Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST Oleh AMRAN MULUP Beberapa anggota Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di atas bot pembersih yang dicipta oleh jurutera PPSPM di Melaka, semalam. MELAKA 2 Jan. - Jika sebelum ini usaha membersihkan Sungai Melaka dibuat secara manual tetapi kini Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memperkenalkan prototaip bot pembersih sungai yang dilengkapi teknologi terkini. Bot pembersih sungai yang dibangunkan oleh jurutera PPSPM itu kini mampu membersihkan sungai dengan mengutip sampah sarap terapung dengan lebih sempurna dan cepat berbanding cara lama. Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Baharom Majid berkata, prototaip bot berenjin 40 kuasa kuda itu sedang diuji dan telah memulakan kerja-kerja membersih di sepanjang Sungai Melaka dari Taman Rempah hingga ke Dataran Sungai di Banda Hilir. Menurutnya, usaha mereka bentuk bot pembersih sungai itu dijangka dapat menjimatkan kos yang dibayar PPSPM kepada kontraktor pembersihan sebanyak RM23,000 sebulan. "Bot ini amat istimewa kerana reka bentuknya dihasilkan oleh jurutera PPSPM sendiri khusus untuk mempercepatkan dan memudahkan kerja-kerja pembersihan di sungai. "Buat masa ini, kita ada sebuah sahaja bot dengan kos lebih daripada RM20,000 dan memang ada cadangan untuk menambah jumlah tersebut mengikut keperluan," katanya di sini semalam. Baharom berkata, prototaip bot itu akan ditambah baik bagi memastikannya selamat digunakan serta tidak menimbulkan sebarang masalah. Setakat ini katanya, bot sepanjang sembilan meter itu menunjukkan keberkesanan dalam kerja-kerja pembersihan sungai. Beliau berkata, bot tersebut direka bentuk selama setahun oleh jurutera PPSPM sebelum prototaipnya dapat dihasilkan. "Setakat ini, kerajaan negeri berpuas hati selepas melihat prototaip bot pembersih sungai dan kita akan menambah jumlah bot ini mengikut keperluan," katanya. |
YDP baharu MPJ tumpu modal insan Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST Ismail Othman (tengah) menyerahkan peruntukan RM600,000 kepada Hazudin Hashim (kiri) bagi pembinaan rumah golongan kurang berkemampuan di Jasin, Melaka, semalam. JASIN 2 Jan. - Penekanan terhadap pembangunan modal insan menjadi fokus utama Hazudin Hashim apabila dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang baharu. Menurutnya, pembangunan modal insan wajar diberikan keutamaan kerana Jasin mempunyai banyak institusi pengajian tinggi (IPT) dan terbaharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seri Mendapat akan dibuka pertengahan tahun ini. Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) berkata, penekanan ke arah itu amat penting dalam melahirkan individu yang berketerampilan khususnya golongan remaja di daerah ini. "Tugas-tugas yang masih berjalan sewaktu di bawah Yang Dipertua lalu, Datuk Murad Husin akan diteruskan dan saya akan melihat beberapa keperluan yang perlu dibangunkan di Jasin. "Saya juga akan mendapatkan taklimat terlebih dahulu daripada seluruh pegawai sebelum tugas-tugas baharu yang akan saya laksanakan terutama dalam usaha memperkukuhkan kedudukan kewangan MPJ," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Jamuan Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun MPJ ke-7 di Dewan Alamanda di sini malam tadi. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah. Hazudin, 44, dilantik sebagai Yang Dipertua MPJ menggantikan Murad yang berpindah sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berkuat kuasa semalam. Beliau sebelum ini adalah seorang peguam bela daripada 1994 hingga 2000 dan berkhidmat sebagai Penasihat Undang-undang di Yayasan Melaka selama sepuluh tahun. Mengulas lanjut, Hazudin berkata, turut diberikan penekanan oleh beliau ialah memperkukuhkan kedudukan kewangan MPJ. Justeru katanya, kawasan berpotensi dalam sektor pelancongan akan diberi penekanan selain pembangunan sektor industri turut mendapat keutamaan dalam pentadbiran baharunya. "Tugas yang saya galas berbeza dengan bidang kerja saya sebelum ini tetapi ini tidak menjadi masalah kerana pengalaman 20 tahun di sektor awam dan swasta banyak membantu saya," katanya. Justeru, beliau berharap semua kakitangan MPJ memberikan kerjasama untuk membantunya memantapkan pentadbiran dan melonjakkan MPJ sebagai antara pihak berkuasa tempatan (PBT) paling mapan. |
Mengoca ikan aktiviti unik tahun baharu Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST KUALA PILAH 2 Jan. - Seramai 60 peserta terdiri daripada penduduk Kampung Tanggai menyertai pertandingan mengoca ikan iaitu aktiviti menangkap ikan dengan cara tradisional menggunakan tangan di hulu sungai Muar dekat Gua Batu Maloi, Johol semalam. Acara mengoca secara berpasangan berkenaan diadakan sempena program sambutan Tahun Baharu 2014 yang dianjurkan oleh Komuniti 1Malaysia dan Gerakan Belia 4B Kampung Tanggai dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol. ADUN Johol, Abu Samah Mahat berkata, sebanyak 50 kilogram ikan keli dan talapia dilepaskan ke sungai untuk aktiviti mengoca yang diadakan setiap kali menyambut tahun baharu. Katanya, pada tahun ini, acara itu melibatkan semua peringkat umur dan jantina serta dilakukan secara berpasangan seperti ibu dan anak. ''Kita sedia maklum bahawa aktiviti ini dilakukan secara tradisional di dalam sawah padi selepas penat bekerja seharian maka dengan penganjuran acara ini dapat mendedahkan kepada remaja dan belia mengenai pengalaman mengoca ikan dengan menggunakan tangan," katanya. Kata Abu Samah, selain sebagai pendedahan, aktiviti tersebut dapat merapatkan hubungan antara ahli keluarga dan masyarakat kampung. Dalam masa sama, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk pertandingan meneka berat buah nangka, karaoke, gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan dan penyerahan bantuan kepada 30 warga emas. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |