Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Tarik Orang Asli masuk UiTM
- Program ibu angkat bantu tingkat kesedaran pelajar dalam pendidikan
- RM148,000 bantu 74 peniaga
Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST Oleh ZAAIN ZINutusankelantan@utusan.com.my HILMI Ab. Rahman (depan, enam dari kiri) bersama warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan dalam majlis ringkas meraikan ketibaannya sebagai Rektor UiTM cawangan Kelantan yang baharu di kampus universiti itu di Machang, baru-baru ini. - UTUSAN/ROSNI MASRI MACHANG 7 Jan. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan berhasrat untuk menarik lebih ramai golongan belia di kawasan pedalaman, khususnya Orang Asli menjadi pelajarnya menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB). Rektor UiTM Kelantan, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman berkata, sebagaimana peluang kedua diberikan kepada masyarakat bumiputera lain, kelompok itu juga perlu diberi ruang untuk memajukan diri. "Pelbagai faktor menyebabkan golongan ini tercicir daripada pelajaran, namun ada di antara mereka yang masih mempunyai semangat belajar yang kuat. "Mereka ini sebenarnya mempunyai kekuatan dan potensi tersendiri yang boleh dikembangkan lagi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ringkas meraikan ketibaannya sebagai Rektor UiTM cawangan Kelantan yang baharu di kampus universiti itu, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), Prof. Madya Zulkarnain Yusoff serta Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Prof. Madya Dr. Nik Kamaruzaman Abdulatiff. Hilmi memberitahu, pihaknya merancang untuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan cara mendekati masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman seperti di Kuala Krai, Galas dan Lojing bagi mencari calon pelajar. "Saya memang penyokong kuat MDAB, malah, ketika bersama kampus lama saya iaitu UiTM Pahang, kami pernah menaiki kereta api dari Merapoh di Gua Musang sehingga ke Kemayan, Bera untuk menjejaki anak Orang Asli yang berminat melanjutkan pelajaran. "Saya fikir kita tidak mempunyai masalah untuk meneruskan usaha ini, namun kita akan tengok dulu langkah-langkah yang boleh diambil untuk merealisasikan perkara ini," katanya. |
Program ibu angkat bantu tingkat kesedaran pelajar dalam pendidikan Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST MOHD. Fatmi Che Salleh (tengah) bersama Madihah Ab. Aziz (kiri) menyampaikan sumbangan beg sekolah dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar Kurang Berkemampuan di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. KOTA BHARU 7 Jan. - Wanita UMNO Bahagian Kota Bharu merancang untuk mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu dari institusi pengajian tinggi sebagai usaha ke arah mempertingkatkan kesedaran pelajar sekolah dalam soal pendidikan. Ketuanya, Madihah Ab. Aziz berkata, melalui kerjasama tersebut, pihaknya akan memilih beberapa ahli untuk menjadi ibu angkat kepada pelajar di setiap sekolah di kawasan itu. Wanita UMNO Kota Bharu katanya, akan mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah di seluruh daerah itu termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi merealisasikan rancangan tersebut. "Peranan atau fungsi ibu angkat ini ialah untuk memberi motivasi kepada pelajar supaya berminat dalam pelajaran di mana secara tidak langsung akan mendorong mereka untuk memberi lebih tumpuan kepada bidang akademik. "Nilai-nilai sedemikian mungkin kita boleh terapkan melalui majlis-majlis penganjuran kem-kem pendidikan yang boleh dibuat secara berkala seperti pada musim-musim cuti atau sebarang masa yang dikira bersesuaian," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan, di sini baru-baru ini. Majlis anjuran Pergerakan Wanita Kota Bharu itu dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh. Sebanyak 300 beg sekolah diagihkan kepada 300 pelajar dari empat buah sekolah rendah membabitkan kos sebanyak RM10,000. Madihah berkata, sumbangan tersebut merupakan komitmen pihaknya untuk terus membantu mengurangkan beban ibu bapa setiap kali menjelang musim persekolahan. "Bantuan ini tidak termasuk sumbangan diberikan kerajaan Pusat seperti wang ihsan dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin," katanya. |
Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB AHMAD Yakob (depan) melawat tapak kebakaran yang memusnahkan premis perniagaan di Pekan Rantau Panjang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID RANTAU PANJANG 7 Jan. - Kerajaan negeri akan menyumbangkan bantuan segera sebanyak RM148,000 melalui Tabung Bantuan Serambi Mekah bagi membantu 74 peniaga terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan premis perniagaan mereka di Pekan Rantau Panjang, malam tadi. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa peniaga terbabit yang mana didapati deretan kedai Blok B Zon Bebas cukai dan Bazar Mimi di pekan berkenaan hangus 100 peratus. Menurutnya, kerajaan negeri akan membantu menyalurkan bantuan tidak melebihi RM 2,000 setiap seorang, bagi membantu meringankan beban mereka. Kita masih mengumpul senarai nama peniaga yang terlibat dan kerugian dianggar lebih RM2 juta," katanya ketika ditemui selepas melawat peniaga di lokasi kejadian itu di sini hari ini. Sementara itu, beliau turut memohon Yang Dipertua Majlis Daerah Rantau Panjang dapat memberi taklimat kepada peniaga, penyewa dan pemilik tanah mengenai keselamatan bangunan agar insiden sama tidak berulang di masa depan. Beliau mendapati, tahap keselamatan perlu diperketat sama ada di peringkat pemilik tanah mahupun peniaga dan penyewa kedai. Pendedahan keselamatan bersama pasukan Bomba dan Penyelamat perlu dijalankan demi kesejahteraan peniaga dan pengguna," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |