di sini.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar Panorama, Mohd. Saleh Jusman berkata, bas yang kini dalam proses percubaan ini dijangka mula beroperasi sepenuhnya di Melaka menjelang September ini.

Menurutnya, beberapa laluan telah dikenal pasti merangkumi kawasan bandar raya dan jika segalanya berjalan lancar, sebanyak lapan hingga 10 buah bas akan disediakan bagi memulakan operasinya tidak lama lagi.

Sebagai sebuah bandar raya warisan dunia, kerajaan negeri dan Panorama begitu komited dan serius untuk melaksanakan operasi bas elektrik di negeri ini dalam menyokong matlamat bandar raya hijau serta mengekalkan alam sekitar yang bersih," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat