Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- UMNO perlu rangsangan baharu
- Minyak masak peket cukup di Port Dickson
- 150,681 murid Melaka terima bantuan persekolahan
Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN MOHAMAD Hasan (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus bersama pemenang cabutan bertuah (kanan) pada Majlis Pelancaran Transformasi Penjenamaan Semula UMNO Bahagian Jempol di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Negeri Sembilan, malam semalam. JEMPOL 28 Jan. - Perspektif UMNO perlukan rangsangan baharu supaya yang kecewa disatukan kembali dan yang berjawatan hendaklah bersikap ambil tahu agar kekuatan kembali dilantunkan bagi berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perasaan kecil hati, sengketa sesama ahli parti dan 'gangguan emosi' hendaklah diketepikan dalam orde baharu UMNO ini kerana banyak tugas menanti ahli dalam era yang penuh dengan istilah 'transformasi' ini. ''Kita perlu berlajar daripada apa yang berlaku dalam PRU-13 dan memahami dengan betul bagaimana hasrat pihak lawan bersungguh-sungguh untuk menjadi pemimpin negeri ini," katanya di sini, malam tadi. Mohamad berucap pada Majlis Pelancaran Transformasi Penjenamaan Semula UMNO Bahagian Jempol di Dewan Pejabat Daerah Jempol di sini malam tadi yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian tersebut, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif. Tegas Mohamad, ahli UMNO perlu kuat dalam segala aspek dan mempertahankan wilayah yang dipimpin daripada dirampas pihak lawan dalam PRU-14 kelak. ''Kita akan gagal, jika alpa dalam persiapan dan tiada perubahan dalam sikap. Biasalah, dalam perjuangan ada yang tercalar dan terluka sana sini. Tetapi janganlah biarkan ia berbekas begitu lama kerana perasaan kecewa tidak boleh wujud dalam perjuangan," tegas beliau. Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu, UMNO akan menjadi parti yang 'longlai' jika ahlinya sendiri berpaling tadah dan tidak mahu menyokong. ''Walau apa pun senarionya, ahli parti perlu bertaut kembali dan menanam azam kuat supaya kawasan tewas pada PRU-13 lalu akan kembali dirampas pada PRU-14, sekali gus memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri dan negara ini," ujarnya. Maka kata Mohamad, perjuangan itu hendaklah bermula sekarang dan tidak ada noktah dalam membina kekuatan. ''Bila sampai masanya kelak, kita sudahpun mantap dan PRU-14 digempur dengan semangat yang tinggi. Negeri Sembilan akan terus menjadi kubu kuat BN," jelasnya. Sementara itu, pada majlis yang sama juga Mohamad turut melancarkan Yayasan Pelajaran dan Kebajikan Jempol serta petunjuk prestasi utama (KPI) Cawangan UMNO dalam bahagian ini. |
Minyak masak peket cukup di Port Dickson Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST ABU Ubaidah Redza (dua dari kanan) memeriksa bekalan minyak masak semasa mengadakan lawatan skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baharu Cina 2014 di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. TELOK KEMANG 28 Jan. - Kekurangan bekalan minyak masak yang dibungkus dalam peket plastik di daerah ini sejak seminggu lalu, kini pulih sepenuhnya. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, kekurangannya tidaklah serius kerana pengguna masih boleh mendapatkan bekalan minyak yang dijual dalam botol plastik pelbagai saiz. ''Kita telah dimaklumkan ada masalah daripada pembekal dan ia telah pun dapat diatasi. Perkara ini tidak serius dan kemelut itu telah diperbesarkan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna. ''Hari ini, pengguna boleh mendapatkan bekalan minyak masak peket plastik di kedai runcit dan sebagainya," katanya selepas mengadakan lawatan skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baharu China di Pasar Raya TF, Port Dickson, dekat sini, hari ini. Yang turut hadir Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd Salleh Maamor. Abu Ubaidah menegaskan, adalah tidak benar khabar yang tersebar kononnya harga bahan masakan itu naik serta telah berlaku kekurangan yang mendesak. ''Dakwaan itu adalah gimik dan tidak boleh dipercayaai. Kerajaan tidak ada rancangan untuk menaikan harga bahan masakan ini. ''Kenaikan harga barang akan hanya dibuat selepas kerajaan melakukan kajian dari segala aspek dan kesesuaiannya bergantung kepada produk yang ditetapkan," ujarnya. Dalam perkembangan berkaitan juga, Abu Ubaidah berkata, sewaktu musim perayaan ini banyak peniaga mahupun pengusaha pasar raya membuat tawaran diskaun bagi pelbagai jenis barangan. ''Selepas musim perayaan, harga akan kembali kepada asalnya. Kerajaan percaya, peniaga tidak akan mengambil kesempatan daripada ruang yang ada itu untuk melakukan perubahan pada harga selepas musim perayaan kelak," katanya. |
150,681 murid Melaka terima bantuan persekolahan Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST IDRIS Haron (tengah) bersama murid-murid, keluarga serta pegawai pendidikan selepas majlis penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2014 di Sungai Udang, Melaka, semalam. - utusan/AZLI AHAD MELAKA 28 Jan. - Seramai 150,681 murid dan pelajar sekolah di negeri ini layak menerima Bantuan Awal Persekolahan 2014 dengan peruntukan keseluruhan adalah RM15.068 juta. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, bantuan RM100 setiap seorang murid itu kini sedang diedarkan dan dijangka selesai sebelum perayaan Tahun Baharu Cina ini. "Bantuan ini hasil daripada kemakmuran ekonomi, keseimbangan sosial dan kestabilan politik di negara ini. "Tidak ada mana-mana tempat di dalam dunia ini yang kerajaannya melakukan sedemikian dengan meletakkan satu ganjaran tunai kepada anak-anak yang bersekolah seperti di negara ini. "Inilah bukti kerajaan tetap bersemangat membela rakyat walaupun dalam masa yang sama cuba diperlekehkan oleh banyak pihak," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan RM100 kepada 160 murid sekolah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang hari ini. Keseluruhannya DUN Sungai Udang memperuntukan sebanyak RM503,600 dengan 5,036 murid dan pelajar sekolah layak menerima bantuan tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |