Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kehebatan Pusat Aktiviti Warga Emas
- ATM kenal pasti laluan utama pendatang asing tanpa izin
- YPU bentuk jaringan usahawan
Kehebatan Pusat Aktiviti Warga Emas Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST Oleh ASMA HANIM MAHMOOD Roomai Nor Ali (kiri) memberi sokongan kepada dua warga emas yang menjalani aktiviti senaman di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Kota Bharu, baru-baru ini. KOTA BHARU 6 Jan. - Warga emas ditakrifkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai orang yang berumur 60 tahun ke atas hasil resolusi yang dibuat pada Persidangan Umur Sedunia 1982 di Vienna, Austria. Kemajuan dalam bidang perubatan dan kesihatan telah membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat masa kini sekali gus menjadikan jangka hayat manusia semakin panjang dan lebih ramai warga emas mampu terus memberi sumbangan yang besar. Malah negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi testimoni terbaik betapa usia tua bukan penghalang untuknya terus aktif serta peka melemparkan idea bernas dan tajam kepada isu-isu dalam dan luar negara. Contoh sama dipamerkan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang baru sahaja bersara Mei lalu pada usia 82 tahun setelah lebih 22 tahun menerajui tampuk pentadbiran negeri ini. Bagaimanapun, secara umumnya, warga emas yang sudah melewati pertengahan umur ataupun yang tidak lagi terbeban dengan urusan nafkah hidup akan tercari-cari sesuatu untuk mengisi masa terluang. Pada usia sebegini, mereka biasanya tinggal keseorangan atau hanya berdua dengan pasangan masing-masing kerana anak-anak sudah mempunyai kehidupan dan keluarga sendiri. Pada saat inilah, mereka amat memerlukan sokongan dan sudah tentu sokongan daripada kalangan 'rakan sebaya' adalah yang terbaik kerana saling memahami setiap keperluan dan kehendak diri. Sehubungan itu, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang dahulunya dikenali dengan nama Pusat Jagaan Harian Warga Emas (PJHWE) di sesebuah komuniti menjadi jawapan kerana ia menyediakan kemudahan kepada warga emas menjalani aktiviti secara bersama dengan rakan lain sekali gus menjadi kekal aktif daripada hanya dibiar tinggal bersendirian di rumah. Terdapat banyak pusat serupa di seluruh negara dan PAWE Kemumin di Pengkalan Chepa yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu menjadi satu-satunya pusat harian orang tua di negeri ini. Setiausaha Pengurusan PAWE Kemumin, Roomai Nor Ali berkata, pusat yang mula beroperasi pada 2006 tersebut ditadbir oleh Jawatankuasa Pengurusan yang dilantik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan perjalanan operasinya berada di bawah pengawasan Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (MPKSM). Beliau berkata, pusat tersebut terbuka kepada warga emas yang masih mampu menguruskan diri dan sehingga kini mempunyai keahlian seramai 500 orang dari umur 56 sehingga 70-an sekitar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa dengan kira-kira 250 daripadanya adalah ahli yang aktif. Katanya, pusat yang dibuka pada setiap hari Sabtu hingga Rabu dari pukul 8 pagi hingga 4.30 petang tersebut mempunyai pelbagai kelengkapan yang boleh digunakan warga emas secara percuma termasuk aktiviti seperti kelas pengajian al-Quran dan agama. "Kami mempunyai gimnasium sendiri lengkap dengan peralatan seperti treadmill, basikal senaman dan kerusi urut dengan kos keseluruhan berjumlah RM50,000. "Selain itu juga, pusat ini mempunyai alatan fisiologi, bilik mesyuarat, bilik rehat, bahan bacaan, kemudahan komputer dan Wi-Fi serta kemudahan ruang untuk ahli-ahli yang mahu mengadakan sebarang majlis. "Kami juga mempunyai sebuah van di bawah Unit Penyayang JKM negeri bagi menyelesaikan sebarang masalah pengangkutan warga emas yang mahu ke klinik atau hospital, mereka hanya perlu mendaftar menjadi ahli PAWE Kemumin dan pihak kami bersedia mengambil dan menghantar mereka pulang semula ke rumah selepas selesai temujanji doktor," katanya ketika ditemui di sini semalam. Menurut Roomai Nor, pusat itu menerima peruntukan sebanyak RM33,330 setahun daripada JKM negeri untuk perbelanjaan operasinya dan kadar itu sudah tentu tidak mencukupi malah sebahagian besarnya digunakan bagi membayar gaji tiga kakitangan tetap pusat tersebut. Jelasnya, kerajaan diharap dapat menimbang untuk menambah peruntukan tersebut memandangkan jumlah itu tidak lagi relevan pada suasana sekarang ini. Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya tetap berusaha mencari pendapatan sendiri dengan menyewakan sebuah kios di hadapan bangunan PAWE dan kini sedang membuat perancangan awal untuk membina sebuah dewan serbaguna. "Perjalanan aktiviti di sini banyak dibantu sumbangan agensi kerajaan, badan korporat dan orang perseorangan namun kami perlu kreatif mencari sumber pendapatan tetap untuk PAWE Kemumin. "Kami merancang mencari dana untuk membina sebuah dewan serbaguna di tanah bersebelahan pusat ini yang akan dilengkapkan dengan tiga gelanggang badminton bagi kemudahan pihak yang berminat dengan sukan ini menyewa tempat bermain," katanya. Sementara itu, salah seorang ahli PAWE Kemumin, Rahimah Wan Daud, 63, berkata, dia dan suami, Ismail Yusuf, 63, mula menjadi ahli sejak 2007 setelah mereka bersara daripada perkhidmatan kerajaan. Bekas jururawat yang berasal dari Padang Tembak itu berkata, semua enam anak dan lapan cucu tinggal berjauhan daripada mereka menyebabkan perlu mencari sesuatu untuk mengisi masa. "Kami berpeluang menyertai banyak aktiviti malah dibawa menyertai rombongan JKM negeri ke negeri lain apabila ada acara melibatkan warga emas di peringkat kebangsaan. "Pihak pengurusan juga menganjurkan majlis hari jadi kepada ahli sebanyak tiga kali dalam setahun," katanya. Seorang lagi ahli, Rohani Yusuf, 54, pula berkata, walaupun umurnya agak 'muda' berbanding ahli lain, keadaan itu tidak menghalangnya untuk turut serta dalam aktiviti PAWE setelah memilih untuk bersara awal. "Pada sebelah malam saya boleh ke masjid berhampiran rumah untuk mengikuti kuliah dan pada sebelah siang pula saya datang ke pusat ini khususnya pada Ahad dan Rabu untuk pengajian al-Quran dan agama, saya berharap kelas ilmu begini dapat ditambah lagi pada masa hadapan," katanya. Penyelia PAWE Kemumin, Abdul Hadi Hasan, 63, pula berkata, ahli mereka terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat tanpa mengira kedudukan termasuk yang berpangkat Datuk. "Pelbagai pihak juga sentiasa datang melaksanakan program mereka di sini contohnya seperti Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) yang acap kali mengadakan program pemeriksaan kesihatan khusus untuk warga tua," katanya. Pada majlis sambutan Hari warga Emas Peringkat negeri Kelantan 2013 Ilmu Dijunjung, Warga Emas Disanjung di Rumah Seri Kenangan, Kemumin di sini baru-baru ini, seorang ahli PAWE Kemumin yang juga pesara guru, Mustapha Mohamad Noor, 62, telah diiktiraf pemenang Anugerah Tokoh Keagamaan atas kejayaan beliau menjadi naib juara Majlis Tilawah al-Quran JKM peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada Ogos lalu. |
ATM kenal pasti laluan utama pendatang asing tanpa izin Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST KUALA KRAI 6 Jan. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenal pasti Pangkalan Haram Ibrahim Pencen yang terletak di Rantau Panjang sebagai laluan utama pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyelinap masuk ke Malaysia. Panglima 8 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, sepanjang minggu pertama tahun ini sebanyak tiga kes kemasukan PATI melalui pangkalan haram itu berjaya dikesan. Beliau berkata, biarpun telah mengenal pasti laluan utama itu, pihaknya sentiasa berwaspada kerana penyeludup amat licik dan sentiasa menukar modus operandi mereka. "Berdasarkan kepada intipan dan tangkapan yang dibuat, kita mengesan pangkalan haram tersebut adalah laluan pilihan PATI untuk masuk ke negara ini. "Untuk itu kita akan meningkatkan kawalan di kawasan berkenaan bagi mengawal kemasukan PATI serta menangani segala aktiviti penyeludupan di beberapa pangkalan lain," katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan dan Penyampaian Kunci Rumah Veteran di Kampung Bendang Jambu, Telekong di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman. Pada majlis tersebut, Mohamad Zaki menyerahkan kunci rumah kepada seorang bekas tentera, Muhammad Mat Yunus, 59, yang dipilih berdasarkan taraf ekonomi anggota terbabit. Pemberian rumah kepada pesara tentera berkenaan bagi mengenang jasa serta pengorbanan mereka selain keprihatinan kerajaan terhadap golongan kurang berkemampuan. Mohamad Zaki dalam pada itu berkata, urusan keluar masuk ke negara jiran melalui pintu sempadan masih terkawal biarpun selatan Thailand berada dalam keadaan tidak menentu. "Buat masa ini orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika keluar masuk di sempadan Malaysia-Thailand dan mereka dinasihat mengunakan laluan yang ditetapkan. "Kita sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan pasukan keselamatan di negara jiran agar tiada penjenayah atau pemberontak lolos masuk ke Malaysia" katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir di negeri ini yang mungkin berlaku bila-bila masa. "Segala keperluan seperti bot serta bekalan makanan telah disediakan dan kita tidak mempunyai masalah untuk menghadapi sebarang kemungkinan. "Ketika ini kita akan terus menempatkan anggota di beberapa kawasan yang dijangka dilanda banjir seperti Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kuala Krai," katanya. |
Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH KUALA TERENGGANU 6 Jan. - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menubuhkan Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu sebagai platform penyelarasan program keusahawan antara jabatan dan agensi kerajaan dengan golongan usahawan. Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Razali Adis berkata, penubuhan majlis ini bagi mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program dan pendekatan untuk meningkatkan kemajuan mereka dan membudayakan bidang keusahawanan. Katanya, sebanyak 18 ahli yang mewakili pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dilantik menganggotai majlis yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud. Razali berkata, majlis yang akan bersidang empat kali setahun itu akan turut mengenal pasti inisiatif baru yang berimpak tinggi untuk diperkenalkan kepada usahawan di negeri ini. "Selain itu majlis akan menjadi permudah cara bagi pelaksanaan program serta aktiviti ke arah memperhebatkan keusahawan ke peringkat global," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, sempena penubuhan majlis itu juga satu Bengkel Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi akan diadakan selama dua hari di Kuala Lumpur pada 9 Januari ini. Katanya, sebanyak 100 usahawan di negeri ini yang mampu menjana jualan lebih RM 500,000 setahun telah dipilih untuk menyertai bengkel tersebut. Menurut beliau, usahawan berpotensi daripada pelbagai bidang termasuk kraf, makanan, peruncitan, kejuruteraan, minyak dan gas dihimpunkan bersama agensi pembangunan untuk mewujudkan jaringan niaga yang lebih luas. Razali berkata, sempena dengan program itu akan turut diadakan memorandum persefahaman (MoU) dan penyerahan sijil pelantikan ahli majlis berkenaan di samping turut diadakan Bicara Usahawan. Menurut beliau, pada masa ini terdapat kira-kira 22,300 usahawan Terengganu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan 5,000 daripadanya turut mendaftar dengan YPU sebagai sahabat YPU. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |