Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
I-Medik, PBPS bantu mangsa banjir Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN Sukarelawan I-Medik Kelantan membantu penduduk sewaktu proses pendaftaran pada program bantuan kemanusiaan I-Medik dan PBPS di Rantau Panjang. PASIR MAS 15 Jan. - Prihatin dengan nasib penduduk setempat yang terjejas teruk akibat banjir, kira-kira 40 orang sukarelawan dari Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela (PBPS) turun padang untuk membantu mangsa yang terlibat. Selain membantu membersihkan rumah kediaman, sukarelawan terbabit turut melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan mangsa banjir di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang terkena penyakit berjangkit akibat bencana tersebut. Pengerusi I-Medik Kelantan, Dr. Wan Mohd. Riduan Mohd. Jaafar berkata, objektif bantuan kemanusiaan tersebut adalah untuk membangkitkan kesedaran penduduk yang bencana alam itu membawa pelbagai penyakit berbahaya yang boleh mengundang maut. Katanya, dalam situasi sebegitu pihaknya sedar bahawa mangsa banjir mengalami pelbagai gangguan kesihatan seperti cirit-birit, demam, selesema dan batuk tetapi tidak mempunyai bekalan ubat-ubatan. "Dalam misi ini, kumpulan I-Medik akan menjalankan pemeriksaan percuma bagi memastikan kesihatan mangsa banjir berada pada tahap yang baik. "Kami juga turut membekalkan ubat-ubatan kepada mangsa banjir yang memerlukan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam. Program bantuan kemanusiaan oleh I-Medik dan PBPS itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kesihatan negeri. Dalam pada itu, Dr. Wan Mohd. Riduan turut menasihatkan mangsa banjir agar menjaga kesihatan diri dan persekitaran bagi mengelakkan penyakit berjangkit terus merebak. Sementara itu, seorang sukarelawan, Nuramrina Mustapha, 18, berharap bantuan kemanusiaan yang diberikan itu secara tidak langsung meringankan beban yang terpaksa ditanggung mangsa banjir. "Setiap kali melihat penderitaan yang terpaksa ditanggung mangsa banjir, saya terdorong untuk membantu mereka tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk menyumbang dalam wang ringgit. "Apabila mengetahui I-Medik memerlukan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir, saya tidak teragak-agak lagi untuk turut serta dalam program ini," katanya yang baharu menamatkan persekolahan di tingkatan lima. Bagi seorang suri rumah, Rosmarini Rasman, 28, pengalaman menyertai Kadet Bomba semenjak di bangku sekolah membuatkan dia tidak betah untuk duduk berdiam diri apabila melihat orang di sekeliling dilanda musibah. "Dengan menyertai PBPS, saya dapat berbakti kepada masyarakat apabila diperlukan pada bila-bila masa. "Pada musim banjir ini, menjadi kebiasaan kepada sukarelawan bomba dan penyelamat menghulurkan bantuan dengan membantu memindahkan mangsa terlibat selain bergotong-royong membersihkan kawasan bencana," katanya. Dalam pada itu, Muhammad Taufiq Ideris, 18, berkata, dia menjadi sukarelawan PBPS kerana minat dan dorongan daripada rakan-rakan sebaya untuk membantu orang lain tanpa mengharapkan sebarang balasan. Selain mengisi masa lapang sementara menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya, dia dapat mempelajari pelbagai perkara mempelajari sesuatu yang baharu sebagai pengalaman hidup. "Walaupun masih baharu dalam kerja-kerja sukarela ini, tetapi saya ingin mengajak lebih ramai remaja untuk menjadi sukarelawan. "Banyak pengalaman baharu yang boleh diperolehi dengan membantu orang lain dalam kesusahan yang tidak hanya terhad kepada bantuan wang ringgit semata-mata," katanya. |
Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST Oleh ZAAIN ZIN Azis Yacob (dua dari kanan) bersama para pegawainya menunjukkan pelbagai jenis mercun dan rokok seludup yang dirampas di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Zuharman Mohamad Nor KOTA BHARU 15 Jan. - Kastam Kelantan akan melaksanakan pemeriksaan lebih kerap ke atas premis-premis perniagaan termasuk kedai runcit dan warung di seluruh negeri ini bagi membanteras kegiatan penjualan rokok seludup. Pengarah Kastam negeri, Datuk Azis Yacob berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pemilik yang didapati menyimpan rokok seludup di premis masing-masing walaupun dalam kuantiti kecil. "Dalam kes sebegini, tidak ada pilihan kecuali mengheret mereka ke mahkamah untuk didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dengan kesalahan memiliki barangan yang belum diluluskan Kastam. "Jika sabit kesalahan untuk kali pertama, mereka yang didapati bersalah boleh didenda sebanyak 10 kali ganda amaun duti Kastam dan untuk rekod, hujung tahun lalu, seorang pesalah telah pun dihukum denda sebanyak RM5.1 juta," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Azis memberitahu, dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini, sebanyak lima rampasan dan empat tangkapan dilakukan terhadap pemilik premis yang disyaki menyimpan rokok seludup. "Sejak 2011, terdapat kira-kira 200 kes seumpama ini dengan 60 daripadanya sudah dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut. "Harus diingat, fokus kita bukan sekadar untuk membanteras sindiket penyeludupan rokok, tetapi mengesan mana-mana pihak yang menjualnya kerana selagi ada orang menjual rokok ini, selagi itu bekalan akan sampai," katanya. |
Nafas sumbang telekung, kain pelikat Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST KEMAMAN 15 Jan. - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)mengagihkan sumbangan telekung dan kain pelikat bernilai RM20,000 kepada 11 buah masjid yang terjejas akibat banjir di daerah ini. Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata, sumbangan kecil itu di harap dapat memberi keselesaan kepada jemaah di masjid berkenaan terutama yang singgah ketika dalam perjalanan ke sesuatu destinasi. "Sebelum ini, sudah banyak pihak yang memberi bantuan dalam pelbagai bentuk barangan, kepada mangsa banjir jadi saya harap sumbangan telekung dan kain pelikat untuk kegunaan di masjid-masjid," katanya. Beliau menyatakan demikian selepas menyampaikan sumbangan itu kepada imam dan wakil masjid di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kemaman, di Jalan Air Putih, di sini, kelmarin. Wan Zakaria berharap bantuan ini boleh meringankan beban yang ditanggung pihak masjid kerana untuk menyediakan keperluan secukupnya mungkin memakan masa kerana banyak lagi perkara yang perlu diberi tumpuan. Bagi imam-imam yang hadir pula, mereka gembira dengan sumbangan itu dan berharap lebih banyak pihak tampil memberi bantuan kepada pihak masjid. Imam masjid Felda Seberang Tayor, Kamaluddin Mamat berkata, pihak jawatankuasa masjid telah menggunakan wang tabung hasil derma jemaah untuk membeli beberapa keperluan penting setelah rosak dan terjejas akibat banjir. "Kita ada juga terima bantuan kewangan RM50,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk proses memasang mozek dan karpet yang baru. "Selain itu kita juga memerlukan sumbangan yang lain seperti almari, langsir, kitab-kitab pengajian agama dan al-Quran," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |