{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Naik taraf sistem agihan air

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Oleh ROSALINDA MD.SAID
utusanterengganu@utusan.com.my

AHMAD Said (tengah) bergambar bersama murid-murid dari kawasan DUN Kijal yang menerima sumbangan keperluan sekolah di Dewan Sivik Kijal, Kemaman, semalam. - MINGGUAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KEMAMAN 4 Jan. - Kerajaan negeri menjangka akan membelanjakan kira-kira RM400 juta bagi menaik taraf sistem agihan dan pembekalan air di daerah ini menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ketika ini, kerajaan negeri sudah melantik biro perunding untuk membuat kajian terperinci berhubung keperluan itu.

"Kita jangkakan bekalan air di daerah ini akan menghadapi masalah kritikal satu hingga dua tahun lagi, jadi kita memerlukan sistem baharu untuk mengukuhkan lagi, sekali gus menampung keperluan air.

"Buat permulaan, kita sudah memulakan pembelian bekalan air dari Kerteh ke kawasan perindustrian Telok Kalong yang membabitkan kos pemasangan paip bernilai RM50 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan persekolahan tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu majlis di Dewan Sivik Kijal, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 200 murid dari 14 buah sekolah di daerah Kemaman menerima bantuan dua pasang pakaian seragam sekolah, sepasang kasut dan sebuah beg serta peralatan alat tulis.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi), Bahagian Perkhidmatan dan Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin dan Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB negeri, Ir. Saharenam Mukhtar.

Sementara itu, Mohd. Aminuddin berkata, TNB sedang menaik taraf sistem bekalan elektrik terutamanya selepas kejadian banjir baru-baru ini.

"Sebanyak 5,606 pengguna TNB terjejas bekalan elektrik akibat banjir.

"Semua usaha yang dijalankan TNB ini bertujuan meningkatkan lagi daya harap bekalan elektrik di seluruh Terengganu agar masalah gangguan bekalan dapat diminimumkan, sekali gus memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

YPKT terima peruntukan kerajaan negeri RM42 juta tahun ini

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

KUALA TERENGGANU 4 Jan. - Kerajaan negeri memperuntukkan RM42 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi perbelanjaan mengurus dan aktiviti yayasan itu, tahun ini.

Daripada jumlah itu, RM21 juta merupakan jangkaan caruman daripada kerajaan negeri manakala RM26.65 juta untuk perbelanjaan mengurus iaitu gaji dan elaun.

Daripada jumlah perbelanjaan mengurus itu, RM19.15 juta untuk kakitangan yang berjawatan sementara, kontrak dan sambilan manakala RM6.5 juta untuk jawatan tetap.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, peruntukan itu diluluskan dalam Bajet Terengganu 2014 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bulan lalu.

"Jadi, kita berterima kasih kepada kerajaan negeri yang meluluskan bajet yang tinggi iaitu RM42 juta kepada YPKT untuk tahun ini.

"Daripada peruntukan itu, kita akan adakan pelbagai program yang mampu memberi impak kepada pembangunan kekeluargaan di Terengganu," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis YPKT Bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa selain lebih 800 kakitangan yayasan berkenaan.

Muhammad Pehimi berkata, YPKT mempunyai hala tuju jangka panjang termasuk memberi tumpuan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha mencapai matlamat membangunkan institusi kekeluargaan menjelang 2020.

Dalam pada itu, Mohd. Shafaruddin pula berkata, YPKT juga akan membina dua bangunan baharu yang menelan belanja RM8 juta di Chendering di sini dan Hulu Terengganu tahun ini serta dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

"Kita akan bina sebuah bangunan untuk pentadbiran keluarga di Hulu Terengganu yang menelan belanja RM5 juta dan sebuah bangunan lagi untuk aktiviti ibu tunggal berharga RM3 juta di Chendering," ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya merancang membina bangunan pentadbiran keluarga di setiap daerah di negeri ini dengan setakat ini tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu sudah pun mempunyai kemudahan itu.

"Kita juga akan bina lagi bangunan yang sama di daerah lain di negeri ini iaitu Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Marang," jelasnya.

Tambahnya, buat masa ini YPKT mempunyai 805 pegawai dan kakitangan serta kira-kira 100 orang lagi akan ditambah dalam masa terdekat ini.

Anggota sukarelawan bantu Ops Tahun Baharu Cina

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

KOTA BHARU 4 Jan. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan menempatkan anggota sukarelawan daripada Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) bagi membantu Ops Tahun Baru Cina sempena sambutan perayaan itu tidak lama lagi.

Pengarahnya, Abdul Ghani Kassim berkata, operasi tersebut akan berlangsung selama 17 hari yang bermula pada 24 Januari ini sehingga 9 Februari depan.

Beliau berkata, kira-kira 72 anggota sukarelawan berkenaan akan ditempatkan di 12 lokasi pintu masuk ke negeri ini.

"Untuk operasi ini, kita akan menempatkan satu pos di setiap 30 kilometer (km) yang mana lebih tertumpu di lokasi panas serta sempadan masuk ke negeri ini.

"Antara sempadan yang dikenal pasti adalah Terengganu-Pasir Puteh, Gerik-Jeli dan Merapuh-Gua Musang," katanya kepada pemberita selepas Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan Kakitangan JPJ, di sini baru-baru ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya akan menempatkan dua pegawai penguat kuasa JPJ dan tiga anggota sukarelawan bagi setiap pos.

"Anggota sukarelawan ini ditugaskan membantu pegawai penguat kuasa dan mereka akan bertugas mengikut sesi iaitu lapan jam pada setiap sesi.

"Operasi ini diadakan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sempena musim perayaan dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap persepsi ditangkap melakukan kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai juga digalakkan untuk mendaftarkan diri sebagai anggota SM1JPJ bagi membantu JPJ dalam melaksanakan tugas dengan lebih sistematik.

"Orang ramai yang berminat untuk menjadi anggota SM1JPJ boleh mendaftar melalui portal JPJ iaitu www.jpj.gov.my.

"Sehingga November ini, sebanyak 904 anggota sukarelawan telah berdaftar di negeri ini sejak diperkenalkan di seluruh Malaysia pada 31 Ogos tahun lalu," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat