Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Ketereh jadi koridor ilmu Kelantan
- Mohd. Faudzi SUK baharu Kelantan
- Media bantu corak pembangunan negeri
Ketereh jadi koridor ilmu Kelantan Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST Oleh ROSMIZAN RESDI ANNUAR Musa (barisan kedua, tengah) gembira bersama sebahagian daripada kakitangan dan pelajar Politeknik Kota Bharu selepas Majlis Pelancaran Festival Sukan PKB 2014 di Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 1 Jan. - Ketereh bakal menjadi koridor ilmu melalui kewujudan beberapa institusi pengajian yang akan dibangunkan tidak lama lagi. Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat perkembangan ilmu dibuat sejajar dengan keperluan semasa. Kata beliau, pembinaan pusat pengajian tersebut akan dilaksanakan di bahagian Ketereh yang melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN). "Untuk Parlimen Ketereh, kita akan membangunkan sebanyak tiga buah kolej di mana ia melibatkan sebuah kolej bagi setiap DUN. "Antaranya adalah Kolej Ulul Albab yang akan dibangunkan di DUN Kok Lanas manakala Pusat GiatMara Prima di DUN Melor dan Kolej Mara di DUN Kadok," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Festival Sukan Politeknik Kota Bharu (PKB) 2014 di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah PKB, Noor Azahan Othman. Annuar berkata, pelaksanaan koridor ilmu itu juga akan membabitkan peruntukan yang amat besar bagi memberi keselesaan kepada rakyat di kawasan berkenaan. "Bagi pembinaan Kolej Ulul Albab, kita menganggarkan peruntukan sebanyak RM40 juta serta kira- kira RM10 juta untuk membangunkan Pusat GiatMara Prima sebagai kampus induk. "Peruntukan ini diperlukan bagi pembinaan kampus serta penyediaan pelbagai prasarana asas untuk keperluan pelajar," katanya. Mengulas lanjut, Annuar berkata, pelaksanaan Pusat Koridor Ilmu itu perlu bagi memenuhi keperluan pelajar sekolah yang kian meningkat. "Dalam masa yang sama, kita juga memberi tumpuan kepada keperluan sekolah di kawasan ini di mana tambahan beberapa sekolah menengah akan turut dilaksanakan. "Kita memerlukan sekurang-kurangnya dua buah sekolah menengah yang perlu dilaksanakan dengan segera iaitu di Kok Lanas dan Ketereh bagi menampung penambahan penduduk," katanya. Sementara itu, beliau berkata, Ketereh juga akan dijadikan sebagai pusat perhubungan bagi perkhidmatan pengangkutan awam Mara Liner kepada penduduk setempat. "Mara Liner akan menyediakan perkhidmatan di kawasan Ketereh sehingga Machang serta beberapa laluan di sekitarnya. "Perkhidmatan ini juga akan tertumpu di beberapa kawasan tumpuan seperti Kem Desa Pahlawan, politeknik serta matrikulasi untuk kemudahan orang ramai serta para pelajar," katanya. |
Mohd. Faudzi SUK baharu Kelantan Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST KOTA BHARU 1 Jan. - Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat hari ini mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) yang baharu bagi menggantikan Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim yang bersara mulai semalam. Majlis angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darul Naim, di sini. Yang turut hadir menyaksikan upacara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah serta barisan Exco negeri. Turut mengangkat sumpah ialah Datuk Abdul Razak Musa sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri dan Datuk Nik Kazim Nik Yusoff yang mengambil alih tempat Mohd. Faudzi sebagai Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri. Sementara itu, Mohd. Faudzi yang bertugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri selama empat tahun menyifatkan pelantikannya sebagai satu tanggungjawab berat yang memerlukan kerjasama semua pihak. "Insya-Allah hasil kerja yang ditinggalkan Zainuddin akan diteruskan. Saya juga menjunjung kasih kepada Tuanku yang memperkenankan pelantikan saya dengan restu Menteri Besar," katanya ketika ditemui. Beliau berkata, selain mengekalkan polisi yang ada, usaha ke arah penambahbaikan bagi melancarkan lagi sistem pentadbiran kerajaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa terutamanya dalam aspek penjimatan. "Ia selaras dengan perkembangan semasa dan insya-Allah kita juga akan memfokuskan kepada rungutan pelanggan dalam beberapa perkara berbangkit sama ada berkenaan dengan apa-apa permohonan atau aduan. Sekurang-kurangnya segala masalah yang timbul akan dapat dikurangkan," katanya. Dalam pada itu, Zainuddin memberitahu, banyak pengalaman terhimpun sepanjang perkhidmatannya di bawah kerajaan Kelantan dan gembira dapat membantu kerajaan negeri dalam merealisasikan misi pemerintahannya. "Saya berharap usaha-usaha itu dapat diteruskan sepanjang masa. Saya akan cuba menikmati keseronokkan sebagai pesara bermula esok (hari ini) selepas 30 tahun bergelar sebagai penjawat awam," katanya. |
Media bantu corak pembangunan negeri Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST MOHD. Zubir Embong (tengah) bersama warga media Terengganu semasa Malam Mesra Media 2013 Jabatan Penerangan Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, kelmarin. KUALA TERENGGANU 1 Jan. - Media massa khususnya media elektronik dan media cetak perlu terus berperanan membantu mencorakkan pembangunan negeri dan kesejahteraan hidup rakyat dalam suasana yang makin mencabar kini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd. Zubir Embong berkata, dalam melaksanakan tanggungjawab bersama itu, pengamal media juga perlu terus berpegang kepada etika kewartawanan. ''Segala maklumat yang hendak dikongsi dengan masyarakat haruslah tepat dan perlu mematuhi etika demi menjaga kewibawaan mereka dan berita yang dihasilkan," ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Malam Mesra Media Jabatan Penerangan Negeri Terengganu 2013 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini semalam. Yang turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan negeri, Mustaffa Abdul Kadir. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |