{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Sistem faraid secara dalam talian

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

MOHD. Fadzli Marhusin (tengah) menunjukkan penggunaan aplikasi Faraidsys menerusi android dan komputer sambil diperhatikan oleh para pelajar Fakulti Quran dan Sunnah bersama Fakulti Sains Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 14 Jan. - Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membangunkan sistem perkhidmatan pengurusan faraid untuk menguruskan pelbagai perkara seperti aset, hutang dan wasiat secara dalam talian.

Projek itu dibangunkan oleh Dr. Mohd. Fadzli Marhusin dan Dr. Mohd. Khairul Nizam Zainan Nazri dan dibantu oleh enam orang pelajar fakulti berkenaan sejak Julai 2013 dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan.

Menurut Fadzli, sistem yang pertama seumpamanya ini dibangunkan dengan menggunakan platform bersepadu berasaskan laman sesawang, android, dan e-mel bagi menyediakan perkhidmatan yang lancar dan mekanisme perlindungan rahsia yang ketat.

"Antara ciri utama yang dijaga kerahsiaannya adalah meliputi nombor akaun, baki akaun, lokasi aset dan maklumat pemegang amanah harta.

"Sistem ini mempunyai tahap keselamatan yang tinggi di mana akses terhadap maklumat sensitif hanya diketahui oleh pemegang akaun semasa hayatnya," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Fadzli, kebiasaannya keadaan menjadi sangat sukar apabila si mati tidak mendedahkan maklumat yang betul kepada ahli keluarga masing-masing selain tidak merekodkan maklumat berkaitan kekayaan yang tidak didokumentasi dengan baik.

Untuk itu katanya, menerusi sistem ini, pemilik akaun ini akan merekodkan segala bentuk maklumat peribadi dan aset mereka selain melantik pemegang amanah sekiranya pemilik akaun meninggal dunia.

"Setelah kematian pemilik akaun, sistem yang dikenali sebagai Faraidsys itu membolehkan pemegang amanah yang dilantik untuk membuka rekod dan melihat maklumat sensitif berkenaan tanpa dapat dicabar kerana pemilik sudah meninggal dunia," tambah beliau.

Jelasnya, sistem ini mudah dan cepat kerana kita boleh diakses di mana sahaja asalkan ada jaringan Internet dan boleh digunakan oleh orang Islam dan bukan beragama Islam.

Menurut Fadzli, sistem yang ini masih mempunyai kelemahan, namun kumpulan penyelidik sentiasa komited untuk melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Pengguna yang berminat boleh melawat versi percubaan sistem tersebut melalui laman sesawang www.faraidsys.org.

Peluang belia Felda lanjut pelajaran lebih terbuka

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

ZAKARIA Nordin (tengah) berbual dengan pelajar selepas menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar baharu di Kolej Yayasan Felda Kampus Raja Alias, Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/SAJIDA ASARULAH KHAN

JEMPOL 14 Jan. - Kegagalan mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh dijadikan alasan untuk seseorang itu berputus asa kerana masa depan mereka masih panjang dan boleh dibentuk dengan cara mengikuti bidang kemahiran.

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Felda, Datuk Zakaria Nordin menjelaskan, pelbagai jenis kursus kemahiran telah disediakan di negara yang hanya perlu dipilih oleh belia mengikut minat mereka termasuklah Kolej Yayasan Felda yang menawarkan pelbagai jenis kursus kemahiran.

Jelasnya, usaha yang dilakukan ini merupakan peluang kedua yang perlu digunakan oleh belia di kawasan Felda untuk membaiki kesilapan mereka setelah gagal dalam akademik.

"Ada yang menjadikan alasan tinggal di kawasan Felda amat berisiko kerana belia terpaksa berdepan dengan rakan seusia yang tidak berminat untuk menuntut ilmu.

"Ia bukan satu alasan yang bijak kerana di mana sekalipun mereka berada halangan tetap ada oleh itu mereka perlu membentuk diri agar tidak terpedaya dengan orang lain," katanya ketika menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar baru di Kolej Yayasan Felda Kampus Raja Alias, di sini baru-baru ini.

Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Yayasan Felda, Mat Karim Ujang serta Penolong Pengurus Kolej tersebut, Abdul Halim Ibrahim.

Jelas Zakaria, pelajar juga disarankan agar menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi agar dapat memperolehi kemahiran yang lebih baik kerana ilmu itulah akan membantu mereka untuk menerokai lebih banyak ruang dan peluang mereka untuk bersaing.

"Malah orang akan yakin dengan kita sekiranya kita mempunyai ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Pendedahan yang mencukupi amat diperlukan untuk bersaing," katanya.

Sementara itu, Abdul Halim memberitahu, mulai Julai ini pihak Yayasan akan menambah baik pengajian Bahasa Inggeris dengan cara membawa tenaga pengajar dari luar negara.

"Pelajar akan mendapat sijil yang telah diiktiraf daripada institusi pengajaran terkemuka dunia di United Kingdom, iaitu City and Guilds. Kelas yang ini akan diadakan sejam pada setiap hari iaitu bagi tempoh enam bulan.

"Kemahiran sahaja tidak mencukupi kerana penguasaan bahasa Inggeris juga sangat penting. Oleh itu pihak Yayasan memandang serius mengenai penguasaan bahasa utama tersebut," jelasnya.

UTeM komited perkasakan teknousahawan

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

MELAKA 14 Jan. - Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Pembelajaran Berterusan (PPKPB) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) komited dalam memperkasakan pembangunan teknousahawan di kalangan warganya melalui penganjuran kursus Techno-Innovative Entrepreneurial Leader (TiEL).

Baru-baru ini, seramai 16 orang pensyarah daripada pelbagai fakulti di UTeM telah mengikuti kursus tersebut yang berlangsung selama tiga hari di Bandaraya Melaka.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Pembelajaran Berterusan (PPKPB), Prof. Dr. Khairul Baharein Mohd. Noor berkata, program itu bertujuan menyediakan tenaga pengajar yang akan menyampaikan modul berkenaan kepada seluruh kakitangan akademik UTeM yang lain.

"Kursus ini membuktikan bahawa UTeM sentiasa proaktif dan menyokong hasrat negara dalam melahirkan teknousahawan menjelang tahun 2020," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof. Madya Dr. Izaidin Abdul Majid berkata, penganjuran program itu juga selari dengan Pelan Strategik UTeM 2012 - 2020.

"Para pensyarah diharap dapat menerapkan elemen teknousahawan di dalam subjek masing-masing dan melalui pendekatan tersebut akan membolehkan graduan berkemahiran teknousahawan dan pengurusan akan dapat dilahirkan," jelasnya.

Program tersebut menampilkan Dekan Sekolah Perniagaan Antarabangsa (IBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd. Osman.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat