Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- RM2.5j sebulan bantu warga emas
- UiTM Kelantan perkenal teori followership
- MBM, Belia 4B sampaikan sumbangan kecemasan
RM2.5j sebulan bantu warga emas Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST Oleh YATIMIN ABDULLAH Kamarudin Mohd. Zain (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nooraini Mohd. Noor di Chetok, Pasir Mas, semalam. PASIR MAS 2 Jan. - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu warga emas yang memerlukan di negeri ini pada setiap bulan. Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Kamarudin Mohd. Zain berkata, bantuan tersebut diberikan kepada golongan asnaf berusia 60 tahun ke atas kerana mereka sudah tidak mempunyai keupayaan untuk bekerja. Beliau berkata, bantuan bulanan berjumlah RM250 itu diagihkan kepada seramai 8,000 penerima yang berada dalam kategori asnaf. "Harapan kita agar bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berkenaan dan diharap mampu memberikan kegembiraan kepada mereka. "Ini adalah sebahagian daripada titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Petra merangkap Yang Dipertua MAIK yang begitu cakna terhadap nasib golongan asnaf di negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga Nooraini Mohd. Noor di Taman Jintan, Chetok dekat sini hari ini. Pada 23 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan penderitaan Nooraini, 40, yang lumpuh badan kiri selepas diserang angin ahmar sejak setahun lalu. Lebih memilukan, suami tempat dia dan lapan anaknya berusia antara empat hingga 18 tahun bergantung hidup, meninggalkan mereka tanpa sebarang berita sejak setahun lalu. Sementara itu, Nooraini ketika ditemui berkata, dia sekeluarga terharu dan berterima kasih di atas sumbangan yang dihulurkan oleh pihak MAIK. "Saya tak tahu nak kata apa hanya mampu mengucapkan syukur. Bantuan ini amat bermakna buat kami sekeluarga memandangkan saya sudah tidak kuat untuk bekerja selepas diserang penyakit strok. "Dengan adanya bantuan ini, dapatlah saya gunakan untuk menampung perbelanjaan tujuh anak-anaknya yang masih bersekolah dan kecil," ujarnya. Tambahnya, bantuan tersebut turut digunakan sebagai perbelanjaan untuk merawat penyakit strok yang dihidapinya itu. |
UiTM Kelantan perkenal teori followership Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST Hilmi Ab. Rahman (dua dari kiri) beramah mesra dengan warga UiTM dalam majlis ringkas meraikan ketibaannya sebagai Rektor baharu UiTM cawangan Kelantan di Machang, semalam. MACHANG 2 Jan. - Profesor Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman yang dilantik sebagai Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan yang baharu berhasrat meneruskan kecemerlangan kepimpinan terdahulu dengan cara menambah baik resipi kejayaan sedia ada. Menurut Hilmi, beliau mengagumi corak kepemimpinan yang diguna pakai selama ini sehingga berjaya melonjakkan UiTM cawangan Kelantan sebagai antara institusi pengajian tinggi terkemuka namun masih terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki. Beliau berkata, antara pembaharuan yang ingin dilakukan adalah memberi tumpuan terhadap sains kemanusiaan dengan memaksimumkan potensi modal insan setiap warga kampus serta memperkenalkan konsep followership atau kepengikutan. "Kita sering dengar teori kepemimpinan namun bagi saya, teori followership juga perlu diberi perhatian kerana para pengikut ini mampu menentukan sejauh mana seseorang pemimpin atau sesebuah organisasi itu bergerak ke hadapan. "Pendapat sesetengah pihak bahawa terlampau memberi perhatian terhadap sains kemanusiaan menyebabkan organisasi tidak boleh bergerak ke depan tidak benar kerana tamadun terdahulu membuktikan manusia itu merupakan aset terpenting yang perlu dijaga," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ringkas meraikan ketibaannya sebagai Rektor UiTM cawangan Kelantan yang baharu di kampus universiti itu di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), Prof. Madya Zulkarnain Yusoff serta Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Prof. Madya Dr. Nik Kamaruzaman Abdulatiff. Hilmi yang sebelum ini merupakan Rektor UiTM cawangan Pahang dilantik sebagai Rektor UiTM cawangan Kelantan menggantikan Prof. Madya Dr. Mohd. Shukri Omar yang telah tamat kontrak. Dalam pada itu, Hilmi memberitahu, beliau berhasrat untuk memperhebatkan program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) di seluruh negeri ini bagi memastikan kelompok bumiputera luar bandar dan tidak berkemampuan diberi peluang sewajarnya untuk menuntut di UiTM. "Saya memang penyokong kuat MDAB, malah ketika bersama kampus lama saya iaitu UiTM Pahang, kami pernah menaiki keretapi dari Merapoh di Gua Musang sehingga ke Kemayan, Bera untuk menjejaki anak Orang Asli yang berminat melanjutkan pelajaran," katanya. |
MBM, Belia 4B sampaikan sumbangan kecemasan Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST Mohd. Faisal Abu Bakar (tengah) menyampaikan sumbangan kecemasan kepada Mohd. Hadzri Dollah di Kuala Semerak, Pasir Puteh, semalam. PASIR PUTEH 2 Jan. - Bekas Setiausaha Gerakan Belia 4B Malaysia cawangan Bandar Hilir Kota Bharu, Mohd. Hadzri Dollah, 52, yang dihimpit kemiskinan selepas kaki kanannya dipotong sejak setahun lalu mendapat perhatian Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gerakan Belia 4B Negeri Kelantan. Hari ini, Mohd. Hadzri menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Rekreasi dan Seni Warisan MBM, Mohd. Faizal Abu Bakar. Rombongan tersebut menyampaikan sumbangan kecemasan seperti bantuan kewangan, pakaian dan makanan bagi meringankan beban terutama untuk menanggung kos perbelanjaan awal persekolahan untuk empat anaknya. Sementara itu, Mohd. Faizal yang juga Pengerusi Gerakan Belia 4B Kelantan berkata, pihaknya mengetahui mengenai keadaan Mohd. Hadzri yang daif selepas membaca berita yang disiarkan dalam Utusan Online. "Jasanya sebagai aktivis Gerakan Belia 4B sepanjang tahun 1982 hingga 1987 yang aktif dengan program Kurnia Belia Jaya (KBJ) seharusnya dihargai dengan sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak. "MBM simpati dengan nasib yang menimpa Mohd. Hadzri apabila terbaca cerita mengenainya menerusi Utusan Online dan disebabkan itu kami mengunjungi hari ini untuk kami bertanya khabar dan menyalurkan bantuan yang sekurang-kurangnya akan meringankan bebanannya. "Saya berharap lebih banyak pihak akan tampil untuk membantu Mohd. Hadzri kerana jasa dan sumbangan dia sebelum ini amat tidak ternilai," katanya ketika ditemui di Taman D' Bali Kuala Semerak di sini hari ini. Bekas aktivis belia itu hidup serba kekurangan dan dihimpit kemiskinan apabila kaki kanannya terpaksa dipotong akibat penyakit diabetes lebih setahun lalu. Mohd. Hadzri kini hilang kudrat bagi mencari nafkah untuk menyara isteri dan enam anak dan hanya mengharapkan bantuan anak sulungnya, Balqis Aisyah, 25, yang bekerja di sebuah resort di sini dengan gaji yang tidak seberapa. Dalam pada itu, Mohd. Hadzri berkata, dia sekeluarga merasa amat terharu dengan perhatian yang diberikan oleh MBM dan Gerakan Belia 4B Kelantan yang bertindak pantas untuk menghulurkan bantuan selepas mengetahui keadaannya. "Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang untuk membantu hari ini, jasa mereka tidak mampu saya balas. "Hari ini, tiga anak saya ke sekolah dengan berjalan kaki yang jaraknya kira-kira tiga kilometer (km) dari rumah. "Wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digunakan sepenuhnya untuk pakaian tidak termasuk kasut sekolah. Mereka tidak membawa wang saku dan kami juga terpaksa menagih simpati untuk membeli beras bagi meneruskan kelangsungan hidup," katanya. Tambahnya, dia amat memerlukan sebatang kaki palsu bagi membolehkannya bergerak sekurang-kurangnya untuk berusaha dan bekerja bagi mendapatkan sumber rezeki. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |